Monday, March 8, 2010

ANWAR, TOLONG JANGAN GANGGU DR M

Sudah-sudahlah Anwar.

Janganlah nak kacau dan cari gaduh lagi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Apa yang Dr Mahathir tidak buat untuk menaikkannya. Daripada menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO hinggalah Timbalan Perdana Menteri.

Ramai kawan-kawan Dr Mahathir, termasuk Tun Musa Hitam, Tan Sri Sanusi Junid, pernah berkecil hati dengan beliau kerana melebihi Anwar dalam banyak perkara.

Malah, suatu ketika Dr Mahathir boleh memarahi ‘orang yang beliau sayangi’ kerana Anwar, khsususnya ketika surat Umi Hafilda mula berlegar di kalangan pemimpin UMNO.

Saya juga antara orang pertama yang menerima salinan surat berkenaan! Saya pernah menulis dalam satu kolum di akhbar Harian Watan mengenai perkara ini yang menyebabkan Datuk Mohd Najib Razak (kini Datuk Seri) yang ketika itu Menteri Pelajaran berang dengan saya.

Akibat kolum itu saya dipanggil Najib di pejabatnya di Kompleks Kerajaan Damansara dan kami ‘bertengkar’ hingga Najib mengugut untuk menyaman saya.

Itupun kerana Najib dan saya mahu pertahankan Anwar! Segalanya kembali pulih selepas Najib memahami tujuan saya.

Kepada Anwar, pandang dan renungkanlah nasib diri. Jangan kerana tidak lagi memakai baju putih (kadangkala sedikit lusuh) dan mengajar di Yayasan Anda, Anwar menjadi bongkak.

Sewajarnya selepas naik begitu cepat dan menikmati kekayaan yang rasanya tidak pernah beliau impikan pada 1970an dan 1980an, tiba-tiba Anwar menjadi ‘riak’ pada awal 1990an.

Bukan Dr Mahathir sahaja yang susah, kami di Berita Harian pada 1980-an dan 1990-an pun susah kerana Anwar.

Dan saya akui, banyak juga kerja untuk Anwar terpaksa saya lakukan ketika di Berita Harian.

Ingatlah tentang isu Carcosa dan ucapan beliau pada satu kursus Pemuda UMNO di Port Dickson. Isunya bukan apa sangat tetapi menjadi tajuk utama di Berita Minggu (saya masih simpan keratan itu).

Anwar menjadi tumpuan kerana ‘menyerang’ Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri pertama yang ketika itu masih hidup).

Malah, banyak petang juga saya menjawab panggilan Anwar bertanya berita apa mengenai beliau yang akan dimuatkan di Berita Harian keesokan harinya.

Beliau mungkin sudah membuat panggilan kepada orang lain yang menyokongnya di Berita Harian tetapi saya antara yang menjadi ‘rujukannya’ dalam beberapa hal.

Malah, ketika menjadi Menteri Pertanian, apabila timbul isu RM2 juta yang disumbangkan oleh Genting kepada Pemuda UMNO, Anwar sanggup menaiki kereta saya - Fiat 132 dengan no daftar WW1385 – dari pejabatnya ketika itu di Wisma Pertanian hingga ke rumahnya di Petaling Jaya – bagi menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.

Esoknya, Allahyarham Megat Junid Megat Ayob (Datuk Seri) membuat penafian di Berita Harian, hasil daripada perbincangan saya dengan Anwar.


Macam-macam lagilah ‘bantuan’ saya kepada beliau ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO. Namun selepas beliau menjadi Menteri Pelajaran, hubungan kami mula renggang.

Namun, saya memerhatikan, Dr Mahathir semakin erat dengan beliau dan tidak adil untuk beliau memburuk dan menuduh Dr Mahathir berbagai.

Oleh kerana Dr Mahathir mempunyai prerogative untuk melantik beliau – bermula dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri hinggalah Timbalan Perdana Menteri (termasuk Menteri Kewangan), maka sedarlah pemecatan terhadapnya juga boleh dibuat oleh Perdana Menteri.

Tidak jauh bezanya antara digugur dengan dipecat. Tetapi dalam konteks Anwar, beliau dipecat kerana kes-kes yang diakibatkan oleh beliau sendiri.

Saya tidak hairan kalau jika mahkamah Persekutuan membuat keputusan hari ini bahawa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada 2 September 1998 adalah sah. Malah, ia dicapai sebulat suara oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff berkata Yang di-Pertuan Agong, sebagai monarki raja berpelembagaan akan bertindak atas nasihat perdana menteri dan kabinet bagi membatalkan pelantikan berkenaan.

Menurut Alauddin, hakim tidak sangsi bahawa perdana menteri telah menasihatkan yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan pelantikan Anwar.

Jelas keputusan yang dibuat oleh Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri bukan bersaorangan kerana Kabinet dan Yang di-Pertuan Agong telah dirujuk.

Jika selama ini Anwar meminta orang ramai menghormati mahkamah dan menggunakan mahkamah untuk menegakkan keadilan, apabila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan, Anwar juga perlu hormatinya.

HALUAN MANA PILIHAN ZULKIFLI?

Ada pemimpin UMNO pelawa Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru Zulkifli Nordin supaya menjadikan UMNO sebagai platformnya bergerak untuk berkhidmat kepada rakyat.

Pemimpin PAS pula pelawa lebih jauh. Dia mahu Zulkifli sertai PAS selepas dipecat Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Tetapi kesian kepada Tuan Ibrahim Tuan Mat. Tidak sampai 24 jam, cadangannya dipatahkan serta merta oleh seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar petang semalam.

Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS mempelawa Zulkifli menyertai PAS seperti yang dilaporkan akhbar elektronik mStar semalam.

Tuan Ibrahim berkata PAS sedia membuka pintu kepada Zulkifli Noordin jika bekas anggota PKR itu ikhlas mendokong prinsip dan perjuangan parti mereka.

Katanya, parti itu sedia mempertimbangkan penyertaan Zulkifli ke dalam PAS.
"PAS sentiasa mengamalkan dasar terbuka kepada sesiapa sahaja untuk menyertai kami termasuk YB (Yang Berhormat) Zulkifli. Kalau beliau mengemukakan permohonan, pihak jawatankuasa parti akan mempertimbangkannya," katanya.

Zulkifli dalam sidang medianya semalam selepas dipecat daripada PKR menegaskan tidak akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut atau mengosongkan kerusinya sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata akan mengkaji dan menimbang pilihan yang ada sebelum mengambil tindakan sewajarnya selain tidak menolak kemungkinan menyertai PAS sekiranya parti itu memperjuangkan Islam pada masa depan.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang bermesyuarat semalam sebulat suara memecat Zulkifli selepas lembaga disiplin parti itu mengambil kira tindakannya membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkenaan isu kalimah Allah dan kritikan beliau terhadap kepimpinan DAP.

Dalam pada itu, Ketua UMNO bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir mempelawa Zulkifli supaya menjadikan UMNO sebagai platform untuknya terus berkhidmat kepada rakyat.

"Memandangkan YB Zul (Zulkifli) sudah tidak percayakan lagi hala tuju dan prinsip PKR, beliau boleh menjadikan UMNO sebagai platformnya bergerak untuk berkhidmat kepada rakyat seperti yang ditelah dijalankan UMNO selama ini", kata Abdul Aziz yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Zulkifli semalam berkata beliau mahu menjadi Anggota Parlimen bebas untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Bagi Tuan Ibrahim, walaupun PAS mengamalkan dasar terbuka bagi sesiapa sahaja untuk menyertai parti itu, namun berharap penyertaan Zulkifli mampu mengukuhkan PAS dan tidak membebankan parti.

"Kami harap penyertaan ke dalam PAS akan dapat membantu menguatkan lagi parti ini dan bukannya menjadi beban kepada parti," katanya.

Selain itu Tuan Ibrahim berkata, PAS menghargai kesetiaan yang ditunjukkan Zulkifli untuk bersama Pakatan Rakyat. Kata Tuan Ibrahim: "Kami menghargaai kesetiaannya untuk terus berjuang bersama Pakatan Rakyat, walaupun dipecat daripada PKR beliau tetap mahu berjuang bersama kita... prinsip itu perlu dihargai."

Kelembutan dan keterbukaan Tuan Ibrahim rupa-rupanya tidak ada pada Mahfuz dan bagaikan terlalu marah beliau menepis cadangan rakan Naib Presidennya dengan mengatakan: “Mungkin dia (Tuan Ibrahim) berniat dakwah, tapi saya anggap kenyataan itu masih bersifat peribadi yang tidak perlu dipolemikkan.”

Mahfuz menegaskan, keterbukaan wajar diteliti terlebih dahulu oleh kepemimpinan tertinggi PAS. Selain itu, menurut Mahfuz, PAS seharusnya mengormati etika kepartian yang dipegang secara bersama-sama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Sekiranya Zulkifli dibawa menyertai PAS, Mahfuz menjangkakan bahawa PAS sendiri bakal dilihat serong oleh para pemimpin Pakatan Rakyat serta rakyat sendiri.

Tambahnya lagi, Zulkifli yang dilihat acapkali bersikap provokasi, tidak beretika menurut prinsip organisasi serta tidak dilihat bersikap toleransi dengan penganut agama-agama lain sebelum ini, membolehkan PAS sendiri dilihat serong kelak.

“Dia dilihat cukup provokatif dalam isu kalimah ‘Allah’ umpamanya, kadang-kadang dilihat begitu 'mengganggu' muafakat Pakatan Rakyat (atas nama) Melayu, sedangkan Islam tidak mengajar sedemikian (dan) PAS pula adalah parti yang toleransi lagi (bersikap) sederhana dengan semua kaum dan penganut agama sebagaimana yang ditunjukkan (oleh) Nabi Muhammad s.a.w.”

Sebab itu, Mahfuz berkata, PAS seharusnya membuat pertimbangan yang sewajarnya mengikut kaedah yang disarankan menurut disiplin ilmu Islam.
Dengan tegas Mahfuz mengatakan: "Kita tak boleh ambil ahli-ahli yang ditolak oleh parti kawan-kawan kita, apatah lagi kalau seseorang itu ditolak disebabkan mengganggu muafakat Pakatan Rakyat, kerana ini etika yang dipegang bersama," jelasnya.

Sekiranya PAS menerima Zulkifli, Mahfuz berkata, PAS boleh dilihat tidak menghormati ketetapan berupa disiplin yang ditetapkan oleh PKR sendiri. Ini kerana, dengan penyertaan Zulkifli ke dalam PAS, boleh mengakibatkan isu disiplin yang dialami oleh PKR mungkin berpindah pada PAS pula.

"Selepas PKR, mungkin PAS pula berdepan dengan ahli-ahli yang tidak disiplin, yang akhirnya tidak juga menyelesai masalah pokok (disiplin) dalam Pakatan Rakyat sendiri. Orang yang tidak ada disiplin dalam parti kawan kita, tiba-tiba kita (PAS) pula atas nama 'terbuka' nak ambil orang itu masuk ke dalam parti kita,” jelasnya.
Walau apa juga hujah Mahfuz, sewajarnya beliau tidak cepat mematahkan cadanganb rakan Naib Presidennya.

Sewajarnya kita tunggu apa kata pemimpin atasan PAS mengenai isu Zulkifli ini.

Lagipun, bukan masalah sangat kalau beliau masuk PAS kerana ia ibarat ‘ikan pulang ke lubuk’. Hati Zulkifli tidak jauh daripada PAS berbanding UMNO.

Dan jika PAS juga tolak Zulkifli, apakah pilihan yang beliau ada?

Mahu kekal Bebas sampai bila?

HARUSSANI BOHONG, RELA DIPERKUDA & AGEN UMNO?

Mufti Perak kelmarin dan semalam menjadi belasahan beberapa pihak melalui Harakahdaily tetapi paling menarik oleh Menteri Besar Kelantan apabila beliau dituduh sebagai agen UMNO.

Tan Sri Harussani Zakaria juga dianggap ‘mufta’ iaitu yang diberikan fatwa bukan yang membuat fatwa.

Semalam Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersuara terhadap apa yang dinyatakan oleh Mufti Perak itu pada satu forum baru-baru ini.

Seorang penulis pula menyifatkan Harussani berbohong dan memang agen UMNO. Penulis bernama Herman Samsudeen berkata, membaca pengakuan Harussani dalam Malaysian Insider berhubung usahanya memujuk PAS untuk bekerjasama dengan Umno bagi mewujudkan Kerajaan Campuran di Perak, pasti ramai yang sudah menduga, tapi tidak kurang juga yang kesal dan menganggapnya sebagai tindakan yang sia-sia.

Malah ramai yang kesal kerana beliau sebagai seorang Mufti rela diperkudakan untuk menjadi ejen Umno bagi memujuk PAS.

Paling menyedihkan kerana Umno, beliau sanggup mengkhianati jubah Muftinya dan berbohong kepada rakyat dalam program dialog Zaaba di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ahli Majlis Syura Ulama PAS, yang juga Pesuruhjaya PAS Perak ketika itu Ustaz Ahmad Awang kelmarin menjelaskan: “Apa yang beliau (Harussani) cakap dalam dialog itu adalah tambahan kemudian. (Perkara) Itu tidak betul (bohong),”

Ustaz Ahmad turut menjelaskan bahawa dalam perbualan tersebut, mufti Perak itu tidak memberitahunya yang cadangan itu mendapat perkenan baginda. Malah perbualan tentang ayat al-Quran dan hadis itu pun tidak ada. Ia direka-reka kemudiannya.

Kata Herman: “Memang jelaslah Harussani begitu taksub pada Umno, dan layaknya beliau berhenti jadi Mufti dan bertanding sebagai calon Umno kalau mahu tubuh Kerajaan dan jadi menteri Besar. Harussani sudah lupa bahawa sekarang dia masih lagi Mufti Perak. Dan amat tidak wajar beliau bercakap tentang isu ini sekarang kerana Umno sudah kembali merompak kuasa di Perak dan tubuh Kerajaan haram. Jadi apa jadahnya beliau bangkitkan hal ini dalam Forum di UKM?”

Herman turut menuduh Harrussani, sejak mendapat gelaran Tan Sri ni, makin galak beliau berjuang untuk Umno.Katanya, yang pasti beliau (Harussani) sudah bekerjasama dengan kezaliman yang tidak diredhai rakyat dan Islam.

Harussani sebelum ini mengakui beliau berjumpa dengan Mursyidul Am PAS di Kelantan bagi membincangkan pembentukan kerajaan Melayu yang disertai Umno dan PAS.
Menurutnya, pada perbincangan terbabit, Nik Aziz tidak bersetuju biar pun menyifatkan idea itu bagus.

Ekoran itu Harussani dianggap oleh Nik Aziz menjadi agen UMNO apabila cuba mempengaruhi pemimpin PAS bagi membolehkan sebuah pakatan parti-parti Melayu diwujudkan di negara ini.menganggap membiarkan dirinya menjadi agen Umno.

Kata Nik Aziz: dalam kenyataan: “Hilang luruh kemuliaan seorang mufti kalau merelakan dirinya menjadi agen. Apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular. Saya kira jika seorang mufti yang menjadi agen parti politik sekular, itu bukanlah lagi mufti yang memberikan fatwa tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa).”

Mufti Perak itu dikatakan diutus Umno untuk menemui pemimpin PAS termasuk Nik Aziz bagi membolehkan PAS bergabung dengan Umno untuk membentuk kerajaan yang dikuasai 100 peratus orang Melayu.

Kejadian itu berlaku pada pilihan raya umum 8 Mac 2008 apabila Umno gagal membentuk kerajaan di Perak setelah kehilangan majoriti.

Pertemuannya dengan Menteri Besar Kelantan didedah sendiri Harussani pada ucapannya di program Dialog Za’ba Perpaduan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia minggu lepas.

Sehubungan itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS melahirkan rasa hairan mufti boleh bersekongkol dengan Umno apabila cuba merampas dari tangan rakyat kerajaan yang dipilih mereka pada 8 Mac 2008.

Nik Aziz menyatakan terkilan apabila namanya disebut secara terbuka pada forum tersebut dengan tanpa kehadirannya bagi menjawab isu yang dibangkitkan.

Mungkin selepas ini kita boleh mendengar pula apa kata Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Saturday, March 6, 2010

SIAPA BENAR –HARUSSANI ATAU AHMAD AWANG?

Bolehkah kita katakan bahawa Ustaz Ahmad Awang sebenarnya the culprit yang menyebabkan gagalnya pembentukan kerajaan pakatan PAS-Barisan Nasional (UMNO) di Perak selepas pilihan raya umum 2008 lalu?

Juga bolehkah kita katakan Ahmad bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia dan bekas Pesuruhjaya PAS Perak itu lebih memilih kerjasama dengan bukan –Islam daripada Melayu-Islam?

Juga boleh kita katakan Ahmad lebih berkuasa daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam memutuskan untuk menolak kerjasama tersebut?

Juga boleh kita katakan Ahmad antara mereka yang terlalu bencikan UMNO dan rela bekerjasama dengan DAP dalam menentukan hala tuju sebuah pemerintahan di negeri yang majoritinya orang Islam?

Entahlah…tetapi hakikatnya kegagagalan kerajaan campuran PAS dan BN di Perak adalah kerana Ahmad menentangnnya, bukan PAS Pusat.

Persoalannya, apabila dia berminat bergabung dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), apakah yang mahu dicapai oleh Ahmad?

Apakah dia mendapat kedudukan setimpal ‘pengorbannya’ daripada tidak bergabung dengan Barisan Nasional (BN) melalui UMNO?

Kenapa dia sanggup menyanggah pandangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Haron Din mahupun Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat?

Juga kenapakah beliau sanggap menolak perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mengenai perkara ini? Tidak menderhakakah namanya ini?

Jawapannya bagi Ahmad - dia tidak akan bersekongkol dengan orang Islam (UMNO) yang zalim dan lebih baik berkawan dengan kafir (DAP).

Menurut Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semalam, melalui perbualan telefon kira-kira 10 minit dengan Ahmad mengenai pembentukan kerajaan campuran selepas pilihan raya umum 2008 lalu: "Saya tanya hadis dan ayat mana yang dipakai kerana setahu saya ada hadis mengatakan tolonglah saudara kamu yang zalim dan dizalimi. Saya kata jika BN ini zalim, saya tawarkan wakil rakyat PAS menjadi Menteri Besar dan yang lain akan jadi Exco bersama BN.”

Baginya, keangkuhan PAS Perak yang ditunjukkan oleh Ahmad menjadikan PAS Perak menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu, walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan juga dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

"Apabila dikemukakan cadangan penubuhan kerajaan campuran antara PAS dan Barisan Nasional (BN), Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad terus berkata, kita tidak akan bersekongkol dengan orang Islam (UMNO) yang zalim, lebih baik berkawan dengan kafir (DAP). "Sultan secara dasarnya berkenan dengan cadangan ini, tetapi dia (Ahmad) masih berkeras menolaknya. Saya kata al-Quran menyebut jika sayang kepada kafir maka kita adalah kafir, beliau (Ahmad) kata dia menggunakan kaedah fikah dalam perkara itu. "Kemudian saya kata mana boleh kaedah fikah digunakan apabila ia bertentangan dengan nas al-Quran, ia tidak boleh dipakai," kata Harussani.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Za'ba, Perpaduan Melayu: Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi semalam yang dipengerusikan Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof. Dr. Idris Zakaria.

Ahmad yang kini Ahli Majlis Syura Ulama PAS, semalam mendakwa Harussani banyak menokok tambah perbualan mereka ketika mufti Perak itu menghubunginya bagi memujuk PAS untuk bersama UMNO menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak selePAS pilihan raya umum 2008.


Ahmad (kiri) mengulas kenyataan Harussani, dalam program dialog Zaaba di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam, yang mendakwa PAS Perak dengan angkuh menolak cadangan tersebut walaupun pada dasarnya mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan dipersetujui kepimpinan parti itu.

"Apa yang beliau cakap dalam dialog itu adalah tambahan kemudian. (Perkara) Itu tidak betul," katanya sambil menambah, dalam perbualan tersebut, mufti Perak itu tidak memberitahunya yang cadangan itu mendapat perkenan baginda.

"Perbualan tentang ayat al-Quran dan hadis itu tidak ada. Ia direka-reka kemudiannya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam.

Sebagai pesuruhjaya PAS negeri ketika itu, Ahmad mengakui - dalam perbualan telefon dengan Harussani - mufti Perak itu telah memujuknya parti itu bersama-sama UMNO membentuk kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, katanya, beliau berkeras tidak mahu bekerjasama dengan UMNO kerana mendakwa UMNO adalah "zalim" termasuk memberi contoh pengalaman PAS bersama dengan UMNO satu ketika dahulu.

Ahmad juga mengakui dalam perbualan dengan Harussani (kanan) - lebih kurang 10 minit itu - beliau membuat ketetapan untuk bersama-sama dengan DAP menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Sebaliknya ketika mengimbas kembali perkara itu, Harussani berkata, cadangan itu bermula selePAS pilihan raya umum apabila DAP dan BN masing-masing mendapat 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermaksud PAS akan menjadi penentu kepada kerajaan yang akan dibentuk.

Katanya, beliau dilantik sebagai orang tengah dan persoalan yang timbul ialah daripada 28 wakil rakyat BN hanya seorang Cina.

"Kenapa PAS tidak boleh bergabung untuk membentuk kerajaan yang sudah PASti akan memperoleh majoriti 100 peratus Melayu memerintah.

"Saya telah berjumpa dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan berbincang hampir dua jam, pada awalnya beliau tidak bersetuju tetapi akhirnya dia kata idea itu bagus tetapi tidak dapat memberi keputusan kerana ia bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Saya maklumkan bahawa tidak berapa rapat dengan Hadi, jadi jika cadangan itu baik saya minta beliau (Nik Aziz) maklumkan kepada Hadi. Semasa dalam perjalanan balik iaitu berada di Cameron Highlands, Hadi telah hubungi saya dan bersetuju dengan cadangan itu.

"Tetapi Hadi kata dia tidak boleh buat keputusan kerana ia bergantung pada negeri iaitu Pesuruhjaya PAS Negeri (Ahmad). Saya juga telah hubungi Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din dan dia juga bersetuju," katanya.

Jelas Harussani, semasa sampai di Ipoh beliau yang optimis dengan cadangan itu yang turut disokong kepimpinan tertinggi PAS telah menghubungi Ahmad, tetapi malangnya jawapan yang diterima amat mendukacitakan.

Beliau mendakwa, PAS Perak sebenarnya telah diperalatkan oleh DAP bagi memenuhi kepentingan tuntutan politik mereka.

"Contohnya semasa orang Melayu berbaring di atas jalan raya bagi menghalang laluan kereta Sultan Perak pada masa itu, langsung tiada orang DAP turut serta dan apabila saya tanya, mereka (orang Cina) berkata itu kerja Melayu, kami banyak lagi kerja lain nak dibuat," katanya.
Ahmad pula berkata, Harussani berkata kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu berteraskan Melayu dan Islam, sedangkan mufti Perak itu mendakwa pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Kor Ham anti-Islam.

Ahmad sebaliknya mempertahankan Ngeh yang juga pengerusi DAP Perak, sejak tujuh atau lapan tahun lalu, dan mengetahui beliau beragama kristian. "(Tetapi) Ngeh tidak pernah bersikap anti-Islam," tegas Ahmad.

Ahmad turut menafikan bahawa dalam perbualan tersebut, Harussani menyatakan tentang tawaran jawatan menteri besar dan exco kepada PAS dalam kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu. Sebaliknyatawaran tersebut hanya dibuat oleh seorang wakil rakyat yang mewakili ketua badan perhubungan UMNO Perak ketika itu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, beberapa hari selePAS Pakatan Rakyat menang pilihan raya umum tersebut.

Dalam perbualan telefon itu, Ahmad turut membidas mufti Perak yang banyak menyentuh dalam ceramahnnya mengenai gejala murtad di kalangan orang Melayu yang menganut Kristian. "Saya cakap kepadanya bahawa beliau mengenali (perdana menteri ketika itu) Tun Abdullah (Ahmad Badawi), dan pernah menghantar memorandum (mengenai gejala murtad), tapi kerajaan tak buat apa-apa pun. Jadi kita tak boleh harap dengan UMNO. Macam mana nak berpakat?" katanya.

Ekoran bidasannya itu, Ahmad berkata Harussani "mati akal" untuk menjawab hujahnya dan seterusnya menamatkan perbuatan mereka.

Tidak apalah, kita tunggu apa komen Hadi, Nik Aziz, Haron Din atau juga pihak lain mengenai tajuk ini.

Saya yakin akan nada kenyataan-kenyataan menarik dan punca sebenar kenapa PAS Perak enggan bekerjasama dengan BN (UMNO).