Showing posts with label insiden. Show all posts
Showing posts with label insiden. Show all posts

Friday, September 16, 2016

SELEPAS SERPIHAN MH370 DIKENAL PASTI, SIASATAN KINI BAGAIMANA INSIDEN BERLAKU...


"Pemeriksaan lanjutan ke atas serpihan akan diteruskan supaya bukti lanjutan diperoleh yang mungkin memberi petunjuk baharu kepada maklumat lanjut lain selain mengkaji bagaimana insiden itu berlaku."

Akhirnya misi pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang membuahkan hasil.

Malaysia semalam  mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di pulau Pemba, perairan Tanzania, Jun lalu,  adalah milik syarikat penerbangan negara.

Ia disahkan oleh pakar dari Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

Sudah pasti penemuan ini melegakan banyak pihak selepas banyak masa, tenaga dan perbelanjaan dikeluarkan bagi tujuan berkenaan.

Kos misi mencari dan siasatan ke atas pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 itu dikatakan menjadi misi paling mahal dalam sejarah penerbangan.

Menurut angka yang dianggarkan oleh Fairfax Media, selepas empat minggu sahaja, ia sudahpun melepasi kos misi mencari pesawat Air France AF447 yang sebelum ini memegang rekod paling mahal dengan nilai perbelanjaan mencecah $50 juta (RM164 juta).

Kos perbelanjaan tinggi ini melibatkan kapal laut, satelit, kapal terbang dan kapal selam yang dihantar ke Laut China Selatan, Selat Melaka dan selepas itu hingga ke bahagian selatan Lautan Hindi.


Pencarian yang dipimpin Australia menggunakan peralatan tidak berawak di dasar laut dan perlengkapan sonar untuk memeriksa kawasan  seluas lebih 120,000 kilometer.

Pada peringkat awal, sebanyak 26 buah negara antaranya Singapura, Indonesia, Vietnam dan Amerika Syarikat mengerahkan aset ketenteraan mereka bagi membantu menjalankan operasi mencari pesawat jenis Boeing 777 itu ketika mula-mula berita kehila­ngannya tersebar luas.

Menurut jawapan bertulis di Parlimen, kerajaan membelanjakan sebanyak RM231,452,287 setakat Oktober 2015 dalam operasi pencarian pesawat MH370 itu.

Anggaran kos keseluruhan bagi misi pencarian itu mungkin didedahkan selepas ini selain jumlah pampasan kepada penunpang dan anggota kabin.

MAS  dan kerajaan juga kini boleh menarik nafas lega kerana pencarian yang sukar bermula ternyata berbaloi.

Penemuan ini pastinya turut menggembirakan sebahagian besar anggota keluarga mengatakan mereka tidak ingin pencarian dihentikan sampai pesawat ditemukan.

Setelah pengesahan ini diumumkan, langkah seterusnya ialah mengkaji bagaimana insiden itu berlaku.


Malaysia  berharap mendapat lebih maklumat berhubung serpihan berkenaan.

Serpihan kini  berada di Austra­lia dan kerajaan  akan bawa pulang tetapi ia akan mengambil masa kerana perlu dianalisis lebih mendalam di sana.

Misi mencari lebih dua tahun itu menghasilkan beberapa penemuan serpihan pesawat Boeing 777 yang hilang pada Mac 2014 ketika membawa 239 penumpang dan anak kapal, tidak lama selepas berlepas dari Kuala Lumpur, menuju ke Beijing, China.

Antara yang dikenalpasti, termasuk beberapa nombor bahagian serta rupa bentuk fizikal, dimensi dan pembinaan disahkan serpihan seksyen dalam pesawat bagi flaperon Boeing 777.

Pengesahan itu berdasarkan pemeriksaan dan analisis menyeluruh, ATSB dengan persetujuan Pasukan Penyiasat Keselamatan MH370 mengenal pasti beberapa penemuan.

Pengesahan juga termasuk beberapa nombor bahagian serta rupa bentuk fizikal, dimensi dan pembinaan disahkan serpihan seksyen dalam pesawat bagi flaperon Boeing 777.

Beberapa serpihan pesawat yang dikaitkan dengan MH370 ditemui sejak tahun lalu, namun hanya bahagian flaperon yang ditemui di Pulau Reunion, Perancis disahkan sebagai 100 milik pesawat malang itu.


Nombor siri dan tarikh pembuatan pada serpihan yang ditemui sepadan dengan MH370. Ia dihantar ke Australia untuk dianalisis oleh ATSB.

Pengeluar bahagian pesawat dari Itali turut mengesahkan semua nombor pada bahagian berkenaan mempunyai kaitan dengan nombor siri yang sama bagi flaperon yang dihantar kepada Boeing sebagai nombor jajaran 404.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata semalam tarikh yang dicap berkait dengan satu daripada bahagian menyatakan bahawa pengeluaran adalah pada 23 Januari 2002, yang mana konsisten dengan tarikh penghantaran bagi MH370 pada 31 Mei 2002.

Pengeluar turut  mengesahkan jajaran nombor pesawat 404 dihantar kepada Malaysia Airlines dan didaftarkan sebagai 9M-MRO (MH370).

Pakar merumuskan yang serpihan iaitu flaperon luar adalah berasal dari pesawat 9M-MRO, yang juga dikenali sebagai MH370," katanya.

"Sebagai tambahan kepada nombor bahagian Boeing, semua penanda identifikasi mempunyai nombor 'OL' kedua yang mana ia adalah pengenalpastian unik berkaitan pembinaan bahagian (pesawat)," katanya dalam satu kenyataan.

Penyiasat sebelum ini mengesahkan sekeping serpihan yang ditemui di Pulau Reunion, Perancis pada Julai 2015 sebagai sebahagian daripada MH370.


Mereka juga sedang memeriksa beberapa serpihan lain yang ditemui di Mozambique, Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues, sebuah wilayah di Mauritius.

Tiong Lai berkata, pemeriksaan lanjutan ke atas serpihan itu akan diteruskan supaya bukti lanjutan diperoleh yang mungkin memberi petunjuk baharu kepada apa yang berlaku kepada MH370.

"Pasukan penyiasat akan meneliti maklumat lanjut lain sekarang dan mengkaji bagaimana insiden itu berlaku," katanya.

Sunday, October 11, 2009

ADAKAH PERATURAN BARU ELAK PROVOKASI?

(Sembang Ahad)

Tidak bolehkah kalau tidak ada provokasi dalam pilihan raya?

Tiada maknanya pada hari penamaan calon, ketika kempen dan pada hari pembuangan undi, penyokong parti dibenarkan berada berhampiran pusat-pusat berkenaan tetapi sebaliknya berlaku pergaduhan.

Menyedih dan memalukan kerana ia berlaku sesama Melayu dan sesama saudara seIslam. Tidak tahulah kalau PAS menganggap penyokong UMNO bukan-Islam.

Kita masih ingat pada dan 1980an ada yang mati dihentak dengan batu jokong dan tidak kurang pula yang berdarah dan bengkak-bengkak kerana sepak terang dan sebagainya.

Jadi adalah baik kalau kerajaan memikirkan mengadakan peraturan baru menyekat perhimpunan sedemikian untuk mengelakkan provoksi berlaku.

Pilihan raya bukan untuk menyebabkan orang luka dan berdarah. Pilihan raya adalah untuk memilih wakil rakyat bagi kawasan berkenaan.

Biarlah ia berlaku dengan aman dan tenteram. Namun ternyata pilihan raya kecil Bagan Pinang penuh dengan provokasi – sejak hari penamaan calon lagi.

Provokasi ini kebanyakannya dilakukan oleh penyokong PAS. Buktinya? Menurut laporan media;

1. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub serta penulis portal Malaysian Insider dan Harakah Daily diminta beri keterangan tentang dakwaan mengelirukan kononnya penyokong parti itu cedera diserang ahli UMNO.

2. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, gambar mangsa yang ditunjukkan Salahuddin dan disiarkan dalam portal berbeza dengan orang yang membuat laporan polis.

3. Tiada siapa yang tampil membuat laporan polis mengatakan cedera teruk ditetak ‘pedang samurai’.

4. Salahuddin semalam gagal tunjukkan bukti salinan laporan polis atau nama lelaki yang ‘cedera’ ditetak.

5. Ia hanya satu salinan laporan polis seorang penyokong PAS yang mendakwa keretanya dihalang oleh petugas BN.

6. Laman web Harakah sendiri telah menarik balik berita itu.

Jika diteliti kembali, ada tiga perkara mengenai Pengarah Operasi Pilihan Raya PAS Bagan Pinang, Salahudin Ayub.

Pertama dialah yang mendakwa kononnya Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Azeez Rahim bohong;

Kedua, dia mendakwa seorang petugas PAS telah dipukul dan berdarah; dan

Ketiga, dia mengaku menyebarkan gambar petugas PAS sebagai untuk menyatakan ia ‘benar-benar berlaku dan bukan direka-reka’.


Salahuddin juga menegaskan pihaknya bertanggungjawab penuh dengan kenyataan mereka dalam sidang media yang mendakwa seorang petugas PAS telah dipukul dan berdarah.

"Saya bertanggungjawab penuh dengan penyebaran gambar itu dan memang ia benar-benar berlaku bukan direka-reka," kata Salahudin kepada Harakahdaily semalam.

Sehubungan itu, katanya, beliau bersama peguamnya, Mohamed Hanipa Maidin telah memberikan keterangan di bawah seksyen 112 (keterangan saksi) di Balai Polis IPD Port Dickson jam 6.45 petang semalam.

Polis meminta Naib Presiden Pas itu, serta penulis portal berita Malaysian Insider dan Harakah Daily tampil memberi keterangan berhubung dakwaan yang mengelirukan kononnya penyokong parti itu dikasari dan diserang oleh ahli UMNO hingga cedera.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, dalam blog berkenaan Salahuddin telah memegang sekeping gambar berkaitan kejadian itu dengan gambaran kecederaan yang teruk ke atas mangsa.

Tetapi kata beliau, gambar mangsa cedera yang ditunjukkan oleh Salahuddin dan disiarkan dalam kedua-dua portal berita itu berbeza dengan orang yang dilaporkan kepada polis.

''Pihak polis telah pun membuat siasatan awal dan setakat ini tiada siapa yang datang mengatakan beliau telah dipukul begitu teruk keadaannya.

''Polis ada menerima laporan dan membuka siasatan dan pihak polis sendiri telah menghantar mangsa ke hospital dan beliau telah menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Tak ada kesan darah pun. Hanya lebam-lebam saja. Orang itu juga orang lain, bukan yang dalam gambar itu.

"Nama yang disebut sama tetapi gambar memang berbeza. Kalau betul orang itu ada, datanglah buat laporan," katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal (Martek) PDRM semalam.

Osman berkata, kenyataan yang dibuat itu mengelirukan orang ramai dan mereka terdorong untuk mempercayainya.

Katanya, polis telah berhubung dengan Salahuddin tetapi sehingga hari ini pemimpin Pas itu gagal berbuat demikian.

Polis akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 111 Kanun Perkara Jenayah.
Beliau juga mengesahkan gambar yang disiar oleh Harakah Daily itu tidak sama dengan individu yang terlibat, hanya nama sahaja yang sama.

Osman turut menyelar tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengelirukan orang ramai dan mencetuskan keadaan huru-hara.

''Polis akan mengesan individu yang memulakan SMS ini dan akan mengambil tindakan. Perbuatan ini tidak bertanggungjawab dan mengelirukan orang ramai," katanya.

Pada sidang akhbar sama, polis memberi amaran supaya mana-mana parti tidak membina struktur seperti khemah yang digunakan untuk meraih undi.

''Kita akan ambil tindakan jika ada pihak yang cuba menakutkan pengundi pada 11 Oktober ini dan menghalang mana-mana pengundi yang layak.

''Pihak polis akan memeriksa kenderaan yang memasuki laluan di Bagan Pinang ini dan menahan mana-mana pihak yang membawa senjata berbahaya," kata Osman.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Zaki Masroh berkata, pihaknya menerima 66 laporan sepanjang pilihan raya kecil ini berlangsung.

''Daripada jumlah itu, 22 sedang disiasat dan tiada tangkapan dibuat. Baki 44 laporan itu, polis sedang meneliti dan ada yang tidak diambil tindakan contohnya bendera hilang tetapi kemudian ditemui semula," katanya.

Beliau memberitahu, tiada kes yang dilaporkan itu disiasat di bawah Akta Hasutan tetapi di bawah Akta Pilihan Raya 1954 dan Akta Mesin Cetak.

''Daripada 22 laporan itu, 10 kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di Seremban untuk mendapatkan nasihat," jelasnya.

Tuesday, October 6, 2009

BAGAIMANA KALAU KITA PUKUL SALAHUDDIN AYOB PULA

Kenapa? Kerana dia kata mangsa kena pukul bercakap bohong!

Pada 26 September lalu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan oleh akhbar utama, meminta penyokong PAS hormati Aidilfitri – jangan serang peribadi.

Beliau merujuk kepada penceramah PAS yang akan menyertai kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang agar mereka hanya merujuk kepada soal dasar, bukan peribadi.

Namun belumpun berceramah dan menyerang peribadi, penyokong PAS sudah menyerang bodi (body) atau badan.

Pengerusi Biro Putera UMNO yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kini terlantar di Hospital Kuala Lumpur selepas kecederaannya semakin serius.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan pada jam 9.30 malam kelmarin, setelah kecederaan di bahagian leher yang dialaminya selepas ditumbuk oleh penyokong PAS.

Kejadian berlaku ketika sedang berjalan kaki menuju ke pusat penamaan calon di dewan Majlis Perbandaran Port Dickson pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, kesan daripada serangan itu, bahagian lehernya membengkak dan beliau turut berasa pening serta loya dan dinasihatkan oleh doktor supaya banyak berehat.

Namun agak aneh apabila Pengarah Induk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang PAS, Salahuddin Ayub menegaskan dakwaan Azeez yang lebam dipukul Pemuda PAS sebagai satu pembohongan.

Laporan Sinar Harian 5 Oktober, 2009 (kelmarin), memetik Salahuddin berkata, pada hari penamaan calon itu, Azeez telah berjumpa dengan beliau dan menunjukkan kesan lebam terbabit tetapi apa yang dilihat tiada langsung kesan lebam malah bajunya turut masih kemas dan bersih.
“Saya pelik bagaimana dakwaan yang dibuat Azeez yang mengatakan beliau dipukul oleh sembilan orang pemuda Pas tetapi datang kepada saya dengan senyuman dan baju yang masih kemas.

“Oleh itu, saya berpendapat beliau telah berbohong kepada media dan rakyat Bagan Pinang di mana beliau telah mencari satu publisiti murahan,” kata Salahuddin di Markas Tarbiah Pas di Port Dickson kelmarin.

Bagaimana kalau Pemuda UMNO jika terserempak Salahuddin, pukul pula beliau kerana mendakwa Azeez berbohong.

Pukulan jangan kuat tetapi secukup rasa, bukan kerana membalas pukulan terhadap Azeez tetapi pukulan kerana mendakwa Aziz berbohong.

Jangan ada parut atau luka seperti dia mengatakan terhadap Azeez tetapi biar rasanya seperti yang Azeez rasa, mungkin membengkak di dalam.

Kenapa wajar berbuat demikian? Jawapannya kerana pada ketika beliau mengatakan Azeez berbohong, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri menyifatkan kejadian serangan pada hari penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang mencemarkan imej Islam.

Pada ketika Nik Aziz me nasihatkan supaya mereka berbaik semula, Salehuddin bagaikan mahu menyemarakkan lagi kemarahan orang UMNO apabila mendakwa Azeez berbohong sedangkan Azeez terlantar di hospital.

Nik Aziz berkata: “Kalau boleh jangan lanjutkan (teruskan) bukan sahaja masa mengundi, tetapi sampai bila-bila. Itu bukan kita berpolitik dan ia bukan cara Islam pun…sebagai pemimpin PAS saya minta mereka berdamai. Minta maaf dan jangan teruskan lagi. Kita kena guna akal fikiran sebab akal fikiran ini tak menentu. Kita hala tujukan (pemikiran) ke arah Islam.”

Jenis pemimpin PAS apakah Salahuddin ini?

Sepatutnya pada bulan mulia ini – Syawal – Salahuddin mengajak mereka yang terbabit berbaik-baik dan bermaaf-maafan, bukan menuduh orang yang menjadi mangsa sebahagai ‘pembohong’.

Sikap Salahuddin – bekas Ketua Pemuda PAS – tidak wajar dijadikan contoh. Sikap angkuh beliau menggambarkan betapa berbezanya dengan pemimpin lama yang mengambil pendekatan berdamai jika berlaku perselisihan.

Sewajarnya Salahuddin mencari mereka yang melakukan ‘perbuatan melampau’ itu dan mendamaikannya dengan Azeez serta beberapa ahli UMNO yang lain kerana dengan cara itu PAS akan dilihat menekankan keamanan bukan perselisihan.

Kalaupun tidak mahu membawa mereka yang terbabit, Salahuddin boleh memohon maaf bagi pihak mereka, bukannya menuduh Azeez berbohong.

Pakailah nasihat Nik Aziz agar “berbaik semula, lebih-lebih lagi kalau bertumbuk sesama Melayu, makin lagi mencemarkan imej Islam dan orang Melayu. Saya harap mereka yang melakukannya dapat meminta maaf.’

Malah Nik Aziz berharap “kalau boleh jangan lanjutkan (teruskan) bukan sahaja masa mengundi, tetapi sampai bila-bila. Itu bukan kita berpolitik dan ia bukan cara Islam pun.”

Ternyata berdasarkan saranan Nik Aziz, Salahuddin bukan mengambil pendekatan Islam walaupun dia pemimpin yang mendakwa partinya Islam.

Salahuddin lebih berminat kepada ‘perselisihan’ dan ‘permusuhan’.

Wajarkah orang Melayu dan Islam menyokong dan menyanjung pemimpin seperti ini?