Showing posts with label Sidang DUN. Show all posts
Showing posts with label Sidang DUN. Show all posts

Wednesday, April 7, 2010

ISU ROYALTI MINYAK – APA JAWAPAN AHMAD SAID?

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said sedang berdepan dengan tekanan daripada pembangkang (PAS) mengenai isu royalti di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang bersidang.

Mungkin bagi kerajaan negeri, rundingan secara terus dengan Kerajaan Pusat dan Petronas lebih berkesan.

Bagi Ahmad Said mungkin merayu dan meminta ehsan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak agar royalti minyak dipulangkan adalah pilihan terbaik.

Begitulah keadaannya yang harus dialami Menteri Besar apabila berdepan dengan dua pihak – pembangkang yang menuntut royalti dipulangkan dan Kerajaan Pusat yang merasakan royalti minyak boleh dibayar dalam bentuk wang ehsan atau apa juga bentuk yang ‘sewaktu dengannya’.

Namun kepada pembangkang, hak adalah hak. Jika permintaan tidak dilayan oleh Kerajaan Pusat, caranya adalah berhujah secara terbuka di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerana itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila ketika ADUN Barisan Nasional (BN) membisu seribu bahasa mengenai isu ini, seperti dijangkakan, usul untuk membahaskan royalti minyak di sidang DUN ditimbulkan oleh ADUN PAS pada mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu kali ke 12 pagi semalam.

Usul itu dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan PAS Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.

Dr Syed Azman bangkit memohon mencadangkan bahawa persidangan itu hendaklah ditangguhkan mengikut fasa berkenaan bagi membolehkan dewan merundingkan isu penarikan balik royalti minyak yang berpanjangan hampir 10 tahun.

Katanya penarikan royalti minyak oleh kerajaan pusat daripada kerajaan Terengganu itu merupakan satu pencabulan kepada prinsip demokrasi, konsep federalisma serta melanggar perlembagaan negara ini.

Walaupun usul itu ditolak namun cara PAS memainkan isu ini akan menarik minat rakyat dan pastinya akan disambung ke ceramah sebelum menjadi isu pilihan raya jika royalti tidak dikembalikan kepada Terengganu sebelum pilihan raya umum ke 13.

Dr Syed Azman berkata, tahun ini sudah masuk 10 tahun royalti minyak ditarik oleh kerajaan Pusat dari kerajaan negeri Terengganu.


Ada sesuatu yang menarik diperkatakan oleh Ahmad Said kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyebabkan Dr Syed Azman turut tersenyum.

Kerajaan Pusat pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2000 telah menarik royalti minyak sebanyak 5 peratus daripada kerajaan negeri Terengganu ketika negeri itu ditadbir oleh PAS.

Ekoran itu, kerajaan negeri telah menyaman kerajaan Malaysia dan Petronas namun sehingga kini ia belum selesai.

Kerajaan negeri pimpinan Ahmad Said kini juga enggan menarik balik kes itu dari mahkamah.

"Tindakan mengehsankan wang RM15.8 bilion yang sepatutnya diterima rakyat Terengganu adalah satu tindakan zalim kepada rakyat Terengganu yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam," kata Dr Syed Azman ketika membentangkan usul ini kira-kira jam 10 pagi tadi.

Sepatutnya, kata beliau, seluruh rakyat negeri ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah yang telah menunjukkan sikap dan sifat seorang negarawan tulin.

"Beliau (Tengku Razaleigh) berani berdiri untuk mempertahankan fakta yang diselewengkan ini...namun sehingga kini tindak tanduk kerajaan Pusat kepada rakyat Terengganu terus dikesali," kata beliau ketika membentangkan usul itu.

Bagi beliau, kemiskinan rakyat Terengganu telah dimanipulasi dengan sogokan dan ugutan dan dalam masa yang sama mereka yang tamak haloba mengambil kesempatan dengan mengkayakan diri dan segelintir tauke Cina dari Kuala Lumpur.

Ia dibuat melalui projek persekutuan dan dana khas serta wang ehsan yang dicurahkan ke negeri Terengganu ini, katanya.

Dr Syed Azman berkata, usul ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh hal rakyat Terengganu keseluruhannya bukan kerana sentimen atau fahaman politik yang berbeza.

Bagi Dr Syed Azman, usul itu memenuhi segala yang diperlukan untuk sesuatu usul dikemukakan dan dibahaskan di Dewan itu di bawah perkara 30 peraturan Dewan.

Langkah ini, katanya, telah mencabuli hak demokrasi, sistem persekutuan dan melanggar perlembagaan negara.

Tindakan ini juga, katanya, boleh menggugat amalan demokrasi di negeri ini dan sistem federalisme yang menjadi asas penubuhan Malaysia.

ADUN PAS Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut ketika membahaskan usul terima kasih titah perasmian Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud, menyatakan sedihnya kerana isu royalti ini berpanjangan.

Beliau yang merujuk beberapa pertanyaan, jawapan dan kenyataan-kenyataan di Dewan Rakyat meminta supaya soal royalti ini dijawab dengan telus kerana ia membabitkan kepentingan umum.

Wahid mohon kerajaan menyataan dengan jelas hasil rundingan wakil kerajaan Terengganu dengan Petronas baru-baru ini.

Wahid pergi lebih jauh apabila mengatakan perjanjian antara negeri dan Persekutuan patut dinilai semula jika Kerajaan Pusat terus menafikan hak rakyat sesebuah negeri.
Beliau hairan bagaimana royalti minyak terus dibayar kepada Sabah dan Sarawak sedangkan menafikannya untuk Terengganu dan Kelantan.

Di pihak Yang Dipertua DUN - Datuk Tengku Putera Tengku Awang - walaupun isu berkenaan mustahak dan berkepentingan khusus, namun ia tidak mustahak untuk dibincangkan dengan segera.

Katanya, setelah meneliti secara menyeluruh dan khusus saya dapati isu yang dibangkitkan mengenai hal ini tidak perlu dibahaskan.

Kenapa? Pertama kerana perundingan mengenai royalti minyak antara kerajaan negeri dan pusat masih berjalan.

Kedua, hak kerajaan negeri juga tidak dinafikan langsung seperti yang dibentangkan dalam usul berkenaan.

Ketiga, isu ini masih lagi kes mahkamah dan tuntutan masih dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap kerajaan pusat, masih lagi belum ditarik balik dan masih berjalan, dan,

Keempat, perundingan sama ada di peringkat kepimpinan atau pegawai antara kerajaan negeri dan pusat juga sentiasa terbuka dan tidak ada penyisihan sebagaimana usul yang dibacakan.

Apa juga jawapannya, penggulungan yang akan dibuat Menteri Besar dinanti-nantikan untuk jawapan memuaskan semua pihak.

Walaupun isu ini begitu ditekankan oleh PAS, hakikatnya jika royalti atau apa juga bentuk kewangan hasil minyak, kerajaan negeri Barisan Nasional yang akan mendapat untung demi kebajikan rakyat Terengganu.

Mungkin Khamis, Ahmad Said akan memberikan jawapannya.

Sementara menunggu jawapan itu, isu ini dijangka akan terus dikemukan oleh ADUN PAS melalui pelbagai cara hari ini dan esok!

Tuesday, December 22, 2009

AHMAD SAID CUBA DIMALUKAN PADA SIDANG DUN...





KETERANGAN GAMBAR - Dulu bersama kini tidak lagi...tinggal empat sahaja...ada yang meminta maaf secara terbuka dan ada yang sudah boleh duduk semeja dengan Mat Said. Pada barisan depan yang masih belum bersama Mat Said, dua di tengah dan dua di belakang (sebelah kiri).

Daripada sepuluh, hanya ada empat – seorang melepaskan ‘bom’semalam dan tiga lagi membisu.

Itulah kedudukan terkini ‘10 Budak Hitam VS Mat Said’ kerana enam pemain 10 Budak Hitam sudah

bertukar gelanggang bermain dengan berkaptenkan Mat Said.

Malang sedikit ada seorang pemain yang sepatutnya bermain untuk memenangkan pasukan pimpinan Mat Said -- semalam kerana sebab-sebabnya sendiri - sumbat gol sendiri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Memburukkan keadaan pemain berkenaan adalah kesayangan pengurus pasukan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Malah, gajinya dibayar oleh Hishamuddin.

Apakah pemain ini (Datuk Din Adam) diarah atau dibayar oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu bagi ‘menyumbat gol sendiri?”. Inilah yang menjadi pertanyaan.

Apakah pengurus pasukan UMNO Terengganu itu sengaja kacau kapten Atau memang pemain ini tidak mampu dikawal oleh Hishamuddin sebagai pengurus pasukan?

Berikutan itu, Ahmad Said Said pada sidang DUN ketika soal jawab mengingatkan pemain-main UMNO (Barisan Nasional) supaya “Jangan jadikan dewan (Sidang Dun) ini untuk membuat sesuatu tuduhan yang tidak menentu hanya hendak melepaskan perasaan setelah menyembunyikan diri sekian lama.

“Muncul dengan ledakan-ledakan ‘bom’ yang tidak sepatutnya digugurkan di tempat yang berlainan yang sepatut digugurkan. Ini yang saya katakan. Siapa dendam siapa?,” ujarnya di Wisma Darul Iman, 21 Disember 2009, semalam

Beliau turut menyelar sikap Adun-adun BN yang pentingkan diri agar mengambil sikap muhasabah diri dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Malah, Ahmad turut menyifatkan Adun BN Bukit Besi” itu yang pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri sebagai ‘tidak cerdik’ ketika meminta penjelasannya.

“Saya rasa Adun Bukit Besi ini dia (Din) pun jadi Exco juga dahulu. Jadi janganlah tunjuk ketidak-cerdikan (bodoh) kita (Adun) pada dewan (Sidang Dun) ini,” jelasnya.

Laporan-laporan oleh laman web dan blog semalam menyebut Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi pembentangan bajet 2010 yang bermula semalam, menunjukkan ‘belang’ sebenar  Ahli-ahli DUN ’10 Budak Hitam’ yang kononnya telah berdamai dengan Menteri Besar.

Umpama ‘terkejut dari tidur’ mereka telah menamatkan kempen ‘protes senyap’ dan kembali bersuara dengan mengambil bahagian dalam sidang DUN kali ini.
Hampir keseluruhan mereka menyertai perbahasan serta mengemukakan soalan lisan di dewan yang mulia itu.

Namun ia agak mengejutkan dan kontra dengan pengakuan Hishamudin yang mengatakan perpaduan dalam Umno Terengganu telah mula terjalin.

Kumpulan Adun ‘10 budak hitam’ menggunakan peluang bersuara  ‘menyerang’ Ahmad Said

Adun Alor Limbat, Alias Abdullah membidas kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang lebih mengutamakan kepentingan Zoo Bikit Takal, di Kemaman dari penyediaan Infrastruktur kepada rakyat di negeri ini.

Katanya, masalah rakyat yang memerlukan Projek Monsoon Drain daripada Baruh Muring Tasek ke Padang Leban dan Sungai Bukit Payong masih belum dilaksanakan.

“Masalah infrastruktur yang tidak sempurna dan ditambah pula dengan banjir yang berlaku setiap tahun. Saya selalu bangkitkan dalam dewan (Dun) ini supaya kerajaan mempercepatkan pengambilan-balik tanah.

“Apakah tidak ada langsung keutamaan kerajaan dalam pembangunan untuk melaksanakan projek ini. Yang mana lebih penting Zoo Bukit Takal di Kemaman atau Infrastruktur kepada rakyat,” soalnya ketika mengambil bahagian dalam soalan lisan di dewan tersebut.

Bahkan, beliau turut menyifatkan Ahmad Said cuba mengelirukan dewan (Sidang DUN) kononnya projek (Monsoon Drain) tersebut telah diluluskan sebelum ini.

“Semasa saya menjadi Timbalan (Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan neger) beliau (Ahmad) memberitahu satu kelulusan telah diberikan untuk melaksanakan projek tersebut.

“Jadi apa yang hendak saya maklumkan kepada dewan (Sidang Dun) supaya dewan ini tidak diberi ‘salah arah’ (maklumat).

“Ianya (Projek Monsun Drain) tidak berlaku sama sekali dan tidak ada sebarang kelulusan sebelum ini untuk melaksanakan projek itu,” jelasnya ketika membidas jawapan dari MB tersebut.

Soalan asalnya, Alias bertanyakan bila Projek Monsoon Drain daripada Baruh Muring Tasek-Padang Leban-Sungai Bukit Payong akan dilaksanakan?

Ahmad Said ketika menjawab soalan tersebut menjelaskan pada dewan (Sidang Dun) bahawa satu kelulusan projek telah dibuat dan kerajaan prihatin tentang masalah tersebut.

“Sebab itu, saya sebut sejarahnya (Alias) tadi. Saya telah bina dan itu menggambarkan kerajaan prihatin tentang masalah ini.”tegs Ahmad Said.

Dalam pada itu, Din Adam meimbulkan isu beliau tidak tahu bahawa akan ada perlombangan semula di Bukit Besi.