Tuesday, October 28, 2008

KELANTAN – ANTARA HUTANG RM1B DAN ‘BAJET BERIMBANG’

Membaca dua artikel melalui blog lawi-ayam.blogspot. com bertajuk ‘Hutang Kerajaan Negeri Terus Tinggi’ dan “Kelantan bentang ‘Bajet Berimbang’ utamakan golongan dhaif dalam Harakahdaily yang kedua-duanya diterbitkan semalam, ada sesuatu yang perlu diteliti secara mendalam mengenai pandangan yang berbeza ini.

Secara umumnya menurut Menteri Besar, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat anggaran hasil bagi tahun hadapan sebanyak RM339.98 juta, manakala perbelanjaan mengurus sebanyak RM360.62 juta.

Dalam usaha mempertahankan ‘kejayaan pentadbiran kerajaannya;, Nik Aziz berkata defisit bagi tahun 2009 akan berkurangan menjadi RM20.28 juta berbanding defisit tahun 2008 sebanyak RM23.73 juta.

Faktanya, hasil tanah menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak RM116.97 juta atau 34.4 peratus, hasil perhutanan (RM94.97 juta atau 27.93 peratus.

Teks ucapan belanjawan itu dibaca Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Dato' Husam yang mengambil masa hampir sejam.

Bagaimana pula dengan hutang kerajaan negeri?

Pada akhir tahun 2007 baki hutang Kerajaan Kelantan adalah hampir RM1 bilion, Jumlah sebenarnya ialah RM958.67 juta berbanding RM940.06juta pada tahun 2006 iaitu meningkat sejumlah RM18.61 juta. Peningkatan hutang ini adalah disebabkan Kerajaan Pusat menerima sejumlah RM23.35 juta pinjaman baru daripada Kerajaan Persekutuan iaitu sejumlah RM9 juta Projek Bekalan Air yang baru dan RM14.35 juta bagi menggenapkan baki pinjaman tiga Projek Bekalan Air yang telah diluluskan sebelumnya.

Sehingga akhir tahun 2007, Kerajaan Negeri perlu menjelaskan bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM35.85 juta iaitu RM23.71 juta bayaran anuiti tahun semasa dan RM12.14 juta tunggakan tahun sebelumnya.

Dua agensi kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu yang bergelar ‘Bandaraya Islam itu’ gagal menjelaskan anuiti tahunannya melalui sumber Persekutuan.

Hutang PKINK berjumlah RM9.36 juta menyebabkan tunggakan bayaran balik terkumpul mencecah RM40.88 juta. Manakala MPKB gagal menjelaskan anuiti tahunannya berjumlah RM0.96 juta melalui pinjaman sumber Negeri dan sejumlah RM1.06 juta melalui sumber Persekutuan menyebabkan tunggakan bayaran balik pinjaman menjadi RM9.48 juta.

Faktanya ialah dalam kerajaan negeri memburuk-burukkan Barisan Nasional iaitu parti yang memerintah di Pusat, kerajaan Pas berhutang dengan kerajaan Pusat sebanyak RM35.65 juta.

Wajarkah ‘tangan yang memberi’ yang dalam Islam lebih mulia daripada tangan yang meminta dicerca dan terus digigit?

Harakahdaily dalam laporannya mengatakan, ketika ekonomi dunia merudum dengan kejatuhan luar biasa institusi kewangan di peringkat global, kerajaan Kelantan masih mampu membentang anggaran belanjawan 2009 yang bertema 'Bajet Berimbang'. Bajet tersebut memberi tumpuan kepada penjanaan ekonomi secara berterusan untuk semua rakyat, pembinaan ihsan berteraskan Islam dan pembelaan golongan dhaif.

Nik Aziz berkata, kerajaan negeri memantapkan lagi dasar berjimat cermat dengan perbelanjaan berhemah. Selain itu, mengembeling usaha untuk meningkatkan hasil melalui pemantapan jentera kutipan hasil dan penguatkuasaan yang tegas dan berkesan, memantapkan jentera pentadbiran, dan meneruskan pendekatan pentadbiran menyeluruh.

Sebaliknya, Wakil Barisan Nasional Datuk Noor Zahidi Omar pula hairan apabila bajet kerajaan negeri Kelantan dimaklumkan peruntukan yang tidak pernah cukup sedangkan Kelantan kaya dengan hasil yang boleh memberi keuntungan kepada negeri.

Katanya, rakyat Kelantan terus "digula-gulakan" seperti Ladang Rakyat yang belum lagi ditanam dan mendatangkan hasil tetapi sudah diberikan dividen.

"Saya ingin bertanya adakah hasil penebangan balak untuk tanaman ladang rakyat itu dimasukkan ke dalam hasil wang yang disatukan," katanya.

Noor Zahidi (BN-Pengkalan Kubor) juga mempersoalkan skim penanaman getah klon balak di hutan simpan sama ada di hutan simpan itu tidak mempunyai balak atau sebaliknya. "Apa yang dikhuatiri penanaman klon getah ini akan menjadi seperti penanaman sentang yang akhirnya perkara ini tidak berlaku," katanya.

Kerana itu Bajet Kelantan yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan (DUN) Kelantan semalam tidak mampu akan menjana peningkatan hasil kerajaan negeri yang terus menyaksikan jumlah hutang Kelantan terus tinggi.

Timbalan Ketua Pembangkang di Dun Kelantan itu berkata bajet yang bertemakan "Bajet Berimbang" itu sebenarnya langsung "tidak berimbang" dan banyak merugikan kerajaan Kelantan.

“Hutang awam Kelantan kini sudah melebihi aset iaitu sebanyak RM326 juta tahun lalu akan terus meningkat pada masa depan dan jika tidak ada usaha untuk berbuat sesuatu keadaan hutang Kelantan semakin membimbangkan.

Noor Zahidi menegaskan: "Titah Sultan Kelantan juga harus diambil kira apabila menegur ada beberapa hasil kerajaan negeri yang tidak dimasukkan dalam hasil wang yang disatukan," katanya ketika membahaskan Bajet 2009 itu.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, dalam laporan Audit Negeri Kelantan 2007 berkata kedudukan kewangan Kerajaan Negeri berdasarkan Lembaran Imbangan tidak kukuh kerana aset tidak dapat menampung tanggungan semasa dan keseluruhan tanggungan.



Manakala Penyata Akaun Memorandum pula menunjukkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri juga tidak kukuh memandangkan nilai hutang yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri melebihi nilai aset.

Oleh itu bagi memperbaiki kedudukan kewangan yang semakin merosot, Kerajaan Negeri perlu mengamalkan dasar perbelanjaan berhemat serta mencari sumber hasil yang baru dan berusaha mengutip
tunggakan hasil.

Cadangan ini bukan perkara baru tetapi berlaku lagi tahun lalu selepas pada 2006 ia berada dalam kedudukan serupa.

Pada persidangan tahun lalu Ketua Pembangkang ketika itu, Tan Sri Annuar Musa turut membangkitkannya.

Selain itu, pada 2007 baki pinjaman boleh tuntut Kerajaan Negeri kepada Agensinya berjumlah RM617.38 juta berbanding RM598.89 juta pada tahun 2006 iaitu meningkat sejumlah RM18.49 juta.

Peningkatan ini adalah disebabkan Kerajaan Negeri mengeluarkan kesemua sumber pinjaman yang diterima bagi pelbagai Projek Bekalan Air daripada Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM23.35 juta kepada Agensinya iaitu Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. Dan sejumlah RM2.33 juta melalui sumber Negeri kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu. Selain itu Kerajaan Negeri telah menerima balik bayaran hutang daripada agensinya berjumlah RM7.50 juta.

Analisis Audit mendapati bayaran balik pinjaman yang telah matang tidak mengikut
Jadual Bayaran Balik atau anuiti tahunan yang ditetapkan menyebabkan tunggakan
bayaran balik agensi tersebut terus meningkat. Keadaan ini lebih ketara lagi apabila
dasar Kerajaan Persekutuan tidak lagi menyalurkan geran keseimbangan Pihak
Berkuasa Tempatan melalui Kerajaan Negeri.

Pada tahun 2007 Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan gagal menjelaskan anuiti tahunannya melalui sumber Persekutuan berjumlah RM9.36 juta menyebabkan tunggakan bayaran balik terkumpul mencecah RM40.88 juta. Manakala Majlis Perbandaran Kota Bharu gagal menjelaskan anuiti tahunannya berjumlah RM0.96 juta melalui pinjaman sumber
Negeri dan sejumlah RM1.06 juta melalui sumber Persekutuan menyebabkan
tunggakan bayaran balik pinjaman menjadi RM9.48 juta.

Yang menghairankan, rakyat Kelantan melihat Laporan Audit Negara dengan menterjemahkannya sebagai berkepentingan politik bukan ekonomi atau kegagalan pentadbiran Kelantan.

Rakyat Kelantan tetap memilih Pas untuk memerintah Kelantan walaupun tahu bahawa pentadbiran negeri itu gagal memulih atau mengurangkan beban hutang selain sumber baru Kerajaan Negeri tidak ada langsung.

Lebih mengejutkan pada 31 Ogos lalu, dalam suasana kewangan negeri yang tidak stabil dan lemah dan diakui sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat , Kelantan akan tetap membayar bonus sebulan kepada kakitangan kerajaan negeri tahun ini.

Ia akan dilakukan seperti diterima kakitangan sektor awam di peringkat pusat walaupun hutang kerajaan negeri telah melebihi nilai asetnya hasil ‘langkah berjimat cermat’ nya.

Lebih jauh, Mursyidul Am Pas mempertahankan bahawa pentadbiran kerajaan negeri tidak pernah membazir kerana ia merupakan satu amalan dosa.

Persoalannya, apakah bonus itu anugerah atau penilaian prestasi kakitangan yang wajar diberika hanya kepada mereka yang berkhidmat dengan cemerlang dan bukan semua kakitangan?

Tidakkah memberikan bonus kepada kakitangan yang tidak berprestasi cemerlang dan sederhana itu sebagai membazir dan amalan menyogok untuk mendapatkan sokongan politik.
Bukankah dengan melakukan sedemikian ia adalah satu dosa?


No comments:

Post a Comment