Saturday, May 15, 2010

KERUGIAN SIME DARBY – SEMUA HARUS DISIASAT!

Kerugian RM1.63 bilion yang dialami oleh Sime Darby Bhd. - sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) bukan kecil dan mengejutkan!

Apakah keputusan-keputusan yang dibuat membabitkan pelaburan dalam syarikat itu hanya oleh seorang Presiden atau CEO semata-mata?

Juga kenapakah pihak yang sepatutnya mengetahui mengenai perkembangan pelaburan kewangan dan pelaburan Sime Darby seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) berdiam diri sebelum ini?

Apabila disebut GLC, ia juga milik rakyat. Kerajaan yang dilantik rakyat seharusnya bertanggungjawab penuh terhadap syarikat miliknya itu.

Dengan kata lain, sebarang keputusan sama ada memecat atau mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang bertanggungjawab perlu telus dan kerajaan perlu mengambil inisiatif utama.

Melegakan sedikit apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam mengatakan kerajaan tidak berhasrat untuk menutup kerugian akibat lebihan kos berjumlah RM1.6 bilion yang ditanggung Sime Darby kerana ia selaras dengan prinsip urus niaga yang baik.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sime Darby bercuti sementara tamat kontraknya juga perlu dibuat bagi mencerminkan prinsip ketegasan, ketepatan dan ketelusan dalam syarikat itu.

Kelmarin , Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam meminta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid untuk mengambil cuti sebelum tarikh kontrak beliau tamat pada 26 November 2010.

Jawatan Ahmad Zubir yang kontraknya bakal berakhir pada 26 November ini akan dipangku Naib Presiden Eksekutif (Perladangan), Datuk Azhar Abdul Hamid.

Pihak lembaga pengarah syarikat konglomerat itu meminta Ahmad Zubir bercuti sebagai memenuhi dasar amalan urus tadbir korporat.

Seharusnya, seluruh pengurusan tinggi Sime Darby sewajarnya dipertanggungjawab, termasuk Musa, mengambil tanggungjawab itu. Apakah keistimewaan mereka – selain Ahmad Zubir – untuk ‘dibebaskan’ daripada tanggungjawab itu?

Ternyata kesan segera daripada pendedahan bahawa kelewatan dan kos berlebihan dalam beberapa projek yang memberi kesan negatif signifikan sebanyak RM964 juta dari projek di Qatar dan projek empangan hidro elektrik Bakun, menyebabkan saham Sime Darby Bhd turun 40 sen atau hampir 5.0 peratus kepada RM8.25 semalam di Bursa Malaysia.
Malah, ia juga merupakan saham paling banyak rugi di bursa tempatan semalam.

Kaunter itu dibuka semalam RM8.23 berbanding harga pra-penggantungan sebanyak RM8.65 dan ditutup pada harga RM8.25 dengan 40.97 juta saham bertukar tangan.

Ia juga merupakan kaunter yang paling aktif di mana penganalisis pasaran saham berkata kaunter itu menarik turun keseluruhan pasaran 7.62 mata kepada 1,339.3.

Sime Darby semalam mengumumkan syarikat itu akan menanggung impak negatif sebanyak RM964 juta pada perolehannya bagi separuh kedua tahun kewangan 2010 disebabkan kelewatan dan kos berlebihan daripada projek-projek itu dengan membuat perubahan pada pengurusan.

Sememangnya, pengumuman mengenai Sime Darby ini mengejutkan banyak pihak dan sewajarnya siasatan dibuat oleh sebuah badan bebas.

Juga tidakkan wajar jika kes ini dirujukkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat kerugian yang dianggap luar biasa itu?

Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas memberikan pendapatnya bahawa sebagai sebuah konglomerat penting dan majikan kepada ribuan pekerja, Sime Darby sepatutnya menjadi syarikat contoh yang diurus tadbir dengan sistem terbaik.

"Kerugian sebanyak itu membuktikan banyak perkara yang tidak kena telah berlaku dan mengikut undang-undang, semua ahli lembaga pengarah kumpulan dan anak-anak syarikat berkaitan perlu dipertanggungjawabkan. Konsultan bebas dalam bidang perakaunan perlu dilantik dan saya difahamkan sebuah firma pakar telah menjalankan siasatan dan diharap keputusan siasatan itu diumumkan kepada rakyat," katanya seperti dilaporkan akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Yang pasti, rakyat termasuk pemegang saham dan pihak berkepentingan ingin mengetahui apa sebenarnya yang berlaku pada Sime Darby, syarikat yang dikuasai Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu?

Memang benar jika ada pandangan mengatakan kerugian itu perlu dipertanggungjawabkan bukan sahaja kepada Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby malah semua ahli lembaga pengarah termasuk pengerusi yang mesti meletakkan jawatan.

Perdana Menteri sewajarnya tidak membiarkan perkara itu dengan hanya menyalah Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby itu sahaja. Ini kerana ada pihak yang bimbang kerugian Sime Darby mungkin mencecah lebih besar, iaitu hampir RM4 bilion.

Ada juga pandangan mengatakan SC sepatutnya mengawal selia kepentingan pelabur dalam Sime Darby dan dalam kes ini SC yang sepatutnya mengetahui kedudukan sebenar Sime Darby wajar menyatakan perkara sebenar kepada Kementerian Kewangan mengenai kelewatan projek dan kerugian yang dialami GLC itu sejak beberapa tahun lalu.

Persoalannya kenapa SC berdiam diri? Adalah tidak adil sekiranya kedudukan sebenar sesebuah syarikat tersenarai dalam Bursa Malaysia itu gagal memberikan gambaran yang sejelas-jelasnya kepada pihak pelabur dan pemegang saham.

Berikutan itulah kini banyak pihak menyuarakan agar Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby juga perlu meletakkan jawatan sebagai bertanggungjawab bersama ekoran kerugian RM1.63 bilion itu.

Benar seperti dikatakan oleh Senator Musa Sheikh Fadzir bahawa adalah tidak adil jika beban kesalahan ekoran kerugian itu diletakkan di bahu Ahmad Zubir semata-mata.

Yang pasti, tidak mungkin sebarang keputusan termasuk dalam soal pelaburan syarikat hanya keputusan individu seperti Ahmad Zubir semata-mata. Ia pastinya memerlukan kelulusan atau budi bicara pihak lembaga pengarah syarikat sendiri.

Amat malang sekiranya siasatan tidak dilakukan, sama ada oleh sebuah badan bebas atau juga melalui SPRM untuk mengetahui dengan jelas apakah kerugian itu dinikmati manfaatnya oleh pihak tertentu.

Siasatan hendaklah telus untuk bersikap adil kepada kepimpinan negara yang bekerja keras mahu memastikan segala bentuk pengurusan dan pentadbiran dilakukan secara telus dan profesional.

Yang menariknya pengurusan GLC ini dilantik bukan oleh kepimpinan sekarang dan wajar sekali Najib menilai kembali bagaimana kaedah pelantikan yang boleh memastikan GLC benar-benar diurus secara profesional.

Bagi MIDF Research, ia sedang mengkaji semula unjuran ke bawah pendapatan tahun kewangan 2010 Sime Darby sebanyak 33 peratus kepada RM1.56 bilion.

Berikutan itu dengan apa yang digambarkan sebagai eksersais "dapur digenangi air", tidak wujud keperluan untuk menyelaraskan unjuran pendapatan tahun kewangan 2011 Sime Darby.

"Kami yakin masalah itu akan ditangani menjelang tahun kewangan 2010," kata MIDF. Berikutan itu menurutnya, agak berbaloi untuk dimaklumi bahawa kerugian RM964 juta itu adalah setara dengan hanya 1.9 peratus daripada modal pasaran Sime Barby yang bernilai lebih kurang RM52 bilion, kata MIDF.

OSK Research Sdn Bhd sebaliknya berpendapat punca bagi masalah Sime Darby adalah kerana syarikat itu adalah terlalu besar dan terlalu dipelbagai untuk diurus dan dikawal dengan betul.

Kerana itu, tidak wajar untuk menyalahkan kos konglomerat yang berlebihan sebanyak RM964 juta itu dipertanggungjawabkan kepada Ahmad Zubir semata-mata.

Kelemahan kawalan dalaman dalam konglomerat bukan sesuatu yang baharu seperti di dalam insiden sebelumnya, kerugian dagangan di ladang Sime Darby yang menyebabkan pengawal kewangan syarikat diganti, kata OSK dalam kenyataan semalam.

"Sementara kami mempersetujui bahawa seorang ketua pegawai eksekutif dipertanggungjawabkan bagi kerugian syarikat yang besar itu, kami percaya dalam kes Sime Darby ini, memang terlalu mudah untuk mempersalahkan beliau," katanya.

Jika Sime Darby terus dilanda kerugian daripada satu segmen ke segmen yang lain, penyelesaian yang hanya wajar ialah untuk memecahkan kumpulan itu kepada unit-unit yang lebih strategik untuk diuruskan, kata OSK.

Jika diandaikan kerugian RM964 juta itu berada pada tahap bersih, unjukan tahun kewangan 2010 akan dicantas sebanyak 35 peratus kepada RM1.743 bilion daripada unjuran terdahulu RM2.707 juta yang dibuat sebelum kerugian di atas timbul, kata OSK.

Tuesday, May 11, 2010

UMNO PERLU DINAMIK, SEGAR & BERNAFAS BARU

SMS saya kepada rakan-rakan UMNO malam semalam berbunyi : “Hidup Aman Damai, makmur & Sejahtera. Inilah salah satu nikmat daripada UMNO. Selamat Ulangtahun ke 64.”

Reaksi rakan-rakan berbagai. Semuanya masih meletakkan harapan tinggi kepada UMNO.

Tiada noktah mahupun halangan bagi perjalanan jauh UMNO untuk kepentingan orang Melayu.

Kerana itu orang Melayu sewajarnya menyertai UMNO. Orang Melayu juga sewajarnya tidak meninggalkan UMNO.

Kenapa mesti ada orang Melayu mahu tinggalkan atau tidak berminat lagi dengan UMNO?

Sewajarnya orang Melayu bangga dengan jasa dan pencapaian yang disumbangkan oleh UMNO.

Biarlah ada pendapat mengatakan UMNO semakin reput atau hampir pupus tetapi hakikatnya UMNO akan relevan sepanjang masa jika orang Melayu merasakan UMNO mampu melindungi mereka.

Hakikatnya UMNO berupaya dan sejarah lebih setengah abad membuktikannya.
Yang penting bak kata Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak, UMNO perlu bersikap realistik dan sanggup membuat perubahan.

Ini penting kerana rakyat bukan sahaja melihat parti itu daripada segi nilai sejarah sahaja tetapi juga kedudukannya masa kini dan masa akan datang.

Umno yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 adalah parti tunjang yang memperjuangkan kemerdekaan negara dan ternyata Malaysia berjaya disebabkan dasar yang didokong oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Parti keramat orang Melayu dan Barisan Nasional telah membuktikan bahawa kedua-duanya sudah melakukan transformasi yang besar kepada negara.

Benar kata Najib bahawa UMNO tidak boleh leka dengan faktor sejarahnya kerana rakyat menilai parti itu bukan berdasarkan faktor sejarah semata-mata tetapi juga sumbangan parti itu di masa kini dan masa akan datang. Kerana itu UMNO mestilah dinamik, segar dan bernafas baru.

Berikutan itu UMNO perlu melakukan perubahan, kerana jika ia gagal berubah atau mensesuaikan dengan semasa, parti itu akan terdedah kepada beberapa kemungkinan seperti yang berlaku kepada parti-parti lain seusia dengannya.

Kerana itu, jangan pedulikan dengan mereka yang lupa diri, lupa jasa UMNO atau juga yang memang tidak mahu menghargai sumbangan UMNO.
UMNO kini memasuki usia 64 tahun dan ia sebuah parti yang memang konsisten di dalam agenda perjuangannya. UMNO tetap berjuang untuk meningkatkan martabat agama, bangsa dan tanah air yang tercinta melalui dasar, pelaksanaan dan pengawasannya.

UMNO juga terbuka dan tidak mengamalkan dasar tertutup seperti parti lain di negara ini yang hanya menurut arahan ketua atau hanya patuh kepada kepentingan pemimpinnya.

Satu sumbangan besar UMNO ialah menegakkan perpaduan bagi menjamin keamanan. UMNO tidak tunduk kepada desakan ahli atau pemimpin yang berkepentingan diri atau kelompoknya umpamanya dalam pembahagian kerusi bagi pilihan raya.

UMNO adalah parti yang penuh bertimbang rasa, bertolak ansur dan mementingkan setia kawan.

Ia berkorban untuk rakan-rakan komponen dalam menentukan calon bertanding. Lihat sahaja bagaimana kerusi yang ramai pengundi Melayu dan Bumiputera, sanggup diserahkan kepada parti komponen seperti MCA, MIC atau juga Gerakan.
Amat jelas UMNO dari segi semangat dan rohnya bukan untuk Melayu semata-mata. Ia untuk semua – untuk rakyat Malaysia pelbagai kaum.

UMNO tidak tamak. Dalam ia memperjuangkan kepentingan Melayu, ia juga menjaga kepentingan bukan Melayu. Dalam ia menegak dan menjamin Islam terpelihara, ia menjamin agama lain diamalkan dengan bebas oleh penganut bukan Islam.

UMNO juga tidak pentingkan orang Melayu semata-mata. Dasar ekonomi negara menjamin semua kaum mendapat peluang. Yang mengatakan dasar kerajaan berat sebelah adalah yang mahukan semua bukan berkongsi kemakmuran dan kesejahteraan.

UMNO perlu memerangi sikap cauvinis dan berkepentingan ras dan agama. UMNO perlu menjadi ketua dalam memerangi politik perkauman dan keagamaan melampau.

UMNO mempunyai ahlinya yang bersikap rasional dan sederhana. UMNO tidak menunjuk-nunjuk kononnya merekalah paling baik, ekstrem dan kumpulan yang dimuliakan.

UMNO tidak menunjukkan yang kaum Melayu adalah kaum ‘terpilih’ atau mereka yang paling baik dari segi pegangan agama. UMNO membuktikan melalui kesederhanaannya, ia diterima masyarakat dunia bahawa Malaysia adalah negara progresif yang rakyatnya bekerja kuat dan rasional.

Pemimpin UMNO membuktikan dengan jelas melalui dasar-dasarnya ia mampu mentadbir urus negara dengan baik, penuh bertanggungjawab dengan meletakkan pembangunan pendidikan, peningkatan taraf ekonomi dan taraf hidup, pembangunan lestari dan akhirnya dasar luar yang diterima baik seluruh negara dunia.
Ternyata selepas 64 tahun, UMNO mampu menjadi peneraju Barisan Nasional (BN) dengan melahirkan rakyat yang berdaya saing menghadapi cabaran semasa.
Seperti kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, UMNO diharapkan akan meneruskan perjuangannya untuk membela nasib masyarakat Melayu negara ini.

Cuma apa yang perlu dielakkan ialah tidak wujud kelompok dalam UMNO yang akhirnya membentuk komplot sehingga boleh merosakkan parti.

Kewujudan kelompok dan komplot akan mengakibatkan ahli-ahli parti bermusuh sesama sendiri dan hilang tumpuan untuk berdepan dengan parti pembangkang serta melupakan tanggungjawab terhadap rakyat.

Gejala sedemikian, akan menjejaskan keupayaan UMNO dan kelemahan akan menyebabkan parti sukar memenangi pilihan raya umum. Kekalahan dalam pilihan raya akan melemahkan parti dan sokongan.

Apabila keadaan itu timbul sukarlah untuk parti bangkit atau bingkas semula selain semangat ahli akan menjadi layu.

Kerana itu, sempena Hari UMNO hari ini, ahli UMNO perlu memperkukuhkan semangat selain meningkatkan azam agar parti terus berdaya maju sambil ahli-ahlinya terus mampu berdaya saing sama ada dalam pilihan raya mahupun kerja-kerja memperkasakan parti.

Solat maghrib, bacaan Yassin, tahlil dan doa kesyukuran di Dewan Tun Razak 4, PWTC bermula 6.30 petang ini hanyalah upacara.

Yang penting di benak dan jauh di sudut hati setiap ahli UMNO tetap yakin dan mempercayai bahawa UMNO akan terus relevan, segar, bernafas baru dan selamanya dinamik.

SELAMAT MENYAMBUT HARI UMNO!

KONSPIRASI KE TEPI, LIWAT SAIFUL ATAU TIDAK?

Apa masalahnya Anwar?

Nak tunjukkan kononnya ada konspirasi? Soal penting ialah “U liwat Saiful atau tidak?”

Ini persoalan asas. Tidak payahlah wujudkan teori konspirasi dalam kes ini.

Dulu pun sama. Tun Dr Mahathir Mohamad juga diberitahu mengenai ‘perbuatan liwat’ lebih awal, sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa di mahkamah.

Pada peringkat awal, Dr Mahathir berang dengan semua orang kalau mengatakan Anwar ‘melakukan liwat’.

Saya sendiri pernah bertengkar hebat dengan Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Menteri Pendidikan di pejabatnya di Damansara.

Saya dipanggil oleh Najib ke pejabatanya kerana sebuah ulasan yang saya tulis dalam akhbar Harian Watan, yang mempersoalkan siapa mempertahankan Najib, Aziz Shamsuddin dan Megat Junid Megat Ayob pada ketika Dr Mahathir mempertahankan Anwar dalam kes tuduhan liwat ini.

Najib merasakan saya cuba mengaitkan namanya kononnya wujud konspirasi untuk menjatuhkan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO ketika itu.

Namun akhirnya bekas Perdana Menteri sendiri mengakui Anwar meliwat.

Dengan gambar mata lebam dan kononnya wujud konspirasi oleh Dr Mahathir, pilihan raya umum 1999 menyaksikan pembangkang mendapat untung daripada penangkapan Anwar.

Kini giliran Datuk Seri Mohd Najib Razak pula menjadi mangsa tuduhan Anwar.

Skripnya lebih kurang sama. Kononnya wujud konspirasi kali kedua.

Bagaimanapun kali ini orang yang mendakwa diliwat atau lebih tepat pengadu tampil dengan beraninya dan berjumpa Perdana Menteri terlebih dahulu sebelum membuat laporan polis.
Berbeza dengan kes pertama apabila ‘yang kena liwat’ adalah mereka yang rapat dengan Anwar. Tiada laporan polis dan hanya siasatan dan dakwaan polis mengatakan ‘mereka diliwat’ oleh Anwar.
Semalam, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata. Mohd Saiful Bukhari Azlan mengaku bertemu Datuk Seri Najib sebelum membuat laporan polis.
Amat jelas bahawa peguambela Anwar berusaha untuk mengaitkan perdana menteri dalam konspirasi untuk menjatuhkan Anwar dengan tuduhan meliwat seorang bekas pembantu lelakinya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengakui bertemu pembantu ketua umum PKR itu - Saiful Bukhari Azlan, selepas dia berkata diliwat oleh Anwar tetapi sebelum satu aduan polis dibuat pada Jun 2008.

Apa salahnya Saiful menemui Najib? Saiful menemui seseorang yang beliau yakin dapat membantu selain menjamin orang yang ‘meliwatnya’ dihadapkan ke muka pengadilan.

Najib sendiri menafikan campurtangan dalam kes tersebut.

Jadi apa masalahnya? Pertemuan itu mahu dijadikan bukti konspirasi?

Saiful memberitahu mahkamah semalam bahawa dia bertemu Najib pada 24 Jun - dua hari sebelum kenyataannya bahawa Anwar telah meliwatnya - satu jenayah di negara Islam - dan empat hari sebelum dia berjumpa polis.

Saiful telah menceritakan kepada Najib masalah yang dihadapinya. Dia bagaimanapun tidak menjelaskan apakah masalah yang dihadapinya ketika itu.

"Perdana menteri terbabit. Terdapat konspirasi politik untuk menyingkirkan Anwar," kata peguam Karpal Singh di mahkamah semalam.

Karpal juga mencabar dakwaan Saiful yang dia diliwat, dengan menegaskan bahawa ia tidak disokong oleh satu laporan perubatan.

Perbicaraan kes liwat terhadap Anwar dijadual berterusan hingga Ogos depan.

Saiful memberitahu demikian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan tuduhan liwat terhadap Anwar.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, di sebuah pangsapuri di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dihukum 20 tahun penjara - hukuman yang sekaligus akan menamatkan karier politik ketua pembangkang berkenaan.

Monday, May 10, 2010

KE MANA BERAKHIRNYA KEMELUT ISTANA KELANTAN?


Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra petang semalam sudah berangkat balik ke Istana Mahkotam selepas dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian Selasa lalu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Tuanku Ismail Petra dibawa pulang ke Istana Mahkota selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu semalam. –Gambar Utusan
Namun, kes istana Kelantan semakin rumit dan tidak akan terhenti di sini.

Kepulangan Sultan Kelantan itu sehari sebelum Mahkamah Khas dijadual bersidang hari ini untuk mendengar permohonan habeas corpus yang difailkan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang juga putera ketiga baginda bagi pihak Sultan Kelantan supaya baginda dibawa keluar dari hospital itu.

Permohonan ini akan mula didengar di Mahkamah Khas di Putrajaya Isnin ini, dengan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

Peguam Gobind Singh Deo mengesahkan kepulangan Sultan Kelantan itu semalam dan berkata beliau akan berbincang dengan pasangan diraja itu sebelum memutuskan tindakan udang-undang selanjutnya.

Gobind adalah salah seorang daripada enam peguam yang memfailkan writ habeas corpus di Mahkamah Khas Putrajaya Jumaat lalu untuk "membebaskan" sultan dan membolehkan baginda mendapatkan rawatan perubatan pilihannya.

Gobind menafikan laporan media bahawa Sultan Kelantan dalam keadaan kurang upaya.Setahu kami baginda masih sedar, waras dan mengetahui apa yang berlaku,” kata Gobind.

Kemelut istana Kelantan kini semakin bercelaru apabila ada tuduhan kononnya Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid didakwa menggunakan bomoh untuk 'merawat' Sultan Kelantan - Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra.

Keraguan ini timbul apabila "barang-barang yang diragui dari segi hukumnya" ditemui dekat baginda ketika dirawat di Singapura.

Tengku Rozan Almarhum Sultan Yahya Petra (kanan dalam foto) mendakwa semalam ada sebab-sebab untuk mempercayai bahawa Raja Perempuan telah menggunakan bomoh untuk 'merawat' sultan dengan "barang-barang yang diragui dari segi hukumnya" ditemui dekat baginda di Singapura.

Beliau menyatakan demikian bercakap dalam satu sidang akhbar di Rumah Kelantan di ibunegara semalam bersama adiknya Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra (kanan dalam foto).

Laporan Malaysiakini menyebut, kedua-dua mereka mendakwa bahawa Raja Perempuan, Tengku Anis yang mengawal ketat sultan.

Mereka mendakwa, Tengku Anis yang mengawal siapa yang boleh menziarahi sultan, dan polis, doktor serta kakitangan hospital menjadi sasaran gangguan pembantunya.

Rabu lalu, Tengku Anis mendakwa beliau terpaksa 'mendapatkan perlindungan' di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, malam Selasa lalu kerana kuathir ditangkap polis dan supaya berada di samping suaminya.

Menurut laporan The Malay Mail, Tengku Anis juga mendakwa Sultan Kelantan ditahan tanpa kerelaan baginda dan polis mengabaikan perintah baginda supaya dibawa ke istana.

Akhbar The Malay Mail memetik Tengku Anis sebagai berkata “polis mengheretnya seperti lembu” dalam usaha memaksanya ke balai polis.

Bagaimanapun, petang semalam Tengku Anis menemani Sultan Kelantan yang memakai baju batik berwarna coklat muda berangkat kira-kira pukul 5 petang dengan kawalan ketat polis dan tiba di Istana Mahkota 10 minit kemudian.

Tuanku Ismail Petra kelihatan berada dalam keadaan sihat ketika disorong dengan kerusi roda menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Hamid Hamad berkata, Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra telah memperkenankan supaya ayahanda baginda dibawa pulang ke Istana Mahkota.

Juga menarik ialah apabila doktor peribadi Sultan Kelantan, Dr Amir Ramli menegaskan, penilaian tahap kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang dilakukan oleh panel perubatan dikuatiri tidak tepat kerana ia dijalankan dalam keadaan tertekan.

Beliau mempertikaikan kewibawaan 10 pakar perubatan yang menggotai panel itu berkata, ini kerana pemeriksaan berkenaan dilakukan secara mengejut selepas beberapa insiden yang berlaku sejak Selasa lalu.

Panel terdiri 10 pakar perubatan dilantik Kerajaan Negeri Kelantan dengan perkenan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra buat pertama kali berpeluang melakukan pemeriksaan kelmarin terhadap kesihatan Sultan Kelantan sejak dibawa pulang ke negeri ini pada 4 Mac lalu.
"Pemeriksaan yang dibuat secara mengejut itu tidak kena pada masanya ketika baginda masih berada dalam trauma.

"Dari segi etika memang tidak boleh buat laporan perubatan tanpa kerelaan dan keadaan pesakit yang tertekan, saya dapat tahu baginda tidak dapat rehat yang cukup sejak dua tiga hari lalu," kata Dr Ramli.

Selain itu Dr. Amir yang juga pakar perubatan dalaman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pada masa ini tahap kesihatan Sultan Kelantan semakin menurun jika dibandingkan sebelum ini iaitu sejak pulang pulang menjalani rawatan di Singapura.

"Sebelum ini Tuanku okay, rasional, sentiasa senyum dan gelak.

"Sekarang pasukan pakar perubatan di Istana Mahkota mengajar tuanku untuk bangun dan berjalan, boleh saya katakan perubahan dalam peringkat 80 peratus," kata doktor peribadi Sultan Kelantan sejak baginda pulang dari Hospital Mount Elizabeth.

Menurut Dr. Amir, sebelum Sultan Kelantan dirawat di HUSM, seramai tujuh pakar perubatan menjalankan pemantauan kesihatan baginda.

Jelas beliau, empat daripada mereka ialah pakar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) manakala selebihnya daripada Kuala Lumpur.

"Pemeriksaan pakar-pakar itu dilakukan seminggu sekali tetapi dalam keadaan kes-kes tertentu mereka akan dihubungi pada bila-bila masa.

"Bukan itu sahaja, pakar terbabit juga dibantu oleh lapan orang doktor perubatan lain yang bertugas secara bergilir selama 24 jam di Istana Mahkota, malah sebuah ambulan disediakan oleh HRPZ II" katanya.

Katanya lagi, rawatan yang dilakukan di Istana Mahkota adalah lebih baik dan tersusun jika dibandingkan dengan HUSM.

"Ia dilakukan dalam persekitaran yang relaks dan tenteram, ia lebih baik untuk proses penyembuhan Tuanku," katanya.

Jumaat lalu, Sultan Kelantan memfailkan satu writ habeas corpus berhubung penahanan yang didakwa dialami oleh baginda. Ia difailkan pada kira-kira jam 11.45 pagi ini melalui enam peguam mewakili baginda.

Permohonan itu merupakan kes pertama seumpamanya yang akan didengar di Mahkamah Khas sejak ditubuhkan pada 1993.

Raja Aziz Addruse yang mengetuai barisan peguam berkenaan berkata, permohonan hanya dapat difailkan setelah mereka berjaya mendapatkan arahan daripada ahli keluarga diraja itu.
Lima pihak yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu termasuk Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah HUSM Kubang Kerian.

Juga dinamakan ialah Ketua Pengarah Kesihatan (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan juga Kerajaan Malaysia.

Sehubungan itu, kerajaan juga dituntut supaya membuat penjelasan berhubung layanan yang diberikan ke atas Sultan Kelantan yang didakwa telah dinafikan hak dan kebebasannya.
Ditanya sama ada Pemangku Raja,Tengku Muhammad Faris Petra akan dinamakan sebagai reponden, peguam kanan Raja Aziz Addruze menolaknya dan menuding tanggungjawab itu ke atas kerajaan persekutuan dan polis, beliau berkata: "Bagi kami, Pemangku Raja tidak relevan dalam perkara ini.

Pihak yang aktif adalah polis dan kerajaan persekutuan - mereka adalah pihak yang menghalang sultan,” katanya.

Peguam Param Cumaraswamy, yang juga hadir pada sidang media itu berkata kerajaan persekutuan perlu menjawab banyak soalan.

Pada sidang media sama, seorang lagi peguam, Datuk Param Cumaraswamy berkata pihak polis perlu membuat penjelasan segera dalam isu melibatkan penahanan baginda tuanku.

"Kedua-dua ketua polis negeri Kelantan dan ketua polis negara ada banyak penjelasan yang perlu dibuat, mengapa sultan diperlakukan sebegitu rupa. Mereka bertanggungjawab (untuk jelaskan) kepada rakyat dan perlu bertanggungjawab atas segala tindakan yang telah diambil," katanya lagi.

Amat jelas kini kemelut istana Kelantan tidak berkisar dalam istana semata-mata kerana ia kini menjadi kes yang dibicarakan di mahkamah.

Apakah kesan kemelut ini terhadap Kerajaan Persekutuan dan tuduhan bahawa Tengku Anis turut menjadi punca utama dalam kemelut ini selain perebutan takhta yang belum ada penamatnya?