Sunday, February 2, 2014

SELEPAS JADI MB, ANWAR AKAN BALAS DENDAM TERHADAP PEGAWAI KHALID?


Kemuncak perang Twitter di antara pegawai Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Speaker Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad membuktikan Khalid tidak boleh mengawal pegawai-pegawainya.

Malah, ia menggambarkan kebimbangan pegawai Khalid bahawa mereka akan ‘terlepas’ jawatan yang mereka pegang sekarang jika Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar menjadi Menteri Besar Selangor.

Dengan kata lain, jika Anwar benar-benar menjadi Menteri Besar Selangor, ramai pegawai Khalid akan ‘dicampak oleh Anwar’ keluar dari pejabat Menteri Besar, lebih-lebih lagi ada kritikan bukan sahaja ditujukan kepada Anwar, tetapi juga Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Anwar dan Azmin tidak akan melepaskan mereka begitu sahaja. Akan ada tindakan besar dan 'membalas dendam' terhadap mereka yang mengkritik atau cuba menggagalkan usaha Anwar!

Bermula Khamis lalu bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin, seolah-olah membidas Ketua Pembangkang itu berikutan kontroversi yang berlaku di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Faekah secara beralas menggesa Penasihat PKR itu meneliti terlebih dahulu Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 ekoran mahu bertanding di kerusi DUN Kajang.

Beliau mendesak Anwar meneliti kesemua proses dan prosedur undang-undang berkenaan dan tidak sesekali terlalu yakin dalam merealisasikan matlamat peribadi semata-mata.

Selain itu, beliau meminta Anwar untuk tidak menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah.


Khalid semalam (1 Februari 2014) menafikan penglibatannya dalam kenyataan bekas setiausaha politiknya, Faekah Husin, yang dikatakan membidas Anwar berhubung isu pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Faekah yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) dilaporkan meminta ahli politik dari luar Selangor agar belajar terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan dan kenyataan. 

"Ahli politik di luar Selangor, belajarlah Perlembagaan negeri, proses dan prosedurnya. Jangan menghina Sultan dan jangan terlalu yakin dengan diri sendiri," katanya dalam akaun Twitternya Jumaat (31 Januari 2014).

Khabar angin bertiup kencang kononnya Khalid akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor bagi memberi laluan kepada Anwar menggantikannya, susulan Anwar diumumkan sebagai calon PKR bagi kerusi DUN Kajang.

Lee, yang meletakkan jawatannya pada 27 Jan lepas, dilaporkan sebagai berkata bahawa keputusan itu dibuat "demi kepentingan bersama dan bertujuan memperkukuh keupayaan Pakatan memberi khidmat kepada rakyat." Khalid berkata kenyataan Faekah menerusi akaun Twitter tidak mewakili beliau secara rasmi sama sekali sebab ia bukan daripada Pejabat Menteri Besar.

"(Kenyataan Faekah dalam Twitter) bukan mewakili saya, Yang mewakili saya ialah kenyataan akhbar rasmi (daripada Pejabat Menteri Besar). SMS (khidmat pesanan ringkas) dan komunikasi menerusi internet (media sosial) bukan kenyataan rasmi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama penyokong bola sepak Selangor di kediaman rasmi Menteri Besar, di Shah Alam semalam.

Abdul Khalid mengulas kenyataan Faekah itu yang seolah-olah membidas Anwar susulan perkembangan kerusi DUN Kajang yang dikosongkan oleh Lee Chin Cheh dari PKR pada 27 Jan lepas.

Ia menjadi panas apabila Nik Nazmi membidas tindakan Faekah, yang kemudian tampil mempertahankan kenyataannya di laman sosial sama.

"Nasihat yang baik dari mantan setiausaha politik juga. Kempen minima di Kajang, jimat kos," katanya yang dipetik dalam laman Twitternya, petang semalam.


Terdahulu, Nik Nazmi menerusi laman mikro Twitternya berkata, Faekah tidak perlu bercakap soal politik ekoran tidak lagi memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kata sudah bukan Setiausaha Politik, tapi masih banyak cakap soal politik. Anda perlu tahu masa anda sudah tamat," tulisnya.

Walaupun Faekah dilihat cuba mempertahankan Khalid daripada segenap aspek, namun bekas majikannya itu tidak bersetuju medium laman sosial digunakan bagi tujuan itu.

Menurut Khalid, penggunaan laman mikro Twitter sebagai alat komunikasi dalam konteks ini boleh mencetuskan kemarahan awam.

"Saya juga mengharapkan kita tak boleh guna itu (laman sosial), sebagai satu usaha untuk membangunkan atau menjatuhkan orang lain. Satu usaha yang mungkin mencetuskan kemarahan dan juga mencetuskan rasa tidak percaya dan juga cuba menyokong sama lain.. juga sebagai satu alat komunikasi," katanya pada sidang media di kediamannya.

Faekah aktif membuat serangan balas di laman sosial Twitter apabila pentadbiran Adun Pelabuhan Klang terbabit mendapat kritikan keras daripada pimpinan PKR.

Sebelum ini, Faekah telah membela Khalid dengan menyifatkan pihak yang mengejar jawatan itu bernafsu besar dan pemimpin politik "luar" daripada Selangor perlu mempelajari undang-undang negeri itu.

Perkara ini semakin panas selepas Azmin meminta Faekah tutup mulut. Faekah sebelum ini beberapa kali membidas Azmin berhubung isu PKNS.

Dalam perkembangan sama, Khalid menjelaskan, kenyataan Faekah itu adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili dirinya. "Tidak, biasanya mewakili saya melalui kenyataan akhbar…” selain itu, Abdul Khalid juga berkata tidak pernah merasa tersepit ekoran timbulnya kemelut PKR di Selangor.

Friday, January 31, 2014

BAHAS KALIMAH ALLAH - MASYARAKAT ISLAM, KRISTIAN PERLU FAHAM UNDANG-UNDANG


"Perkara berkaitan agama yang termasuk di bawah bidang kuasa negeri, perlu ditangani dengan paling sensitif agar sebarang tindakan yang diambil, tidak melukai perasaan mana-mana kaum di negara ini. Itulah sebabnya Kabinet menganjurkan penyelesaian 10 Perkara, yang membenarkan orang Kristian menggunakan 'Allah' dalam Bible Bahasa Malaysia. Ia juga membenarkan Bible dalam semua bahasa, bukan setakat diimport ke negara ini, malah dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak."

Bagi memelihara keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat, masyarakat Islam dan Kristian perlu berhenti daripada berbahas tentang isu kalimah Allah.

Ketika menyuarakan saranan itu, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah berkata ini kerana kebanyakan kumpulan Islam dan Kristian tidak memahami atau tidak mahir tentang undang-undang negeri dan persekutuan.

Menurutnya peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan orang Islam menyebarkan ajaran agamanya kepada bukan Islam, manakala orang bukan Islam pula dibenarkan menyebarkan agama atau kepercayaannya kepada orang atau pengikut agama lain, kecuali kepada orang Islam.

Beliau berkata Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa setiap individu berhak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agama atau kepercayaan masing-masing.

"Bagaimanapun, Perkara 11 (4) perlembagaan itu menyebut bahawa penyebaran agama orang bukan Islam dalam kalangan orang Islam adalah dilarang. "Ini bermakna, Perkara 11(4) memberi kuasa kepada negeri melalui badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama atau kepercayaan bukan Islam kepada orang Islam," katanya kepada Bernama di Menara Felda di Kuala Lumpur.

Mohd Noor berkata ini bererti sesebuah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menyekat penyebaran mana-mana agama, akidah, ideologi atau malah kepercayaan yang mengandungi walaupun sedikit ajaran bukan Islam dalam sebarang bentuk.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa Seksyen 9 (1) Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Dalam Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 melarang orang bukan Islam daripada menggunakan dalam penulisan atau ucapan, mana-mana daripada 25 perkataan yang terkandung dalam Bahagian 1 Jadual berkaitan agama bukan Islam.


"Seseorang bukan Islam didapati melakukan kesalahan sekiranya dia menggunakan perkataan Allah dan perkataan Arab lain seperti Firman Allah, Ulama, Hadith, Ibadah, Kaabah, Kadi, Ilahi, Wahyu, Mubaligh, Syariah, Qiblat, Haji, Mufti, Rasul, Iman, Dakwah, Injil, Salat, Khalifah, Wali, Fatwa, Imam, Nabi dan Sheikh," katanya.

Seksyen 9 (2) juga melarang orang bukan Islam daripada menggunakan 10 kalimah berasal daripada agama Islam seperti yang ditetapkan di dalam Bahagian II Jadual berkenaan, termasuk Alhamdulillah, Insya-Allah, Allahu Akbar, Astaghfirullahal Azim dan Masya Allah.

Di samping Seksyen 9, Mohd Noor berkata Enakmen Selangor itu juga mendapati adalah menjadi kesalahan bagi seseorang bukan Islam apabila di: mempengaruhi atau menghasut seseorang Islam supaya menukar agamanya (Seksyen 4); menyebabkan seseorang Islam bawah umur terpengaruh dengan agama bukan Islam (Seksyen 5).

Perbuatan lain yang menjadi kesalahan ialah: mengajak orang Islam mendengar ucapan tentang atau melihat pameran tentang sebarang perkara berkaitan agama bukan Islam (Seksyen 6); mengirim atau menyampaikan sebarang penerbitan berkaitan agama bukan Islam kepada seseorang Islam (Seksyen 7); dan menyebar di tempat awam sebarang penerbitan berkaitan agama bukan Islam kepada orang Islam (Seksyen 8).

Mohd Noor berkata setakat ini, 10 negeri meluluskan enakmen serupa yang mempunyai peruntukan hampir sama, kecuali dari segi hukuman, perkataan dan ungkapan.

Kata beliau Kelantan mengenakan hukuman paling berat, termasuk sebatan mandatori bagi semua kesalahan, manakala Enakmen Negeri Johor pula, walaupun tidak mengandungi sebarang Jadual, tetapi mengenakan larangan menyeluruh tentang penggunaan sebarang kalimah berasal daripada agama Islam.

"Dalam kata-kata lain, secara undang-undang, kalimah dan ungkapan tertentu ini menjadi milik eksklusif agama Islam. Tidak akan menjadi masalah sekiranya kalimah berkenaan tidak langsung digunakan oleh agama lain.

"Enakmen Selangor tidak menyebut tentang kesalahan syariah, tetapi kesalahan sivil, yang bermakna, sesuatu kes itu akan dibicarakan di mahkamah sivil, bukan di mahkamah syariah, yang bidang kuasanya hanya meliputi orang Islam," kata beliau.

Mohd Noor berkata perkara berkaitan agama yang termasuk di bawah bidang kuasa negeri, perlu ditangani dengan paling sensitif agar sebarang tindakan yang diambil, tidak melukai perasaan mana-mana kaum di negara ini.

"Itulah sebabnya Kabinet menganjurkan penyelesaian 10 Perkara, yang membenarkan orang Kristian menggunakan 'Allah' dalam Bible Bahasa Malaysia. Ia juga membenarkan Bible dalam semua bahasa, bukan setakat diimport ke negara ini, malah dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.





Kontroversi berhubung kalimah Allah tercetus daripada keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009, yang mengekalkan hak gereja Katolik dari segi perlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam seksyen bahasa Malaysia penerbitan majalah mingguannya, 'The Herald'.'


Isu ini timbul semula awal bulan ini apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Bible Society of Malaysia (BSM) dan merampas kira-kira 300 naskhah Bible dalam bahasa Melayu dan Iban serta menahan dua pegawai BSM.

Ketegangan, khususnya antara masyarakat Islam dan Kristian, reda apabila pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Rayuan membuat keputusannya tentang penggunaan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Malaysia, 'The Herald'.

Keputusan itu dilihat sebagai melarang penggunaan kalimah Allah oleh semua orang bukan Islam.

Keputusan mengenai pertikaian undang-undang antara kerajaan dan Gereja Katolik masih tertangguh di Mahkamah Persekutuan, yang mendengar kes itu pada 5 Mac ini.

Sementara itu, Exco Pemua Umno dan cendekiawan Islam Dr Fathul Bari Mat menegaskan bahawa gerakan dakwah atau usaha menyebarkan ajaran Islam perlu mematuhi tiga kriteria iaitu Perlembagaan, hukum Islam dan sensitiviti masyarakat tempatan.

"Walaupun tiada siapa boleh disekat daripada menunaikan hak asasinya, mereka masih mempunyai pilihan. Bagi orang Islam, kami tidak mempunyai pilihan selain daripada menggunakan kalimah Allah, tapi bagi orang Kristian, mereka boleh memilih sama ada menggunakan 'Lord' atau God' atau 'Jesus' bagi merujuk kepada Tuhan mereka.

"Bagaimanapun, dalam kes ini, mereka bertegas untuk menggunakan kalimah Allah, yang telah mengelirukan umat Islam dan menimbulkan suasana sensitif serta tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam," katanya.

Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Agung India yang mengekalkan larangan yang dikenakan kerajaan negeri Gujarat terhadap penyembelihan lembu pada 2005 dan berpendapat rakyat Malaysia juga perlu mengelak daripada melukai perasaan, kepercayaan dan amalan satu sama lain.

BUKAN, BUKAN, BUKAN…ANWAR GUNAKAN PLATFORM KEMPEN PRK UNTUK HODOHKAN NAJIB, BN & UMNO!

`
Ramai yang melihat hasrat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sebagai loncatan ke Putrajaya.

Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin menyifatkan keinginan Anwar bertanding di DUN Kajang sebagai usaha untuk mencapai matlamatnya menjadi perdana menteri.

Bekas perdana menteri itu berkata ia adalah langkah untuk naik ke atas dan Anwar tidak akan berhenti pada tahap itu sahaja.
 
"Saya fikir itu bukan matlamatnya tetapi itu adalah tangga yang digunakan untuk mencapai matlamatnya (menjadi perdana menteri)," katanya kepada pemberita selepas ditemu bual dalam program 'Dalam Radar Khas' terbitan Bernama Radio24 di Wisma Bernama kelmarin.

Kelmarin, Anwar dinamakan sebagai calon PKR bagi pilihan raya kecil Dun Kajang, sekiranya diadakan, selepas kerusi itu dikosongkan oleh wakil rakyat PKR sendiri Lee Chin Cheh.

Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS turut melahirkan rasa terkejut dan terkilan berhubung peletakan jawatan tanpa alasan yang munasabah oleh bekas Adun Kajang Selangor, Lee Chin Cheh semalam.

Menurut Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan, tanpa ada berlakunya tsunami politik yang menggila, peletakan jawatan itu telah mewujudkan satu persepsi yang tidak baik kepada rakyat Selangor seterusnya kepada kesepaduan PR Selangor.

"Rakyat akan meluat dan bosan dengan keletah politik rakus kuasa dalam kalangan pemimpin PKR Selangor dan merosakkan imej baik kerajaan PR Selangor itu sendiri.

Kami menganggap peletakan jawatan ini sebagai satu pengkhianatan amanah yang telah diberikan oleh rakyat Selangor kepada PR dan membelakangkan semangat ‘syura’ dalam kalangan rakan komponen PR Selangor,” katanya.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat berkata, tindakan meletakan Anwar sebagai calon, adalah untuk merealisasikan agenda lebih besar.

Penganalisis itu tidak menolak dakwaan pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRK Dun Kajang sebagai tangga Ketua Umum PKR itu menjadi Perdana Menteri.

“Kemasukan Anwar sebagai Adun Kajang adalah tangga mencapai cita-citanya jadi perdana menteri. Jika cita-cita Anwar mahu menjadi perdana menteri tercapai maka Azmin akan diangkat menjadi Menteri Besar Selangor,” katanya semalam.

Jawapan saya kepada sebab dan kesan Anwar bertanding ialah berlainan dengan pendapat Dr Mahathir serta beberapa pemimpin UMNO yang mengatakan Anwar menggunakan PRK DUN Kajang sebagai alat untuknya melonjak lebih tinggi.

BUKAN, BUKAN, BUKAN! Kenapa BUKAN? 

1. Anwar mahu menggunakan KEMPEN PRK DUN Kajang sebagai platformnya MENGKRITIK KERAJAAN secara terbuka khususnya dalam isu kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak, kenaikan tol, kenaikan tambang bas dan pakaian sekolah serta kepimpinan Perdana Menteri;

2. ‘Menghodohkan lagi Barisan Nasional (BN) dan UMNO dengan pelbagai isu semasa yang menyentuh hati dan naluri rakyat;

3. Mencipta isu yang boleh ‘memeningkan orang ramai’ umpamanya kononnya Dr Mahathir sedang berusaha menggulingkan Najib;

4. Menggembalikan semula isu lapuk kepada masyarakat seperti isu Altantuya, rasuah serta banyak lagi;

5. Mempersoalkan tindakan pemimpin UMNO dan yang bergerak melalui Perkasa dalam isu KALIMAH ALLAH di mana pendirian Najib dan Majlis Tertinggi dikatakan ‘ingkar perintah Yang Di-Pertuan Agong’; 

6. Akan terus menerus membuat tuduhan bahawa kerajaan gagal menangani segera kos sara hidup dan harga barang akan diperkatakan dengan bebas. 

Banyak lagi isu yang akan dimainkan Anwar dengan ‘bala tenteranya’ akan bercakap dengan satu nada.

Di manakah semua ini akan diperkatakan olh Anwar?

a. Di pentas ceramah; 

b. Di media sosial pembangkang dan propembangkang; 

c. Di laman web dan portal berita pembangkang, youtube dan apa juga medium milik mereka, termasuk radio internet dan tvPAS serta media parti lain.

d. Media antarabangsa yang banyak menyokong Anwar.

Berikutan ‘pendedahan Anwar’ itu, penyokong BN dan UMNO seperti biasa akan tertanya-tanya sesame sendiri apakah tuduhan-tuduhan itu benar.

Sedangkan keseluruhan pembangkang akan menyifatkannya benar belaka. Kesannya bukan sahaja penyokong pembangkang akan bertambah ‘yakin’ dengan Anwar, malah penyokong BN dan UMNO serta mereka di atas pagar akan menanyakan diri mereka dengan pelbagai soalan yang ditimbulkan Anwar.

Kesan daripada ini akan memberikan IMPAK jangka panjang kepada semua rakyat Malaysia dan ‘krisis keyakinan’ inilah yang cuba digerakkan oleh Anwar mulai PRK berkenaan.

Ingatlah  PRK DUN Kajang ini bukan membabitkan orang di Kajang, di Selangor atau di Malaysia sahaja. Juga penyokong Anwar bukan di Kajang, Selangor, Pulau Pinang sahaja.

Mungkin alasan bahawa kemasukan Anwar dalam Selangor adalah strategi bagi memudahkan PR memenangi PRU14. Sebelum ini dia ternyata gagal melakukannya di Pulau Pinang – negeri yang diterajui DAP.

Selangor merupakan negeri paling strategik dan mendapat perhatian masyarakat.

Jadi sebarang usaha Anwar memajukan Selangor seandainya beliau menang di Dun Kajang akan membuka mata masyarakat. Ini seterusnya membuka peluang besar kepada PR menguasai PRU14.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengakui walaupun langkah ini tidak popular tetapi ia sesuatu diperlukan PR untuk menjadikan Selangor sebagai kubu kuat dan dalam masa sama menjadi wadah PR menawan Putrajaya.

Anwar, kalaupun MUNGKIN KALAH pada PRK DUN Kajang ini, hakikatnya dia menang dalam konteks menyampaikan pendirian serta pendapatnya sebagai persediaan ke arah PRU 14.

Setidak-tidaknya Anwar sudah mula memalukan ‘gendang perang’ di PRK Dun Kajang.

Apakah peranan BN dan UMNO hanya menjawab dan cuba menjelaskan apa yang diperkatakan Anwar, sedangkan amat nyata BN dan UMNO dituduh gagal menangani beberapa masalah nasional. Dengan ‘modal politik’ yang Anwar ‘belanjakan’ untuk pengundi Kajang kelak, ia akan turut meresapi rakyat di negeri lain dan di luar negara.

Jangan memperkecilkan agenda Anwar ini!

Soal Anwar jadi MB tidak penting tetapi bagaimana dia ‘memporak-perandakan’ BN dan UMNO yang sewajarnya diambil kira.

Apakah BN dan UMNO bersedia berlawan dengan Anwar selain menepis dakwaan, pembohongan serta mainan politiknya?

Jangan sampai BN kalah dan Anwar pula sebagai orang yang memiliki ‘the last laugh’!

Tuesday, January 28, 2014

TAK DAPAT JADI PERDANA MENTERI, JADI MENTERI BESAR PUN CUKUPLAH....


 "Dakwaan itu (menjadi Menteri Besar) hanyalah spekulasi dan sudah diperkatakan sejak 2008 lagi..Saya selalunya bertemu dengan Tan Sri Khalid seminggu sekali, sama ada di pejabatnya, atau di rumah Menteri Besar, untuk perbincangan mengenai kedudukan Pakatan Rakyat dan perkara umum mengenai Selangor." 
- Datuk Seri Anwar Ibrahim

Mustahil Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim mahu meletakkan dirinya setaraf dengan Lim Guan Eng di Pulau Pinang atau Datuk Ahmad Yaakob di Kelantan.

Anwar tidak mungkin mahu menjadi menteri besar Selangor kerana kedudukannya sekarang sebagai pemimpin nasional.

Adalah sesuatu yang mustahil Anwar akan ‘menurunkan pangkat’ beliau sendiri daripada kedudukannya sekarang sebagai Ketua Pembangkang dengan menjadi Menteri Besar Selangor.

Namun beberapa rakab blogger mengusik…apasalahnya jika menjadi Perdana Menteri dah malap, Menteri Besar pun Menteri Besarlah!

Menurut seorang penganalisis, James Chin, cerita 'kurang senang' mengenai PKR itu berkaitan dengan pemilihan parti itu April depan.

Namun Anwar kini dikaitkan dengan pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang itu walaupun beliau menafikan mahu menjadi Menteri Besar Selangor.


Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam berkata tidak wajar seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri atau ADUN meletakkan jawatan tanpa alasan yang kukuh.

Tidak tahulah kalau-kalau ia dilakukan kerana ada sebab tersendiri.

Pilihan raya adalah untuk memilih wakil kepada rakyat, bukan kerana mahu menolong rakan atau sebagainya.

Meletak jawatan bermakna PRK  perlu diadakan dan pastinya membabitkan wang rakyat yang agak banyak.

Berikutan itu, jika dilakukan juga oleh seseorang ADUN, sewajarnya bukan sahaja ADUN berkenaan wajar ‘dicerca’ tetapi orang yang bertanding menggantikannya juga ‘patut dicerca’, apa lagi sekiranya PRK diadakan kerana ingin memberi ruang kepada rakan atau kawan dalam parti.

Menurut Dr Asri, “...pilihan raya kecil membabitkan wang rakyat yang agak banyak..kalau jadi tabiat wakil rakyat letak mudah-mudah maka banyaklah wang rakyat dibazirkan. “...kalau ada alasan kukuh seperti kesihatan bolehlah diterima tapi kalau sekadar nak beri ruang kawan-kawan maka itu satu pembaziran.. kenapa yang sepatutnya tidak bertanding dari awal?,” katanya yang dipetik menerusi laman Facebooknya. 

Media semalam melaporkan Adun Kajang dari PKR, Lee Chin Cheh telah meletakkan jawatan sebagai ADUN di kerusi itu.

Peletakan jawatan Chin Cheh sebagai anggota ADUN Kajang membuka persoalan sama ada tempat itu akan ditandingi oleh Ketua Umum PKR itu.

Anwar semalam menafikan beliau akan mengambil alih tempat Khalid sebagai Menteri Besar Selangor, seperti yang didakwa sebuah portal berita.

Anwar berkata, dakwaan itu hanyalah spekulasi dan sudah diperkatakan sejak 2008 lagi.

Menjawab soalan media mengenai pertemuannya dengan Khalid malam minggu lalu, Anwar menjelaskan, beliau sering mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu, bukan pada malam Ahad lalu sahaja.

“Saya selalunya bertemu dengan Tan Sri Khalid seminggu sekali, sama ada di pejabatnya, atau di rumah menteri besar, untuk perbincangan mengenai kedudukan Pakatan Rakyat dan perkara umum mengenai Selangor," katanya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail turut menafikan bahawa Anwar akan menggantikan tempat Abdul Khalid.

“Abdul Khalid akan tetap meneruskan tugasnya sebagai menteri besar,” kata Saifuddin.

Perletakan jawatan itu diumumkan speaker DUN Selangor Hannah Yeoh petang ini dan akan dimaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok (hari ini).

Yeoh berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan semalam.

Berhubung sebab peletakan jawatan itu, Yeoh berkata perkara itu harus diajukan kepada Lee sendiri. Undang-undang menetapkan pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Yeoh yang juga ADUN DAP bagi kawasan Subang Jaya jari ini turut ditanya berhubung kemungkinan calon untuk kawasan itu.

“Saya tidak mahu cakap perihal calon dan saya tidak mahu mengulas khabar angin. Agak awal untuk membuat spekulasi. Sehingga hari ini kerusi ini kosong. Itu sahaja,” katanya.

Yeoh juga berkata, oleh kerana ia kerusi PKR, parti itu yang akan mengumumkannya. Bagaimanapun, cara yang dipilih oleh PKR itu masih memerlukan persetujuan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat.

Pada pilihan raya umum lalu, Lee sebagai calon PKR menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, BERJASA dan tiga calon bebas.

Kawasan itu mempunyai 38,965 pengundi dengan 48 peratus Melayu, 41 peratus Cina dan India sebanyak 10 peratus.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad pula berkata, walaupun hanya mengetahui pengunduran itu melalui media, beliau difahamkan bahawa PKR akan meminta Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berundur dan Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil.

“Saya hanya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution kelmarin bahawa PKR akan meminta Tan Sri Khalid berundur dan Anwar akan bertanding pada satu pilihan raya kecil,” katanya 

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan atau persetujuan dibuat untuk menggantikan menteri besar Selangor dibuat.

“Tidak pernah dibincangkan,” katanya menjawab soalanMalaysiakini. Khalid memberikan pendapatnya bahawa pelantikan menteri besar di negeri itu perlu mendapat konsensus daripada tiga komponen parti dalam Pakatan Rakyat seterusnya mendapat perkenan sultan.

"Tak ada. Proses pelantikan MB perlu mendapat konsensus ketiga-tiga parti (dalam Pakatan Rakyat). Calon menteri besar dipilih dan dipersetujui ketiga-tiga parti.

"Mereka juga akan memberitahu kepada Tuanku Sultan dan perkenan Sultan. Jadi banyak tatacaranya," katanya bagi menjawab soalan pemberita di Kuala Lumpur semalam. Beliau ditanya sama ada peletakan jawatan ADUN Kajang itu sebagai usaha menyingkirkan beliau sebagai menteri besar.

Ditanya sama ada ura-ura Anwar bertanding di DUN Kajang dalam pilihan raya kecil dan menggantikan beliau, Khalid berkata: "Kita belum ada perbincangan lagi (mengenainya).

Perkara itu akan ditentukan oleh biro politik (PKR)," katanya sambil menjelaskan bahawa beliau "tidak terkejut" dengan usaha menggantikannya kerana sebelum ini ada "ura-ura" mengenainya.


Ditanya sama ada beliau bersetuju untuk melepaskan jawatan sekiranya PAS dan DAP bersetuju beliau berbuat demikian, Khalid berkata: "Ia boleh dilakukan dengan ketiga-tiga parti duduk bersama.

Kena ada perbincangan. Tapi sekarang tidak ada lagi".

Spekulasi itu timbul ekoran laporan The Star Online bahawa Anwar akan menggantikan Khalid sebagai menteri besar.

Portal itu melaporkan bahawa Khalid bersetuju melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada ketua pembangkang Dewan Rakyat itu.

Susulan perletakan jawatan Chin Cheh dari PKR sebagai Adun Kajang, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyatakan pihaknya tidak akan terburu-buru untuk mengambil sebarang tindakan susulan berhubung perkara itu.

Menurutnya, Adun tersebut mungkin akan berubah fikiran dalam hal tersebut (peletakan jawatan), namun pun begitu pihaknya tetap menunggu surat tersebut daripada Speaker Selangor, Hannah Yeoh.

“Tidak boleh terburu-buru, dia (Adun) tersebut mungkin merubah fikirannya malam ini. “…namupun begitu kita akan tetap menunggu surat peletakan tersebut…. baru kita akan buat tindakan lanjut. “…kita tengok surat itu, dan baru kita akan rujuk kepada Pegawai Undang-Undang SPR, untuk buat keputusan” katanya kepada Sinar Harian Online semalam.

Antara nama lain yang dipercayai bakal bertanding selain Anwar adalah Ahli Parlimen Pandan penggal pertama Rafizi Ramli.