Thursday, February 23, 2012

KISAH IMAM PAS BALING KASUT KE ARAH PANEL HAKIM...


Ini kisah seorang Imam PAS - Hoslan Hussain Yang - yang marah sanggup membaling kasut terhadap tiga hakim Mahkamah Persekutuan semalam.

Kejadian sekitar jam 10 pagi itu berlaku apabila Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin menolak permohonannya supaya diberi kebenaran membuat rayuan.

Beliau dikatakan diusir dari kuarters kediamannya atas dakwaan masalah disiplin.

Peguam berkenaan membuat rayuan dan dijelaskan oleh peguam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Zulkifli Che Yong bahawa afidavit imam itu difailkan di luar dari masa yang ditetapkan.

Imam berkenaan yang tidak diwakili perguam berdiri di barisan meja berhampiran pegawai pendakwa raya dan peguam semasa permohonan itu naik marah dan melemparkan kasutnya apabila rayuannya ditolak.

Difahamkan Hoslan merayu kepada Hakim Zulkefli supaya berlembut dan membenarkan permohonannya itu tetapi tetapi hakim dilaporkan mahkamah terpaksa menolak bantahan kerana ia mengikut undang-undang.

Hakim Zulkefli cuba menenangkan Hoslan tetapi beliau dikatakan tidak mahu mendengar alasan berkenaan tetapi sebaliknya mencampakkan kasutnya ke arah panel hakim yang hampir mengenai seorang daripda mereka.

Dua lagi hakim yang bersidang bersama pagi ini adalah Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaharah Zahari. Berikutan kejadian ini, polis yang mengendalikan perbicaraan mahkamah memegang Hoslan dan cuba menenangkan beliau.

Adalah difahamkan bahawa ahli panel tiga hakim tidak membuat apa-apa perintah berhubung tindakannya yang menghina mahkamah itu.

Hoslan berkata, rungutannya bukan tentang pengusiran, tetapi demi keadilan, kerana beliau telah membangkitkan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan tabung di Masjid Ar Rahimah dan isu-isu berkaitan tidak dilayan.

 Beliau mendakwa banyak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga pihak polis berhubung dakwaan penyalahgunaan berkenaan, tetapi tiada tindakan.

Beliau turut mendakwa Umno turut terbabit menggunakan MAIWP untuk menyingkirkannya.

Beliau yang menjadi imam rawatib sejak tahun 2005 dan sebelum itu, beliau merupakan bilal di masjid berkenaan.

Beliau tidak diwakili peguam dalam semua kes mahkamah, bukan kerana beliau tidak mampu, tetapi kerana MAIWP telah menggantung gajinya.

Hoslan juga mengaku menjadi penyokong kuat pembangkang, terutama PAS, dan berkata beliau turut membantu pada setiap kempen pilihan raya kecil yang disertai parti itu.

Ketika kemuncak BERSIH 2,0 tahun lalu, katanya, khutbah Jumaat di masjidnya menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan berkenaan. Namun, sebaik mendengar khutbah itu Hoslan berkata, beliau mengangkat jubahnya sebagai protes di hadapan jemaah, untuk menunjukkan baju-T BERSIH yang dipakainya.

Tuesday, February 21, 2012

KERAJAAN BN BAGAI AYAM JANTAN YANG BERGELUMANG TAHI…


Pertemuan Anwar, Nik Aziz Tidak Bawa Apa-apa Erti

Kecoh je yang lebih. Hasil tarakkk…

Itulah yang boleh dirungkaikan hasil pertemuan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur pagi tadi.


Anwar tetap dengan pendiriannya mengiktiraf kewujudan negara Israel dengan syarat tentera negara tersebut perlu berundur dari tanah Arab, keganasan dihentikan serta aspirasi dan kewujudan rakyat Palestin dihormati.

Anwar sudah mengakui wujud perbezaaan pendapat di antara beliau dan PAS berhubung konflik Israel dan Palestin dan kewujudan negara Yahudi itu dan beliau tidak akan berpatah balik.

Akhirnya yang kena tempelak kerajaan Barisan Nasional (BN) juga apabila Nik Aziz mengatakan melalui facebooknya:

"Hairannya sesetengah pihak yang kelihatan sangat anti Yahudi masih tergamak menjalinkan hubungan dagang dengan Israel bahkan membenarkan pelabuhan negara disinggahi kapal Israel.

 "Pihak-pihak ini hakikatnya hanyalah ayam jantan yang berkokok gagah sedangkan ekornya bergelumang najis.”

 Nik Aziz turut mengecam pihak yang menjalinkan hubungan perdagangan dengan Israel yang secara tidak langsung dimaksudkan ialah kerajaan Malaysia.

Kecaman tersebut dipercayai merujuk kepada dua kapal milik Israel yang didakwa berlabuh di Westport, Pelabuhan Klang pada 16 Februari lalu.

Amat jelas bagi Nik Aziz, biarpun Anwar terang-terangan menyokong negara Israel tetap boleh dimaafkan kerana disebalik apa yang heboh diperkatakan, beliau tetap ada hujah dan sebab lain untuk ‘melindungi’ kenyataan Anwar itu.

Beliau hanya mengulangi pendirian PAS bahawa parti itu tidak akan sekali-kali mengiktiraf negara Israel walaupun sekutunya dalam pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai pendirian yang berbeza.

"Saya ingin mengulangi pendirian saya dan Majlis Syura serta pendirian PAS khususnya bahawa (kami) tidak sekali-kali mengiktiraf walaupun seinci hak Yahudi terhadap bumi Palestin yang dirampas pada hari ini. "Berbeza atau tidak dengan sesiapa, PAS tetap dengan pendirian ini," katanya di Kuala Lumpur.

Nik Aziz tidak pula mengulas mengenai keengganan Anwar menyaman The Wall Street Journal (WSJ) yang ternyata akhbar itu jelas tidak salah lapor.

Walhasil Balik Asal.

Apapun setidak-tidaknya kita semakin kenal bagaimana pendirian Nik Aziz dan PAS apabila Presiden dan Majlis Syura juga terpaksa tunduk kepada pendirian Nik Aziz mengenai Anwar.

Hanya penyokong PAS dibawah mungkin akan terus menunjukkan keresahan mereka tetapi yang di atas terpaksalah pejam mata dan pekak telinga.

Yang penting dan tidak ada lebih penting ialah PAS mahukan kuasa dan bersama-sama rakan sekutunya, DAP dan PKR ke Putrajaya.

Soal nasib orang Palestin tidak penting, ia mungkin boleh dilakukan penyelesaiannya selepas mendapat kuasa.

Ternyata, definisi dan perjuangan politik bagi PAS ketika ini ialah KUASA SEMATA-MATA dan bukan lagi Islam serta perjuangan menegakkan negara Islam.

SANDIWARA PERTEMUAN ANWAR, NIK AZIZ...PAS TAKUT BUAT KENYATAAN?

 Pening...pening...Anwar pertahan pendirian dan tidak mahu saman WSJ. Benarkah Nik Aziz terima?

Ada kira-kira apa pula ni sampai bertangguh-tangguh nak keluarkan kenyataan medi?

 PAS mulai bimbang kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas dengan kenyataannya?

Usaha pemberita untuk mendapatkan kenyataan Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak berhasil kerana beliau enggan mengeluarkan sebarang kenyataan setakat ini.

Wakilnya memberitahu, satu kenyataan media mengenai pertemuan itu akan dikeluarkan lewat hari ini.

Nampak gayanya PAS benar-benar tersepit. Anwar bertegas dan tidak akan saman akhbar luar negara itu.

Satu Malaysia nak dengar komen Nik Aziz mengenai pertemuan ini apabila pertemuan semalam tidak jadi.

Pertemuan pagi ini berhubung kenyataan kontroversi tentang Israel Ketua Umum PKR dan Nik Aziz berlangsung selama 40 minit (kata Malaysiakini). Bernama kata satu jam.

Tak apalah, mana-manalah. Anwar berkata kenyataannya yang dibuatnya sebelum ini selari dengan Hamas dan FATAH.

 Anwar kata beliau rasa lega dapat menerangkan kepada Nik Aziz.

Anwar kata bahawa Mursyidul Am PAS itu menerima dan memahami penjelasan beliau mengenai Israel sebagaimana yang disiarkan dalam akhbar The Wall Street Journal (WSJ), bulan lalu.

"Tok guru terima dan faham pendirian saya. Saya pun faham pertimbangan PAS yang cukup tegas dalam soal Israel. "Saya jelaskan jangan ada salah tafsir tentang pengiktirafan Israel. Ia tidak berbangkit selagi syarat-syarat tidak dipenuhi," katanya ketika ditemui pemberita di lobi sebuah hotel di ibu negara, sebentar tadi. Ia turut ditemani Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Ibrahim.

Anwar berkata, beliau menjelaskan secara terperinci mengenai perkara itu untuk meleraikan keraguan mengenai hal tersebut. "Akhirnya saya beritahu saya juga tunduk kepada Hamas dan Fatah sepertimana yang dirunding di Doha, dua minggu lalu atas inisiatif Hanif Qatar," katanya.

 Anwar berkata, "media Umno tidak mengeluarkan petikan penuh wawancara beliau bersama WSJ. Masalahnya sekarang media Umno hanya guna satu bahagian yang menyebut bahawa adakesediaan mengiktiraf dan mengawal keselamatan tetapi tidak ditekankan perkataan 'contingent' iaitu tertakluk kepada syarat,"

Ketua pembangkang itu turut memberitahu Nik Aziz mengenai reaksi pertemuan beliau dengan Ketua Hamas, Khalid Mashal. "Bila dia lihat penekaan pra syarat itu iaitu 'contingent' Israel menerima sekian...sekian...sekian syarat. Apa dia syarat? Syarat yang diletakkan termasuk pengunduran tentera Israel dari wilayah Palestin dan Arab," katanya.

Anwar berkata, antara syarat lain ialah menghentikan keganasan, menghentikan kepungan terhadap Gaza dan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin.

Sehubungan itu, beliau tidak akan menyaman WSJ kerana akhbar tersebut menyiarkan kenyataan penuhnya dalam laporan wawancara berkenaan.

"Kenapa saya nak saman WSJ? Mereka letak perkataan 'contingent' yang tidak disebut. Mereka hanya melapor fitnah," katanya.

Sejurus selepas pertemuan itu, Anwar menuju ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

Yakin ke Nik Aziz dengan Anwar. Percayakah dia?

Kita tunggu sandiwara sterusnya...

Monday, February 20, 2012

GANGGU PEMBANGKANG - JANGAN SAMPAI ADA YANG DIBUNUH ATAU TERBUNUH...


Polis bertindaklah segera!

Kita amat yakin polis kita mampu mengenalpasti suspek yang cuba menganggu ceramah dan merosakkan kenderaan pembangkang.

Kalau terkena kepada pamerintah mungkin akan ada tuduhan ini sandiwara atau sengaja dibuat-buat!

Lebih jauh, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein kini dicabar dengan kata-kata: "Adakah polis membenarkan kejadian seperti itu semata-mata untuk melindungi masa depan politik Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein di kawasannya Sembrong? Jika tidak, mengapa tidak mereka menghentikannya, atau mengapa tiada tangkapan dibuat? (Soalan ialah apakah tangkapan oleh polis macam tangkap ayam direban?)

Kita tidak mahu kerana hal-hal seperti ini akan menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) disalahkan. Yang bersalah dakwa sahaja. Jangan kita dia dari mana, UMNO atau komponen BN.

Apa yang cuba digambarkan pembangkang sekarang ialah kerja merosakkan kenderaan serta mengugut itu dilakukan oleh penyokong kerajaan. Banteras mereka itu dan jangan jadikan ‘politik samseng’ bermaharajalela di negara ini. Malaysiakini menyiarkan beberapa insiden berikut yang jika tidak disiasat dan didakwa ‘penjahat-penjahat’ ini nama kerajaan dan polis akan tercemar.
 
Ini adalah apa yang dilaporkan Malaysiakini dan penyampai sumber ialah Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution:

 1. Kereta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan kemek dan rosak akibat terkena balingan batu dan didakwa ditendang sekumpulan lelaki yang dipercayai sebagai penyokong Umno semasa ceramahnya di kawasan Parlimen Sembrong, Johor malam semalam;

2. Ceramah Anwar pada jam 11.30 malam itu juga diganggu. Mereka juga didakwa membaling mercun di atas kepala anggota polis;

3. Penyokong Pakatan juga dilempar dengan mercun, telur dan botol. Selain itu, mereka juga dilontarkan dengan kata-kata kesat.

Kesimpulan Saifuddin - "samseng yang dibayar" itu berusia kira-kira 15-18 tahun dan mereka kemudiannya dikenal pasti oleh penduduk tempatan sebagai "orang Umno".

Selain itu, menurut laporan Malaysiakini itu, ceramah-ceramah pembangkang dan juga pro-Pakatan seringkali diganggu dan ia dipercayai sebahagian daripada taktik menakut-nakutkan masyarakat terutama dalam usaha menguasai sokongan orang Melayu.

 a. Pada 21 Januari lalu, perhimpunan NGO Asalkan Bukan Umno (ABU) di Jalan Kebun, Klang terpaksa dibatalkan apabila sekumpulan belia bermotosikal menyerbu majlis itu sehingga menyebabkan seorang peserta cedera.

b. Pada 11 Februari lalu pula, seramai 15 aktivis pelajar terpaksa diiringi polis bagi meninggalkan Kampung Idaman, juga di Klang apabila sekali lagi kumpulan remaja bermotosikal menggangu majlis mereka yang mahu menuntut kebebasan akademik. (Selain dewan tempat ceramah diselerakkan dan kerusi dipecahkan, kumpulan samseng itu juga membaling batu dan merosakkan sebuah kereta.)

 c. Ceramah Anwar di Felda Tun Ghafar di Alor Gajah, Melaka, pada petang 13 Februari lalu pula dicemari oleh kekecohan di antara penyokong PKR dan BN. (penyokong BN dikatakan tiba-tiba muncul dengan kira-kira 20 hingga 30 motosikal serta puluhan lagi kereta bagi mengganggu ceramah tersebut). Sejurus sebelum ceramah bermula, sekumpulan penyokong Umno didakwa telah menampar seorang lelaki ahli PKR yang cuba meletakkan bendera parti sebagai persiapan ceramah.

 d. Jumaat lalu, Anwar terpaksa membonceng motosikal berikutan banyak sekatan polis bagi menghalang rakyat mengikuti ceramahnya di Parlimen Pekan yang diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Kita menunggu pengumuman polis pada kadar segera mengenai gangguan-gangguan ini kerana setakat ini hanya kekecohan serta harta benda yang rosak.

Bagaimana jika ada perbalahan besar atau ada ahli politik yang terbunuh?

Jangan ambil perkara ini remeh kerana kematian bukan sahaja kemungkinan berlaku kerana dibunuh oleh pihak lawan.

Bagaimana kalau pembunuhan dilakukan dengan sengaja iaitu mengorbankan seseorang untuk menjamin kemenangan ramai? Atau juga kematian boleh diakibatkan oleh kesilapan ahli politik berkenaan yang menjanjikan berbagai tetapi akhirnya gagal ditunaikan dan ‘penaja’ naik geram dan membunuhnya?

Memang ini belum berlaku di Malaysia tetapi siapa boleh kata ia tidak akan berlaku?

Politik bukan sekadar pilihan raya tetapi politik juga membabitkan perkara-perkara yang seribu kemungkinan dan di luar jangka.

Dengan kata lain politik juga adalah sesuatu tindakan atau keputusan yang dibuat di luar kotak pemikiran rakyat kebanyakan tetapi mampu dilakukan oleh segelintir pemimpin yang tamakkan kuasa.

Jangan sampai keadaan sudah tersepit dengan UMNO dan kerajaan disalahkan, baru polis mahu bertindak!

Cegahlah sebelum keadaan menjadi lebih buruk!