Thursday, November 5, 2015

NAZIR – SUKAR PROMOSI MALAYSIA DI LUAR NEGARA AKIBAT SKANDAL 1MDB



"Bukan Nazir sahaja tetapi ramai sudah jemu dan mulai rasa lugar (sebu) dan ‘nak jeluwok’ dengan isu ini. Mereka menanti untuk diselesaikan, jika tidak, rakyat mungkin bantu ‘menyelesaikannya’ melalui keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 nanti"

Isu 1MDB 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ni memang berhantu…

Ia bukan sekadar menjadi isu yang memeningkan kepala rakyat dan pemimpin di negara ini tetapi menjadi tajuk penting di banyak akhbar luar negara.

Contohnya akhbar South China Morning Post meletakkan 'banner' ini yang menunjukkan isu ini memang diminati oleh pembaca di luar negara, Malah akhbar sama ada di Jerman, Britain, Australia dan Amerika Syarikat turut melaporkan isu ini.


Dalam negara, ia menyerlahkan kelainan pendapat bukan sahaja di kalangan orang politik tetapi juga di kalangan ahli perniagaan.

Yang membezakan ialah ada yang berani bersuara dan ada yang hanya memendamkan perasaan.

Berlainan pendapat yang diluahkan, da yang menyumbangkan kepada pertelingkahan besar dan ada yang terkorban kedudukan dan politik seseorang.

Ia tidak terbatas di kalangan pesaing, kawan dan kaum keluarga.

Semalam terserlah apabila wujudnya perbezaan pendapat antara tokoh perniagaan dan orang nombor satu Malaysia mengenai kesan 1MDB terhadap mempromosi negara.

Pengerusi CIMB Datuk Nazir Razak mengatakan sukar untuk mempromosikan Malaysia ketika negara dilanda skandal 1MDB dan isu-isu lain.

Nazir menyatakan perkara itu semalam menjelang ucapannya Isnin depan di pada Persidangan Pelabur CIMB di London. Beliau akan bercakap mengenai politik dan ekonomi Asean.

Dalam postingnya di Instagram Nazir berkata: "Saya telah lama mempromosikan Malaysia tetapi tidak pernah tugas itu menjadi lebih sukar seperti sekarang kerana 1MDB dan isu-isu berkaitan.”

Kenyataan Nazir itu jelas bercanggah dengan jawapan abangnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak di Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa isu 1MDB bukan faktor penghalang kemasukan pelaburan asing ke Malaysia sebaliknya telah meningkat.

Nazir turut memuat naik gambarnya di London pada tahun 1992 ketika menyertai program kempen jelajah menarik pelaburan pertamanya.

Tegas Najib, jumlah pelaburan asing sebenarnya meningkat.

"Keadaan ini dapat digambarkan melalui peningkatan aliran masuk pelaburan asing sebanyak RM22.4 bilion dalam tempoh separuh masa pertama 2015. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding RM17.5 bilion yang dicatatkan dalam tempoh separuh masa kedua 2014," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu) di Dewan Rakyat.


Abdul Aziz ingin tahu reaksi kerajaan dalam isu 1MDB serta meminta menjelaskan tentang kesan isu berkenaan terhadap kemasukan pelabur asing ke negara ini.

Apakah melalui kenyataannya semalam menyerlahkah lagi bahawa Nazir memang  lantang mengkritik 1MDB yang diilhamkan abangnya?


Untuk membuktikan bahawa isu 1MDB tidak meninggalkan apa-apa kesan, Kementerian Kewangan mengatakan pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) adalah sebanyak RM133.5 bilion dalam tempoh separuh pertama tahun ini berbanding RM112 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Kementerian itu berkata meskipun terdapat isu berbangkit, namun kemasukan pelaburan asing masih berterusan.

"Pelabur asing di Malaysia merupakan pelabur jangka panjang yang telah mengambil kira proses perkembangan ekonomi Malaysia secara menyeluruh termasuk asas mikro ekonomi yang kukuh seperti kadar pengangguran yang rendah, tabungan negara yang tinggi, rizab antarabangsa yang mencukupi dan hutang kerajaan yang terkawal," kata kementerian itu lagi.

Selain 1MDB dikaitkan dengan pelaburan asing, isu ini juga turut dikaitkan dengan kejatuhan ringgit.

Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) meminta Kementerian Kewangan menyatakan pendirian mengenai kenyataan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang berpendapat bahawa susutan nilai ringgit boleh dipulihkan dan ekonomi boleh terus berkembang apabila isu 1MDB diselesaikan.

Dalam jawapannya,  Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, isu 1MDB bukan punca utama kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar Amerika (USD).

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat semalam  bahawa kemerosotan itu disebabkan empat faktor, termasuk jangkaan pelabur asing mengenai kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat.

Faktor lain ialah kedudukan ekonomi dunia seperti pertumbuhan yang perlahan di China dan kejatuhan harga komoditi seperti minyak mentah.

Katanya, sentimen negatif lain seperti usul undi tidak percaya yang dibangkitkan pihak pembangkang untuk meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan, juga merupakan antara faktornya. 

"Kalau kita nak menyentuh soal 1MDB, negara seperti Rusia, New Zealand, Australia dan Brazil, mereka juga mengalami kejatuhan nilai mata wang, walaupun tidak ada 1MDB.

"Walaupun sentimen negatif telah menyebabkan para pelabur, khususnya pelabur asing, berada dalam keadaan ketidaktentuan, ia bukan bukan punca utama kejatuhan nilai ringgit," katanya semasa sesi soal jawab.

Kata Johari, dalam tempoh September 2014 hingga Oktober 2015, ringgit susut sebanyak 21.6 peratus berbanding USD yang turut didorong aliran keluar pelaburan portfolio, khususnya pelabur asing.

Mata wang asing serantau juga mengalami penyusutan nilai antara 5.9 dan 19.5 peratus berbanding USD dalam tempoh yang sama, katanya.

Kita berdoa agar isu 1MDB ini diselesaikan dengan cepat kerana jika ia berterusan ‘berhantu’, banyak lagi masalah akan timbul dan mungkin menjejaskan Malaysia di masa hadapan.

Sama ada Nazir benar atau Najib benar tidak timbul.

Yang penting,  selagi skandal tidak diatasi atau ditutup, selagi itulah ia akan terus ‘berhantu’.

Ia akan menjadi ketakutan, iguan dan kebimbangan serta mimpi ngeri bukan sahaja kepada pemimpin politik tetapi juga rakyat yang mengharapkan suasana politik dan ekonomi menjadi semakin stabil.

Ramai sudah jemu dan mulai rasa lugar (sebu) dan ‘nak jeluwok’ dengan isu ini.


Mereka menanti untuk diselesaikan, malah jika tidak juga selesai, rakyat mungkin bantu ‘menyelesaikannya’ melalui keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 nanti!

Tuesday, November 3, 2015

BERAPA KALI LAGIKAH KERAJAAN MAHU BIARKAN LAPORAN PALSU?


“Kenapa tindakan tegas tidak dikenakan, bukan sahaja menghukum tetapi memberi pengajaran kepada individu dan syarikat yang menerbitkan berita palsu kerana ia   menjejaskan siasatan  dan ‘menutup periok nasi ‘pegawai yang dikaitkan.”

Sekali lagi berita palsu tersebar membabitkan pegawai tinggi kerajaan yang ada kaitan dengan kes penting yang sedang disiasat.

Kali ini dilaporkan ada arahan perpindahan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Shazalee Abdul Khairi diarahkan untuk kembali ke Jabatan Peguam Negara  (AGC)  walaupun tempoh pinjamannya dilanjutkan sehingga 2017.

Laporan yang disifatkan EKSLUSIF oleh portal berita berkenaan semalam sudah pasti mengejutkan semua pihak.


Laporan bertajuk ‘Pemindahan mengejut pendakwa raya’ yang disiarkan pada  2 Nov 2015, 6:45 petang itu menyebut, “Seorang pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) yang terbabit dengan penahanan beberapa saksi penting secara mengejut dipindahkan hari ini. Menurut sumber kepada Malaysiakini, pegawai itu adalah Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Shazalee Abdul Khairi.”

Laporan portal berita itu turut menyebut, pemindahan Ahmad Shazalee secara mengejut itu juga disahkan oleh sumber daripada Jabatan Peguam Negara dan SPRM.

Bagaimanapun, tidak diketahui di mana Ahmad Shazalee melaporkan diri untuk kerjanya hari ini.

Portal berita berkenaan turut melaporkan : “Apa yang menjadi pemindahannya penuh tanda-tanya adalah peminjaman Ahmad Shazalee ke SPRM baru sahaja dilanjutkan pada pertengahan tahun ini dan sepatutnya berkuatkuasa sehingga 2017.”


Bagaimanapun, Peguam Negara Mohamed Tan Sri Apandi Ali pada surat bertarikh 14 Oktober mengarahkan Ahmad Shazalee melaporkan diri pada hari berikutnya. Difahamkan SPRM hanya menerima surat arahan pemindahan itu pada hari Jumaat (30 Oktober) lalu.

Menurut portal berita itu lagi yang memetik sumber yang tidak mahu namanya disiarkan, keputusan Jabatan Peguam Negara itu sebagai 'kerja gila' kerana tidak ada penggantian.

Sumber yang dipetik The Malaysian Insider pula menyebut, Ahmad Shazalee yang ditahan polis kerana didakwa membocorkan maklumat sulit Ogos lalu, dikatakan masih bertugas dengan SPRM, walaupun ada laporan mengatakan beliau dipindahkan secara mengejut ke Pejabat Peguam Negara.

"Beliau tidak menerima sebarang surat pertukaran walaupun beliau dijadualkan akan dinaikkan pangkat. Beliau boleh kekal dalam SPRM selepas proses kenaikan pangkat ini," kata sumber itu kepada The Malaysian Insider sambil menyatakan Shazalee sudah berkhidmat dengan SPRM sejak 7 tahun lepas. 


Pada 1 Ogos, Shazalee merupakan antara tujuh pegawai SPRM yang ditahan polis kerana didakwa membocorkan maklumat sulit berkaitan siasatan ke atas SRC International.

Ia berhubung pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pemindahan seterusnya RM42 juta ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

SRC International adalah bekas anak syarikat milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Ogos lalu, Ahmad Shazalee adalah seorang daripada enam pegawai SPRM yang ditahan polis yang bertanggungjawab menyiasat dakwaan kebocoran maklumat berkaitan siasatan pasukan petugas khas 1MDB.

Polis menyerbu rumah beliau di Persint 11, Putrajaya dan pejabat Badan Operasi Khas SPRM di Presint 3.

Beberapa kotak fail dan komputer riba antara yang dirampas daripada agensi itu.

Jika memang benar laporan ‘ekslusif’  itu TIDAK BENAR atau PALSU, ia sesuatu yang sangat malang kepada jabatan dan agensi kerajaan, selain kepada  Ahmad Shazalee sendiri.

Ini kerana selain perbuatan itu  pastinya akan menjejaskan siasatan ke atas SRC International, ia juga mungkin menjejaskan kenaikan pangkat pegawai berkenaan.

Dilaporkan , laporan media yang tidak disahkan boleh menjejaskan kenaikan pangkat Shazalee ini.

Shazalee adalah satu-satunya timbalan pendakwa raya yang berkhidmat dengan unit operasi khas SPRM ketika ini, yang mengendalikan kes berprofil tinggi, dan terdapat kira-kira 30 timbalan pendakwa raya dipinjamkan ke SPRM dari Jabatan Peguam Negara bagi membantu siasatan dan menjalankan pendakwaan. 

Beliau sudah berkhidmat dengan perkhidmatan kehakiman dan perundangan selama 20 tahun.

Agak aneh dengan laporan ‘ekslusif’ itu apabila tuan badan sendiri - Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – berkenaan – menegaskan beliau sendiri  tidak mengetahui mengenai arahan perpindahan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) sehingga ia dilaporkan media.

Ahmad Shazalee terkejut mengenai arahan perpindahan secara tiba-tiba itu."Saya juga terkejut. Saya masih datang ke pejabat SPRM, tiada siapa memberitahu saya apa-apa mengenai arahan perpindahan," katanya semalam.

Yang peliknya pula laporan ada menyebut bahawa Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Mohd Shukri Abdul mengesahkan arahan perpindahan itu tetapi berkata beliau tidak pasti tarikh arahan itu berkuatkuasa. Beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali semalam menafikan dakwaan bahawa timbalan pendakwa raya (DPP) di bahagian operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysua (SPRM) dipindahkan.

“Saya sudah semak. Berita kamu berkaitan DPP yang dikatakan dipindah keluar daripada SPRM adalah palsu,” katanya dalam pesananteks kepada Malaysiakini lewat malam semalam.

Tweet Pejabat Peguam Negara (AGC) malam semalam  menyebut:“AGC menjelaskan bahawa tiada arahan pemindahan kepada DPP Shazalee Abdul Khairi keluar daripada SPRM.”

Persoalannya:

1.     Berapa lama lagi pihak berkuasa mahu membiarkan perbuatan menyebarkan berita palsu yang menjejaskan siasatan dan kenaikan pangkat pegawai berterusan?

2.     Kenapa tindakan tegas tidak dikenakan, bukan sahaja menghukum tetapi memberi pengajaran kepada individu dan syarikat yang menerbitkan berita palsu terpaksa menerima hukumannya;

3.     Tindakan tegas sangat wajar apabila berita palsu boleh menjejaskan siasatan sesuatu kes penting seperti dalam isu SRC International ini;

4.     Jika benar laporan sebegini boleh menjejaskan kenaikan pangkat seseorang, tidakkah ini perbuatan ‘menutup periok nasi keluarga pegawai’ berkenaan; dan

5.     Bagi individu yang teranianya sebegini, apakah tidak ada peluang untuk mereka mengambil tindakan, umpamanya saman ganti rugi atau sebagainya?

Kerana itu, Jabatan Peguam Negara, SPRM, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta agensi lain yang berkaitan juga Ahmad Shazalee sendiri boleh menilai opsyen tindakan yang sewajarnya.

Lebih dibimbangi, laporan ini dibuat mungkin dengan sengaja mahu menjejaskan reputasi semua pihak yang ada kaitan dengan siasatan terhadap SRC Internasional.


Mungkin banyak lagi jawapan dan tindakan selepas ini.

Friday, October 30, 2015

YANG DITUNGGU SUDAH TIBA…NAH SAMAN YANG KAU MAHU!


"Perkataan-perkataan berbau fitnah itu merupakan satu serangan kepada moral dan perwatakan plaintif dalam erti kata bahawa beliau sekarang dilabelkan sebagai seorang yang tidak jujur, tidak boleh dipercayai dan seorang yang tidak bertanggungjawab." 
- Kenyataan Tuntutan Saman PM

Nah saman yang kau mahu…

Itulah yang berlaku semalam apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman terhadap bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dibuat ke atasnya.

Saman itu difailkan pada 27 Oktober (Selasa) lepas melalui firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan tuntutannya, Najib antara lain memohon perintah supaya Dr Ling menyiarkan kenyataan mohon maaf dalam akhbar atau majalah yang dikenal pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan oleh plaintif (Najib).


Najib juga memohon injunksi untuk menghalang Dr Ling, atau melalui kakitangan atau ejennya daripada terus menuturkan atau menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.

Beliau juga memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.


Pada 28 Oktober (Rabu), Dr Ling menganggap dirinya seorang yang penyabar tetapi hairan mengapa Perdana Menteri lambat dalam memfailkan saman terhadapnya.

"Saya masih menunggu. Saya seorang penyabar. Tidak perlu terburu-buru, saya menunggu,” katanya yang dipetik oleh The Star Online.

"Saya juga hairan mengapa beliau mengambil masa yang sebegitu lama (untuk menyaman), tetapi saya akan terus bersabar," katanya.

Dalam tuntutannya, Najib berkata Dr Ling telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti di Kuala Lumpur, yang disiarkan dalam portal berita pada 3 Oktober 2015,  menerusi satu artikel.

Perdana menteri mendakwa bahawa defendan telah menuturkan perkataan-perkataan berbaur fitnah dengan berniat jahat supaya plaintif berada dalam kancah skandal, dipandang hina dan kebencian.

Najib berkata mengikut pengertian nyata dan biasa, perkataan-perkataan yang diterbitkan dalam artikel itu difahamkan membawa maksud, antara lain, beliau telah menggelap dana awam ke dalam akaun peribadi beliau, dan bahawa beliau telah menyalah guna dana itu untuk kepentingan peribadi, dan beliau telah menyalah guna dana itu untuk meraih kekayaan dan keuntungan untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.

Najib juga berkata pengertian nyata dan biasa perkataan-perkataan yang disiarkan dalam artikel itu difahamkan bermaksud, antara lain, bahawa beliau telah menyalah guna dana kerajaan milik sebuah syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk kepentingan peribadi, beliau telah menyalah guna kuasanya sebagai pemimpin sebuah parti politik dan pemimpin masyarakat, dan beliau tidak kompeten atau layak menjadi ketua kerajaan atau perdana menteri Malaysia.

"Reputasi plaintif telah tercemar dengan teruk berikutan penerbitan perkataan-perkataan berbaur fitnah dan menyebabkan penghinaan kepada plaintif dalam media sosial dan media massa kerana artikel berbaur fitnah itu telah dikongsi secara meluas oleh media sosial dan pengguna media massa secara keseluruhannya," kata kenyataan tuntutan itu.

Plaintif menekankan bahawa dakwaan dalam perkataan- perkataan berbaur fitnah itu adalah sangat serius dan telah menyebabkan penghinaan terhadapnya dalam kalangan masyarakat umum di Malaysia dan antarabangsa.

"Perkataan-perkataan berbau fitnah itu merupakan satu serangan kepada moral dan perwatakan plaintif dalam erti kata bahawa beliau sekarang dilabelkan sebagai seorang yang tidak jujur, tidak boleh dipercayai dan seorang yang tidak bertanggungjawab," kata kenyataan tuntutan.

Najib mendakwa bahawa perkataan-perkataan berbaur fitnah itu adalah tuduhan yang tidak berasas dan tanpa apa-apa asas atau bukti.


Sebelum ini, Najib menghantar surat tuntutan kepada bekas menteri pengangkutan itu kerana menuduh dirinya mengambil wang rakyat.

Beliau memberi Ling tempoh tujuh hari untuk menarik balik kenyataan berkenaan dan memohon maaf. Ling bagaimanapun berkata beliau bersetuju dengan kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Najib perlu berundur.

Bekas Presiden MCA itu juga enggan menarik balik kenyataan beliau atau meminta maaf dan memaklumkan beliau bersedia untuk berdepan dengan perdana menteri di mahkamah.
Tempoh tujuh hari untuk menarik balik kenyataan dan memohon maaf yang diberikan luput pada 12 Oktober lalu.

Sebelum ini, peguam Najib, Datuk Hafarizam Harun berkata perdana menteri akan membuat keputusan sama ada untuk mengheret Ling ke mahkamah selepas membentangkan Bajet 2016, yang dilakukan pada Jumaat lalu.

Pada 27 Oktober (Selasa) lalu, Hafarizam memberitahu wartawan bahawa Najib akan membuat keputusan dalam satu atau dua hari lagi.


Melalui tuntutannya semalam, Najib menyatakan bahawa Dr Ling, yang juga bekas menteri pengangkutan, menyedari sepenuhnya dan berhasrat supaya perkataan-perkataan berunsur fitnah itu diterbitkan, dengan mengetahui bahawa ia akan menarik pembaca media maya atau arus perdana di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

"Keseriusan dan kancah sakndal akibat penerbitan perkataan-perkataan berunsur fitnah itu telah menyebabkan kerosakan teruk yang tidak dapat diperbaiki ke atas reputasi plaintif khususnya, tetapi tidak terbatas kepada hubungan plaintif dengan masyarakat di dalam negara dan di peringkat antarabangsa," kata kenyataan tuntutan itu.

Beliau berkata surat tuntutan yang diserahkan kepada Dr Ling pada 5 Oktober lepas menuntut Dr Ling, antara lain, menghentikan dan berhenti daripada terus membuat sebarang kenyataan berunsur fitnah atau sebarang kenyataan serupa yang merujuk kepada Najib dan menyiarkan kenyataan mohon maaf secara bertulis yang lengkap dan menarik balik kenyataan berbaur fitnah.

Bagaimanapun, defendan melalui peguam Tetuan Ranjit Singh Yeoh telah menjawab dalam surat bertarikh 8 Oktober lepas dengan menyatakan beliau tidak memaklumi atau mengaku tentang apa-apa kenyataan yang terkandung dalam surat tuntutan itu dan mempunyai hak untuk mengambil atau menerima tindakan undang-undang susulan.

"Ini jelas menunjukkan bahawa defendan langsung tidak menyesali terhadap penerbitan perkataan-perkataan berbaur fitnah itu, dan ia menunjukkan sikap defendan yang sebenarnya," kata Najib.

Thursday, October 29, 2015

TRANSKRIP BERNAMA TV DENGAN ARUL KANDA MENGENAI 1MDB


KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2015 (Bernama)Berikut transkrip penuh daripada program bual bicara bertajuk Bernama TV with Arul Kanda Berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihoskan Suriati Sanusi dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Ekonomi), Mikhail Raj Abdullah.

1. Apa itu 1MDB? * 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ialah sebuah syarikat 100 peratus milik kerajaan.

* Ia ditubuhkan sebagai sebuah syarikat pembangunan strategik dengan wawasannya untuk menjadi pemangkin dan merangsang pelaburan langsung asing, di samping membuat sesuatu yang berbeza untuk kerajaan.

* "Kita perlu faham model perniagaan dan struktur modal 1MDB. Apabila ia ditubuhkan, kerajaan memutuskan bahawa syarikat ini perlu membiayai dirinya sendiri melalui hutang -- pinjaman bank dan pasaran modal.

* "Alasan yang terdapat di sebaliknya ialah untuk mewujudkan disiplin bahawa apabila anda berhutang, anda perlu membayar faedah dan pokoknya serta tidak mengusik dana kerajaan bagi tujuan lain seperti sekolah, hospital dan sebagainya.

* "Hutang itu akan digunakan untuk memperoleh aset dan hartanah berkualiti tinggi serta tenaga.

* 1MDB adalah pengeluar tenaga terbesar di Malaysia dan memiliki 13 loji tenaga di lima negara di seluruh dunia, yang menjana tenaga berjumlah 5,500 MW. * IMDB juga memiliki plot tanah paling luas yang terletak secara strategik di ibu negara.


2. CABARAN

* Terdapat ketidakpadanan dari segi aliran tunai yang dijana aset jangka panjang ini berbanding keperluan jangka pendek bagi melunaskan faedah dan sebahagian lagi untuk melunaskan pinjaman pokok apabila tiba waktunya.

* Ia adalah ketidakpadanan yang melibatkan aliran tunai. Dan, untuk menangani masalah ini, kerajaan mengambil langkah jelas untuk melaksanakan pelan rasionalisasi bagi mengatasi ketidakpadanan aliran tunai ini dengan menjual ekuiti dalam beberapa aset 1MDB bagi mengumpul dana dan mengurangkan hutang.

3. BAGAIMANA HENDAK MEMBAYAR HUTANG?

* Jika anda lihat kepada projek seperti TRX, Bandar Malaysia, penyatuan tiga pengeluar tenaga bebas (IPP) berasingan di bawah Edra Energy, ia semuanya merupakan projek strategik yang dirancang dan dilaksanakan oleh 1MDB.

* Jadi, masalah yang kami hadapi hari ini ialah masalah yang sama seperti yang dihadapi mana-mana perniagaan, iaitu ketidakpadanan aliran tunai yang berpunca daripada faktor dalaman dan luaran.

* Bagaimanapun, apa yang penting ialah kami telah mengambil langkah untuk memperbetulkan keadaan ini. Alhamdulillah, hari ini, ekuiti yang ingin kami jual menarik minat ramai dan kami akan mencapai lebih banyak kejayaan dari segi ini.



4. APA YANG AKAN TERJADI PADA TAHUN-TAHUN AKAN DATANG?


* Dalam sektor tenaga, semua loji tenaga kami berjalan lancar. Kami membeli loji tenaga sedia ada dan aliran tunai daripada Edra Energy iaitu melalui pendapatan dan hasil yang dijana oleh loji ini berjumlah hampir RM5 bilion setahun.

* Saya dengan sukacita ingin memberitahu anda bahawa pada tahun ini sahaja, 1MDB menjual tanah di TRX bernilai kira-kira RM1.3 bilion.

* Jadi, kami adalah pemaju utama, kami membelanjakan hampir RM3 bilion untuk membina infrastruktur. Sekarang, kami membahagikan plot tanah ini dan berjaya menjualnya.

* Kami telah menjual sebahagian besar plot tanah ini kepada Mulia Group dari Indonesia, Affin Bank, Lembaga Tabung Haji dan mengadakan usaha sama dengan kumpulan hartanah dan infrastruktur, Lend Lease.

5. APA YANG TIDAK KENA DI PERINGKAT DALAMAN, ADAKAH WANG ORANG RAMAI AKAN BERADA DALAM KEADAAN BAHAYA? (TITIK TOLAK KETIDAKPADANAN)
* Mengenai ekuti langsung daripada kerajaan, jumlahnya ialah RM1 juta. Memang benar, pada awal tahun ini, sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi, 1MDB meminjam RM950 juta daripada kerajaan.

* Dalam pada itu, kerajaan menyediakan opsyen jaminan tertentu bagi hutang kami. Perlu difahami bahawa, jika anda melihat jaminan itu, ia adalah RM5.8 bilion, kemudian surat sokongan dan beberapa hutang lain yang berjumlah kira-kira RM18 bilion.

* Dalam konteks Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia sebanyak RM1.1 trilion, jumlah itu tidak sampai dua peratus. Dalam konteks hutang kerajaan yang pada keseluruhannya berjumlah kira-kira RM630 bilion, ia adalah kira-kira tiga peratus.

* Jadi, walaupun jumlahnya besar, ia masih dapat ditangani dan melalui pelan rasionalisasi, kini kami dalam proses menjual ekuiti dalam syarikat tenaga kami, Edra Energy.

* Kami sedang mencari rakan pembangunan untuk membeli ekuiti dalam * Bandar Malaysia dan kami mempunyai 'hutang untuk swap aset' dengan IPIC.

* Jumlah keseluruhan ketiga-tiga transaksi ini boleh mencapai RM42 bilion hutang yang dapat dikurangkan atau dilangsaikan oleh 1MDB apabila tiba masanya.

6. SAYA RAGU ANDA BOLEH MENDAPATKAN WANG. BOLEHKAH ANDA MENDAPAT HARGA YANG BAIK BAGI PENJUALAN EKUITI IPP MEMANDANGKAN KONTRAK MEREKA AKAN BERAKHIR TIDAK LAMA LAGI?

* Sekiranya anda bertanya perkara itu kepada saya akhir bulan ini, pada masa itu, kami akan dapat menyatakan kepada anda tentang hasil yng kami perolehi daripada proses kami menjual Edra Energy.

* Tapi, ketika ini, kami boleh memberitahu anda bahawa terdapat 11 pihak yang berminat dan menyuarakan hasrat mereka untuk membeli ekuiti dalam Edra Energy.

* Ketika ini, kami tumpukan kepada empat pihak dan daripada empat pihak ini, tiga pembida telah mengemukakan cadangan akhir dan ikatan mereka.

* Tenaga Nasional Bhd adalah satu daripada mereka dan dua lagi adalah entiti dari luar negara.

7. RANGKA MASA, TEMPOH UNTUK MENYELESAIKAN HUTNG ITU

*Sebahagian besar aset kami sebenarnya adalah aset jangka panjang, lebih 80 peratus daripada hutang kami adalah berbentuk jangka panjang.

* Jadi, bahagian hutang jangka pendek boleh diurus melalui hasil daripada penjualan Edra Energy, sebagai contohnya. Juga, apabila kami mendapat rakan pembangunan bagi Bandar Malaysia. Ideanya ialah pembelian ekuiti dalam Bandar Malaysia akan menjana tunai untuk mengurangkan dan mengurus hutang kami.

* Jadi, kami sangat yakin bahawa menjelang akhir 2015, kami akan menandatangani tiga perjanjian; penjualan Edra; penjualan ekuiti kepada rakan pembangunan bagi Bandar Malaysia dan "hutang bagi swap aset" dengan IPIc.

* Sudah tentu, seperti biasa, wang tunai akan datang dengan peredaran masa. Mengenai perjanjian yang terikat dengan undang-undang pula, itulah sasaran yang ingin kami capai menjelang akhir tahun ini.

* Peraturan yang terdapat di Malaysia ialah pembida dari luar negara boleh memiliki hingga 49 peratus daripada loji tenaga tempatan. Kami juga memiliki aset di luar negara dan perbincangan dengan pembida berkenaan masih diteruskan.

8. BOLEH TERANGKAN LEBIH BANYAK LAGI KEPADA KAMI TENTANG TRX.
* TRX adalah propjek pembangunan menarik. Fasa pertama TRX akan siap menjelang 2018, kami mempunyai syarikat hartanah kelas dunia untuk membangunkan TRX.

* TRX mempunyai aliran MRT paling meluas, stesen terbesar MRT terdapat di KL.

9: TERDAPAT PERSEPSI BAHAWA ANDA DIBAWA MASUK UNTUK MENGATASI KECELARUAN YANG ADA DAN MELINDUNGI SESEORANG. ADAKAH PERSEPSI INI BENAR? BAGAIMANA KECELARUAN ITU BOLEH TERJADI?


* Sebenarnya, tiada apa yang disembunyikan dalam hal berkaitan 1MDB. Malah, jika ada cubaan untuk berbuat demikian pun, ia mustahil dapat dilakukan. Ada lima agensi siasatan yang sedang memerhati 1MDB iaitu daripada BNM, AG, SPRM, PDRM dan PAC. Semua agensi ini diberi kerjasama penuh untuk menjalankan siasatan secara bebas tentang apa yang berlaku dalam 1MDB. Siasatan ini sedang diteruskan dan kami bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa tempatan.

* Mengenai syarikat berkenaan (IPP), kita kena melihat beberapa langkah ke belakang.

* Untuk membeli bagi pihak kerajaan, yang sebelum ini dimiliki individu tertentu, ia membawa kepada pentadbiran sebelum ini, iaitu IPP asal. Kerajaan menimbang untuk menyatukan syarikat ini, menjadikannya sebagai platform dengan harapan untuk merasionalisasikan tarif tenaga pada masa akan datang.

* Mengenai hartanah pula, kerajaan bertindak sebagai perancang utama dan menjual plot tanah dalam bidang strategik ini agar hasil daripada penjualannya akan kembali kepada kerajaan melalui 1MDB, iaitu sebuah syarikat milik 100 peratus kerajaan.

* Cabaran yang dihadapai syarikat ini selama ini ialah kelewatan dalam melaksanakan IPO perniagaan tenaga. Kami dibiayai melalui hutang dan hutang ini digunakan untuk membeli perniagaan tenaga serta plot tanah.

* IPO sepatutnya bermula pada 2013, kemudian, cubaan kedua pada November 2014. Melaksanakan IPO adalah sesuatu yang sangat sukar. Ia menjadi titik tolak bagi keperluan melunaskan faedah dan pinjaman pokok dalam jangka masa pendek yang terhalang kerana ketiadaan aliran tunai oleh syarikat.

10: APA YANG ADA DALAM FIKIRAN ANDA JIKA DIBERI PELUANG MENYELESAIKAN MASALAH 1MDB?

* Realiti yang ada pada hari ini ialah kami berada di persimpangan jalan dalam keadaan di mana terdapat keperluan untuk membayar hutang dan keperluan untuk melabur dalam perniagaan - hartanah dan tenaga - yang semuanya memerlukan modal tambahan.

* Berdasarkan senario yang kami hadapi sekarang, setelah berbincang dengan pemegang saham, MoF (Kementerian Kewangan), kami yakin dengan kejayaan pelan rasionalisasi ini. Opsyen terbaik ialah menjual aset atau membwa masuk pelabur baharu ke Bandar Malaysia untuk mengurangkan hutang ke paras lestari.

* Kami patut diberi peluang untuk melaksanakan pelan ini agar syarikat ini tidak perlu kembali kepada kerajaan bagi mendapatkan sokongan tambahan.

11. ADAKAH KEMUNGKINAN SYARIKAT INI DAPAT DIPULIHKAN SEMULA SEPENUHNYA?

* Melalui rasionalisasi, kami mempunyai tiga pilihan -- mendapatkan lebih banyak ekuiti, menjual aset dan membayar hutang serta membawa masuk ekuiti daripada pihak ketiga.

12. KETELUSAN

* Dua kenyataan hampir setiap hari. Tahap ketelusan yang tinggi berkaitan dengan MoF.

* Akaun kewangan 1MDB boleh didapatkan secara terbuka. Nota kepada akaun itu amat lengkap. Sedikit saja syarikat di Malaysia mempunyai tahap pendedahan sedemikian dalam nota akaun.

* Kami telah menghasilkan banyak butir lengkap, kenyataan akhbar, intervsiu. Ini merupakan usaha berterusan untuk memperkongsikan maklumat kepada umum termasuk penerbitan risalah oleh JASA yang menyediakan soal-jawab lengkap mengenai 1MDB.

* Kami harap dengan usaha berterusan ini, lebih banyak dapat diperkongsikan.

13. KEBOCORAN DOKUMEN

*Apa yang penting ialah konteks. Amat mudah mengambil sedutan dari dokumen dan kemudian menghasilkan berita daripadanya. Sebab itu Kabinet pada Mac meminta Ketua Audit Negara mengendalikan kajian menyeluruh mengenai ini. Menyiapkan laporan akhir menjelang hujung tahun ini.

* Adalah lebih baik pihak berkuasa mengambil kajian ini dan memperkongsikannya dengan orang ramai apa jua hasil kajian. Ingatlah bahawa PAC bersifat bi-partisan, jadi tidak ada yang diselindungi, dan keputusan yang wajar perlu dibuat.

14. DANA DI SINGAPURA


*Jika anda lihat semula nota akaun kami, adalah jelas dari September 2012, 1MDB telah pada mulanya membuat pelaburan dalam ekuiti dan pinjaman Petrosaudi. Setelah masa berlalu, dana itu telah diubah kepada unit, jadi sejak September 2012, ia adalah unit dana. Pada 2014, 1MDB menebus unit dana itu dalam dua cara, satu dalam bentuk tunai menerusi jualan oleh pengurus dana dan kedua menerusi jualan unit dana.

15. TAKRIF UNIT DANA


* Jika anda mempunyai pelaburan unit amanah, apa yang anda ada ialah unit. Unit-unit itu mewakili pemilikan pelbagai aset terlindung. Jadi kita mempunyai dana yang diwakili menerusi unit-unit ini yang menjelaskan pelaburan yang terlindung. Dari pihak kami, AS$2.33 bilion ini pada 31 Mac 2014, 1MDB telah menebus kira-kira AS$1.4 bilion dari wang tunai itu, wang tunai itu digunakan untuk pelbagai tujuan dan kami mempunyai baki AS$940 juta. Dana itu didaftar di Caymen tetapi kami mempunyai bank custodian (simpanan) BSI di Singapura. Custodian merupakan 'interface' antara pemilik dengan pengurus dana, jadi tidak bererti dana ada di situ, tetapi yang wujud ialah interface kami dengan bank sebagai penyimpan.

* Setelah menebus AS$1.4 bilion dalam bentuk tunai, kami sekarang mempunyai AS$940 juta unit dana.

* Sebagai sebahagian dari pelan rasionalisasi, kami akan lakukan 'tukaran hutang untuk aset' dengan IPIC.

16: MANA RM42 BILION? APAKAH IA MASUK KE POKET SESEORANG?


* Tidak. Wang itu telah diberikan penjelasan sepenuhnya dalam pelbagai kenyataan kewangan yang 1MDB telah keluarkan pada Jun tahun ini. Jadi setiap sen syarikat itu telah dijelaskan dan boleh disemak.

17. KE MANA IA PERGI? MANA DANA ITU?


* Dari perspektif saya, saya boleh uruskan fakta dan angka, hingga (jika) ada pihak lain atau pihak ketiga membuat dakwaan ini, maka mereka perlu mengemukakan keterangan dan bukti kepada pihak berkuasa.

18. TENTANG PEMALSUAN KENYATAAN BANK KEPADA PAC

*Saya tidak menyedari tentang hujah sebenarnya. Seperti saya katakan terdahulu, kenyataan kawangan 1MDB adalah dokumen awam. Bagi kami, kami telah kemukakan hanya satu set kenyataan kewangan kepada SSM.

19. JADI RM42 BILION MENJELANG JANUARI, BOLEHKAN ANDA MEMPUNYAI ANGKA YANG BERBEZA? BERAPA YANG ANDA PERLU BAYAR SETIAP BULAN BAGI HUTANG ANDA?
* Dari segi pelan rasionalisasi, objektif yang telah saya katakan sebelum ini adalah untuk mengurangkan dengan ketara hutang syarikat. Jika anda melihat urus niaga IPIC yang akan mengurangkan hutang kami sebanyak RM16 bilion dan daripada penjualan Edra, kami menyasar untuk mengurangkan hutang antara RM16 hingga RM18 bilion. Supaya RM32 bilion pengurangan hutang kami. Berhubung dengan Bandar Malaysia, kami berbincang angka tertentu sebelum ini bahawa nilai syarikat mungkin kira-kira RM10 hingga RM11 bilion.

* Jadi bergantung kepada berapa banyak yang kami jual, kami akan mengurangkan dengan jumlah itu. Oleh itu, bagaimana anda melihat pelan rasionalisasi, ia dengan ketara akan mengurangkan hutang syarikat. Kami berharap untuk melaksanakan semua perjanjian menjelang akhir tahun ini dan kemudian diharapkan wang akan masuk tidak lama selepas itu.

* Dari segi beban faedah, dalam tahun kewangan yang lepas, kita telah membelanjakan RM2.4 bilion untuk membayar faedah. Saya rasa ini menunjukkan sejauh mana liabiliti kewangan ke atas syarikat itu, itulah sebabnya kami perlu mempunyai penyelesaian asas untuk menyelesaikan masalah.

20. MENGENAI BAYARAN YANG GAGAL DILUNASKAN. ANDA GAGAL MEMBAYAR HUTANG SEBANYAK DUA KALI?


* Tidak, itu tidak benar. 1MDB tidak pernah memungkiri mana-mana hutangnya

21. MAAFKAN SAYA, SAYA RASA ANDA GAGAL MEMBAYAR? ITULAH SEBABNYA TERDAPAT BANYAK KONTROVERSI MENGENAI KEMAMPUAN ANDA MEMBAYAR BALIK HUTANG. INI BEBERAPA BULAN LEPAS.
*Sila tunjukkan kepada saya di mana kami telah gagal membayar. 1MDB sentiasa melunaskan hutang. Sudah tentu kami sentiasa mengadakan perbincangan dengan pemberi pinjaman dan pemegang hutang kami mengenai menguruskan profil pembayaran tetapi kami telah membuat pengumuman kepada orang ramai tahun ini jumlah pembayaran balik hutang utama, sebagai contoh pada Februari kami membayar balik RM2 bilion kepada sebuah konsortium bank.

22. SWISS BANK?

*Lima bank. Kami membayar RM600 juta pinjaman kepada sebuah bank. Pada Jun kami membayar US$975 juta, jadi itu kira-kira RM3.6 bilion kepada bank konsortium asing. Jadi ini adalah bukti pembayaran balik hutang oleh 1MDB dan sudah tentu seperti yang dinyatakan sebelum ini, kami sentiasa membayar semua bayaran faedah yang akan dikenakan.

23. APAKAH PEMBAYARAN BERIKUTNYA, BAGI KUPON ATAU BON?
* Pembayaran akan datang adalah pada November, kami mempunyai bayaran kupon untuk sukuk RM5 bilion yang 1MDB diterbitkan pada tahun 2009. Jadi, kira-kira RM145 juta.

24. DAN PELABURNYA?
*Terutamanya pelabur tempatan kerana ia merupakan sukuk ringgit

25. TERDAPAT KRITIKAN YANG TERSEBAR LUAS BAHAWA PELABURAN SYARIKAT MILIK KERAJAAN MELABUR DALAM 1MDB. KITA BERCAKAP MENGENAI TABUNG HAJI, KWAP, KWSP DAN MALAH TNB YANG DIANGGAP SEBAGAI ENTITI KERAJAAN. MEREKA MENYATAKAN ITU SEMUA LANGKAH MENYELAMAT BERBANDING KE PASARAN DAN MENDAPATKAN PEMBELI LUAR? APA PENDAPAT ANDA TENTANG PERKARA INI?

* Pertama sekali apabila anda melihat Tabung Haji, mereka membeli sebidang tanah, jadi tanah itu kini milik mereka dalam satu pembangunan yang sangat dinamik yang dikenali sebagai TRX dan kami amat yakin bahawa mereka akan dapat membangunkan dan menjual tanah itu sebagaimana yang mereka difikirkan sesuai.

* Dari segi KWAP, KWSP dan sebagainya, mereka telah membeli bon dan semua pinjaman daripada syarikat-syarikat tenaga yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat tenaga. Jadi, bon ini dicagarkan ke atas aset jana kuasa dan mempunyai aliran tunai daripada PPA (perjanjian pembelian tenaga) yang diperuntukkan kepada mereka sebagai bayaran balik.

* Jadi pada pandangan saya, keupayaan untuk membayar hutang-hutang berkenaan yang agak terjamin dan kukuh. Sekarang dari segi perkara ketiga yang anda kemukakan, pertama sekali Tenaga Nasional hanya 30 peratus milik Khazanah yang merupakan entiti kerajaan dan adalah sebuah syarikat senarai awam.

* TNB, secara sendiri, antara pembida dalam penjualan Edra, tetapi seperti yang kita cakap mengenainya sebelum ini kami sebenarnya mempunyai empat pembida yang disenarai pendek. Tiga telah mengemukakan bidaan akhir dan muktamad. Sekarang kami akan melalui proses menilai dan lembaga pengarah 1MDB dan pemegang saham 1MDB akan melihat nilai yang dijana dan terma pembayaran serta semua terma dan syarat-syarat lain sebelum membuat keputusan.

* Jadi, belum muktamad bahawa ia akan ke satu pihak atau yang lain.

26. BAIKLAH, KEMBALI KEPADA TABUNG HAJI YANG MEMBELI TANAH, SEBIDANG TANAH DI TRX. MEREKA BERKATA JUMLAH YANG MEREKA BAYAR TIDAK BERSAMAAN DENGAN HARGA TANAH YANG SEPATUTNYA, MEREKA TELAH MEMBAYAR LEBIH SEDIKIT DARIPADA APA YANG SEPATUTNYA. PENDEK KATA INI JUGA LANGKAH MENYELAMAT.

* Itu memang salah. Jika dilihat pada harga tanah yang setanding untuk jenis lokasi, Tabung Haji sebenarnya telah membayar harga yang lebih rendah, saya rasa anda boleh bertanya kepada mana-mana jurunilai hartanah atau pakar pasaran yang akan mengesahkannya. Sekali lagi, saya minta anda melihat transaksi yang kami umumkan kepada awam yang menunjukkan secara keseluruhannya Tabung Haji mendapat urus niaga yang baik.

27. MASALAH KEWANGAN YANG DIHADAPI OLEH 1MDB SEOLAH-OLAH MEMBERIKAN TEKANAN TAMBAHAN KEPADA RINGGIT, YANG SUDAH MENGALAMI TEKANAN OLEH KADAR FAEDAH AS DAN SEMUA ITU, IA MENJEJASKAN KEYAKINAN PELABUR DAN PASARAN BERSETUJU DENGANNYA. APA PANDANGAN ANDA MENGENAI INI? ANDA BERSETUJU DENGAN ANDAIAN INI?
* Jika anda melihat satu bulan lepas dan menilai turun naik ringgit, turun naik nilai ringgit dan bandingkan dengan berita mengenai 1MDB, anda akan melihat tidak ada hubung kait. Betul? Saya rasa ringgit dipengaruhi oleh harga minyak, contohnya dengan kebimbangan tentang pasaran baru muncul seperti mata wang, Real, Brazil, Kroner Norway atau Dolar New Zealand.

* Semua mata wang ini berkait, sama ada kepada harga komoditi atau dalam pasaran baru muncul. Terdapat juga penurunan nilai di China, yang sekali lagi menimbulkan beberapa isu.

* Bukanlah hendak mengatakan 1MDB tidak memberi kesan langsung, saya bersetuju dengan anda bahawa terdapat beberapa kesan yang tidak menentu di sekeliling tetapi saya juga ingin menyatakan bahawa memandangkan pelbagai ketidaktentuan politik di negara ini juga telah mempengaruhi nilai mata wang. Jadi, terdapat pelbagai faktor pada bila-bila masa yang menentukan perdagangan mata wang termasuk pandangan peniaga membeli dan menjual inventori dan sebagainya. Jadi, untuk mengatakan bahawa kerana satu syarikat, saya rasa ia agak keterlaluan.

28. APA YANG BOLEH ANDA BERITAHU KEPADA PELABUR UNTUK MENGURANGKAN KEBIMBANGAN KE ATAS RINGGIT?

* Dua perkara, yang pertama, kami tidak pernah gagal membayar hutang kami, kami telah membayar pinjaman pokok dan faedahnya apabila tiba masanya. Dan kedua, kami mempunyai rancangan, iaitu pelan rasionalisasi untuk secara progresif melupuskan aset atau untuk membawa masuk ekuiti baharu bagi mengurangkan hutang 1MDB. Jadi dari perspektif pelabur, perlu lega yang kami menyedari cabaran, kami terbuka mengenainya dan kami di sini untuk membetulkan keadaan.

29. BEBERAPA MINGGU LEPAS, MAJLIS RAJA-RAJA MENGELUARKAN KENYATAAN MEMINTA KEPIMPINAN MENYELESAIKAN KRISIS 1MDB SECEPAT MUNGKIN. INI BELUM PERNAH TERJADI, JADI APA YANG ANDA INGIN KATAKAN SEBAGAI CEO DAN PRESIDEN KUMPULAN 1MDB.

* Dari perspektif 1MDB dan kerajaan Malaysia, kami memandang serius dan menghormati pendapat dan pandangan yang dinyatakan oleh semua pihak, rakyat, kerajaan, pembangkang, dan juga Raja-raja di negara ini. Kerajaan telah menunjukkan pendekatan tegas dan komited kepada 1MDB melalui pelan rasionalisasi, dan saya berharap perbincangan hari ini akan menjelaskan lagi matlamat kami. Iaitu untuk melupuskan aset atau menjual ekuiti dalam usaha untuk mengurangkan hutang negara. Usaha ini berterusan dan kami berharap untuk mempunyai resolusi menjelang akhir tahun ini seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri pada bulan Jun 2015.

30. TERDAPAT PERPATAH, 'KALAU TIADA ANGIN MASA KAN POKOK BERGOYANG' TERDAPAT DAKWAAN DARIPADA TUN DR MAHATHIR, PEMBANGKANG, MEDIA ASING DAN TEMPATAN. ADAKAH MEREKA SEMUA SALAH?

* Jadi, sekali lagi Michael, apa yang saya rasa kami perlu lakukan ialah dalam fakta dan dalam angka. Setiap kali dakwaan tertentu telah dibuat syarikat telah mengeluarkan kenyataan, anda dialu-alukan untuk melihat laman web kami untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang fakta. Pendapat tentunya adalah isu lain.

* Kini Tun Mahathir sendiri baru-baru ini telah dipetik dalam video sebagai berkata bahawa beliau tidak mempunyai bukti yang cukup untuk membuat laporan polis terhadap perdana menteri. Jadi, pada pandangan saya, kami perlu berasaskan kepada fakta, kita tidak boleh bergantung pada dakwaan khabar angin dan kenyataan tidak berasas lain tanpa bukti.

31. SAYA PERLU BERTANYA ANDA TENTANG PERKARA INI. TAIKUN PERNIAGAAN JHO LOW, ADAKAH BELIAU MEMPUNYAI APA-APA KAITAN DENGAN 1MDB, DAN PERNAHKAH ANDA BERTEMU BELIAU SELEPAS MENGAMBIL ALIH JAWATAN SEBAGAI CEO 1MDB.
* Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Jho Low merupakan penasihat kepada TIA (Lembaga Pelaburan Terengganu) sebelum saham yang dipindahkan kepada kerajaan Malaysia dan perubahan nama kepada 1MDB. Beliau sebenarnya telah meletak jawatan pada pertengahan Mei 2009, sebelum saham dalam TIA telah dibeli oleh kerajaan dan nama ditukar kepada 1MDB. Dari perspektif 1MDB, Encik Jho Low tidak pernah dibayar oleh syarikat itu, beliau tidak pernah diambil bekerja oleh syarikat, dan operasi syarikat yang dikendalikan oleh pihak pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB. Dengan pengawasan daripada pemegang saham yang merupakan Kementerian Kewangan. * Tidak, itu tidak benar. 1MDB tidak pernah memungkiri mana-mana hutangnya

32. DAN ANDA BERURUSAN DENGAN SEMUA SYARIKAT DAN ANAK-ANAK DAN PRINSIPAL DI LUAR NEGARA, ADAKAH MANA-MANA SYARIKAT BERKENAAN MILIK JHO LOW?
*Setakat yang kami tahu, tidak. Jadi interaksi kami adalah dengan syarikat guaman kami dan sama ada mereka mempunyai kepentingan perniagaan, itu suatu di luar pengetahuan kami.

33. SECARA STRATEGIKNYA, DI MANA ANDA LIHAT 1MDB, MUNGKIN DALAM TIGA TAHUN AKAN DATANG?

* Idea asal 1MDB, iaitu menjadi pemangkin dan untuk bertindak sebagai syarikat pembangunan strategik, pada pandangan saya ia telah dicapai melalui pelbagai contoh yang kita telah dibincangkan iaitu yang merupakan penyatuan industri kuasa, pembangunan Bandar Malaysia, dan juga TRX. Sekarang, mengenai masa depan dan memandangkan cabaran yang dihadapi syarikat, kami terpaksa mengambil keputusan untuk menyusun semula dan mengubah beberapa aspek model perniagaan. Jadi, apa yang kami tumpukan pada masa ini ialah dalam mencapai objektif pelan rasionalisasi. Saya rasa dari segi apa yang berlaku seterusnya kepada syarikat, sesuatu yang saya sentiada bincang secara berterusan dengan para pemegang saham. Apabila kami mendapat melalui fasa ini, saya pasti akan ada pengumuman lanjut mengenai apa yang berlaku seterusnya.

34. APABILA ANDA MENGEMUKAKAN AKAUN. ALASAN ANDA IALAH ANDA DALAM PENYIASATAN DAN MEREKA MENGAMBIL DOKUMEN DAN SEBAGAINYA, TIDAKKAH ANDA MEMPUNYAI SALINAN UNTUK MELENGKAPKAN AKAUN?

*Bagi melengkapkan akaun, anda memerlukan dokumen asal untuk dilihat juruaudit. Dokumen-dokumen asal kami, sebahagian besarnya telah diambil PDRM pada 8 Julai 2015. Oleh itu, sewajarnya kami perlu mendapatkan lanjutan dan lanjutan undang-undang daripada SSM (Suruhanjaya Syarikat) untuk mengemukakan akaun kami pada 31 Mac, 2016.

35. JADI ANDA MENUNGGU DOKUMEN YANG TERLIBAT DIKEMBALIKAN KEPADA 1MDB UNTUK MELENGKAPKAN AKAUN, SEMENTARA ITU ANDA TIDAK BOLEH MELAKUKANNYA?
* Betul tu. Dari segi dokumen asal bagi juruaudit mengkaji dan mengaudit, dan mengesahkan ketepatan.

36. BAGAIMANA JIKA PENYIASATAN BERLANJUTAN SELAMA SATU TAHUN, MELANGKAUI 31 MAC, BAGAIMANA?

* Saya rasa kita perlu menangani satu persatu, dan sudah tentu bagi anak syarikat tenaga dan anak syarikat hartanah kami, akaun hampir dimuktamadkan, hampir siap. Isunya ialah peringkat syarikat pegangan di mana dokumen kami telah diambil. Kita akan menyelesaikan satu persatu. Tunggulah jika dan apabila pihak berkuasa akan kembalikan dokumen-dokumen untuk akaun syarikat pegangan dan kami boleh mengambil tindakan sewajarnya.

37. SAYA PERLU BERTANYA ANDA SOALAN INI. KONTROVERSI INI MENGENAI WANG DAN SUMBANGAN KE AKAUN PERDANA MENTERI, ADAKAH DALAM APA-APA CARA 1MDB TERLIBAT DALAM DAKWAAN TERSEBUT?

* Sama sekali tidak, dan sebenarnya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) telah secara terbuka menyatakan bahawa dana itu bukan dari 1MDB ke akaun Perdana Menteri. SPRM juga telah secara terbuka menyatakan bahawa ia tidak menyiasat 1MDB.

38. KITA HAMPIR MENGAKHIRI PROGRAM, SAYA SERAHKAN KEPADA ANDA, ARUL. APA YANG INGIN ANDA KATAKAN KEPADA KAMI, KEPADA RAKYAT MALAYSIA TENTANG 1MDB.

* Apa yang saya ingin merumuskan bahawa, idea di sebalik 1MDB adalah suatu yang baik dan ia telah mencapai banyak matlamat strategiknya. Malangnya, terdapat beberapa cabaran, yang telah menyebabkan keperluan untuk menukar rancangan itu yang kini sedang dilaksanakan melalui pelan rasionalisasi. Oleh itu, kami wajar diberi peluang untuk melaksanakan rancangan untuk memastikan kami membayar hutang kami, untuk mengurangkan tahap hutang, di samping bekerja dengan pihak berkuasa di negara ini untuk memberikan mereka maklumat sebagai sebahagian daripada siasatan mereka. Jadi saya menggesa orang ramai agar memberi kami ruang untuk memaksimumkan nilai aset supaya kami tidak perlu kembali kepada kerajaan untuk melaksanakan rancangan kami.

39. APABILA MEREKA TELAH MENANDATANGANI PERJANJIAN DAN SEMUANYA, BOLEH ANDA BERITAHU KAMI BILA SEMUA HUTANG AKAN DILUNASKAN?

Itulah harapan saya, untuk memberikan maklumat terkini sebaik sahaja kami memutuskan sebanyak mana daripada setiap aset untuk dijual dan jumlah hasil. Pastinya, kami akan mengeluarkan maklumat terkini, mungkin akhir tahun atau awal tahun depan, mengenai hala tuju kami.