Saturday, December 31, 2011

PEMBANGKANG PAKSA YANG DI-PERTUAN AGONG PECAT JAMIL KHIR

"Wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman...Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes melibatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit inilah,” - Datuk Seri Jamil Khir

Ini belum jadi pemerintah rasmi!

Sudah pandai mahu paksa Yang di-Pertuan Agong memecat seorang Menteri yang kononnya tidak meminta maaf berhubung dakwaan penyalahgunaan wang zakat.

Menurut laporan semalam, gerakan anti-rasuah Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jingga 13 akan meminta Jamil Khir dipecat daripada pentadbiran negara sekiranya menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam itu tidak melakukan demikian.

Setiausaha Jingga 13, Saifuddin Shafi Muhammad, memberitahu wartawan bahawa selaku ketua agama negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memecat menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang menggunakan RM63,650 untuk membiayai kos guaman.

Namun, wang itu telah dibayar balik selepas agensi itu memperoleh RM70,000 pada Jun tahun lalu.

Pada Rabu, 28 Disember lalu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan pihaknya menggunakan peruntukan khas geran kerajaan bagi menjelaskan kos guaman Menteri berkenaan dan dua yang lain dalam kes membabitkan pertikaian di mahkamah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Muhammad Yamin Ismail berkata, pihaknya mempunyai peruntukan khas daripada geran kerajaan bagi tujuan pembayaran yuran guaman.

Sejak 1993, peruntukan khas itu telah diwujudkan dan tahun ini peruntukan yang diterima ialah sebanyak RM11 juta termasuk RM700,000 pada tahun sebelumnya.

"Apa yang boleh disimpulkan, keghairahan sesetengah pihak untuk menyalahgunakan proses mahkamah terhadap penjawat awam telah mengakibatkan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan kerenah mereka yang tidak berkesudahan," katanya dalam satu kenyataan.

Laporan Audit Negara mengesahkan sebanyak RM63,650 telah dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka. Turut disebut berhubung isu Che Mat yang telah meluluskan bayaran interim berjumlah RM31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 Januari 2010 iaitu daripada peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.

Menurut Muhammad Yamin, ketiga-tiga responden berkenaan adalah di bawah seliaan MAIWP sebagai penjawat awam bagi hal ehwal Islam, bukannya atas kapasiti peribadi mereka.

"Adalah menjadi kewajipan kami sebagai pihak berkuasa agama Islam untuk menanggung kos pembelaan bagi sebarang tindakan guaman terhadap mereka bertiga. Tohmahan yang dihadapi oleh ketiga-tiga responden ketika ini telah membawa kepada banyak pertikaian di mahkamah. Oleh demikian, ia mengakibatkan penggunaan wang rakyat yang sepatutnya disalurkan kepada kepentingan umat Islam," jelas beliau.

PKR bagaimanapun terus menerus memberikan tekanan ke atas Jamil Khir, berulang kali meminta perkara itu diperjelaskan.

Semalam, PKR terus menuntut pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib memberikan penjelasan berhubung penyalahgunaan wang zakat didakwa melibatkan Datuk Seri Jamil Khir Baharom sambil sekali lagi meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak lagi berselindung di sebalik pegawai kerajaan.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata wujud percanggahan dari segi penjelasan dan ada beberapa perkara yang masih menjadi tanda tanya.

Dakwaan penyalahgunaan wang zakat terhadap Jamil Khir Baharom didedahkan bekas pegawai kanan polis Datuk Mat Zain Ibrahim awal minggu ini.

Bekas pegawai siasatan jenayah Kuala Lumpur mendakwa Jamil Khir dan dua pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan wang zakat untuk membiayai kos guaman tahun lalu seperti yang disahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Jamil Khir, Setiausaha MAIWP Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwa MAIWP Shamsudin Hussain dikatakan menggunakan RM63,650 dari wang zakat untuk membiayai kos guaman dalam menghadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bayangkan kalau dah jadi pemerintah, Yang di-Petuan Agong, iaitu institusi tertinggi pentadbiran negara akan dibuat atau dipaksa oleh PKR sesuka hati.

“Jika beliau (Jamil Khir) tidak meminta maaf dalam 48 jam, kami akan menghantar memo kepada Agong selaku ketua agama untuk mempertahankan Islam,” katanya sebelum memfailkan satu laporan terhadap Jamil Khir di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor di Shah Alam.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, itu menegaskan laporan mendakwa beliau terbabit dalam penyelewengan wang zakat adalah tidak benar.

Beliau berkata, wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.

"Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes melibatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit inilah,” kata beliau di Sepang.

Apakah penjelasan ini tidak mencukupi? Apakah PKR mahu teruskan niat hantar memo kepada Yang di-Pertuan Agong?

Memandangkan Jamil Khir tidak mintamaaf kerana tidak perlu melakukannya dan isu ini dijadikan modal pembangkang, untuk tujuan politik, Jamil Khir akan menjadi watak yang akan diperkatakan sehingga pilihan raya umum depan.

Friday, December 30, 2011

MAHU JADI WAKIL RAKYAT…AZIZ BARI BUKA TEMBELANG DIRI SENDIRI

Tidak payah nak selak atau tercari-cari siapa sebenarnya ‘pakar perundangan’ yang diagung-agungkan pembangkang - Dr Abdul Aziz Bari.

Dia menunjuk dan mendedahkan warna sebenar dirinya apabila hari ini menawarkan diri sebagai calon berpotensi pada pilihan raya umum akan datang untuk Pakatan Rakyat.

Tidak hairanlah kalau beliau selama ini hentam kerajaan dan tidak ada yang kena dan menyokong apa sahaja kenyataan dan tindakan pembangkang.

Apabila sudah jelas begini mudah.

Ada pihak mengatakan Aziz Bari tidak perlu jadi ahli politik untuk memperjuangkan cita-citanya sebagai pengulas dan pakar.

Namun, dia tidak mampu menyekat kemahuan sebenar dirinya, apa lagi kini dikaitkan dengan PAS.

Aziz Bari mengatakan beliau mahu mengambil bahagian dalam proses politik negara dengan berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Jelas sekali beliau mahu jadi ‘payung terjun’ dan tidak perlu menjadi ahli parti untuk mencapai cita-cita dan kedudukan untuk beliau.

Walaupun mengatakan beliau “tidak ghairah” tentang menjadi anggota parti sambil menambah sistem dua parti yang berkesan membenarkan reformasi dan pentadbiran yang bagus, Aziz Baru tidak mempedulikan orang parti yang berjuang begitu lama dan sanggup berdepan pelbagai cabaran untuk sampai di tahap sekarang.

Tup..tup..Aziz Baru mahu bertanding dan menjadi calon.

Rasionalnya mudah. Seperti mengambil bahagian dalam pemilihan parti, beliau hanya mahu menjadi wakil rakyat jika mereka (Pakatan Rakyat) merasakan beliau sesuai untuk menjadi calon mereka.

Menurut The Malaysian Insider melalui kiriman emelnya hari ini, beliau ada menerima tawaran “tidak rasmi” dari semua parti pembangkang iaitu PAS, PKR dan DAP, namun “masih terlalu awal untuk membuat keputusan” parti mana yang akan ditandinginya.

Baginya beliau tidak memilih tentang bertanding di bawah mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat memandangkan “semua parti komited untuk melaksanakan dasar dengan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan ia pentung bagi mewujudkan sistem dua parti.”

Jelas, Aziz Bari tidak kisah apa perjuangan, asalkan boleh bantu pembangkang ke Putrajaya dan mengharapkan mungkin akan dilantik sebagai orang penting kerajaan kelak.

Sedangkan, jika beliau benar-benar berjiwa Islam, pastinya PAS pilihannya. Namun Aziz tidak…yang penting beliau jadi WAKIL RAKYAT!

Amat jelas Abdul Aziz menjadikan dirinya popular dan membiarkan kontroversi menyelubungi dirinya untuk kepentingan dirinya.

Perhatikan bagaimana beliau sanggup meletakkan dirinya agar digantung tugas dari Uiversiti Islam Antarabangsa kerana mengkritik campur tangan Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam negeri itu ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Banyak pihak mengatakan Aziz Baru idamkan kerusi Parlimen Sabak Bernam yang dipegang Abdul Rahman Bakri, yang dijangka akan dibicarakan pada Jun kerana didakwa membuat sembilan tuntutan palsu.

Sebagai orang Selangor dan berajakan Sultan Selangor, perbuatannya mengkritik Sultan itu adalah biadap dan tidak tahulah apakah orang di Sabak Bernam akan menerima beliau atau sebaliknya.

Selain tindakannya mengkritik Sultan Selangor, bekas pensyarah kontroversi ini berdepan dengan siasatan dalaman oleh UIA kerana kritikannya itu.

Selain itu Abdul Aziz juga disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Terbaru, beliau membela bukan Melayu dan bukan Islam mengatakan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia berkaitan Hak Istimewa Orang Melayu sebagai membuli rakyat bukan Melayu di negara ini.

Nilailah sendiri bagaimana orang ini mahu menjadi popular dan ahli politik pada ketika dia sendiri dikelilingi kontroversi dan kritikan-kritikan yang Dilihat melampau dan banyak kali membela orang bukan Islam.

Aziz Bari tidak peduli perasaan ahli atau pemimpin parti yang akan disertainya, atau pendapat mengatakan beliau bagus kalu terus menjadi penganalisis atau pakar perundangan daripada menjadi orang parti.

Bagi Aziz Baru hanya satu-satunya bagi dirinya ialah dia layak menjadi Wakil Rakyat dan sama ada mewakili PAS, DAP atau Parti Keadilan, itu tidak penting
.
Tidakkah ini menggambarkan Aziz Bari sebenarnya pentingkan diri sendiri dan pilihan apa lagi yang beliau ada selepas tidak lagi menjadi pensyarah di UIA?

Thursday, December 29, 2011

NIK AZIZ TOKOK TAMBAH & SENSASIKAN KEDATANGAN DR HASSAN KE JKR 10?

(Susulan) Nik Aziz kata Dr Hasan minta maaf....Dr Hasan kata dia datang ke Kelantan bukan untuk minta maaf tetapi hadir majlis mahabbah melibatkan dirinya dan Nasharudin Mat Isa, bersama-sama pemimpin tertinggi PAS.

Selepas dikritik oleh Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Harakahdaily petang ini mempertahankan berita kenyataan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz semalam mengenai pertemuan itu.

Harakahdaily menafikan berita itu diputarbelitkan sebagaimana di dakwa. Ia menyiarkan transkrip penuh sidang media Datuk Nik Abdul Aziz dengan wartawan di Pantai Irama, Bachok 28 Disember.



Kata Tuan Guru Nik Aziz: “Datuk Hassan Ali menarik balik kenyataan-kenyataan dia yang sensitif. Ini tanda kelelakian dia, anak jantan. Kita buat salah, bila kita sedar buat salah, tarik balik, minta maaf. Ini ajaran agama. Bukan senang manusia buat salah nak tarik balik, bukan senang. Tiba-tiba dia ni tarik balik. Kita ucap syukur, moga ramai lagi orang yang buat salah, tarik balik dan minta maaf.”

Nik Aziz kata beliau terima permohonan maaf yang dibuat di lokasi JKR 10 itu.

Persoalannya sekarang, apakah Nik Aziz BOHONG yang menyebabkan Harakahdaily turut BOHONG?

Nik Aziz menyebut perkataan ‘tarik balik’ sebanyak 5 kali dan ‘minta maaf’ sebanyak 2 kali.

Persoalannya apakah Dr Hasan tidak tarik balik serangannya bahawa PAS tergelicir landasan dari negara Islam kepada negara kebajikan dan tetap dengan pendiriannya dan Nik Aziz memandai-mandai menokok tambah dan mensesasikan kedatangan Dr Hassan ke Kelantan?

Semalam ramai pemimpin PAS dan blogger yang menyokong PAS menyatakan perasaan lega mereka dan menganggap kes ini sudah selesai.

Tetapi kini mereka kembali kelam kabut. Sama-sama pening dan pastinya akan meneruskan pertelingkahan sesama sendiri.

Nik Aziz minta penyokong PAS jangan guna media bukan-PAS tetapi kalau media sendiri pun bercelaru dan haru, bagaimana?

Kalau sebelum ini Dr Hasan diherdik dan diminta ‘angkat kaki’ apakah ‘hukuman’ terhadap bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu kali ini?


Apakah Ahli Dewan Undangan Gombak Setia itu akan dicaci, dimakihamun dan dihukum seperti yang dijatuhi terhadap pemimpin dan penyokong UMNO yang seagama dengan mereka?

Kita tunggu perkembangan selanjutnya...

HARAKAHDAILY BOHONG, DR HASAN NAFI KE KELANTAN UNTUK MINTA MAAF

Mana mungkin sebuah akhbar parti Islam yang selalu melaporkan perkara benar dan berfakta salah dalam membuat laporan.

Fakta salah maknanya laporan itu BOHONG.

Harakahdaily boleh bohong? Etika kewartawanan Islam Harakahdaily melarang sedemikian, lagipun Harakahdaily suara orang yang benar-benar Islam, bukan seperti Utusan Malaysia atau Berita Harian, suara ‘orang Islam yang kurang Islamnya’.

Aneh apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Dr Hasan Mohamed Ali hari ini menafikan laporan media rasmi PAS, Harakahdaily berkenaan laporan dia pergi berjumpa Mursyidul Am untuk meminta maaf di Kelantan kelmarin.

Bekas Pesuruhjaya PAS berkenaan, sebaliknya berkata dia ke Kelantan adalah untuk menghadiri majlis mahabbah melibatkan dirinya dan Nasharudin Mat Isa, bersama-sama pemimpin tertinggi PAS.

Soal saya turun ke Kota Bharu untuk memohon maaf kepada pucuk pimpinan seperti yang dilaporkan oleh Harakahdaily dan dipetik oleh kebanyakan saluran media adalah tidak benar sama sekali. “Saya terkilan dengan laporan Harakahdaily itu walaupun lidah rasmi parti tersebut kerapkali diingatkan supaya tidak memutarbelit fakta yang boleh menimbulkan keraguan dan perpecahan,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Menurut Dr Hasan, beliau dijemput untuk menghadiri satu majlis mahabbah melibatkan nya dan Nasharudin Mat Isa bersama-sama dengan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din di kediaman rasmi Tuan Guru Mursyidul Am di JKR 10 Kota Bharu.

Sebaliknya, Harakahdaily semalam menyebut Dr Hasan dan Nasharuddin berjumpa Nik Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar tersebut untuk meminta maaf terhadap beberapa isu sebelum ini dan menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti.

Kenyataan itu turut disahkan oleh Nik Aziz sendiri, malah beliau turut bercadang untuk membuat kenduri kecil-kecilan bagi meraikan perkara tersebut.

Nik Aziz kata perkara itu tidak lagi akan dijadikan isu oleh Umno ekoran ruang mereka untuk tujuan itu sudah tertutup rapat.

Nampak gayanya, kemelut belum selesai sepenuhnya dan Nik Aziz jangan tuduh orang UMNO sebarangan kerana yang bertelingkah adalah dalaman PAS sendiri.

Malah, jika Harakahdaily yang sepatutnya melaporkan perkara benar mengenai pemimpin mereka sendiri pun boleh berbohong, laporan mengenai UMNO dan pemimpinnya, pastilah dispin dan diputarbelit ikut selera mereka!

Terima kasih dan Tahniah Dr Hasan kerana mendedahkan identiti sebenar Harakahdaily!