Wednesday, April 15, 2009

IMEJ UMNO SEMAKIN TERCALAR

Harapan ialah apa juga krisis, ia diselesaikan dengan baik.

Apa yang berlaku di Terengganu mengundang pelbagai spekulasi dan ulasan. Yang pasti, UMNO bagaikan kena sumpahan. Lepas satu-satu. Tetapi sumpahan itu bukan dikarmakan oleh pihak lain, sebaliknya oleh ahli dan anggota UMNO sendiri.

Sumpahan termasuk merosot sokongan pada pilihan raya umum lalu, kalah pilihan raya kecil Permatang Pauh, Kuala Terengganu serta Bukit Gantang.

Desas desus kononnya akan ada usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar pada Sidang DUN Terengganu bermula Isnin, semalam dan hari ini ternyata tidak menjadi kenyataan.
Sidang berakhir dengan isu yang tertumpu kepada sms ugutan.

Orang yang dikaitkan dengan sms, kebetulan pegawai paling kanan Menteri Besar dan beberapa bulan lalu turut dijadikan kontroversi apabila ada pertukaran pegawai kanan kerajaan negeri.

Bagi saya, masalah di Terengganu yang dihasilkan oleh orang UMNO sendiri selain mungkin beberapa kakitangan kerajaan, perlu diselesaikan oleh pengurusan tertinggi UMNO selain Menteri Besar sendiri.

Kakitangan yang mendatangkan masalah kepada pentadbiran atau yang asyik mengomel mengenai status dan cuba menyebelahi pihak yang tidak mentadbir negeri perlu diperbetulkan.

Sekiranya mereka terus keras kepala dan enggan ‘menurut perintah’ untuk melaksanakan tanggungjawab memberikan faedah kepada rakyat, perlu dikenakan tindakan.

Dalam etika dan peraturan kakitangan pentadbiran kerajaan, ada peruntukan untuk memperbetulkan keadaan dan caranya perlulah digunakan budi bicara yang sewajarnya.

Sementara dalam konteks UMNO, hakikat nyata ialah keengganan menghadiri sidang DUN menemplak UMNO sendiri yang menjadi tulang belakang kerajaan Terengganu.

Kalaupun tidak bersetuju atau merasakan Datuk Ahmad Said tidak layak, cara untuk mengemukakan pandangan atau sikap bukan secara terbuka.

Saya tidak pasti kenapa kejadian ugutan itu tiba-tiba selari dengan ura-ura mengemukakan usul tidak percaya.

Malah, kalau berasaskan laporan Malaysiakini, dua rombongan sudah menemui Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Mereka dipanggil atau datang untuk menceritakan ‘kelemahan Ahmad Said’ tidak pasti.
Saya mengharapkan penyelesaian krisis Terengganu oleh Perdana Menteri dan timbalannya ‘serupa dan senada’.

Kita tidak mahu berlaku seperti penyelesaian masalah Sabah pada 1980an apabila keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri bertentangan dengan apa yang disuarakan oleh timbalannya, Tun Musa Hitam.

Perbezaan pendekatan mengenai krisis parti Berjaya selepas kemenangan Parti Bersatu Sabah selepas pilihan raya negeri 1985 itu mendatangkan kesan besar.

Apa juga keputusan, ia mestilah diasaskan kepada kepentingan UMNO negeri.

Persoalannya, sampai bila pertelingkahan antara kumpulan-kumpulan UMNO di Terengganu akan selesai?

Tidak belajarkan mereka apa yang berlaku di Kelantan apabila asyik kalah pilihan raya kerana pertelingkahan sesama sendiri dalam UMNO?

Banyak pihak yang menghantar sms dan panggilan mengatakan, dalam kemelut di mana UMNO semakin dihina, tercemar dan belum pulih, krisis yang melanda di Terengganu akan semakin ‘menghanyutkan UMNO’.

UMNO parti yang baik untuk orang Melayu. Tetapi orang Melayu yang merosakkan UMNO.
Jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini kepada UMNO Terengganu, UMNO tidak salah.

Yang salah ialah hulubalang UMNO yang semakin menjaga kedudukan dan wilayah pemerintahan mereka.

Memang Melayu Mudah Lupa. Lupa sejarah Melaka, lupa sejarah kegemilangan Islam di Sepanyol dan lupa sejarah atau punca kejatuhan Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan.
Silap haribulan, Terengganu akan menerima nasib yang sama sekali lagi.

Kerana itu, cara mengatasi masalah bergantung kepada kebijaksanaan Datuk Seri Najib Razak.
Pilihan ialah melayan kerenah dan tuntutan pihak tertentu atau mengatasi krisis dengan menjamin UMNO terus kukuh dan kebal di Terengganu.

Bola dikaki Perdana Menteri sekarang!

Monday, April 13, 2009

PERJELASKAN KONSEP SATU MALAYSIA

Malaysian Malaysia konsep yang hodoh, berteraskan dendam kesumat dan membalas dendam.
Malaysian Malaysia yang diilhamkan di Singapura dan diimport oleh DAP bertujuan menyaingi dasar Bumiputera dan kepentingan orang Melayu.

Saya menulis konsep ini secara panjang lebar melalui buku saya ‘Putera Mahkota UMNO’ (1995) dan sewajarnya ditolak oleh semua kaum kerana ia bersifat chauvinis.

Gerakan halus oleh pembangkang dan sekutunya bertujuan memecahbelahkan masyarakat dan dengan sendirinya akan menidakkan kuasa raja-raja Melayu serta kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi.

Sedangkan Satu Malaysia adalah pendekatan Datuk Seri Najib untuk meneruskan dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti mengutamakan kedudukan agama Islam untuk orang Melayu serta menjaga kepentingan Cina dan India dalam menghormati kewujudan sekolah vernakular.

Hakikatnya, Malaysian Malaysia sangat berbahaya jika dilihat daripada sudut kelangsungan orang Melayu dan pribumi yang mana kedudukan raja-raja Melayu dicabar, kedaulatan Islam diperkotak-katikkan selain kedudukan bahasa Melayu disamaratakan.

Kerana itu, rakyat Malaysia terutama bumiputera terus mempertahankan kedudukan agama Islam dan kehormatan raja-raja serta bahasa Melayu demi mengekalkan keharmonian negara.

Bagi Satu Malaysia, kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak perlu menjelaskannya dalam apa juga saluran dan kumpulan siaraya yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri perlu melakukan kerja perhubungan awam mengenai subjek ini.

Jangan harapkan ahli politik yang menyokong Najib menjelaskannya kerana ia akan menjadi ‘tawar’.

Semua anggota Kabinet, pemimpin parti BN dan keseluruhan jentera parti perlu menyambut konsep ini. Sesi penerangan besar-besaran perlu dijalankan segera dan jangan sampai wawasan Najib ini menjadi ‘sejuk’.

Jabatan dan agensi kerajaan perlu proaktif dan jayakannya seperti era Tun Dr Mahathir Mohamad mempopularkan ‘Kepimpinan Melalui Teladan’.

Kementerian Penerangan yang diterajui Datuk Seri Rais Yatim, saya yakin mampu melakukan kerja seperti ini kerana usaha pihak tertentu termasuk pembangkang untuk menyamakan konsep Satu Malaysia dengan Malaysian Malaysia mesti segera dihentikan.

Bukan sahaja ia bertujuan mengelak timbulnya kekeliruan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini tetapi ia dua konsep bertentangan.

Tidak tahulah kedudukan PAS sekarang mengenai konsep Malaysian Malaysia tetapi dahulu, PAS menentang sekeras-kerasnya kerana ia mengancam kedudukan orang Melayu, Bahasa Melayu, malah juga kedudukan agama Islam dalam konteks agama rasmi di negara ini.

Jadi tidak hairanlah kalau beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin UMNO menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai konsep tersebut tidak mengetepikan hak bumiputera dan Melayu seperti termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Bagi Pemuda UMNO, konsep Satu Malaysia adalah komitmen Najib dan kerajaan dalam memelihara keharmonian kaum berpaksikan kesejahteraan serta pertumbuhan ekonomi.

"Dalam konsep ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) langsung tidak mengetepikan hak rakyat Malaysia yang berbilang kaum malah selari dengan Perlembagaan apalagi ia mementingkan sama rata dan sama rasa tetapi cenderung menafikan peruntukan Perlembagaan,".

Puteri UMNO pula berpendirian, pihak pembangkang tidak harus membangkitkan isu kesamarataan yang sebenarnya bukan menjadi keutamaan dalam konsep Satu Malaysia.
Puteri UMNO menganggap perbuatan pembangkang menyamakan konsep Malaysian Malaysia dan Satu Malaysia sebagai agenda jahat.

Sedikit sebanyak ia akan memberi kesan kepada perpaduan serta hubungan kaum di negara ini sekali gus merosakkan konsep yang matlamatnya ialah supaya rakyat Malaysia bersatu, berpadu dan bersama-sama membangunkan negara.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), menegaskan, bumiputera dan Melayu yang mewakili 60 peratus komposisi penduduk di negara ini sedia berdepan mana-mana pihak demi mempertahankan konsep Satu Malaysia yang menjaga kehormatan Perlembagaan itu.

"Ini bukan Singapura. Ini Malaysia yang mana rakyatnya berjanji setia kepada raja dan negara. Kita mempunyai kedaulatan undang-undang, jadi jangan derhaka.

"Jika ada sesiapa yang cuba samakan Satu Malaysia dengan Malaysian Malaysia, Perkasa dan kaum bumiputera akan bangkit menentang mereka," kata Presidennya, Datuk Ibrahim Ali.

Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) mengingatkan, konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan Najib masih menghormati dan mengiktiraf kepentingan semua pihak dengan mendahulukan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi ikatan kesejahteraan kaum selama ini.

"Jadi, jika ia disamakan dengan Malaysian Malaysia, ia salah dan berbahaya. Jangan terkeliru dengan dakyah DAP dan penulis blog yang tidak bertanggungjawab," ujarnya.

BBPM meminta kerajaan memantau gerakan halus ini sama ada menerusi media perdana mahu pun blog serta mengambil tindakan bagi menghentikan penyebaran sentimen yang mampu menggugat keharmonian kaum itu.

Sunday, April 12, 2009

APA SALAH AHMAD SAID?

Sejak Datuk Rasol Wahid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil menafikan akan kemuka usul tidak percaya terhadap Menteri Besar, saya menerima banyak sms dan panggilan apakah politik Terengganu kini bergolak?

Saya tidak dapat menjawabnya kerana pertamanya, ikhlas saya tidak pasti dan keduanya, kalau saya menjawabnya orang akan tetap mengatakan saya bias atau berpihak kerana saya kakitangan pejabat Menteri Besar Terengganu.

Yang saya boleh berkata ialah segala-galanya kehendak Allah dan jika ditakdirkan seseorang itu naik, dia akan naik dan sekiranya diturunkan, dia akan diturunkan.

Lihat sahaja berapa ramai bekas Menteri yang menang jawatan Ahli Majlis Tertinggi tetapi tetap digugurkan.

Sejak saya di Kuala Terengganu mulai pertengahan Disember lalu, saya banyak dengar khabar angin mengatakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ‘tidak lama’ dan apabila Datuk Seri Mohd Najib Razak naik, Ahmad akan diganti.

Cuma pertanyaan saya ialah atas sebab apa diganti dan apakah Ahmad ada berbuat salah dari segi parti dan kerajaan?

Juga yang saya tidak faham ialah kenapa soal Ahmad ini diperkatakan dengan begitu banyak di Terengganu?

Kenapa berdendam dengan beliau? Apakah jawatan Menteri Besar dipertandingkan antara Ahmad dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh?

Kalau ada pertandingan baru boleh marah sebab Ahmad menang. Kalaupun bertanding, biasalah dalam pertandingan ada kalah, menang dan seri.

Dan dalam konteks Menteri Besar Terengganu, Ahmad kebetulan terpilih dan beliau tidak pun ‘melanggar’ Idris.

Apabila Ahmad diperkenankan, maka Ahmadlah Menteri Besar.

Yang penting, berilah peluang kepadanya untuk membuktikan kebolehan. Kalau beliau tidak mampu dan ‘menjahanamkan negeri’, bolehlah beliau diganti pada pilihan raya akan datang. Ini baru setahun jagung sudah mahu menilai.

Apa ukuran atau kriteria digunakan dan semena-menanya menghukum Ahmad?

Berbalik kepada cerita undi tidak percaya. Rosol sendiri menafikannya dan beliau mengatakan isu ini dimainkan oleh akhbar pembangkang.

Rosol berkata beliau tidak tahu kenapa namanya dikaitkan sebagai ADUN yang akan mengemukakan usul berkenaan.

Kemelut politik yang dikaitkan dengan undi tidak percaya ini sudah berkisar di Terengganu berikutan Idris yang mendapat watikah daripada belas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi tidak diperkenanankan.

Hakikatnya, kesemua 23 ADUN Barisan Nasional yang diketuai oleh Rasol memang memberikan sokongan kepada Idris dan mengatakan tidak akan hadir pada upacara angkat sumpah jika calonnya bukan ADUN Jertih.

Namun segala-galanya tidak kesampaian dan Ahmad pula terpilih. Apa salah Ahmad untuk beliau dijatuhkan?

Jelas, isu ini ditimbulkan pembangkang dan yang mengambil isunya mungkin orang yang marahkan Ahmad kerana menjadi Menteri Besar.

Apakah Ahmad menagih atau memintanya. Kalau beliau tidak, perlukah kita ungkitkan sentiment untuk undi tidak percaya terhadapnya?

Persidangan DUN tiga hari yang akan dirasmikan esok sehingga Rabu memang boleh dijadikan ‘medan’ tetapi sanggupkan ADUN UMNO melakukannya?

Sanggupkah mereka membuka jalan untuk pilihan raya kecil atau gantikan sahaja Ahmad.

Apakah ini akan menyelesaikan masalah politik Terengganu?

Persoalan juga benarkah Said bersaorangan?

Juga apakah semua ADUN UMNO dan seorang MCA, sanggup menjatuhkan beliau semata-mata kerana ‘dendam’ kesan Idris diketepikan yang tidak ada kena-mengena pun dengan Ahmad Said?

Saturday, April 11, 2009

PERIHAL KABINET NAJIB

(Isu Sabtu)

Kabinet baru diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak petang kelmarin adalah satu penyusunan semula peranan dan portfolio.

Ia juga menjadi tanda kepada satu pendekatan baru pentadbiran kerajaan yang lebih telus, bertanggungjawab serta berfokus mendahulukan rakyat.

Kabinet "Pasukan Baru" dengan dianggotai 28 orang sebagai menteri penuh dan 40 timbalan menteri diumumkan tujuh hari selepas Najib dilantik Perdana Menteri keenam .

Hanya 25 portfolio diwujudkan dengan memperkenalkan dua kementerian baru - Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Kementerian Perpaduan.

Najib membubarkan dua kementerian dan Kementerian Penerangan kini dikenali sebagai Kementerian Penerangan Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.

Najib turut mewujudkan jawatan Penasihat Ekonomi Negara bertaraf menteri.

Ada pihak kecewa kerana Perdana Menteri masih mengekalkan majoriti menteri lama dalam Kabinet pertamanya. Muka-muka lama itu

sebahagian daripada pentadbiran sebelum ini yang "gagal berprestasi".

Kabinet Najib hanya membariskan enam muka baru di kalangan 28 menteri yang dilantik, termasuk dua yang dinaikkan pangkat daripada jawatan timbalan menteri. Bukankah ini menunjukkan hanya "perubahan kecil" dilakukan dalam Kabinet baru itu?

Antara muka baru yang dibawa masuk ialah Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Anifah Aman sebagai Menteri Luar, Datuk Kong Cho Ha (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Tan Sri Koh Tsu Koon dan Mejar General Datuk Jamil Khir Baharom sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tsu Koon bertanggungjawab ke atas hal ehwal perpaduan dan prestasi Kabinet manakala Jamil Khir berhubung hal ehwal agama Islam.

Tsu Koon adalah Presiden Gerakan yang turut dilantik sebagai Senator manakala Kong pula ialah Naib Presiden MCA.

Ada spekulasi bahawa Kabinet baru ini adalah lebih kecil daripada sebelumnya. Kalau bilangan menteri seramai 28 orang, memanglah ia lebih kecil daripada 32 orang sebelum ini tetapi jumlah timbalan menteri bertambah kepada 40 orang, berbanding dengan 38 orang sebelum ini.

Selain perubahan Kabinet, dikatakan akan ditekankan aspek impak, hasil dan penyampaian perkhidmatan awam yang berbaloi dan akan dipantau oleh sebuah unit baru yang dipimpin seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Persoalannya selain perubahan, apakah Petunjuk Prestasi Utama atau KPI benar-benar akan dipakai terhadap anggota Kabinet ini?

"Saya akan mengarahkan setiap menteri untuk menyediakan KPI yang jelas merangkumi perincian tanggungjawab berkaitan tugas mereka serta timbalan masing-masing dalam masa 30 hari dari sekarang," kata Najib kelmarin.

Pengenalan KPI itu yang turut mencerminkan keutamaan strategik negara akan menjadi tanda kepada pendekatan baru pentadbiran kerajaan yang lebih telus, bertanggungjawab serta mendahulukan rakyat.

Saya tertarik dengan kata-kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa “Mereka yang dipilih anggotai Kabinet bukan menyandang jawatan itu secara kekal kerana boleh berlaku perubahan pada bila-bila masa ikut pertimbangan Perdana Menteri.”

Kata-kata ini perlu diambil ingatan oleh semua anggota Kabinet kerana hanya mereka yang perform sahaja akan kekal.

Malah, saya sangat berharap Perdana Menteri berani untuk menggugurkan mana-mana Menteri atau Timbalan Menteri yang membuat onar dan mendatangkan masalah kepada parti yang mereka wakili dan Barisan Nasional (BN) amnya.

Pelantikan empat pemimpin Sabah sebagai menteri menggambarkan betapa Datuk Seri Mohd Najib Razak mengambil berat faktor politik Sabah dalam konteks BN.

Mereka yang dilantik ialah Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernad Dompok; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili dan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman.

Ada pendapat mengatakan Perdana Menteri sanggup bertindak tegas terhadap perasuah, dan kerana itu ada yang tidak dilantik semula dan ada yang tidak dilantik ke dalam barisan Kabinet baru Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai tanda "pembersihan dalam parti" sedang berlaku.

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Najib bertindak bijak dengan menggugurkan kebanyakan mereka yang dituduh mengamalkan rasuah walaupun seorang dua entah kenapa turut terselit.

Apapun ia positif. Kata Dr Mahathir, “Tak ada orang yang jelas terlibat rasuah terpilih khususnya ketua Pemuda (Khairy) yang didapati bersalah guna wang dalam pemilihan (Umno). Dia tak diberi apa-apa jawatan pun. Itu satu bukti Najib ingin bersihkan parti. Dengan ketegasan dalam menangani rasuah, bekas presiden Umno itu percaya perdana menteri boleh juga bertegas dalam perkara-perkara lain.Ini satu pendirian yang tegas oleh Datuk Seri Najib.”

Juga menarik, Kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri turut menyaksikan 10 wanita dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kembali ke barisan kabinet selepas dilantik sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, jawatan yang pernah disandang beliau sehingga Mac tahun lalu. Pada pilihan raya umum ke-12 Mac tahun lalu, Shahrizat gagal mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai dan digugurkan daripada barisan Kabinet.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang pernah menerajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini, kini menjadi Menteri Pelancongan. Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Pelancongan.

Lapan lagi wanita dilantik sebagai timbalan menteri, termasuk dua muka baru iaitu Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Rashid Shirlin dan Senator Heng Seai Kie, yang juga Ketua Wanita MCA Perak. Rosnah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan manakala Heng adalah Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.

Seorang lagi wanita yang kembali ke barisan kabinet ialah bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun yang kini dilantik sebagai timbalan menteri di kementerian sama. Dua timbalan menteri wanita kekal di portfolio masing-masing adalah Datuk Rohani Abdul Karim (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim (Jabatan Perdana Menteri).

Datuk Maznah Mazlan (bekas Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar) kini Timbalan Menteri Sumber Manusia, manakala Datuk Tan Lian Hoe (bekas Timbalan Menteri Penerangan) kini Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Noriah Kasnon (bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) bertukar ke Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Dengan selesainya perlantikan, setiap ahli barisan Kabinet baru Najib diharap sangat dapat memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Seperti disebutkan anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, perubahan adalah perlu bagi memastikan kemerosotan sokongan rakyat tidak berterusan. "Sebelum ini rakyat lihat barisan kepimpinan negara tidak begitu kemas dan teratur, menyebabkan timbul kekeliruan terhadap rakyat terutama dalam bidang politik dan ekonomi negara kita.

Ini, katanya, dibuktikan dengan keputusan pilihan raya kecil baru-baru ini, apabila BN hanya menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air (Sarawak), manakala kerusi DUN Bukit Selambau (Kedah) dan Parlimen Bukit Gantang (Perak) dimenangi pembangkang. Sebelum itu BN kalah pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.