Tuesday, December 8, 2009

KES ‘BINI PUAKA’ – REPUTASI NAJIB MUNGKIN TERJEJAS!

Ketiga-tiga pelajar Universiti Malaya yang dituduh mencerca isteri Perdana Menteri dikatakan memberikan kerjasama baik kepada polis dan diringankan ikat jamin terhadap mereka.

Apakah ini bermakna mereka mungkin punyai sebab kukuh untuk melakukan cercaan itu?

Silap haribulan, mereka selepas ini dilihat bukan sebagai ‘yang patut menerima hukuman’ serta melakukan khianat tetapi hero pelajar kerana menentang isteri Perdana Menteri.

Reputasi mereka di kalangan sesetengah rakyat, khususnya pelajar akan naik mendadak kerana mahkamah mungkin memutuskan mereka bukan ‘jahat’ sebaliknya berjuang menegakkan kebenaran menentang isteri Perdana Menteri yang digambarkan oleh sesetengah media, khususnya media elektronik sebagai ‘bini puaka’.

Ketiga-tiga mereka semalam dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketiga-tiga mereka - Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani didakwa bersama dua lagi pelajar Akademi Pengajian Islam (API) yang telah dituduh lebih awal, Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 4 pagi 24 Jun lalu di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Saya yakin akan banyak perkara diperkatakan mengenai ‘bini puaka’ apabila kes tiga pelajar Universiti Malaya (UM) disebut di mahkamah sesyen pada 12 Januari depan.

Perbicaraan akan menggabungkan tiga tertuduh baru itu dengan dua lagi rakan mereka, Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen.

Semalam , bapa-bapa lima pelajar itu kelihatan berjabat tangan, sementara ibu-ibu mereka saling berpelukan antara satu sama lain, sebagai tanda perkenalan.

Lebih meriahkan lagi suasana di mahkamah ialah kehadiran pemimpin pelajar antaranya exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UM, Mohd Aizat Mohd Salleh, presiden Gabungan Pelajar Islam Semenanjung (Gamis) Mohd Idris Mohd Yusoff dan timbalan pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Muhammad Hilman Idham.

Galeri mahkamah semalam penuh sesak dengan anggota keluarga kelima-lima tertuduh dan pelajar yang hadir sewaktu tiga mahasiswa itu didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen-sekyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani – yang bakal dilalui Rosmah – dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani – yang bakal dilalui Rosmah – dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Manakala bagi Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama. Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Selepas mengaku tidak bersalah, ketiga-tiganya dibebaskan dengan ikat jamin RM3,500 seorang dengan seorang penjamin.

Hakikatnya, kalaupun ketiga-tiga pelajar itu gagal mempertahankan diri, reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib tetap terjejas kerana perbicaraan akan mendedah banyak perkara mengenai Rosmah.

Biarpun Rosmah mungkin menang kes ini (apa lagi jika kalah), pembelaan terhadap tiga pelajar yang dituduh akan membuka ‘banyak perkara’ dan akan tetap memberikan imej dan kesan negatif terhadap Najib.

Bagi saya walaupun keadilan cuba ditegakkan, ia tidak akan menguntungkan pihak yang mendakwa dan sedikit sebanyak akan berkait dengan Perdana Menteri.

Jelas, sejauh ini mahkamah nampaknya memberikan kelebihan kepada tertuduh kerana walaupun Timbalan pendakwa raya berhujah di mahkamah semalam bahawa jumlah jaminan yang dituntut peguam bela terlalu rendah berbanding dengan tiga pertuduhan yang dibacakan kepada mereka, namun hakim membenarkan permohonan berkenaan.

Apakah sikap ‘murah hati’ mahkamah itu membayangkan bahawa cercaan mereka itu ada kebenaran atau memang jaminan hanya berasaskan kerana mereka itu di bawah tanggungan?

Pertuduhan kepada ketiga pelajar itu dibacakan di hadapan Hakim SM Komathy Suppiah kerana hakim yang sepatutnya mendengar kes tersebut Rozana Ali Yusof sedang bercuti.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh empat orang peguam yang diketuai oleh Mohamad Arfizi Mohd Ramli, manakala timbalan pendakwa rayanya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar.

Pihak pendakwa memohon kepada mahkamah agar ketiga-tiga agar mereka dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun ia dibantah oleh peguam bela yang memohon budi bicara hakim mengurangkannya kerana anak guamnya sedang menuntut dan masih ditanggung keluarga masing-masing.

Tambahan pula, kata Mohamad Arfizi, ketiga-tiga pelajar itu memberikan kerjasama yang baik kepada polis sewaktu siasatan dijalankan.

Hakim kemudian memanggil pegawai menyiasat Inspektor Mohd Najib Mohd Esam, dan bertanyakan sama ada ketiga-tiga tertuduh benar-benar memberikan kerjasama.

Pegawai polis itu menjawab bahawa tiga pelajar terbabit memberikan kerjasama kepada polis sewaktu mereka ditahan untuk soal siasat.

Ini memberikan tanggapan bahawa ‘ada harapan’ untuk pelajar berkenaan dan mereka menuntut keadilan dan gambaran mula terukir bahawa seolah-olah Rosmah yang ‘bersalah’ dalam kes ini.

Apakah ia akan menguntungkan Rosmah? Tidak sama sekali apa lagi Perdana Menteri sendiri.

Biarpun ketiga-tiga mereka kini diarahkan melaporkan diri di balai polis di Jalan Pantai Baru sebulan sekali, perbicaraan mereka mereka akan tetap ‘menyusahkan Rosmah dan Najib’ selepas ini.

SEKIRANYA AZMIN ALI DISIASAT...

Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari tidak puas hati kerana sehingga kini tiada status laporan berhubung pemilikan saham oleh beberapa individu termasuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang didakwa mencecah lebih RM8 juta.

Katanya, tiada sebarang perkembangan dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuklah sama ada siasatan berkenaan sudah dimulakan atau tidak.

Ramai juga di kalangan kita seronok apabila ada desakan untuk disiasat Azmin.

Katanya, SPRM perlu memaklumkan status perkembangan siasatan kes walaupun diikutkan siasatan tidak perlu libat masa yang panjang kerana dokumen yang disertakan sudah lengkap.

‘‘Dokumen pemilikan saham bertarikh 1992 hingga 1994 itu menunjukkan Azmin selaku pegawai muda kerajaan boleh mempunyai wang untuk membeli saham bernilai jutaan ringgit. Maka, jika di situ ada penyelewengan kita minta siasat.
“Di sini saya tiada niat nak menghukum mana-mana pihak. Seperti rakyat Malaysia yang lain, saya juga ingin tahu kebenaran dan SPRM juga perlu bersikap adil kepada semua dengan bukan sahaja segera menyiasat kes libatkan UMNO tetapi juga PKR,” katanya.

Dalam kita berseronok melihat kes Azmin ini, apakah kita lupa beberapa individu lain yang seusia atau sewaktu dengan Azmin dan pernah bertugas dengan Anwar?

Apakah kita lupa bahawa individu yang sewaktu Azmin kini ada dalam Kabinet Datuk Seri Mohd Najib dan sesetengahnya ada menjadi Ahli Parlimen, ahli perniagaan dan sebagainya?

Tidakkah siasatan terhadap Azmin akan ada tempias juga untuk mereka?

Lupakah kita individu mana yang pernah didedahkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kontrak dan pemilikian sahama pada perhimpunan agung UMNO akhir 1990an dulu?

Jangan hanya melihat kepada objek di tengah matahari terik kerana kadangkala ia berbayang dua atau empat. Silap haribulan, bayang-bayang itu akan turut terpalit dan lebih teruk dariapada objek berkenaan.

Persoalannya, apakah mungkin SPRM lambat bertindak kerana mengambil kira kepentingan individu-individu yang mungkin turut terpalit jika Azmin disiasat?

Ketika membuat laporan polis berhubung kes ini pada 17 November lalu, Anuar turut menyerahkan dokumen berkaitan dakwaan isu pemilikan saham oleh Azmin dan isterinya, Shamshidar Taharin yang dikatakan bernilai jutaan ringgit itu.

Dua hari selepas itu, SPRM dalam kenyataan akhbarnya mengesahkan telah menerima laporan daripada pihak polis berhubung kes tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya
Memanglah pendedahan itu perlu bagi memastikan ketelusan perjalanan kes tersebut selain berlaku adil kepada pengadu. Betullah pendapat Anuar, jika tiada sebarang perkembangan dalam kes tersebut, maka nama baik beliau selaku pengadu turut terjejas apabila sudah ada tuduhan liar dilemparkan ke atasnya.

Juga mungkin benar di pihak keluarga Anwar dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga mahu tahu kebenaran dokumen-dokumen tersebut yang menunjukkan saham-saham ini banyak dinamakan atas nama Azmin dan Shamsidar Taharin.

Tetapi bagaimana dengan mereka yang mungkin turut terpalit?

Tidakkah mereka ini berusaha supaya ‘yang lepas tu lepaslah’, jangan sampai mereka pun turut terseret.

Entahlah....




Sunday, December 6, 2009

KINI GILIRAN DAP PULA...

Orang kuat DAP dan selalu bising di Parlimen, kini menikus. Takut dan bimbang tembelang sendiri akan terdedah.

Ternyara selepas PAS, kini DAP pula akan meletup dengan isu rasuah.

Beberapa blog, khususnya Unspinners dan MyKMU sedang memperkatakan mengenai orang kuat DAP, Lim Kit Siang.

Kit Siang kini dikatakan bagai menikus. Takut rahsia besar terbongkar. Menurut dua blog berkenaan, cerita mengenai Kit Siang ini sedang dibisik sesama ahli-ahli Parlimen di kantin-kantin.

Masing-masing hairan kenapa Kit Siang diam saja sepanjang debat mengenai bujet 2010. Biasanya dialah yang paling kuat berkokok mengentam. Kalau tidak ada cacat sekali pun, dia akan cari kesalahan ejaan dan nahu untuk mengkritik.

Khabar angin sedang tersebar bahawa ada sesuatu skandal besar melibatkan Lim Kit Siang akan terdedah dalam sedikit masa lagi.

Kononnya ada skandal kewangan atau rasuah melibatkan DAP akan terdedah.

Kerana itulah Kit Siang tidak berani mahu “cakap banyak” di Parlimen untuk tarik perhatian. Dia takut akan menyegerakan pendedahan.

MyKMU yang menyiarkan entri bertajuk ‘DAP menunggu ledakan’lebih jelas memperkatakan mengenai Kit Sing dan apa akan terjadi kepada DAP.


Kata MyKMU kelmarin (Jumaat):

“Cerita ini sedang dibisik sesama ahli-ahli Parlimen di kantin-kantin. Masing-masing hairan kenapa Lim Kit Siang diam saja sepanjang debat mengenai bujet 2010. Biasanya dialah yang paling kuat berkokok mengentam.

Kalau tidak ada cacat sekali pun, dia akan cari kesalahan ejaan dan nahu untuk mengkritik.
Khabar angin sedang tersebar bahawa ada sesuatu skandal besar melibatkan Lim Kit Siang akan terdedah dalam sedikit masa lagi.

Kononnya ada skandal kewangan atau rasuah melibatkan DAP akan terdedah dan Lim Kit Siang tidak berani mahu “cakap banyak” di Parlimen untuk tarik perhatian.

Dia takut akan menyegerakan pendedahan.
Itu saja makluamt yang diketahui buat setakat ini. Satu kemungkinan jika ini betul akan berlaku adalah penyiasatan-penyiasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah dapat mengumpul cukup bukti untuk dijadikan kes.

SPRM telah dilaporkan menyiasat tentang salah peruntukan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).
Selain disiasat SPRM berkenaan peruntukan ADUN, Ronniu Liu ada kes mahkamah kerana menyekat pihak berkuasa menyerbu rumah urut.

Dia sendiri sedang disiasat polis di atas penglibatan dalam kegiatan samseng. Ronnie adalah “orang Lim Kit Siang’ dalam DAP.

Autopsi kedua ke atas mayat Teoh Beng Hock telah dijalankan. Dari kenyataan Ean Yong mempersoalkan kehadhiran patholkogis dari Britain yang lebih kebat kepakaran dari Dr Porntip, ia menunjukan pihak DAP sedang gelisah.

Mungkin Dr Porntip tidak dapat melakukan tugas “temberang” dengan mudah. Seorang peguam yang berada di tempat selepas autopsy menyedari iras muka Gobind Singh dan Dr Porntip kelihatan “kelat”.

Kalau ianya melibatkan rasuah dan ianya besar, satu kemungkinan adalah ianya akan melibatkan Lim Guan Eng. Cara pentadbiran Lim Guan Eng di Pulau Pinang telah lama menimbulkan syak bahawa dia terlalu akrab dan lebih kepada ahli-ahli perniagaan.

Ada pernah didengari dari orang-orang lama dalam DAP bahawa selama DAP wujud untuk menggantikan PAP di Malaysia, PAP ada menyalurkan wang keapda DAP melalui Lim Kit Siang. Cuma duitnya sahaja melencongkan ke luar negara. Jumlah ini dalam pulohan juta jika tidak mencecah ratusan juta.

Satu lagi kemungkinan adalah melibatakan cengkaman kuat Lim Kit Siang sekeluarga ke atas parti yang sudah berkali-kali menjadi isu dalaman DAP. Di masa lepas, beberapa pemimpin dna ahli politik telah meningggalkan parti kerana ini.


Jika tidak pun itu, politik aman parti DAP pun menunggu masa untuk satu pertembungan antara “old guard” dan “new guard.”
Dari maklumat yang didengar, pemimpin-pemimpion generasi kedua dari ibu bapa pun tidak bersatu dengan cara kardlien dan tidak berkompromi yang diambil oleh Lim Kit Siang dan pemimpin-pemimpin muda dalam fraskinya seperti Ronnie Liu, Theresa Kok, dan lain-lain.

Mereka dikatakan bersedia untuk lebih berkompromi dengan Melayu kerana menerima realiti kuasa majoriti berada pada orang Melayu. Namun ini tidak dipersetujui oleh golongan tua yang sudah lama berkeras dengan pendirian mereka.


Samada golongan muda yang sedemikian mempunyai cukup kekuatan politik, itu tidak dapat diketahui. Pastinya perkembangan DAP perlu diperhatikan.
Tidak juga menolak kemungkinan bahawa tidak apa-apa akan berlaku.”

Friday, December 4, 2009

BUKAN SOKONG NIK AZIZ TAPI TUNTUT ROYALTI MINYAK?

Dilaporkan kira-kira 5,000 warga Kelantan berhimpun di Dataran Ilmu dekat ibu pejabat PAS negeri di Kota Baru pagi tadi.

Ia bertujuan mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Perhimpunan tersebut dikatakan bermula kira-kira pukul 10.30 pagi sebaik sahaja tamat kuliah mingguan oleh Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan.

Kepemimpinan Nik Abdul Aziz akhir-akhir ini menerima pelbagai kritikan susulan beberapa isu, antaranya pelantikan menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman sebagai ketua pengarah eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan tajaan haji daripada seorang kontraktor.

Anak syarikat kerajaan (GLC) itu juga sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa.

Belum reda isu itu, Nik Abdul Aziz menimbulkan pula kontroversi baru apabila mendakwa terdapat usaha menjatuhkannya yang didalangi oleh seorang pegawai tentera yang dikenali sebagai "Kolonel Mat."

Kumpulan yang terdiri daripada anggota pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelantan itu juga menyokong usaha kerajaan negeri dalam membuat tuntutan royalti minyak.

Turut hadir dalam perhimpunan itu adalah barisan kepimpinan negeri termasuk anggota exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa.

Sudah pasti orang yang ke depan mempertahankan Nik Aziz ialah DatukHusam Musa.

Ini difahami sangat kerana ketika ini Nik Aziz bagaikan hilang sokongan kecuali daripada Husam yang mempunyai cita-cita besar dan ‘rashia besar’untuk dilindungi.

Jika untuk memeprtahankan Nik Aziz, tidak perlulah Husam berucap. Orang sudah tahu bahawa beliau kini terpaksa melakukan apa sahaja untuk ‘survival politiknya’’.

Apakah PAS Kelantan tidak mempunyai tokoh lain?

Apakah dengan Husam mempertahankan Nik Aziz, PAS Kelantan akan semakin kuat.
Apabila Husam berucap ia mempunyai banyak makna.

1. Husam mempertahankan dirinya daripada terus diserang dengan berlindung di sebalik usaha mempertahankan kepimpinan Nik Aziz;

2. Dengan Husam berucap ia menonjolkan lagi bahawa Nik Aziz tidak mengharapkan orang lain tetapi pada masa yang sama, Husam adalah musuh kepada anak-anak dan menantunya. Apakah Nik Aziz sengaja membiarkan Husam memusnahkan dirinya sendiri?

3. Dengan Husam mempertahankan Nik Aziz, semakin kuat tanggapan bahawa dengan Nik Aziz terus kekal, PAS Kelantan tidak akan melantik orang lain menjadi Menteri Besar dan Husam akan dapat menutup ‘kemelahan’dan ‘salah laku’yang mungkin dilakukan olehnya yang anak menantu Nik Aziz dan beberapa exco kerajaan negeri tahu mengenainya; dan

4. Dengan berucap mempertahankan Nik Aziz, Husam bagaikan juara dalam segala-gala, termasuk tuntutan royalti yang dilihatnya sebagai ‘lubuk wang’untuk melonjakkan dirinya menjadi Presiden PAS dan proksi Datuk Seri Annuar Ibrahim dalam PAS pada ketika ramai pemimpin PAS lain sudah mula ‘tawar hati’dengan Anwar.

Saya melihat himpunan pagi ini tidak lebih daripada menunjukkan kekuatan bagi tuntutan royalti, bukan sangat mempertahankan Nik Aziz.

Kalau tidak masakan Husam dalam ucapannya semasa perhimpunan itu boleh menegaskan tidak ada salahnya dengan doa Nik Aziz dalam usaha menuntut pembayaran royalti petroleum.
“Tidak membayar royalti itu satu kezaliman jadi dalam Islam kita diharuskan berdoa,” kata Husam.

Dan kalaupun mahu mempertahankan Nik Aziz, Musyridul Am PAS itu sudah cemar imejnya dan sukar untuk dibersihkan lagi.

Bukan orang UMNO dan masyarakat awam sahaa yang mula ‘jijik’dengan tindakan dan sikap Nik Aziz mementing kroni dan amalan mementingkan keluarganya. Orang PAS pun mula mempersoalkan tindak-tanduknya.

Yang sokongnya mungkin hanya Husam dan konco-konconya yang melihat kedudukan tidak stabil Nik Aziz ini lebih mudah untuk mereka ‘menendang keluar’Nik Aziz daripada berkuasa dalam kerajaan dan parti PAS Kelantan.

Anak-anak Nik Aziz menyedari ini dan mungkin kerana inilah menantu Nik Aziz cuba membebaskan pengaruh Husam dengan memecat penyokong kuat Husam di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berkenaan.

Persoalannya juga ialah apakah seorang menantu tidak memaklumkan lebih dahulu kepada mentuanya bagi melakukan sesuatu tindakan di dalam perbadanan yang begitu penting?