Friday, October 30, 2015

YANG DITUNGGU SUDAH TIBA…NAH SAMAN YANG KAU MAHU!


"Perkataan-perkataan berbau fitnah itu merupakan satu serangan kepada moral dan perwatakan plaintif dalam erti kata bahawa beliau sekarang dilabelkan sebagai seorang yang tidak jujur, tidak boleh dipercayai dan seorang yang tidak bertanggungjawab." 
- Kenyataan Tuntutan Saman PM

Nah saman yang kau mahu…

Itulah yang berlaku semalam apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman terhadap bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dibuat ke atasnya.

Saman itu difailkan pada 27 Oktober (Selasa) lepas melalui firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan tuntutannya, Najib antara lain memohon perintah supaya Dr Ling menyiarkan kenyataan mohon maaf dalam akhbar atau majalah yang dikenal pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan oleh plaintif (Najib).


Najib juga memohon injunksi untuk menghalang Dr Ling, atau melalui kakitangan atau ejennya daripada terus menuturkan atau menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.

Beliau juga memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.


Pada 28 Oktober (Rabu), Dr Ling menganggap dirinya seorang yang penyabar tetapi hairan mengapa Perdana Menteri lambat dalam memfailkan saman terhadapnya.

"Saya masih menunggu. Saya seorang penyabar. Tidak perlu terburu-buru, saya menunggu,” katanya yang dipetik oleh The Star Online.

"Saya juga hairan mengapa beliau mengambil masa yang sebegitu lama (untuk menyaman), tetapi saya akan terus bersabar," katanya.

Dalam tuntutannya, Najib berkata Dr Ling telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti di Kuala Lumpur, yang disiarkan dalam portal berita pada 3 Oktober 2015,  menerusi satu artikel.

Perdana menteri mendakwa bahawa defendan telah menuturkan perkataan-perkataan berbaur fitnah dengan berniat jahat supaya plaintif berada dalam kancah skandal, dipandang hina dan kebencian.

Najib berkata mengikut pengertian nyata dan biasa, perkataan-perkataan yang diterbitkan dalam artikel itu difahamkan membawa maksud, antara lain, beliau telah menggelap dana awam ke dalam akaun peribadi beliau, dan bahawa beliau telah menyalah guna dana itu untuk kepentingan peribadi, dan beliau telah menyalah guna dana itu untuk meraih kekayaan dan keuntungan untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.

Najib juga berkata pengertian nyata dan biasa perkataan-perkataan yang disiarkan dalam artikel itu difahamkan bermaksud, antara lain, bahawa beliau telah menyalah guna dana kerajaan milik sebuah syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk kepentingan peribadi, beliau telah menyalah guna kuasanya sebagai pemimpin sebuah parti politik dan pemimpin masyarakat, dan beliau tidak kompeten atau layak menjadi ketua kerajaan atau perdana menteri Malaysia.

"Reputasi plaintif telah tercemar dengan teruk berikutan penerbitan perkataan-perkataan berbaur fitnah dan menyebabkan penghinaan kepada plaintif dalam media sosial dan media massa kerana artikel berbaur fitnah itu telah dikongsi secara meluas oleh media sosial dan pengguna media massa secara keseluruhannya," kata kenyataan tuntutan itu.

Plaintif menekankan bahawa dakwaan dalam perkataan- perkataan berbaur fitnah itu adalah sangat serius dan telah menyebabkan penghinaan terhadapnya dalam kalangan masyarakat umum di Malaysia dan antarabangsa.

"Perkataan-perkataan berbau fitnah itu merupakan satu serangan kepada moral dan perwatakan plaintif dalam erti kata bahawa beliau sekarang dilabelkan sebagai seorang yang tidak jujur, tidak boleh dipercayai dan seorang yang tidak bertanggungjawab," kata kenyataan tuntutan.

Najib mendakwa bahawa perkataan-perkataan berbaur fitnah itu adalah tuduhan yang tidak berasas dan tanpa apa-apa asas atau bukti.


Sebelum ini, Najib menghantar surat tuntutan kepada bekas menteri pengangkutan itu kerana menuduh dirinya mengambil wang rakyat.

Beliau memberi Ling tempoh tujuh hari untuk menarik balik kenyataan berkenaan dan memohon maaf. Ling bagaimanapun berkata beliau bersetuju dengan kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Najib perlu berundur.

Bekas Presiden MCA itu juga enggan menarik balik kenyataan beliau atau meminta maaf dan memaklumkan beliau bersedia untuk berdepan dengan perdana menteri di mahkamah.
Tempoh tujuh hari untuk menarik balik kenyataan dan memohon maaf yang diberikan luput pada 12 Oktober lalu.

Sebelum ini, peguam Najib, Datuk Hafarizam Harun berkata perdana menteri akan membuat keputusan sama ada untuk mengheret Ling ke mahkamah selepas membentangkan Bajet 2016, yang dilakukan pada Jumaat lalu.

Pada 27 Oktober (Selasa) lalu, Hafarizam memberitahu wartawan bahawa Najib akan membuat keputusan dalam satu atau dua hari lagi.


Melalui tuntutannya semalam, Najib menyatakan bahawa Dr Ling, yang juga bekas menteri pengangkutan, menyedari sepenuhnya dan berhasrat supaya perkataan-perkataan berunsur fitnah itu diterbitkan, dengan mengetahui bahawa ia akan menarik pembaca media maya atau arus perdana di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

"Keseriusan dan kancah sakndal akibat penerbitan perkataan-perkataan berunsur fitnah itu telah menyebabkan kerosakan teruk yang tidak dapat diperbaiki ke atas reputasi plaintif khususnya, tetapi tidak terbatas kepada hubungan plaintif dengan masyarakat di dalam negara dan di peringkat antarabangsa," kata kenyataan tuntutan itu.

Beliau berkata surat tuntutan yang diserahkan kepada Dr Ling pada 5 Oktober lepas menuntut Dr Ling, antara lain, menghentikan dan berhenti daripada terus membuat sebarang kenyataan berunsur fitnah atau sebarang kenyataan serupa yang merujuk kepada Najib dan menyiarkan kenyataan mohon maaf secara bertulis yang lengkap dan menarik balik kenyataan berbaur fitnah.

Bagaimanapun, defendan melalui peguam Tetuan Ranjit Singh Yeoh telah menjawab dalam surat bertarikh 8 Oktober lepas dengan menyatakan beliau tidak memaklumi atau mengaku tentang apa-apa kenyataan yang terkandung dalam surat tuntutan itu dan mempunyai hak untuk mengambil atau menerima tindakan undang-undang susulan.

"Ini jelas menunjukkan bahawa defendan langsung tidak menyesali terhadap penerbitan perkataan-perkataan berbaur fitnah itu, dan ia menunjukkan sikap defendan yang sebenarnya," kata Najib.

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete