Tuesday, November 4, 2008

TAK BAGI DUIT TENTU KALAH?

Tak bagi duit tentu kalah, bagi duit tidak tentu menang. Tapi masih ada harapan. Kalau tak bagi, sah kalah!

Itulah kata-kata yang dihemburkan oleh pelobi calon dan mereka yang berkempen untuk sesetengah calon bertanding dalam pemilihan UMNO kali ini, sama ada peringkat khususnya peringkat Majlis Tertinggi UMNO (MT).

Ini belum lagi untuk Naib Presiden dan Timbalan Presiden.

Persoalan ialah apakah ahli UMNO, khususnya mereka yang akan mengundi pada pemilihan UMNO Mac ini mampu menjamin bahawa kata-kata “Tak bagi duit tentu kalah, bagi duit tidak tentu menang’ tidak benar sama sekali?

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan awal bulan lalu bahawa kira-kira RM200 juta digunakan untuk tujuan kempen dan membeli undi dalam pemilihan Umno kali ini.

Beliau mengakui bahawa wang diperlukan ketika berkempen tetapi ia tidak seharusnya membawa kepada gejala membeli undi ataupun menggunakan kuasa bagi menghalang pertandingan.

Berikutan itu semalam, beliau mencadangkan supaya diamalkan model Amerika Syarikat dalam soal kutipan dana untuk tujuan berkempen disamping boleh diamalkan dalam Umno untuk mengawal politik wang.

Jelas beliau, usaha semasa mengawal gejala politik wang dalam Umno dan menyerahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sahaja tidak mencukupi.

Banyak pihak mengatakan politik wang kini berleluasa ketika kempen semakin rancak untuk memenangkan calon pilihan pelobi-pelobi politik yang kini dikatakan banyak berkeliaran di Kuala Lumpur.

Hari ini, ketika dakwaan politik wang dalam pemilihan Umno menjadi suatu kebimbangan besar, Tengku Razaleigh mendedahkan terdapat bahagian yang meminta sehingga RM2 juta sebagai ganjaran pencalonan.

Beliau yang gagal memperoleh pencalonan mencukupi untuk jawatan Presiden Umno, berkata, kini permintaan dan tawar-menawar ganjaran bagi pencalonan-pencalonan yang diberikan berlaku secara terbuka.

"Satu bahagian dengan jelas meminta RM1 juta manakala di Sabah, harganya mencecah RM2 juta," kata beliau di Kota Bharu semalam.

Bekas Naib Presiden Umno itu menyatakan demikian pada hari beliau gagal memperoleh pencalonan mencukupi untuk kerusi Presiden sebaliknya ia dimenangi tanpa cabaran oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Dua minggu lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan tahap serius gejala politik wang dalam pemilihan Umno berkata, seseorang perwakilan 'berpeluang' memperoleh sehingga RM20,000 sebagai ganjaran undi.

Sambil menekankan amalan rasuah dalam UMNO di semua peringkat sudah menjadi buah mulut orang ramai, Dr. Mahathir berkata: "Kata orang melihat kepada jawatan-jawatan yang dipertandingkan tiap seorang wakil boleh dapat hingga RM20,000."

"Ada yang berpendapat tidak apa menerima sogokan tetapi tidak semestinya mengundi penyogok.

"Jangan percaya iman penerima begitu kuat sehingga tidak merasa terhutang budi. Lagipun duit yang diterima adalah duit haram. Yang menerima akan menanggung dosa," kata beliau yang mengulas isu yang sama buat kali kedua dalam seminggu menerusi blognya.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said turut mengupas masalah ini apabila mengatakan gejala itu jika tidak dibanteras akan mewujudkan sesuatu yang tidak sihat dalam parti.

Bercakap di Slim River, pemimpin politik yang menggunakan ejen atau orang tengah sebagai pelobi dalam kempen bagi menghadapi pemilihan UMNO Mac depan boleh menyebabkan politik wang berleluasa dalam parti itu.

''Pasukan pemantau yang dilantik Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu mengawasi ejen atau pun orang tengah ini bagi memastikan tidak berlaku gejala rasuah," katanya.

Sehubungan itu, Azalina berkata, setiap calon yang dipilih untuk bertanding jawatan dalam parti perlu berdasarkan pada kebolehan mereka untuk bekerja.

Presiden UMNO pada sidang media selepas Mesyuarat MT petang Jumaat lalu meminta ejen pelobi, pengurus kempen dan perayu undi calon-calon pemilihan UMNO balik ke kawasan masing-masing.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO sudah memberi amaran kepada mereka yang berada di hotel sekitar ibu negara dan negeri-negeri supaya pulang ke bahagian masing-masing sebelum dikesan oleh pemantau dan dikenakan tindakan.

Amaran berkenaan merupakan salah satu daripada empat garis panduan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mengawal sebarang penyelewengan sepanjang tempoh berkempen menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada 24 hingga 28 Mac depan.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, terdapat laporan mengatakan ramai ejen, pengurus kempen dan perayu undi berada di hotel-hotel di Kuala Lumpur dan juga di negeri-negeri untuk berkempen.

Dan sudah pasti apabila berkempen akan ada duit yang mengalir dan ini dibimbangi akan menguatkan lagi ‘permainan politik wang’.

Apapun, pelobi dan ahli UMNO tahu calon mana yang bermain duit dan siapa yang tidak.
Seharusnya calon-calon terlebih dahulu diberikan amaran kerana pelobi dan pekerja hanya akan bekerja bila ada ‘massuk’ (masuk).

TOLONG TOK, MASALAH BAHAGIAN BOLEH RANAPKAN UMNO

Ketika sebahagian besar Ketua-Ketua Bahagian UMNO sedang bergembira dan mengucapkan tahniah kerana Datuk Seri Mohd Najib Razak memenangi pemilihan untuk jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding, banyak juga pemimpin bahagian yang sedang ‘bertembung sesama sendiri’ kerana masalah di bahagian-bahagian belum dapat diatasi oleh Ibu Pejabat UMNO.

Ada bahagian yang sudah sanggup untuk membawa kes ke mahkamah setelah Perhubungan UMNO negeri-negeri dan Ibua Pejabat UMNO gagal mengatasi masalah dihadapi mereka.

Ada pemimpin Bahagian UMNO di Sabah yang memberi amaran akan membakar Perlembagaan UMNO jika masalah di bahagiannya berlarutan akibat permainan kotor Perhubungan Negeri.

Mereka dikatakan kecewa dan putus asa apabila Ibu Pejabat UMNO Malaysia dilihat memihak kepada orang tertentu serta tuduhan bahawa ‘ada pemimpin tertentu cuba diselamatkan oleh pihak-pihak tertentu di Ibu Pejabat UMNO Malaysia’.

Sementara mereka mendakwa beberapa arahan Ibu Pajabat UMNO Malaysia pula banyak yang bercanggah dan bersifat ‘sekali boleh’ dan ‘sekali lagi tidak boleh’.

Perkembangan ini sebenarnya merunsingkan kerana jika Ibu Pejabat UMNO gagal mengatasinya segera ia akan membawa kepada perpecahan di peringkat bahagian.

Sewajarnya Ibu Pejabat UMNO memberikan tumpuan kepada penyelesaian kes-kes ini secara sebaik-baiknya kerana masalah di akar umbi juga penting seperti pentingnya pemilihan pemimpin penting UMNO yang berlaku ketika ini.

Janganlah membiarkan ahli UMNO di peringkat cawangan dan bahagian merasa mereka dipinggirkan pada ketika UMNO memerlukan sokongan padu bagi menjamin Najib menerajui kerajaan dengan memenangi pilihan raya akan datang dengan cemerlang.

Dan Najib sendiri, selepas terjamin sudah kemenangan untuk kerusi Presiden, minta tolong intai dan bantu selesaikanlah masalah yang berkecamuk di bawah.

Mereka ini sebenarnya penting buat UMNO kerana merekalah pengundi pilihan raya!

Jika dibiarkan bergolak dan penyelesaian yang kurang bijak, kesannya bukan sekarang.

Akan ada pelbagai perbuatan tidak menyenangkan akan berlaku pada pilihan raya umum akan datang atau pilihan raya kecil yang mungkin diadakan sekiranya berlaku sesuatu perkara seperti perletakan jawatan Ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak berpuas hati.

Sesetengah pihak mungkin menganggapnya kecil tetapi perhatikan bagaimana kesannya apabila ahli UMNO tidak menyokong Bendahari UMNO sendiri dalam pilihan raya umum lalu di kawasan Parlimen Bukit Gantang dan pada pilihan raya 1999, Menteri Pusat ditumbangkan di Parlimen Parit.

Untuk pilihan raya umum akan datang, masalah seperti sabotaj dan sanggup menyokong pembangkang akan menjadi lebih kritikal jika daripada sekarang masalah di bahagian-bahagian tidak diselesaikan.

Ibu Pejabat UMNO Malaysia dan Perhubungan UMNO Negeri jangan melihat masalah ini remeh kerana kelak ia akan menyebabkan perpecahan serius peringkat bahagian.

Perlu diingat, Bahagian bermakna kerusi Parlimen dan kebanyakannya mempunyai tiga kerusi negeri.

Kemenangan menjadi Ketua Bahagian atau jawatan penting parti tidak ada gunanya jika dalam pilihan raya UMNO kecundang.

Apabila UMNO tidak lagi menjadi majoriti Barisan Nasional di Parlimen, Presiden UMNO pun tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Begitulah juga Timbalan, Naib-Naib atau ahli Majlis Tertinggi yang lain, usahlah berharap menjadi Menteri, Menteri Besar atau Timbalan Menteri. Ketua-Ketua Bahagian pula hanya layak jadi pembangkang sahaja seperti di Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan sekarang.

Difahamkan antara bahagian yang bergolak serius kini ialah Larut, Tanah Merah, Pengkalan Chepa, Ampang, Tenom dan beberapa yang lain hingga menyebabkan bahagian-bahagian berkenaan dijangka akan bermesyuarat selepas 9 November ini.

Antara kes menarik ialah Larut apabila pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding merebut jawatan ketua Umno Bahagian Larut ditolak, semalam, selepas didapati melanggar peraturan keahlian yang ditetapkan parti.

Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata bahagian itu dalam mesyuarat khas semalam, sebulat suara menolak pencalonan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dan bekas Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat.

‘‘Alasan kukuh penolakan Hamzah ialah dia baru bertukar keahlian pada 3 April lalu sedangkan mengikut pekeliling, mereka yang menjadi ahli dan membayar yuran sebelum 31 Disember 2007 sahaja layak bermesyuarat.

Ekoran masalah tersebut, mesyuarat UMNO Larut yang sepatutnya diadakan pada 9 November terpaksa ditangguhkan sehingga masalah itu diselesaikan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti.
Mengikut surat pekeliling dikeluarkan ibu pejabat Umno negeri, seseorang hanya layak menghadiri mesyuarat cawangan atau bahagian serta bertanding jika mereka mendaftar sebagai ahli mana-mana cawangan Umno sebelum 31 Disember 2007.

Pada mesyuarat Umno Bahagian Larut kali ini, Raja Ahmad menghadapi saingan Timbalannya, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selama dan Hamzah yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Ipoh Barat pada mesyuarat bahagian itu, 19 Oktober lalu.

Pada mesyuarat cawangan Umno Bahagian Larut yang berlangsung pada 17 Julai hingga 24 Ogos lalu, Raja Ahmad mendapat 28 pencalonan, Daud (33) dan Hamzah (22) untuk melayakkan mereka bertanding merebut jawatan ketua bahagian itu.

Raja Ahmad berkata, pihaknya sebelum ini ada membangkitkan perkara keahlian Hamzah pada mesyuarat badan perhubungan Umno negeri sebanyak dua kali termasuk yang dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini, 21 September lalu.

"Pada mesyuarat itu, Hamzah memaklumkan beliau tidak berhasrat bertanding jawatan ketua bahagian Larut kepada Pak Lah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini, sudah bertolak ansur untuk menerima Hamzah bertanding di Parlimen Larut pada pilihan raya umum lalu.

Dalam kes Bahagian Tanah Merah pula dikatakan calon Ketua Bahagian iaitu bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz yang dikatakan menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian tersebut selepas tiga lagi pencabarnya tidak mendapat pencalonan yang mencukupi, tidak sah.

Pada mesyuarat cawangan yang berakhir 11 Oktober lalu, Ikmal dilaporkan mendapat sebanyak 91 pencalonan manakala tiga lagi pencabarnya iaitu pemangku ketua UMNO bahagian tersebut, Nik Kemaruzaman Sulong memperoleh lapan pencalonan; ahli jawatankuasa bahagian, Rosli Kadir (enam) dan ketua penerangan bahagian, Datuk Supardi Md. Noor (dua).

Cawangan UMNO bahagian Tanah Merah merupakan yang terakhir mengadakan mesyuarat selepas ibu pejabat parti mengarahkan Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengambil alih pengendalian kesemua 115 mesyuarat cawangan bahagian itu.

Hasil pemantauan yang dibuat hanya 108 cawangan sahaja yang layak bermesyuarat.
Beberapa pemimpin UMNO Bahagian termasuk Nik Kemaruzaman mempertikaikan kesahihan Ikmal untuk bertanding kerana masalah pembayaran yuran cawangan yang beliau wakili.

Difahamkan, selepas tidak berpuashati dengan penggendalian isu ini oleh Ibu Pejabat UMNO, pihaknya akan membawa kes ini ke mahkamah dan satu sidang media akan diadakan dalam masa sehari dua ini.

Sekali lagi “Tolong Tok (Datuk Seri Najib), masalah sesetengah bahagian amat berkecamuk”!

Monday, November 3, 2008

TANGAN GHAIB MANAKAH CUBA GANGGU-GUGAT FATMI?

Dalam ucapan perasmian bahagiannya, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh yang kini disahkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu berkata Umno bahagian itu turut terkena tempias penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur fitnah.

Ia dipercayai usaha memecah belahkan perpaduan yang terjalin antara pemimpin Umno di bahagian itu.

Katanya, ada pihak tertentu yang menyebarkan SMS berbaur fitnah kepada ahli di bahagian itu, bertujuan merosakkan hubungan baik antaranya dan pemimpin akar umbi.

Menurut Fatmi, “SMS itu cuba melagakan antara saya dengan Timbalan Ketua Umno bahagian, Datuk Wan Abd Ghani Wan Yusoff dan Naib Ketua Umno bahagian, Datuk Shahril Zahari, ia mula tersebar sejak mereka menang jawatan masing-masing tanpa bertanding.

“Individu yang menyebarkan fitnah ini bertujuan melemahkan Umno, ibarat api dalam sekam atau gunting dalam lipatan, ini adalah musuh dalam diam. Golongan seperti ini perlu dihapuskan daripada Umno,” katanya.

Hairan dan pelik apabila ada ‘tangan ghaib’ yang cuba memporak-perandakan bahagian dan mencalarkan kepimpinan Fatmi yang kini dilihat antara pemimpin penting Kelantan dalam hubungannya dengan Kerajaan Pusat.

Mungkin mereka mahu cepat-cepat mencantas Fatmi apabila menghidu bahawa beliau akan dijadikan antara ‘orang penting’ di Kelantan apabila kepimpinan baru UMNO peringkat pusat selepas Mac 2009.

Yang menarik mengenai keputusan mesyuarat ialah Umno Bahagian Kota Bharu meluluskan usul penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berikutan peralihan kuasa pada Mac depan.

Pada mesyuarat itu, Umno bahagian berkenaan turut mencalonkan Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Presiden untuk bertanding pada Perhimpunan Agung Umno Mac depan manakala Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden.

Bagi Naib Presiden pula, Umno bahagian berkenaan mencalonkan Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Apakah ‘pergolakan bahagian’ itu masih terus beralun walapun ternyata jawatan penting bahagian tidak dipertandingkan?

Apakah ada mereka yang terus tidak berpuas hati berusaha menyusahkan Fatmi apabila perjalanan mesyuarat Umno peringkat cawangan membabitkan 116 cawangan, berlangsung tanpa sebarang gangguan dan pelantikan 35 ketua cawangan baru?

Bukankah Kota Bharu turut menjadi bahagian yang berjaya membuktikan bahawa demokrasi yang diamalkan kekal subur dalam UMNO, termasuk UMNO bahagian ini?

Fatmi yang juga Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri berjaya mengekalkan jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu apabila menang tanpa bertanding pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian itu di semalam.

Menurut Berita Harian, kejayaan Fatmi itu dijangka dapat mengimbangi pengaruh bekas ketua bahagian, Datuk Zaid Ibrahim yang beberapa minggu lalu dikaitkan dengan kemungkinan beralih kepada Pakatan Rakyat (PR).

Fatmi yang menjadi Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak hampir 10 tahun lalu dikatakan akan memainkan peranan penting bagi melonjakkan pengaruh Umno dan memenangi hati rakyat di negeri itu yang kini ditadbir kerajaan Pas.

Mohamad Fatmi menyifatkan ahli Umno bahagian itu kini kembali kepada landasan asalnya dan tidak lagi berpuak-puak.

“Kita akan merapatkan barisan permuafakatan parti bagi mengukuhkan jentera bagi memenangi hati rakyat untuk kembali kepada BN," katanya.

Sementara itu dua muka baru lain yang turut dipilih ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir, Hanafi Mamat (Pasir Mas) manakala Abdullah Mat Yassim (Rantau Panjang).

Abdullah diumumkan menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang setelah penyandangnya, Datuk Mohd. Zain Ismail digantung keahliannya oleh Lembaga Disiplin parti selama tiga tahun.

Bekas ADUN Gual Periuk, Datuk Shaari Mat Husin turut memenangi jawatan timbalan ketua tanpa bertanding manakala Mat Daud Hamat dipilih sebagai naib ketua setelah menewaskan Syed Abdul Aziz Syed Abdullah dengan kelebihan satu undi.

UMNO Bahagian Pasir Mas pula menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Hanafi dan bekas ADUN Tendong, Fauzi Mohamad setelah ketua bahagian sebelum ini, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman tidak mempertahankan jawatan.

Dalam pertandingan itu, Hanafi yang dahulunya adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian memenangi jawatan tersebut dengan mendapat 376 undi manakala bekas ADUN Tendong, Fauzi memperoleh 162 undi.

Sementara bagi jawatan Timbalan dan Naib Ketua UMNO menyaksikan perubahan dengan Che Johan Che Pa dan Abdul Aziz Mohamad masing-masing dipilih bagi jawatan Timbalan dan Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas;

Che Johan yang merupakan bekas naib ketua menewaskan bekas Ketua Pergerakan Pemuda Pasir Mas, Ahmad Rosdi Mahmad dengan majoriti 101 undi manakala Abdul Aziz bersaing dengan tiga lagi calon, Che Kamaruzaman Harun, Datuk Dr. Wan Shuhaimi Daud dan Razali Ismail.

Bagi UMNO Bahagian Gua Musang yang turut mengadakan persidangan perwakilannya semalam, Ahli Parlimennya, Tengku Razaleigh Hamzah terus kekal sebagai ketua tanpa dicabar.

Bagi jawatan timbalan dan naib ketua iaitu bekas ADUN Galas, Mohamad Saufi Deraman dan Shaari Lembut yang cuba mempertahankan jawatan dikalahkan oleh ADUN Nenggiri, Mat Yusoff Ab. Ghani dan ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.

Mat Yusoff menang dengan majoriti 33 undi manakala Nozula pula majoriti sembilan undi.

PERTANDINGAN TIMBALAN & NAIB SEMAKIN MENARIK

Jawatan Presiden UMNO sudah sah jadi milik Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seperti dijangkakan beliau mengesahkan kedudukannya untuk menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO selepas menerima 135 pencalonan sehingga pukul 7 malam semalam.

Apakah ertinya kemenangan tanpa bertanding ini? Ia ramuan penting untuk menutup mulut mereka yang mengatakan UMNO sedang ‘berpecah dan tidak harmoni”.

Najib yang kini timbalan presiden Umno memperolehi pencalonan ke-133 pada jam 4.15 petang semalam daripada bahagian Cameron Highlands.

Jumlah pencalonan itu menutup peluang calon lain untuk melepasi kuota kelayakan 58 pencalonan sekiranya mahu menentang Najib pada pemilihan Mac depan.

Bahagian yang mencalonkan beliau semalam antaranya ialah Batu Kawan, Tawau, Silam, Keningau, Teluk Kemang, Tampin, Puchong, Sekijang, Ayer Hitam, Kulim-Bandar Baharu, Tanjung Malim, Segamat, Bentong, Kapar, Kota Raja, Muar, Indera Mahkota, Klang, Cameron Highlands, Teluk Intan, Balik Pulau, Labuan serta Kota Belud.

Seorang lagi calon yang menawarkan diri untuk jawatan Presiden UMNO, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang setakat ini hanya memperoleh satu pencalonan daripada bahagiannya sendiri, kelmarin.

Selepas jawatan Presiden UMNO sudah disahkan, pertandingan Timbalan dan Presiden dan Naib Presiden menjadi semakin menarik apabila ada calon yang turut layak dan dua calon Timbalan Presiden semakin menghampiri jumlah kelayakan.

Datuk Seri Mohd Ali Rustam mendapat pencalonan ke-32 daripada bahagian Kota Belud, petang semalam dan memerlukan tujuh lagi pencalonan untuk 39 pencalonan iaitu minimum untuk layak bertanding jawatan tersebut.

Tan Sri Muhammad Muhd Taib juga mengikut rapat apabila mendapat 28 pencalonan. Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului dengan 78 pencalonan. Turut mendapat pencalonan ialah Datuk Shahrir Samad satu pencalonan iaitu daripada Bahagian Gua Musang.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad kini sebagai calon ke enam melayakkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

Isa mendapat mendapat 14 pencalonan kelmarin dan menambah tujuh lagi pencalonan semalam dan sudah melebihi kuota 20 pencalonan apabila menerima pencalonan daripada Tampin, Ayer Hitam, Muar, Kapar, Keningau, Teluk Kemang dan Teluk Intan.

Mereka yang sudah layak ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerima 16 lagi pencalonan menjadikan 111, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini 80 pencalonan termasuk 11 semalam.

Datuk Seri Khaled Nordin pula kini 60 pencalonan dengan Datuk Seri Shafie Apdal sebanyak 57, dan Datuk Seri Syed Hamid Albar sebanyak 24.

Dalam konteks pertandingan untuk Naib Presiden ini, satu daripada tiga kerusi Naib Presiden parti perlu diberikan kepada pemimpin UMNO Sabah sebagai menghargai peranan parti itu dalam pilihan raya umum lepas, demikian menurut Shafie yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Katanya, pengorbanan rakyat Sabah dalam memastikan kejayaan UMNO sebagai tunggak Barisan Nasional (BN) perlu diiktiraf dengan meletakkan seorang daripada pemimpin UMNO di negeri itu sebagai pemimpin nombor tiga dalam parti.

“Jawatan ini selaras dengan hasrat kita untuk memperkuatkan jambatan sedia ada antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kempen Budi Bahasa Budaya Kita 2008 di Kuala Lumpur semalam.

Calon lain untuk Naib Presiden ialah Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (17), Datuk Seri Rais Yatim (16), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (10), Datuk Seri Shahidan Kassim (6), Datuk Seri Mohamad Hassan (3), Datuk Seri Musa Aman (2), Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1), Tan Sri Annuar Musa (1), Datuk Mohd Afifuddin Omar (1) dan Datuk Halimah Sadique (1).

Muhyiddin menganggap kejayaan Najib menang tanpa bertanding sebagai memberikan kekuatan kepimpinan baru kepada UMNO dan Umno tidak wajar dilihat berpecah dan tidak harmoni.

Undi keyakinan dan sokongan padu terhadap Najib membuktikan kejayaannya sebagai Timbalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Yang penting ialah setiap daripada kita membantu beliau...dari segi kepimpinan, terutamanya ketika krisis ekonomi global sekarang dan bagaimana untuk menggerakkan semula ekonomi.

Selain itu semua pihak dalam UMNO perlu membantu Najib bagi menjamin ujian dan cabaran terhadap kepimpinannya diatasi dengan jayanya, kata Muhyiddin.