Wednesday, July 6, 2016

TARIKH 11 JULAI - DON'T WORRY, TIADA APA YANG PERLU DIRISAU, DIBIMBANGI...


"Sesetengah pihak membuat tanggapan salah yang 1MDB dan pemegang saham perlu membuat pembayaran obligasi sebanyak AS$6.5 bilion pada 11 Julai 2016, sebaliknya 1MDB sudah bagi jaminan bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, semuanya akan beres. Rakyat boleh tidur lena."

Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dengan kes pertikaian 1MDB-IPIC, di mana International Petroleum Company (IPIC) akan  memfailkan permintaan timbang tara dengan Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London (LCIA) kerana ia bukan sesuatu yang luar biasa.

1MDB sudah memberikan jaminan, tiada apa yang besar akan berlaku. Ini kes biasa sahaja.

No problem, don't worry!

Apabila ada jaminan 1MDB bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, semuanya akan beres. Tahulah bagaimana ia menguruskannya. Rakyat boleh tidur lena!!!

Sesetengah pihak membuat tanggapan salah yang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pemegang saham perlu membuat pembayaran obligasi AS$6.5 bilion pada 11 Julai 2016.

Pada 11 Julai nanti di London,  IPIC  yang berpangkalan di Abu Dhabi akan mengemukakan kes kegagalan 1MDB dan Kementerian Kewangan menjalankan tanggungjawab mereka, melangsaikan tunggakan atau mengemukakan cadangan yang boleh diterima dalam isu  tuntutan berjumlah AS$6.5 bilion menerusi timbang tara.

Mereka membuat  permintaan timbang tara (RFA) kepada Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London menuntut AS$6.5 bilion (RM26 bilion) dan untutan itu akan ditentukan oleh tiga orang penimbangtara menurut Lembaran Terma Terikat dan peraturan-peraturan Mahkamah Pertikaian Antarabangsa London (LCIA).

"RFA prihatin terhadap kegagalan 1MDB dan MOF untuk menjalankan obligasi kontrak di bawah Lembaran Terma Terikat (BTS) seperti yang dinyatakan dalam pengumuman IPIC GMTN Limited pada 10 Jun 015 (RNS Nombor 7064P)," kata IPIC dalam kenyataan kepada Bursa Saham London baru-baru ini.

IPIC menyatakan bahawa kegagalan 1MDB dan MOF dalam menjalankan tanggungjawab mereka, melangsaikan tunggakan atau mengemukakan cadangan yang boleh diterima telah menyebabkan IPIC tiada pilihan alternatif selain meneruskan tuntutan berjumlah AS$6.5 bilion menerusi timbang tara.

"Tuntutan itu akan ditentukan oleh tribunal timbang tara yang akan terdiri daripada tiga orang penimbangtara menurut Lembaran Terma Terikat dan peraturan-peraturan LCIA ," kata IPIC dalam kenyataan itu.

Mungkinkah kerajaan Malaysia  akan diminta membayar AS$6.5 bilion atau sebaliknya akan ditentukan nanti.

Tarikh  11 Julai 2016 itu sebenarnya hanya untuk 1MDB  memfailkan jawapannya kepada permintaan IPIC bagi timbang tara. Tiada apa yang perlu dirisaukan, jika menurut 1MDB.

Tarikh itu ialah  satu permulaan kepada timbang tara, yang merupakan satu proses persetujuan bersama bagi pihak yang mempertikaikan untuk menyelesaikan perkara-perkara secara baik, tanpa menjejaskan hubungan jangka panjang.

1MDB mempunyai tempoh sehingga 11 Julai ini untuk mengemukakan jawapan balas sama ada  bersetuju dengan proses timbang tara itu.

1MDB sudah mengatakan ia akan memfailkan jawapan segera pada atau sebelum tarikh akhir.

Pada 17 Jun lalu 1MDB mengatakan pihaknya melantik firma undang-undang antarabangsa, Weil Gotshal & Manges (Weil Gotshal) bagi mewakilinya dalam permintaan timbang tara oleh IPIC  dan anak syarikatnya, Aabar Investments PJS.

Pelantikan itu sejajar dengan penerimaan RFA itu dari Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London bertarikh 13 Jun 2016.

"Weil Gotshal terkenal di seluruh dunia, firma guaman bertaraf paling tinggi dengan kepakaran, antara lainnya, dalam tindakan undang-undang antarabangsa," kata 1MDB dalam kenyataanya.

Susulan pelantikan tersebut, 1MDB akan menfailkan maklum balas yang kukuh kepada RFA, pada atau sebelum tarikh akhir 11 Julai 2016, seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.

Mengulas lanjut, 1MDB berkata, dengan diwakili oleh firma Weil Gotshal, pihaknya yakin dengan kedudukan perundangannya.

Seorang peguam kanan yang dihubungi Bernama berpendapat timbang tara sebagai kaedah mencari penyelesaian yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak dan merupakan opsyen yang biasanya terdapat dalam kontrak.

"Oleh itu, tindakan tersebut bukan suatu yang luar biasa dan proses ini dikawal oleh peraturan timbang tara," katanya.

"Jika ya, kedua-dua pihak akan melantik penimbang tara yang saling diterima oleh mereka. Pada masa itulah, baru pengurusan kes bermula dengan kedua-dua pihak memfailkan kenyataan tuntutan dan pembelaan masing-masing serta bantahan," kata peguam itu.

Peguam itu menegaskan bahawa walaupun terdapat persamaan dengan proses mahkamah tetapi LCIA sebenarnya bukan mahkamah.

"Tidak ada kaitan antara LCIA dan mana-mana mahkamah," kata LCIA dengan jelas dalam soalan lazim (FAQ) yang disiarkan di laman webnya: http://www.lcia.org/Frequently_Asked_Questions.aspx

(Sila rujuk beberapa perkara terpilih dalam FAQ mengenai LCIA di bawah)


Semalam Presiden 1MDB Arul Kanda menjelaskan, 1MDB sekali lagi membuktikan pengkritiknya salah apabila, pada 29 Jun, 2016, telah membayar RM1.579 juta kupon faedah bagi sukuk RM2.4 bilion Bandar Malaysia yang matang pada 2024.

Pembayaran itu merupakan pembayaran faedah kedua yang dibuat oleh 1MDB sejak pertikaiannya dengan syarikat berpangkalan di Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pembayaran pertama pada Mei apabila 1MDB membuat pembayaran kupon berjadual berjumlah RM143.75 juta bagi Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) RM5 bilion pada 5.75 peratus yang matang pada 2039.

Kedua-dua bayaran itu menunjukkan bahawa syarikat mempunyai kecairan yang mencukupi untuk membuat bayaran faedah dan memenuhi obligasi hutang semasanya walaupun terdapat kritikan.
Pembayaran itu juga menunjukkan komitmen syarikat terhadap obligasi hutang.

"1MDB menegaskan bahawa, walau apa pun pertikaian dengan IPIC, syarikat akan terus memenuhi obligasi hutang semasa," kata

Arul menegaskan bahawa syarikat itu kekal fokus untuk menyelesaikan pertikaian dengan IPIC dan komited kepada proses dialog berterusan dan berusaha ke arah penyelesaian demi kepentingan semua pihak berkepentingan.

Beberapa perkara terpilih dalam FAQ mengenai LCIA.

S: Adakah LCIA satu badan kerajaan, atau badan yang dibiayai kerajaan?
J: LCIA tidak ada kaitan dengan, atau yang berkaitan dengan mana-mana bidang kuasa kerajaan. Ia merupakan badan swasta, bukan bertujuan mencari keuntungan, badan bebas sepenuhnya daripada mana-mana organisasi.

S: Bolehkah saya mendapatkan maklumat tentang timbang tara yang masih atau belum selesai daripada LCIA?
J: Kerahsiaan masih dianggap sebagai keutamaan asas timbang tara. Sesiapa pun yang bukan pihak kepada timbang tara, atau wakil undang-undang suatu pihak, boleh mendapatkan maklumat mengenai timbang tara yang belum selesai atau telah selesai daripada LCIA. Respons kami kepada sebarang permintaan ialah kami tidak boleh mengulas, tidak kira sama ada kami mengetahui mengenai perkara yang ditanya.

S: Adakah LCIA menyiarkan jumlah ganjaran?
J: Atas sebab kerahsiaan, berdasarkan Artikel 30 Peraturan LCIA, LCIA tidak tidak menyiarkan ganjaran.

S: Berapa lama tempoh purata timbang tara LCIA?

J: Tidak ada tempoh 'purata' dalam timbang tara. Jumlah wang yang menjadi persoalan, serta kerumitan teknikal dan undang-undang, mungkin berbeza antara satu kes dengan yang lain, begitu juga jumlah bukti, lisan dan bertulis, yang mungkin diperlukan untuk memutuskan pertikaian itu. Bagaimanapun, pada masa ini, kira-kira separuh daripada keseluruhan kes yang dirujuk kepada LCIA bermula dari permintaan bagi timbang tara hingga kepada ganjaran akhir biasanya dimuktamadkan dalam tempoh 12 bulan atau kurang, dan lebih daripada tiga suku tahun dalam 18 bulan atau kurang.

Tuesday, July 5, 2016

SKANDAL APA PULA DICIPTA UNTUK GUGAT & SEKAT SHAFIE


Jangan pilih saya sebab parti, sebab agama, sebab bangsa atau warna kulit tapi undi saya kerana perkhidmatan saya. Perjuangan kita akan diteruskan di bumi Sabah ini. Perjuangan kita akan diteruskan di Sabah dan di Semenanjung untuk membela bangsa dan negara."

Ramai yang nampaknya memperlekehkan tindakan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal mengumumkan keluar UMNO.

Biasalah, bagi yang lebih junior daripada beliau dan sedang bercita-cita untuk lebih ke puncak, akan melihat ini suatu peluang. Harapan untuk meningkat naik apabila Shafie tiada dalam UMNO.

Namun bak kata Shafie semalam, rakyat Sabah perlu bersatu bagi menentukan siapa yang berkuasa dan melakukan perubahan untuk negeri itu.

“Kalau di Kedah, Pas boleh tumbangkan BN, kalau di Selangor BN pun boleh tumbang mustahil BN Sabah tidak boleh buat perubahan,” katanya.

Kenyataan sebegini memang tidak lunak untuk didengar oleh pemimpin UMNO pusat dan UMNO Sabah. Ia suatu cabaran dan memerlukan tindakan bijak untuk menjadikan kenyataan Shafie itu sebagai sesuatu yang bukan akan menjadi kenyataan.

Suatu yang istimewa mengenai Shafie ialah beliau melonjak dalam UMNO bukan sengan memijak orang lain demi jawatan paing tinggi dalam UMNO daripada kalangan ‘Sabahan’.

Cara Shafie naik dalam UMNO juga bukan melalui menggugat kedudukan orang lain.

Sebaliknya beliau membuat tawaran untuk berkhidmat untuk UMNO dan memperteguhkan kepimpinan  UMNO, khususnya Presiden UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ini dua bahan yang saya tulis lapan (8) tahun yang lalu, kedua-duanya melalui blog (http://hambali1.blogspot.my/) ini:

1.      23 October 2008 – tajuk : “SHAFIE AFDAL DARIPADA SUDUT KEUTUHAN UMNO/BN”

“Yang nyata, sehingga kini UMNO Sabah dilihat sebagai penyelamat BN untuk terus berkuasa dan fungsi itu akan lebih terserlah jika ada pemimpin Sabah, khususnya Shafie (Shafie Afdal) menjadi Naib Presiden. Sabah tidak meminta lebih dengan meletakkan calon untuk menjadi Timbalan Presiden atau lebih tinggi tetapi hanya sekadar peringkat Naib Presiden. Kebetulan dua lagi Naib Presiden kemungkinan besar adalah dari Semenanjung.

Adalah adil dan wajar jika satu kerusi Naib Presiden diberikan kepada Sabah yang kebetulan Shafie bertanding bagi pihak Sabah.Pemimpin UMNO Sabah perlu berfikiran jauh dan melupakan sengketa sesama mereka jika ada bagi menjamin kemenangan calon Naib Presiden mereka. Ini kerana peluang kedua ini tidak lagi boleh terlepas begitu sahaja. Lagipun, dengan angin perubahan yang melanda sekarang dan kebetulan Shafie mendapat pencalonan yang baik, sewajarnya peluang ini dipergunakan sepenuhnya.

Bagi pemimpin UMNO dari Semenanjung, tiada cara terbaik pada musim pemilihan ini selain memberikan kemenangan kepada UMNO Sabah untuk salah satu jawatan tinggi. Hendaknya, janganlah pemimpin UMNO Semenanjung bersikap orang yang tidak tahu membalas budi kerana dengan adanya kesetiaan dan sikap setiakawan UMNO Sabahlah, kerajaan BN bertahan.

Dan melalui setiakawan UMNO Sabahlah, ramai pemimpin UMNO Semenanjung terus menikmati habuan seperti jawatan penting dalam kerajaan dan agensi-agensi, selain keusahawan dan perniagaan dapat dinikmati kerana Kerajaan Pusat terus berdiri!”

2.      27 Mac 2009 – tajuk : “UMNO PADU DI BAWAH NAJIB”

“Jelas UMNO inginkan perubahan. Mereka yang mahu menggugat UMNO dan cuba melemahkan kepimpinan UMNO akan menerima pukulan padu kali ini.

Ketara iallah wakil Sabah kini menduduki kerusi Naib Presiden UMNO untuk kali pertama dalam sejarah UMNO.  Selepas kegagalan Datuk Seri Osu Sukam mencuba nasib untuk kerusi berkenaan, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal kini adalah yang pertama dari negeri itu memenangi kerusi Naib Presiden.

Mohd Shafie dengan 1,445 undi di belakang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memperoleh undi tertinggi 1,592 undi, dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan 1,515 undi .

Shafie menyifatkan kemenanganya sebagai satu pengiktirafan daripada perwakilan seluruh negara.

Beliau berkata, kemenangannya itu akan memberi peluang kepada Umno untuk memperkuatkan sokongan rakyat Sabah kepada Barisan Nasional (BN) menerusi Umno.

Dengan kemenangan Shafie, kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin kukuh kerana Sabah kini mempunyai wakil yang kukuh dalam UMNO apabila Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman memenangi jawatan Ahli Majlis Tertinggi, disamping Datuk Lajim Ukin dan Datuk Bung Mokhtar Radin.

Sementara Ketua Puteri UMNO kini turut dipegang oleh Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Kemenangan ketiga-tiga tokoh ini untuk Naib Presiden akan memperkukuhkan kedudukan Datuk Seri Mohd Najib kerana mereka memang ‘orang Najib’ sejak awal.”

Bagi pemimpin UMNO Sabah dan Semenanjung ketika ini,   selain melihat tindakan Shafie tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kepada UMNO dan BN di Negeri Di Bawah Bayu itu, mungkin ada gerakan yang akan ‘menganggu-gugat’ maruah dan peribadi beliau.

Sesiapa sahaja yang bertindak KELUAR parti, DIPECAT atau DIGANTUNG jawatan mereka, akan menerima nasib yang sama jika 'melawan' kerana hakikatnya pemimpin UMNO bumbang mereka dan parti akan tergugat. Kedudukan dan kepentingan peribadi mereka mengatasi segala-galanya.


Lagipun falsafah mereka dan realitI politik ialah WINNERS TAKE ALL.

Kejadian ini baru berlaku kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila tidak cara lain ‘memperkecil dan cuba memusnahkan karier politiknya’ ialah dengan mengaitkan beliau dengan ‘skandal dengan isteri peguam’.

Tindakan seperti ini menjijikkan. Ini  kerana kalau mahu dikaitkan pemimpin UMNO dengan skandal – wang dan wanita - kalaupun tidak satu lori, beberapa pemimpin penting UMNO boleh didedahkan.

Namun apakah itu caranya untuk menjatuhkan seseorang?

Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula dikaitkan kononnya mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia melalui ‘jalan salah’, juga diperkatakan umpama satu skandal,  yang cuba memcemarkan nama beliau.

Serangan terhadapnya turut dikaitkan dengan kononya ada peranan bapanya bagi menjayakan cita-cita itu.

Datuk Seri Husni Hanadzlah juga tidak terkecuali. Beliau dituduh mahu menjadi Menteri Kewangan penuh dan beberapa tindakannya ‘menggugat Perdana Menteri’.

Modus operandinya sama – menggunakan balaci (orang yang sama) untuk membuka aib orang lain – dilakukan di luar negara. Ia kemudian diratib oleh pemimpin penting UMNO dalam negara demi mempertahankan kedudukan ketua mereka dengan harapan mendapat balasan besar.

Mengguna dan membuka ‘aib orang lain’ untuk kepentingan kedudukan dan karier politik sendiri adalah perbuatan tidak bermaruah dan memalukan.

Kita berterima kasih dan bersyukur kerana pihak yang dimangsakan  tidak cuba membuka ‘aib’ beberapa pemimpin penting UMNO untuk membalas hujah. Sebaliknya hanya mengatakannya daripada sudut politik, parti dan diri semata-mata dalam mempertahankan diri.


Dalam konteks Shafie pula, semalam beliau berkata walaupun telah keluar dari UMNO, beliau akan tetap meneruskan perjuangan di Sabah demi rakyat di negeri itu yang telah memilihnya sebagai wakil rakyat.

“Perjuangan kita akan diteruskan di bumi Sabah ini. Perjuangan kita akan diteruskan di Sabah dan di Semenanjung untuk membela bangsa dan negara.

Jangan pilih saya sebab parti, sebab agama, sebab bangsa atau warna kulit tapi undi saya kerana perkhidmatan saya,”katanya yang disambut sorakan oleh penyokong yang hadir di program Rakyat Bersama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di dewan di perkarangan rumahnya di Kampung Bubul Lama, Semporna Sabah, semalam.

Beliau mengingatkan rakyat agar tidak menjual undi mereka hanya untuk mendapat wang bernilai RM300-RM500 namun mereka menderita bagi tempoh lima tahun berikutnya.

Shafie menafikan dakwaan yang menyebut beliau menyertai parti lain. Beliau turut memaklumkan masih belum memutuskan perancangan untuk masa depan politiknya selepas ini.

Sebagai orang politik, kita sangat faham.

Beliau mungkin sedang membuat perancangan masa depannya. Namun kata-katanya “ Saya sayang UMNO, tapi jangan hina saya, jangan zalimi saya dalam UMNO. Saya dah fikir panjang, tuan-tuan nak saya letak jawatan. Selama ini saya bertahan, bersabar. Jadi saya berhenti serta-merta,” mungkin kurang mengyenangkan pihak tertentu.

Persoalannya, apakah bentuk serangan balas terhadap Shafie selepas ini?

Apakah serangan itu berusaha untuk menghapuskan sama sekali sumbangannya kepada UMNO dan BN Sabah – sama ada melalui usaha memperkuatkan parti dan kerajaan?

Kita akan melihat usaha bagaimana beliau akan cuba disekat memperluaskan pengaruhnya.

Juga bagaimana mereka akan berusaha untuk 'membunuh karier politiknya’,  agar UMNO tidak tergugat kerana tindakan Shafie ini mengundang berlakunya kejadian merebaknya tindakan membantah dan meletakkan jawatan oleh pemimpin UMNO, khususnya di bahagian-bahagian UMNO di timur Sabah.

Bukti sudah ada di mana ‘api dalam sekam’ semakin membakar dan asapnya sudah kelihatan – selain Semporna – kini di Kinabatangan.

Mungkin kesannya juga ke Semenanjung kerana yang menyokong dan mengundi Shafie, juga dari negeri- negeri di Semenanjung Malaysia!

Sunday, July 3, 2016

PERTUDUHAN RASUAH - KEADILAN UNTUK GUAN ENG BUKAN SOLIDARITI TETAPI MAHKAMAH...


“... untuk menutup ‘aib’ kerana perbuatannya dan kerajaan Pulau Pinang turut dipalitkan, DAP mencipta cerita kononnya tindakan itu bermotifkan politik, konspirasi dan sebagainya. Ia tidak lain taktik dan jalan mudah cuba menutup salah laku  Guan Eng dan kerajaan negeri pimpinan DAP yang terpalit dengan rasuah.”

Kes pendakwaan Lim Guan Eng menyerlahkan sifat sebenar Setiausaha Agung DAP itu, khususnya dalam kaitan dengan integriti beliau, parti DAP  dan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Selama ini sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Guan Eng  mengatakan kerajaannya paling telus dan terbersih.

Isunya sekarang kenapa perlu diwujudkan sokongan melalui solidariti untuk beliau? Apakah melalui cara politik sedemikian, keadilan sebenar dapat ditegakkan?

Juga sementara menunggu perbicaraan, wajarkah Guan Eng terus memegang jawatan Ketua Menteri? Kenapa tidak bercuti atau melepaskan jawatan?

Untuk ‘menegakkan benang basah’,  Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang berkempen untuk solidariti baginya. Solidariti untuk apa?

Malah sesi taklimat di Dewan Sri Pinang pada pukul 10 pagi ini bagi menjelaskan perkara itu kepada orang ramai adalah langkah segera untuk mengumpulan pendapat umum kononnya Guang Eng bersih. Juga kononnya untuk menghapuskan kekeliruan orang ramai dan rakyat negeri itu.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden AMANAH Mohamed Sabu dijangka hadir di sesi itu. Tidak pula dinyatakan apakah pemimpin PAS akan hadir.

Apabila sudah tersepit, sanggup tunduk demi sokongan!
Berslogankan Cekap, Amanah dan Telus (CAT), yang dicipta dan diperjuangkan oleh Guan Eng, tidak menggambarkan keadaan sebenar apabila dua pertuduhan dikemukakan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Khamis lalu.

Kedua-dua pertuduhan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, walaupun belum dibuktikan benar, dan Guan Eng sendiri dibenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta - tetap membawa gambaran bahawa kepimpinan Guan Eng wajar  dipersoalkan dalam banyak perkara.

Bagi pertuduhan pertama Guan Eng  didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng  didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta yang mana tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya (Lim). Untuk mengetahui lebih lanjut peristiwa penahanan dan dakwaan Guang Eng, baca di sini dan di sini.

Untuk menutup ‘aib’ dengan pertuduhan disebabkan perbuatannya sendiri dan kerajaan Pulau Pinang turut dipalitkan, DAP dan Guan Eng mencipta cerita kononnya tindakan itu bermotifkan politik, konspirasi dan sebagainya.

Solidariti Guan Eng untuk apa?
Itu semua adalah taktik dan jalan mudah sebagai usaha  menutup salah laku  Guan Eng dan kerajaan negeri pimpinan DAP.

Pokoknya jangan kes rasuah dikaitkan dengan isu lain. Yang penting, buktikan di mahkamah, beliau tidak bersalah. Itu saja yang wajar dilakukan untuk membersihkan dirinya.

Lebih menghairankan ialah apabila Kit Siang berkata beliau sendiri akan menjelajah ke seluruh negara bagi meninjau pendapat sama ada Guan Eng patut bercuti atau meletakkan jawatan selaku ketua menteri Pulau Pinang susulan proses pendakwaan yang didepani pada masa ini.

Walaupun Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan DAP Pulau Pinang telah membuat keputusan bahawa Guan Eng tidak perlu meletakkan jawatan, Kita Siang berkeras mahu mendengar pandangan luar.

Sedangkan jika diasaskan kepada prinsip kerajaan DAP Pulau Pinang iaitu CAT ciptaan Guan Eng sendiri, apabila didakwa di mahkamah, sewajarnya beliau mengambil cuti daripada pentadbiran kerajaan negeri, sehingga kesnya selesai.

Sebagai kerajaan yang memperjuang CAT, Guan Eng sepatutnya lebih memahami bahawa kes beliau belum selesai walaupun mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Walaupun Guan Eng bukan seorang penjawat awam yang dilantik melalui Jabatan Perkhidmatan Awam yang tertakluk kepada Perintah Am, Lim harus faham bahawa pertuduhan itu dibuat berasaskan kedudukannya sebagai seorang penjawat awam selepas siasatan dijalankan.

"Bagaimana pentadbiran kerajaan dapat berjalan lancar sekiranya ketuanya dibayangi tuduhan penyelewengan?

Kelmarin,  Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata, jika Guan Eng  seorang yang bermoral dan mempunyai sikap akauntabiliti, dia  harus melepaskan jawatannya atau bercuti sehingga namanya bersih daripada sebarang tuduhan.

Jahara yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Ayer Tawar berkata beliau percaya Lim akan mempunyai ruang dan peluang yang sepenuhnya untuk membuat pembelaan di mahkamah.


UMNO Pulau Pinang turut mendesak Guan Eng supaya segera melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri dan jawatan lain yang disandang selepas beliau dihadapkan ke Mahkamah Tinggi atas dua pertuduhan rasuah.

Pengerusi Perhubungan UMNO  Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata tindakan itu adalah perlu bagi menjamin integriti jawatan ketua menteri Pulau Pinang tidak dipertikaikan.

Ini kerana belum pernah ada ketua menteri di negeri itu yang disiasat dan didakwa di mahkamah atas pertuduhan salah laku rasuah. “Ini bukan pendakwaan politik (political persecution) kerana yang didakwa adalah seorang pemimpin parti pembangkang. Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat setelah siasatan yang teliti, rapi dan professional dilaksanakan oleh SPRM," katanya.

MCA turut mengingatkan Guan Eng bahawa rakyat sedang memerhati sama ada beliau cakap serupa bikin dengan bercuti sementara menunggu kes pendakwaan rasuah terhadapnya selesai.

"Sebelum ini, dia minta orang lain letak jawatan dan bercuti. Sekarang giliran kamu, rakyat akan lihat apa dia mahu buat,” kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang mengambil pendirian yang lebih lembut dengan mencadangkan Lim supaya bercuti sementara menunggu perbicaraan agar tidak dicop ‘cakap tak serupa bikin’.

"Adakah DAP akan buat pengecualian untuk (Guan Eng) terus menjadi KM Pulau Pinang walaupun tuduhan rasuah di mahkamah? Dwi-standard?" soalnya di Twitter.

Namun semua pandangan itu berbeza dengan  Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengatakan PAS tetap berpegang pada pendirian presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Guan Eng tidak bersalah sehingga dibuktikan sedemikian.

Tuduhan tidak boleh menjadi satu keputusan dan meminta agar mahkamah dibenarkan membuat keputusan. Tuan Ibrahim berkata, PAS juga mengharapkan setiausaha agung DAP itu akan mendapat pembicaraan yang adil.

PAS juga  kesal dengan tindakan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menjadi hakim kepada siasatan SPRM terhadap Datuk Seri Najib Razak sebelum ini tanpa membawa kes tersebut ke mahkamah untuk dibicarakan seperti yang berlaku pada Guan Eng, di mana beliau menjadi ketua pendakwaraya.

Pandangan PAS itu sealiran dengan dengan DAP di mana mereka ingin Guan Eng kekalkan jawatannya.
 mereka.

Turut menghairankan ialah apabila Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang memberi sokongan padu mereka kepada Guan Eng apabila pada mesyuarat PH di Komtar hari ini, ia memutuskan bahawa Lim tidak perlu mengambil cuti atau meletak jawatan walaupun berdepan dengan dua pertuduhan rasuah.

Mereka menerima cadangan Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow untuk bersatu bersolidariti bersama Lim, yang juga setiausaha agung DAP.

Bersama Lim di majlis itu ialah pengerusi PKR negeri Datuk Mansor Othman dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mujahid Yusof Rawa.

Mansor berkata PKR memutuskan bahawa Lim tidak perlu melepaskan jawatannya sebagai KM kerana tuduhan terhadapnya adalah "bermotifkan politik". Selain itu, KM tidak ada kaitan, pengaruh atau kuasa ke atas pihak berkuasa seperti SPRM  dan polis.

Mansor mengulangi bahawa tuduhan terhadap Guan Eng adalah bermotifkan politik untuk memusnahkan kerjaya politiknya di mana ia dirancang untuk melemahkan hubungan dan perpaduan di antara parti-parti PH  di Pulau Pinang dan Malaysia.

Mujahid yang bersetuju dengan Mansor, berkata AMANAH akan berdiri teguh dengan DAP dan PKR dalam perkara itu. "Kami menggesa Lim untuk meneruskan tugasnya sebagai KM," katanya.

Sebagai tanda terima kasih kepada PH, Guan Eng berdiri dan tunduk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakannya di atas sokongan mereka, dan tindakannya itu mengejutkan mereka. Chow turut mengucapkan rasa terima kasihnya kepada AMANAH dan PKR kerana berdiri teguh bersama dalam masa yang memerlukan itu.

PH dikatakan akan melancarkan beberapa program solidariti bersama Lim dan ia akan bermula selepas sambutan Hari Raya. "Kami menyokong KM sepenuhnya apabila beliau membersihkan namanya semasa perbicaraan yang bermula pada 22 September sehingga kita mencapai kemenangan di mahkamah."

Di pihak Kit Siang pula , beliau menegaskan akan mengadakan lawatan ke seluruh negara untuk mendengar pandangan sama ada Guan Eng perlu meletak jawatan atau atau mengambil cuti sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Atau (jika beliau) kekal dalam jawatannya dan tidak tunduk kepada kuasa yang bermaharajalela dan tekanan dalam pertempuran terbaru ini," ujar Kit Siang dalam kenyataan, semalam.

Beliau cuba mengaitkan dengan kes Perdana Menteri, apabila mengatakan jika Datuk Seri Najib Razak diberi layanan yang sama oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia )SPRM), perdana menteri itu akan disoal selama 16.4 tahun membabitkan dakwaan skandal 'derma' RM4.2 bilion yang diterimanya.

Ini kerana dakwaan skandal 'derma' RM4.2 bilion melibatkan Najib itu adalah 1,500 kali lebih besar daripada dakwaan bango RM2.8 juta ke atas Guan Eng.

"Dan jika Najib diberi layanan yang sama oleh SPRM seperti Guan Eng dengan beliau telah disoalsiasat selama kira-kira 30 jam untuk empat hari, Najib pula perlu disoal siasat selama 6,000 hari.

"Bayangkan Najib keluar masuk pejabat SPRM untuk disoal siasat selama 16 tahun dan 4 bulan, dari bangun tidur waktu pagi sehingga tidur pada waktu malam dan tidak dapat berbuat apa-apa lagi," tambahnya.
Amat nyata, apabila Kit Siang dan DAP mengambil keputusan supaya Guan Eng tidak melepaskan jawatan, rakyat boleh menilai antara pendirian DAP dan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana ketika Tan Sri Abdul Rahim Tambi Chik didakwa di mahkamah, Guan Eng bersungguh-sungguh mahu beliau meletak jawatan.

Demikian juga dalam kes Dr Mohamad Khir Toyo dikaitkan dengan dakwaan demikian, Khir meletakkan jawatan Ketua Pembangkang Selangor dan memulangkan semula Darjah Kebesaran Selangor.

Sebaliknya apabila kena batang hidung sendiri, Guan Eng bukan sahaja enggan melepaskan jawatan, malah menuduh ada pihak lain yang cuba menjadikannya kambing hitam.

Hakikat sebenar ialah pendakwaan terhadap dirinya menguji sikap dan pendirian sebenar Guan Eng dalam membuktikan soal integriti dan kredibiliti yang dilaung-laungkan selama ini.

Dengan kata lain, Guan Eng tidak layak memegang jawatannya itu sehinggalah didapati tidak bersalah oleh mahkamah.

Namun dengan berkeras mahu meneruskan juga sebagai Ketua Menteri, Guan Eng merendahkan dirinya sendiri, selain partinya DAP.

Jika dilepaskan Guan Eng mungkin boleh  mendabik dada dia bertindak betul tetapi sekiranya didapati bersalah olah mahkamah, integriti dan kredibiliti yang dilaungkan olehnya selama ini hanyalah sandiwara untuk kepentingan kuasa dan politik bagi dirinya dan DAP semata-mata.

Saturday, July 2, 2016

1MDB – BAWAKAN SEKELUMIT CAHAYA DI HUJUNG LORONG YANG TERAMAT GELAP KINI...


"Mungkinkah negara akan kehilangan lagi AS6.5 bilion bulan ini di samping AS$4.2 bilion sebelum ini? Kerajaan memang menjadi penjamin kepada 1MDB dan jika kalah di LCIA 11 Julai ini, kita akan kehilangan AS$10.7 bilion ( atau kira-kira RM42,000 juta ). Berbaloikah berniaga cara 1MDB ini?"

Persoalan semakin rumit mengenai ke mana wang berbilion dolar Amerika milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) lesap atau hilang dalam hubungannya dengan dana Abu Dhabi, di Kepulauan Cayman.

International Petroleum Company (IPIC)  yang berpangkalan di Abu Dhabi menafikan anak syarikatnya, Aabar Investments PJS (AIPJS) menjadi penjamin 'unit dana' 1MDB melalui dana berdaftar Kepulauan Cayman, menurut laporan semalam.

Sebelum ini pertelingkahan turut wujud antara IPIC dan 1MDB apabila ia menafikan bahawa syarikat Aabar BVI ada berkaitan dengannya.

1MDB berkata ia ada menghantar sebanyak AS$3.5 bilion kepada syarikat berkenaan.

IPIC menafikan dan bermakna, wang itu tidak diketahui hujung pangkalnya sekarang.

Kini, AIPJS pula dikaitkan oleh 1MDB yang membayangkan wujudnya  jaminan oleh syarikat itu kira-kira AS$940 juta yang dimiliki oleh anak syarikat 1MDB, Brazen Sky Limited yang didaftarkan di Kepulauan Cayman,  selain jaminan lanjut daripada Aabar BVI berkenaan dana pelaburan yang dikendalikan oleh pelbagai pihak ketiga dan pengurus dana berjumlah kira-kira AS$1.5 bilion.

Isu ‘jaminan’ ini penting kerana ia menjadi asas bagi penilaian oleh juruaudit yang didakwa IPIC sebagai tidak wujud (kalau dikatakan ada, hanya rekaan semata-mata).

Menurut kenyataan kewangan IPIC  2015 kelmarin (Khamis 31 Julai 2016), kedua-dua IPIC dan Aabar mengesahkan tidak ada sebarang rekod mengenai apa jua jaminan yang disediakan oleh Aabar.

“Oleh itu, tiada pendedahan bagi jaminan kewangan perlu dibuat dalam penyata kewangan disatukan dan seterusnya mengesahkan bahawa kedua IPIC atau Aabar menerima apa-apa bayaran, aset atau unit dana dari Brazen Sky, menurut laporan kewangan itu.”

Laporan kewangan telah difailkan kepada Bursa Saham London, kelmarin.

Apakah 1MDB atau kerajaan Malaysia mahu menyifatkan Laporan Kewangan IPIC berkenaan Brazen Sky itu sebagai suatu pembohongan? Jika bohong buktikan!

Sebelum ini juruaudit 1MDB memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bahawa ia telah meneliti pelaburan Cayman dan berpuas hati dengan jaminan yang didakwa oleh Aabar dari Abu Dhabi itu.

"Unit dana" yang dilaburkan oleh anak syarikat 1MDB - berpangkalan di Singapura, Brazen Sky  – itu sebelum ini telah menimbulkan kontroversi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang juga menteri kewangan memberitahu Parlimen bahawa ia disimpan dalam bentuk wang tunai dolar Amerika.


Ia kemudian mendedahkan tidak ada tunai yang terbabit tetapi 'unit dana', dengan 1MDB dan Ketua Eksekutif Kumpulan itu, Arul Kanda bertanggungjawab atas 'kesilapan' itu.

Arul memaklumkan kepada rakyat Malaysia dan pengarah-pengarah 1MDB -  menurut minit mesyuarat yang bocor itu - bahawa baki pelaburan Kepulauan Cayman berjumlah US$1.108 bilion telah ditebus sepenuhnya dan telah diadakan secara tunai di BSI Bank Singapura.

Walau bagaimanapun, Presiden 1MDB sejak dari itu mengakui bahawa jumlah yang ditebus bukanlah bentuk tunai tetapi 'unit dana' bernilai AS$ 940 juta.

Jawapan yang dinantikan hingga ke hari ini ialah, kenapa 'unit dana' ini yang telah ditebus daripada dana Pulau Cayman masih dalam bentuk 'unit dana' dan tidak secara tunai atau, aset mentah seperti hartanah dan saham?

Jika ia berada dalam bentuk 'unit dana', bukankah bermakna bahawa dana Caymans itu sebenarnya tidak pernah ditebus?

Latar belakang kepada laporan ini yang diakui sendiri oleh 1MDB kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan Jun 2015 ialah, mulanya wang tunai AS$1 billion dilaburkan oleh mereka pada tahun 2009 di dalam syarikat usahasama mereka dengan Petrosaudi.

Ia telahpun ditukarkan menjadi pinjaman kepada syarikat tersebut di dalam tahun 2010.

Sepanjang tahun 2010 dan 2011, 1MDB telah melabur lagi sebanyak AS$830 juta ke dalam syarikat tersebut (dan digantikan sebagai pinjaman) walaupun usahasama telah ditamatkan di dalam bulan Mac 2010. (Nota - 1MDB bukan ditubuhkan serta  diberikan  mandat untuk memberi pinjaman kepada syarikat asing).

Kertas pinjaman (bukan wang tunai) tersebut yang sepatutnya bernilai AS$1.83 bilion kemudiannya ditukar pula menjadi sijil saham di dalam anak syarikat Petrosaudi yang lain pada 1 Jun, 2012.

Hanya selang empat bulan kemudian,  iaitu pada 12 September 2012 1MDB menjual pula sijil saham tersebut yang diuruskan oleh syarikat yang didaftarkan di Cayman, iaitu Bridge Partners, sebuah syarikat pengurusan dana berpangkalan di Hong Kong.

1MDB tidak mendapat balik wang tunai bahkan sijil saham tersebut telah ditukar menjadi ‘unit-unit pelaburan’ di dalam bentuk yang tidak diketahui.


Unit tersebut yang dinilai semula menjadi AS$2.318 bilion telah disimpan di dalam satu lagi anak syarikat 1MDB yang baru ditubuhkan bernama Brazen Sky melalui bank Swiss iaitu BSI SA di Singapura, yang bertindak sebagai ‘penjamin atau penjaga’.

Wang 1MDB melompat lompat dari satu syarikat ke satu syarikat di dalam jangkamasa yang sekejap, di dalam pelbagai bentuk, dan akhirnya bertukar menjadi ‘unit’.

Sehingga kini 1MDB enggan mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh IPIC kelmarin. Dengan penafian ini, semakin nyata, kita akan kehilangan wang diniagakan 1MDB dan siapa bertanggungjawab?

Selain menafikan menjadi penjamin kepada 1MDB, IPIC dilaporkan juga sedang menyiasat syarikat yang mungkin ditubuhkan diluar strukturnya dan dalam bidang kuasa yang lain, menggunakan nama anak syarikatnya, AIPJS.

Berbalik kepada jumlah wang yang dikatakan hilang atau lesap, jangan lupa kepada kenyataan Jawatan kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada April bahawa sekurang-kurangnya AS$4.2 bilion dikenal pasti diuruskan oleh 1MDB dalam urusan perniagaan yang menjadi tanda tanya dengan syarikat di Abu Dhabi.

Ia mengesahkan dalam laporannya, mengesahkan - sejumlah AS$1.3 bilion atau RM 4.51 bilion telah dibayar kepada Aabar BVI yang didaftarkan di British Virgin Island tanpa kelulusan lembaga pengarah 1MDB.


Selain itu, dokumen 1MDB menunjukkan satu lagi pembayaran kepada 1MDB berjumlah AS$2.1 bilion turut dibuat. PAC mendapati, pembayaran dibuat kepada Aabar BVI tanpa kelulusan tembaga pengarah 1MDB!

Selain wang lesap, jangan juga kita lupa bahawa pada 11 Julai nanti di London IPIC dan AIPJS  akan mengemukakan kes kegagalan 1MDB dan Kementerian Kewangan menjalankan tanggungjawab mereka, melangsaikan tunggakan atau mengemukakan cadangan yang boleh diterima dalam isu  tuntutan berjumlah AS$6.5 bilion menerusi timbang tara.

Mereka membuat  permintaan timbang tara kepada Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London menuntut AS$6.5 bilion (RM26 bilion) dan untutan itu akan ditentukan oleh tiga orang penimbangtara menurut Lembaran Terma Terikat dan peraturan-peraturan Mahkamah Pertikaian Antarabangsa London (LCIA).

Mungkinkah kita akan kehilangan lagi AS6.5 bilion bulan ini di samping AS$4.2 bilion sebelum ini?

Kerajaan atau Kementerian Kewangan memang menjadi penjamin kepada 1MDB dan jika kalah di LCIA itu, kita akan kehilangan AS$10.7 bilion ( atau kira-kira RM42,000 juta ).

Berbaloikah berniaga cara 1MDB ini?

Jika 1MDB atau kerajaan mempunyai pencerahan kepada kedua-duanya, tolong nyatakan kerana ia membabitkan masa depan negara.

Pihak yang terlibat dengan 1MDB dari awal hingga kini jangan berdiam diri.

Rakyat perlukan penjelasan dan penghuraian masalah.

Sekurang-kurangnya dengan cadangan penyelesaiannya akan ada sedikit ‘cahaya di lorong yang teramat gelap’ ini.