Wednesday, October 23, 2013

PRK SUNGAI LIMAU - PILIHAN ANTARA TRADISI & TRANSFORMASI EKONOMI DAN PENDIDIKAN...


"Walaupun ada pembangkang cakap kemenangan di sini (Sungai Limau) tak ubah apa-apa dari soal pentadbiran negeri, tapi bagi kami pembelaan nasib masyarakat di Sungai Limau itu yang paling utama...Sebab itu wakil rakyat  (BN) adalah penting. Mereka inilah yang kita yakin boleh sampaikan segala isu permasalahan yang penting untuk kita selesaikan."
 - Tan Sri Muhyiddin Yassin

Sebanyak 27,222 pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau sudah tahu calon yang akan bertanding. Malah, kedua-duanya sudah pun secara rasmi dinamakan mewakili parti masing-masing pada PRK 4 November ini.

Pengumuman perkara itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Abd Rashid Othman selepas proses penamaan calon di Dewan Dato' Madi di Yan ditutup pada 10 pagi ini tadi.

PRK Sungai Limau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang juga Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai, manakala PAS diwakili Ketua Pemuda Jerai Mohd Azam Samat, 37, yang juga pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam Kedah.


Dr Ahmad Shohaimi, 52, berasal dari Kampung Titi Batu, Guar Chempedak adalah bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia, Sarjana Muda Sastera, Universiti Malaya dan Doktor Falsafah Sejarah Politik, Universiti Sains Malaysia.

Bagi jawatan politik, beliau pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Titi Batu (1982-1990), Ketua Penerangan Pemuda Umno Yan/Jerai (1992-1995), Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Jerai (1995-1997) dan Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai (1992-2016).

Pemilihan Dr Ahmad Sohaimi, berdasarkan kelebihan beliau yang mempunyai kelulusan tinggi selain pernah terlibat dalam parti termasuk kini sebagai Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai dan aktiviti kemasyarakatan.

PRK ini menarik bukan kerana ia pertembungan antara pensyarah dan guru tetapi lebih penting ialah tawaran BN untuk mentransformasi DUN Sungai Limau sementara PAS hanya mahu meneruskan tradisi penguasaannya di DUN berkenaan.

Ketika mengumumkan calon BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon kerjasama pengundi untuk memberi peluang kepadanya. Jika terpilih segala perkara yang perlukan perhatian akan disampaikan kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Kenyataan ini penting dan amat mudah difahami jika rakyat di DUN Sungai Limau berfikiran secara terbuka.
 Muhyiddin hari ini menjelaskan maksudnya dengan mengatakan kerajaan persekutuan dan negeri akan lebih mudah membawa kemajuan ke kawasan DUN Sungai Limau jika calon BN dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Melaluinya juga, ia akan mewujudkan hubungan langsung antara wakil rakyat kawasan itu dengan pentadbiran kerajaan negeri dan pusat di bawah BN, bagi membawa masa depan yang lebih cerah kepada penduduk Sungai Limau.


"Kalau mereka lihat masa depan kawasan Sungai Limau ini, kalau wakil itu datang dari BN, urusan majukan dalam semua bidang seperti pembangunan, sosioekonomi, pendidikan, agama dan lain-lain lebih mudah dilaksanakan lebih-lebih lagi di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat pusat," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu di Yan.

"Kami yakin walaupun Sungai Limau dikatakan kubu kuat PAS, yang kita (BN) dilihat sebagai underdog, dan peluang tidak secerah PAS, tapi kami (BN) yakin pengundi di sini mempunyai sifat untuk membuat penilaian secara mendalam, terperinci dan tidak beremosi," kata Muhyiddin.

Ini kerana jika calon BN Ahmad Sohaimi diberi peluang, maka ini akan beri satu laluan yang lebih mudah untuk kerajaan melaksanakan apa saja agenda untuk majukan penduduk Sungai Limau.

Isu-isu itu akan dijelaskan secara terperinci baik soal pembangunan, belanjawan, harga barangan dan apa sahaja perkara berbangkit termasuk peningkatan harga padi dan infrastruktur.

"Walaupun ada pembangkang cakap kemenangan di sini tak ubah apa-apa dari soal pentadbiran negeri, tapi bagi kami pembelaan nasib masyarakat di Sungai Limau itu yang paling utama," tegas Muhyiddin.

Tambahnya: " Sebab itu wakil rakyat adalah penting. Mereka inilah yang kita yakin boleh sampaikan segala isu permasalahan yang penting untuk kita selesaikan," katanya.

Muhyiddin yakin Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir boleh merangka strategi baharu jika mempunyai perancangan khusus memajukan kawasan itu yang kelihatan banyak ketinggalan dari aspek pembangunan sejak beberapa tahun lepas.

Timbalan Pengerusi BN itu berkata BN telah memilih calon paling layak dengan latar belakang pendidikan dan pengurusan yang baik. Malah Ahmad Sohaimi sendiri telah menyatakan komitmen memajukan Sungai Limau, kata Muhyiddin.

Dr Ahmad Sohaimi bertekad untuk membangunkan modal insan dan pendidikan sebagai antara keutamaan yang perlu diberi perhatian untuk penduduk dalam DUN berkenaan.

Kedua- dua aspek itu akan diberikan perhatian utama sekiranya beliau diberi peluang mewakili kawasan itu pada PRK pada 4 November ini.

"Saya ada pengalaman dalam bidang akademik kerana itu saya mahu tumpu kepada pendidikan. Saya lihat anak-anak sekolah rendah agak ketinggalan kerana tiada pusat pembelajaran yang terancang…jika PAS masih terus menguasai DUN berkenaan, banyak program pembangunan tidak dapat dilaksanakan kerana kerajaan negeri dan Parlimen Jerai dikuasai oleh BN.

"Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Anggota Parlimen Jerai yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri) banyak perancangan tetapi usaha beliau untuk DUN Sungai Limau susah untuk dilaksanakan jika kita tak menang," katanya. Tanpa mahu menafikan kepentingan pembangunan fizikal, beliau juga melihat pesisir pantai di Sungai Limau berpotensi dibangunkan untuk agro pelancongan.

Dr Ahmad Sohaimi berkata beliau mahu membantu Jamil Khir mengendalikan kawasan itu dan menyifatkan idea anggota Parlimen Jerai itu untuk menubuhkan institusi latihan imam sebagai satu usaha yang baik.


Azam pula ketika memberikan ucapan sulung malam kelmarin berkata, beliau akan memikul amanah yang diberikan ini sebaik mungkin.

Azamnya untuk meneruskan agenda bekas Menteri Besar Tan Sri Azizan Abdul Razak sebelum ini. Beliau juga berharap seluruh jentera Pakatan Rakyat khususnya PAS untuk bekerja keras mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut sambil menyeru agar semua pihak menghadapi pilihan raya kecil kali ini dengan penuh harmoni.

Amat nyata tiada apa tawaran PAS sekadar mahu mengekalkan kemenangan dengan tidak membawa sebarang perubahan berbanding BN yang akan melakukan transformasi terhadap DUN ini. Dengan komitmen Muhyiddin dan Dr Ahmad Sohaimi, pengundi DUN ini sewajarnya memberikan peluang kepada BN untuk membuktikan janji-janjinya.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir sudah berikrar semalam bahawa rakyat tidak perlu bimbang kerana setiap projek yang dirancang akan diteliti dengan mengambil kira kebajikan mereka terlebih dahulu.

Sebagai contoh, jika melibatkan pengambilan tanah, ia akan berbincang dengan penduduk terlibat bagi menentukan nilai pampasan yang wajar.

Beliau member jaminan bahawa projek tidak akan dilaksanakan jika tidak menguntungkan penduduk tempatan atau sebahagian besarnya mendapat nikmat serta merugikan mereka.

Pengerusi BN Kedah itu membidas pembangkang yang membuat dakwaan kerajaan negeri seolah-olah memberi ugutan kepada penduduk tempatan agar menyerahkan tanah untuk membolehkan projek pembangunan dilaksanakan di kawasan Sungai Limau.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang berbentuk ugutan kepada penduduk. Kita hanya mahu menawarkan perkhidmatan dan membawa pembangunan di sini. Itu sahaja, bukan ada niat lain, “ tegasnya. 

DUN Sungai Limau mempunyai 27,222 pemilih berdaftar dan daripada jumlah itu, 25,323 orang atau 93 peratus ialah pengundi Melayu, Cina (1,842 orang atau 6.7 peratus), India (15 orang atau 0.6 peratus) dan selebihnya kaum-kaum lain.

Sebanyak 58 saluran di 17 pusat mengundi akan dibuka untuk pilihan raya kecil itu.

Tuesday, October 22, 2013

KETIKA HIDUP DIBENCI, SETELAH MENINGGAL AZIZAN DISAYANGI...


Nasib Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Ketika hayatnya beliau dibenci dan dihina kerana rapat dengan pemimpin UMNO, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Beliau dilihat sebagai tokoh proUMNO dan penuh kontroversi. Kenapakah pemimpin PAS yang berjuang atas nama Islam bersikap sebegini?


Nampaknya Pas terpaksa mengitar semula gambar Azizan (orang yang telah meninggal dunia) sebagai bahan kempen PRK Sg Limau pada kali ini kononnya nak mengambarkan calon Pas yang juga ketua pemuda pas Jerai anak didik Azizan.

Menurut sebuah blog, walaupun Azam anak didik Azizan tetapi adakah ciri ciri yang ada pada dirinya sama seperti bekas pemimpin Kedah itu?

Penduduk Sg Limau perlu sedar, Sg Limau bukan lagi kawasan milik bekas menteri besar Kedah itu.. Kedah kini ditadbir oleh kerajaan BN dan bukannya lagi kerajaan Pas.

Justeru, tiada sebab lagi untuk Pas mempertahankan Dun Sg Limau.

Penduduk Sg Limau jangan bimbang soal pembanggunan kerana dalam Aku Janji BN Kedah sudah tertulis bahawa kawasan berkenaan akan dibanggunkan iaitu meneruskan projek Zon Industri Petroleum Yan (Zippy) ang dijangka akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir sudah berikrar semalam bahawa rakyat tidak perlu bimbang kerana setiap projek yang dirancang akan diteliti dengan mengambil kira kebajikan mereka terlebih dahulu. Sebagai contoh, jika melibatkan pengambilan tanah, ia akan berbincang dengan penduduk terlibat bagi menentukan nilai pampasan yang wajar.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang diterajui BN tidak akan merampas tanah sewenang-wenang seperti yang didakwa setengah pihak sebelum ini, termasuk bagi projek Zippy.

Ini kerana sesuatu projek itu tidak akan dilaksanakan jika tidak menguntungkan penduduk tempatan atau sebahagian besarnya mendapat nikmat serta merugikan mereka.

"BN tidak mahu cari pasal dengan rakyat yang boleh menyebabkannya kecundang dalam pilihan raya akan datang. Kita dah belajar dari pengalaman. “Kalau kita terus cari pasal dengan mereka, tunggulah PRU14. Kita tidak mahu itu berlaku kerana kita tadbir Kedah bukan untuk satu penggal. Kalau boleh mahu selama-lamanya kerana negeri ini milik BN,” katanya pada majlis pengumuman nama calon BN untuk PRK Dun Sungai Limau, petang semalam.

Beliau, yang juga Pengerusi BN Kedah, turut membidas pembangkang yang membuat dakwaan kerajaan negeri seolah-olah memberi ugutan kepada penduduk tempatan agar menyerahkan tanah untuk membolehkan projek pembangunan dilaksanakan di kawasan Sungai Limau.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang berbentuk ugutan kepada penduduk. Kita hanya mahu menawarkan perkhidmatan dan membawa pembangunan di sini. Itu sahaja, bukan ada niat lain. “Tetapi itulah masalah dengan Pas yang terlebih membaca sehingga yang tersirat pun mereka tahu.

"Tidak perlu melampaui batas jika nak berpolitik,” katanya. Sehubungan itu, beliau menasihati semua pihak yang bertanding dalam PRK Sungai Limau melakukannya dalam keadaan sihat dan harmoni agar tidak menjejaskan keselamatan negara.

Kalau pun nak menang di Sg Limau, Pas sepatutnya mengunakan kekuatan yang ada pada calon Pas itu sendiri..

Mereka tidak wajar guna arwah sebagai modal kempen.

Belum tentu cara yang dibawa oleh calon Pas ini sama seperti Ust Azizan walau anak didik sekalipun.

Cuba tengok Mukhriz, walaupun ber'bin'kan Tun Mahathir, cara pembawakan dan pentadbiran tak sama seperti ayahanda beliau.

Jadi tak mungkin anak didik Ust Azizan ini boleh bawa benda yang sama seperti arwah. Oleh itu, seramai 27,222 pemilih berdaftar layak mengundi dalam PRK DUN Sungai Limau, pada 4 November ini. perlu undi calon BN yang juga anak tempatan dan berpengalaman luas dalam bidang pendidikan.

Friday, October 18, 2013

PEMILIHAN SENGIT - TIGA BAHAGIAN UMNO TERENGGANU DAPAT KETUA BARU?

Yang pasti UMNO Bahagian Kuala Terengganu akan mendapat ketua baru esok.

Sementara diramalkan di UMNO Bahagian Dungun dan Marang akan ada perubahan. Itu ramalan semata-mata.

Sementara di UMNO Bahagian Dungun, djangkakan persaingan sengit akan berlaku dan keputusan di luar jangkaan mungkin berlaku.

Pemilihan kali ini menarik kerana selain tujuh Bahagian UMNO menghadapi pertandingan, cakap-cakap kononnya ada penajaan oleh pihak tertentu selain ada individu ‘bukan orang politik’ masuk campur turut menghangatkan spekulasi.

Pada 13 Oktober lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Terengganu Datuk Muda Mamat (kanan) tidak menyebut bahawa pertandingan bagi Ketua UMNO Bahagian Dungun, Kemaman dan Setiu akan ada persaingan sengit esok.

 Beliau hanya menyebut secara khusus mesyuarat perwakilan dan pemilihan Umno 2013 bagi jawatankuasa Bahagian Marang, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu yang akan berlangsung esok dijangka lebih sengit berbanding pemilihan tiga sayap parti Sabtu lalu.

Muda menyebut, pertandingan di keempat-empat bahagian itu agak 'panas' kerana calon yang bertanding semuanya mempunyai penyokong kuat masing-masing.

Kerana itu, peluang mereka juga agak seimbang kerana keistimewaan tersendiri.

Hanya UMNO Bahagian Besut nampaknya ‘tenang’ apabila Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad (kiri) menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua Umno Bahagian Besut setelah pencabarnya, Adun Jerteh Muhamad Pehimi Yusof menarik diri.

Ini bermakna tujuh lagi bahagian iaitu Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman akan menyaksikan pertemuan satu lawan satu hingga empat penjuru bagi merebut jawatan Ketua Umno Bahagian. Kuala Nerus dan Marang dikatakan bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru, Dungun (tiga penjuru) manakala Hulu Terengganu pertandingan satu lawan satu.

Tengku Putera
Untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian di Hulu Terengganu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari menentang Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Ini bermakna Tengku Putera yang menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu selama 18 tahun sejak 1995 buat kali pertama menghadapi cabaran.

Bagi UMNO Bahagian Kuala Nerus, penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri akan berdepan pertandingan empat penjuru, termasuk Datuk Ahmad Razif Abd Rahman yang juga ADUN Seberang Takir. Ahmad Razif yang juga Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu menawarkan diri bertanding jawatan itu berdasarkan kedudukannya sebagai satu-satunya wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam Parlimen Kuala Nerus yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-13, Mei lalu.
Ahmad Razif

Ahmad Razif juga memegang jawatan EXCO kerajaan negeri. Calon lain yang akan merebut jawatan itu ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus Datuk Abdul Rahin Mohd Said dan ahli jawatankuasa UMNO bahagian itu, Mohd Shapian Ali.

Marang juga dijangka sengit apabila Ketua Bahagian Datuk Yahya Khatib Mohamad yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri bakal ditentang anak saudaranya sendiri iaitu Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian dan Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri A Latiff Awang. Selain dua calon berkenan, turut bertanding ialah bekas exco Datuk Dr Abdul Latiff Awang dan Zainal Alang Abdul Rahman.
Din Adam

Hakikatnya, kita jangan ambil mudah pertandingan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Dungun kerana bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Din Adam kini tampil dua kali berturut-turut mencabar Datuk Dr. Rosli Mat Hassan selaku penyandang Ketua UMNO Bahagian Dungun bagi merebut jawatan berkenaan.

Di Setiu, bekas EXCO kerajaan negeri dan veteran UMNO Bahagian Setiu, Datuk Mohd Ghazali Abdul Rahman menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding mencabar Ketua Bahagian UMNO Datuk Mohd Jidin Shafie.

Bagi UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Yang Dipertua DUN, Mohd Zubir Embong yang sebelum ini meuar-uarkan akan bertanding jawatan itu akhirnya membatalkan hasrat berkenaan.

Sekali gus ia menyaksikan pertembungan dua penjuru iaitu antara Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Mohd Sabri Alwi dan Ir Mohd Johari Awang.

Mohd Jidin Shafie
Kerusi Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu kosong berikutan keputusan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tidak mempertahankan jawatan.

Selain persaingan sengit di kalangan calon, beberapa isu berkaitan pemilihan kali ini turut diperkatakan termasuklah kononnya sesetengah calon bagi merebut jawatan ketua bahagian ditaja oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Said, yang kemungkinan berlakunya perpecahan dalam Umno Terengganu.

Ahmad Said dikatakan menaja calon tertentu untuk menjamin Ketua Bahagian UMNO di negeri ini memberikan sokongan kepada beliau.

Kerana itu pada 25 September lalu, Ahmad Said menafikan dakwaan sambil menegaskan dakwaan itu berupa cubaan untuk mempengaruhi anggota parti dalam membuat keputusan pada pemilihan peringkat bahagian dan sayap Umno negeri esok.

"Itu spekulasi...saya sendiri didatangi orang tertentu kononnya mereka datang jumpa saya nak minta restu bertanding. Bagi saya, itu terpulanglah pada mereka. Lepas itu saya dapat cerita mereka bertanding sebab MB suruh, payahlah macam ni! Kita nak ambil sikap berdiam pun salah, cakap banyak pun salah. Orang nak ambil kesempatan bermacam caranya," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri pada hari berkenaan.

Ahmad Said yang akan mempertahankan jawatannya turut dicabar bekas Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kemaman Mat Dalam Awang.

Jadi siapa pula menaja Mat Dalam?

Berkaitan dengan isu ‘tajaan’ ini, ada pihak turut dijadikan sasaran kecaman kerana dituduh mencampuri urusan pemilihan kepimpinan UMNO di negeri ini.

Beberapa tuduhan terhadap individu berkaitan dipaparkan melalui beberapa kain rentang di beberapa lokasi di negeri ini dan kemudiannya disebarkan melalui Facebook.

Individu yang diseret dalam isu ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd.,Datuk Wan Ahamad Wan Muda.

Berikutan itu, pada 30 September lalu, Wan Ahamad yang seketika berdiam diri akhirnya tampil dengan menyifatkan tuduhan tidak berasas mengenai persaingan bagi jawatan-jawatan Ketua UMNO bahagian dengan menjadikannya sebagai sasaran itu, sungguh mengecewakan.

Tuduhan berunsur fitnah dan hasutan itu dianggap boleh menyebabkan masyarakat memandang serong sekali gus menjejaskan kewibawaannya sebagai peneraju syarikat pegangan utama pelaburan negeri itu dan menjatuhkan maruahnya serta keluarga.


Sebagai tindakan membersihkan namanya, beliau membuat laporan polis pada 25 September lalu dan memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.

Bagi Wan Ahamad, pertandingan dan proses menawarkan diri dalam parti adalah hak individu selaras dengan amalan demokrasi dan tidak kena-mengena atas arahan atau permintaan dan peruntukan yang disalurkan.

Berdasarkan kepada beberapa perkembangan pemilihan sayap Sabtu lalu, beberapa calon yang dikatakan ‘rapat’ dengan Ahmad Said umpamanya Asfalinda Anuar yang kalah bagi pertandingan jawatan Ketua Puteri Bahagian Kemaman turut menjadi bualan.

Malah, kekalahan Nordiana Shafie untuk Ketua Wanita bagi Bahagian UMNO Kuala Terengganu turut dikaitkan dengan Ahmad Said.

Apapun hasilnya, kita tunggu proses pemilihan jawatankuasa dijangka bermula sekitar pukul 10.30 pagi esok.

Keputusan rasmi dijangka mula diumum  pukul 11 malam di bahagian masing-masing.

Saturday, October 12, 2013

PROSES 'ELECTORAL COLLEGE' BERMULA, MESYUARAT PEMILIHAN SAYAP AUMNO BERJALAN LANCAR

Mesyuarat Perwakilan Dan Pemilihan Tiga Sayap Umno Berjalan Lancar

Hari ini bermulalah apa yang dikatakan proses demokrasi dalam UMNO.

Ibu Pejabat UMNO akan menggunakan sistem pemilihan secara 'Electoral College' kali ini sebagai rujukan bagi penambahbaikan untuk proses pemilihan parti akan datang.

Ini merupakan kali pertama anggota akar umbi diberi suara lebih besar dalam pemilihan Umno berikutan pindaan Perlembagaan parti yang dibuat pada 2009 ke arah menjadikan parti itu lebih telus, demokratik serta membasmi gejala politik wang.

Kira-kira 230,000 perwakilan diberi hak memilih pemimpin sayap masing-masing di peringkat bahagian dan pusat berbanding 2,500 perwakilan sebelum ini.

Maklum balas daripada 146,000 anggota perwakilan sayap yang terlibat dalam pemilihan ini pastinya akan memperkukuhkan kedudukan UMNO dan ahli merasa lebih komited kepada parti kerana mereka dibernarkan mengundi secara terus bukan segelintir perwakilan sahaja.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil membuang undi di Kepong
Sehingga kini (jam 2 petang) mesyuarat perwakilan dan pemilihan kepimpinan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno dilaporkan berjalan lancar.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh dipetik sebagai berkata: "Saya melihat kaedah serta penyusunan yang dibuat Jawatankuasa Pemilihan Umno bagi melancarkan pemilihan hari ini berjalan dengan baik dan semua prosedur yang diputuskan dari sudut pengagihan kertas undi, peti undi dan tempat mengundi juga diurus dengan baik," katanya kepada pemberita di Alor Gajah, Melaka.

Ab Rauf sebelum itu meninjau perjalanan mesyuarat dan pemilihan Puteri Umno Masjid Tanah di Sekolah Agama JAIM Paya Rumput. "Para perwakilan diharap menjalankan tanggungjawab sebagai anggota parti memilih pucuk pimpinan dengan amanah yang diberikan, maka lakukan yang terbaik untuk parti, agama, bangsa dan negara," katanya.

Beliau berkata calon yang tidak terpilih pula diharap akan menerima keputusan yang dibuat para perwakilan. 

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bermula serentak di 191 bahagian pada 8 pagi ini.

Mesyuarat perwakilan akan ditangguh kemudian untuk memberi laluan kepada proses pemilihan pemimpin di peringkat bahagian dan pusat ketiga-tiga sayap itu.

Ketika proses pengundian itu, setiap perwakilan diberikan dua set kertas undi untuk memilih pemimpin mereka di peringkat bahagian dan pusat

Selepas selesai proses pengundian yang dijangkakan 1 tengah hari tadi, perwakilan akan meneruskan semula mesyuarat mereka sementara proses pengiraan undi dijalankan.

Calon Ketua Puteri, Mas Ermieyanti Samsudin memasukkan kertas undi di Paya Rumput.

Pemilihan kali ini menyaksikan 110,765 perwakilan Wanita, kira-kira 70,000 Pemuda dan kira-kira 50,000 Puteri akan melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk memilih kesinambungan kepimpinan sayap parti itu untuk penggal 2013 hingga 2016.
Bagi pergerakan Pemuda, 94 calon disahkan layak bertanding di peringkat pusat manakala 7,125 calon di peringkat bahagian.

Bagi pergerakan Wanita pula, 51 calon layak bertanding di peringkat pusat dan 6,758 calon di peringkat bahagian. Seramai 35 calon layak bertanding di peringkat pusat dan 4,955 calon di peringkat bahagian pergerakan Puteri.

Ibu pejabat Umno menjangkakan keputusan awal bagi pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat pusat diketahui seawal-awalnya pada pukul 8 malam ini.

Mengulas kedudukan anggota Jawatankuasa Bahagian Bukit Katil Haron Abdullah yang namanya terdapat dalam senarai calon layak bertanding merebut jawatan ketua bahagian walaupun telah menarik diri, Ab Rauf berkata ibu pejabat Umno belum menerima surat penarikan diri calon berkenaan.

"Ibu pejabat hanya dimaklumkan menerusi siaran akhbar, saya akan cuba dapatkan maklumat lanjut dari badan perhubungan Umno negeri...kita (Umno) akan lihat dari sudut kesahihan penarikan diri, kalau berlaku dalam tempoh yang dibenarkan, kita akan berikan pertimbangan khas," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Melaka Tan Sri Ahmad Nordin Md Amin dilaporkan berkata pihaknya telah mengesahkan penarikan diri Haron menerusi surat makluman berhubung perkara terbabit yang dihantar ke Ibu pejabat Umno pada 24 Sept.