Showing posts with label FDI. Show all posts
Showing posts with label FDI. Show all posts

Monday, August 2, 2010

APABILA KU LI DAKWA TOK PA TAK CAKAP BENAR…


"....Pelabur asing juga memerlukan wang yang mereka ada untuk dilaburkan di dalam negara sendiri berikutan keadaan ekonomi yang semakin teruk terutama di Eropah dan AS. ..Kebanyakan pelabur terpaksa menumpukan kepada pelaburan di dalam negara masing-masing kerana ia amat diperlukan di sana, ini bermakna mereka tidak akan membuat pelaburan besar di negara lain.'' - Dr Mahathir Mohamad

Banyak pihak – penganalisis ekonomi - menganggap berita paling hangat masa kini ialah kejatuhan 81 peratus dalam pelaburan langsung asing (FDI) negara untuk 2009 seperti yang diterbitkan oleh Laporan Pelaburan Dunia (World Investment Report UNCTD) pada 22 Julai lalu.

Malaysia mencatat kejatuhan FDI tahun lalu kepada AS$1.38 bilion (RM4.22 bilion) berbanding AS$7.31 bilion (RM23.39) pada 2008.
Ini merupakan rekod terburuk yang dialami Malaysia sejak 15 tahun lalu.

Apa yang merisaukan ialah negara kita yang mengalami kejatuhan yang paling tinggi berbanding lain-lain negara dalam ASEAN. Vietnam mengalami kejatuhan sebanyak 44 peratus, Thailand jatuh sebanyak 31 peratus, Indonesia jatuh 48 peratus, Filipina jatuh 26 peratus dan Singapura meningkat 45 peratus.

Bagaimanapun, kita difahamkan bahawa untuk penggal pertama 2010 kita telah mencapai keseluruhan jumlah pelaburan untuk tahun lepas. Ertinya keadaan merudum pelaburan itu tidaklah berterusan hingga ke tahun ini.

Jumlah FDI dalam tempoh tersebut dikatakan meningkat RM5.06 bilion iaitu hampir yang dicatat sepanjang 2009 sebanyak RM5.66 bilion. Meskipun aliran FDI merosot pada 2009, namun Malaysia masih tersenarai sebagai salah satu daripada 15 negara utama FDI bagi 2010 hingga 2012.

Namun, seorang penganalisis ekonomi berkata beberapa hari lalu , sekiranya tiada tindakan drastik untuk memperbaiki kemasukan FDI, ekonomi Malaysia akan terperangkap selama-lamanya.

Ini kerana negara-negara jiran terutama Vietnam dan Indonesia, begitu agresif meningkatkan pertumbuhan ekonomi masing-masing dengan pendekatan yang holistik.

Dengan kata lain, menurutnya, Malaysia tidak boleh hanya berpeluk tubuh dengan mengharapkan limpahan ekonomi negara-negara jiran untuk merasai tempiasnya kerana ia tidak akan berlaku.”Sudah tentu kita tidak mahu melihat generasi muda pada masa depan pula mencari kerja di Indonesia dan Vietnam, mencari sesuap nasi,” kata pengnalisis tersebut.

Berikutan itu, Tok Pa (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri – MITI - Datuk Mustapa Mohamed) dan MITI seakan tertekan sehingga terpaksa membuat dua kali kenyataan kepada media.

Tok Pa dan MITI dikritik oleh banyak pihak yang mempersoalkan kewibawaan kementerian itu yang diterajui olehnya sehinggakan ada kenyataan-kenyataan pedih yang dilemparkan terhadap kementerian itu. Namun apakah Tok Pa dan seluruh kakitangan sudah lemah semangat dengan kritikan dan kecaman sedemikian.

Terbaru, Tok diserang hebat akibat angka kejatuhan FDI itu, termasuk oleh bekas Menteri Kewangan yang kemudian menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Menurut Malaysiakini kelmarin, Ku Li mengecam Tok Pa yang dikatakan tidak memberitahu perkara yang sebenar berhubung sebab utama tentang kejatuhan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak 81 peratus pada 2009.

Beliau mengatakan Tok Pa tidak bercakap benar dan berpusing-pusing memberikan alasan remeh. Ku Li menegaskan soal asas ialah tidak ada keyakinan, bukan kerana faktor lain.

Persoalannya, jangan Tok Pa sahaja disalahkan. Apakah kerana beliau baru mengambil alih kementerian itu, beliau wajar dipersalahkan? Kementerian ini sebelum ini diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sejak Mac 2008. Bagaimanapun, kementerian itu lama berada di bawah Datuk Seri Rafidah Aziz.

Kita perlu adil dan melihat juga bagaimana pendekatan MITI sebelum 2008 dan apa perancangan kerajaan ketika itu?

Tok Pa dalam kenyataan akhbar pada 26 Julai lalu memberi alasan aliran masuk FDI menjunam akibat terkena tempias krisis ekonomi global yang menyebabkan ramai pelabur berhati-hati sebelum membuat sesuatu keputusan perniagaan. Sayangnya, kenyataan itu dikatakan tidak boleh diterima kerana berdasarkan data tahap kompetitif Malaysia semakin jauh ketinggalan.

Dengan mengambil contoh Thailand, meskipun mengalami krisis politik yang sukar sehingga mengheret rakyatnya berdemonstrasi selama berbulan-bulan, negara gajah putih itu masih mampu merekod FDI lebih tinggi iaitu sebanyak AS$5.94 bilion (RM19 bilion) berbanding Malaysia, sebuah negara yang aman damai.

Tok Pa menyatakan satu sebab kemerosotan aliran masuk pelaburan kerana Malaysia dalam proses transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
Perkara ini sekali lagi ditegaskan oleh beliau pada majlis makan malam dan taklimat ‘Daya Saing Dunia Sebagai Elemen Penting Dalam pembentukan Model Baru Ekonomi Negara” anjuran bersama Kerajaan Negeri Terengganu, MITI dan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) yang turut melibatkan Terengganu Development Institutr (TDI) .

"Beliau (Tok Pa) tidak bercakap benar, berpusing-pusing beri alasan remeh," katanya kepada Malaysiakini di Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar kelmarin. Ku Li mengulas alasan menteri itu bahawa Malaysia hanya berjaya menarik FDI sangat sedikit berbanding ekonomi negara jiran kerana ia melibatkan skala pembangunan pada tahap berbeza, justeru tidak boleh menarik pelaburan infrastuktur.

Tok Pa sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia tidak berminat menarik pelaburan dalam sektor pulangan rendah seperti yang melanda ekonomi kawasan lain. Tok Pa menjelaskan, kita ini kita banyak menekankan kepada buruh murah yang berpengetahuan rendah dan dibantu oleh pekerja Malaysia yang ramai pada peringkat perkeranian dan am, Malaysia sukar untuk bersaing dengan negara-negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam yang turut menawarkan kos buruh yang murah.

Tok Pa mengakui pasaran Malaysia kini sudah tepu dan negara perlu merubah untuk menjamin pekerja-pekerjanya lebih berkemahiran dan mula mencipta pekerja yang ‘berbakat ‘ (talent) dalam bidang masing-masing, bukan sekadar pekerja am.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulas isu ini semalam berkata kemerosotan FDI disebabkan pelabur asing seperti dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tidak mempunyai wang untuk dilaburkan.

Menurutnya, pelabur terbabit juga memerlukan wang yang mereka ada untuk dilaburkan di dalam negara sendiri berikutan keadaan ekonomi yang semakin teruk terutama di Eropah dan AS. Katanya: “Keadaan ekonomi Eropah dan AS amat terjejas berikutan krisis kewangan yang melanda negara terbabit sehingga ramai rakyatnya tidak mempunyai pekerjaan.

Kebanyakan pelabur terpaksa menumpukan kepada pelaburan di dalam negara masing-masing kerana ia amat diperlukan di sana, ini bermakna mereka tidak akan membuat pelaburan besar di negara lain.''

Berikutan itu beliau meminta kerajaan mengkaji bagi meningkatkan pelaburan dalam negeri seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain.

Tok Pa pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis-majlis Perniagaan baru-baru ini berkata, MITI yakin negara mampu menarik pelaburan swasta sebanyak RM115 bilion setahun di bawah RMK-10. Dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi pastinya iklim ekonomi negara mampu berubah ke arah yang lebih baik. Walaupun ia adalah sasaran yang tinggi tetapi kita perlu meletakkan sasaran yang sebegitu

Tambahnya, tumpuan untuk mendapatkan pelaburan bukan hanya melibatkan pelaburan langsung asing (FDI) tetapi ia turut membabitkan pelaburan langsung domestik. Ia meliputi semua sektor termasuk pembuatan, minyak dan gas, pengangkutan, hartanah dan perkhidmatan, katanya.

Sebagai latar belakang, kita perlu menyedari bahawa aliran FDI boleh berubah secara mendadak dari tahun ke tahun. Sebagai contoh pada 2001, FDI Malaysia hanyalah bernilai AS$0.5 bilion tetapi pada 2002, nilainya melonjak sebanyak 540 peratus kepada AS$3.2 bilion. Negara-negara lain juga turut mengalami laluan yang serupa.

Sedangkan Aliran FDI Singapura menurun sebanyak 70 peratus pada 2008 tetapi meningkat semula sebanyak 54 peratus pada 2009.

Jadi turun naik aliran FDI ini adalah lumrah alam.

Berdasarkan kemeruapan yang tinggi dari tahun ke tahun, lebih tepat jika kita melihat FDI dari sudut jangka panjang. Dari perspektif ini, aliran masuk FDI ke Malaysia meningkat meskipun tidaklah sehebat negara-negara lain. Dari 2000 ke 2009, aliran FDI tahunan negara meningkat sebanyak 4.2 peratus manakala negara-negara lain di rantau ini mencatatkan pertumbuhan dua digit. Ini bermakna, kita perlu berusaha mempertingkatkan lagi aliran masuk FDI.

Satu perkara yang saya yakin, Tok Pa tidak akan berdiam diri. Sebagai orang yang kuat bekerja, Tok Pa akan berusaha lebih gigih dengan kakitangannya untuk mencari pendekatan baru.

Lagipun, rekod perkhidmatan Tok Pa sebelum ini menyatakan segalanya!

Saya yakin MITI dan Tok Pa akan mampun mencari pendekatakan sewajarnya bagi menjamin daya saing Malaysia akan terus maju bagi menjayakan Model Baru Ekonomi Negara berada pada tahap yang sebaik-baiknya!

Thursday, November 27, 2008

FDI - AGENDA TERSEMBUNYI ANWAR

Semuanya kerana mahu menonjolkan bahawa ‘aku boleh bawa masuk Pelaburan Langsung Negara Asing (FDI) lebih banyak’ dan berkurangnya FDI kerana perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) menyebabkan isu ini terus ditimbulkan walaupun perkaranya sudah dijawab di Dewan Rakyat.

Berkaitan ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu membuka ruang untuk memahu menonjol dan membahaskan Agenda Ekonomi Baru Malaysia yang kononnya sudah tiba masa untuk perubahan, berubah kepada yang lebih berkesan, relevan, dan memenuhi kehendak rakyat diperlukan.

Itu saja. Tujuannya memperlekehkan kerajaan dan memberikan alternative, konon.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sengaja menyerahkan usul kepada Dewan Rakyat membincangkan pengaliran keluar Pelaburan Asing (FDI) besar-besaran sejak 2005. Usul tersebut diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan pada 19 November lalu.

Tegas beliau dalam usul tersebut, isu ini perlu dibahas di Dewan Rakyat dengan kadar segara kerana ianya menyentuh kepentingan umum dan negara.

Usul yang dibawa di bawah Perkara 18 (1) khas bagi membincangkan isu mengenai FDI itu itu wajar ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Dato' Ronald Kiandee. Ronald semasa menolak usul itu menyatakan, usul yang dibawa oleh Anwar itu tidak berkehendak disegerakan.

Ia bagaikan ada pertalian rapat komen mengenai berkurangnya FDI dan penyebanya ialah DEB apabila Ketua Pembangkang Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan isu FDI ini.

Anwar mendakwa, mengikut laporan terbaru United Nations Conference on Trade and Development World Investment Report 2008 (UNCTAD)mengenai pengaliran keluar pelaburan langsung asing (FDI) yang mencecah RM38 bilion berbanding kemasukan hanya RM29 bilion untuk 2007 menyebabkan negara mengalami negatif sebanyak RM9 bilion.

Menurutnya, beliau tidak menafikan bahawa pada umumnya alasan yang kerap diberikan adalah kerana faktor fenomena global dan semua negara mengalami tekanan ekonomi berikutan krisis ekonomi yang bermual dari Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun tetapi kerajaan perlu menjawab mengapa kesan di negara ini lebih ketara dari negara Asean lain.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata pada 30 Oktober lalu, turut memetik daripada Laporan Pelaburan Dunia 2008 yang diterbitkan oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) pada 24 September lalu, menunjukkan peningkatan dalam kemasukan FDI ke Malaysia.

''Kemasukan FDI ke Malaysia meningkat sebanyak 40 peratus iaitu AS$8.4 bilion berbanding tahun sebelumnya sebanyak AS$6 bilion," katanya.

Menurutnya, penambahbaikan suasana pelaburan, kepesatan pelaburan serantau dan pengukuhan integrasi serantau merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan FDI.

''Malaysia buat pertama kalinya mencatatkan prestasi yang memberangsangkan dalam pelaburan menjangkau sempadan.

''Mengikut perangkaan Bank Negara Malaysia, sejumlah RM42.4 bilion telah dicatatkan pada tahun 2007 dengan sebanyak RM31.9 bilion dilaburkan dalam sektor seperti perkilangan, kewangan, insurans, hartanah, perkhidmatan pelaburan dan perniagaan serta perlombongan dan kuari," katanya.

Malah Muhyiddin menafikan kononnya pelaburan langsung asing (FDI) keluar melebihi FDI yang masuk ke negara ini.

Menurutnya, FDI yang keluar itu sebenarnya adalah pelaburan menjangkau sempadan oleh syarikat-syarikat Malaysia yang mengambil peluang pelaburan di luar negara.

''Ini adalah satu perkembangan yang positif sebenarnya," kata beliau ketika menggulung Bajet 2009 pada sidang Dewan Rakyat .
Mana satu Anwar?

Dah dijawab dan dinyatakan ‘terang lagi bersuluh’ pada akhir Oktober tetapi Anwar terus mahu menimbulkan isu berkenaan.
Jawapnnya mudah. Pada 28 Jun lalu PKR menyatakan ia memandang serius ekononomi Malaysia semakin hari merosot dari segi FDI akibat kesan-kesan perlaksanaan DEB.

Bendahari Agung KeADILan William Leong berkata perangkaan UNCTAD (United Nations Conference on Trade and Development) terbaru menunjukkan jumlah FDI Malaysia jatuh dari USD4.62 bilion ke USD3.97 bilion dari masa setahun (04/05).Pengaliran pelaburan masuk ke Indonesia meningkat 177% ke USD5.26 bilion pada tahun 2005, melangkaui jumlah FDI Malaysia untuk kali pertama sejak tahun 1990.

Polisi DEB disifatkan ada diskriminasi dalam melindungi golongan terpilih sahaja telah menjadikan Malaysia tidak mampu bersaing dengan destinasi pelaburan yang lain.
Matlamat awal DEB, menurut Leong, adalah “terpuji” tetapi perkara yang perlu dikhuatiri ialah kegagalan DEB mencapai matlamatnya selepas 30 tahun.

“Adalah penting kaedah perlaksanaan DEB dikaji semula supaya langkah-langkah yang tidak berkesan ditukar ganti,” katanya.

Menurutnya lagi, tanpa penyesuaian dengan keadaan dunia yang sentiasa berubah pada era globalisasi ini, Malaysia akan ketinggalan dan tidak mungkin mencapai matlamat asal DEB.
“Sudah tiba masa untuk perubahan, berubah kepada Agenda Ekonomi Baru Malaysia yang lebih berkesan, relevan, dan memenuhi kehendak rakyat diperlukan,” katanya.

Jelas sekali, PKR sedang menjaja Agenda Ekonomi Baru Malaysia
Pertalian kenyataan PKR ini amat jelas ada kaitannya dalam agenda Anwar sedangkan pelabur dari Amerika Syarikat (AS) masih mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap potensi pelaburan di negara ini, khususnya dalam sektor perkilangan.

Keyakinan itu berdasarkan kemunculan syarikat-syarikat AS sebagai pelabur kedua terbesar Malaysia dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini dengan nilai pelaburan dalam sektor berkenaan berjumlah RM6.28 bilion.

''Pelaburan ini melebihi daripada jumlah yang diluluskan bagi keseluruhan tahun 2007 yang hanya bernilai RM3 bilion,'' katanya baru-baru ini.

Lebih menarik pada 20 November lalui, Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik (PECC) mengiktiraf Malaysia berada pada ranking ke-enam ekonomi paling bersepadu dalam rantau Asia PAsifik.

Mengetuai senarai itu ialah Hong Kong dan diikuti Singapura, Taiwan, Korea Selatan dan New Zealand, kata PECC, yang membangunkan satu set petunjuk baru untuk mengukur setakat mana penyepaduan dalam rantau ini, dalam satu kenyataan.

Indonesia merupakan ekonomi paling kurang bersepadu di antara 17 negara anggota forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang menjalani pengundian bagi pengiraan indeks antara tempoh 1990 dan 2005, kata PECC dalam satu laporan serantau yang akan dikeluarkan di Sidang Kemuncak Ketua Negara Apec hujung lalu.

Sekarang ini, perdagangan Malaysia dengan ekonomi anggota Apec adalah ketara, dengan perdagangan dengan kumpulan itu tahun lepas berjumlah RM851.1 bilion, yang merupakan 76.7 peratus daripada jumlah dagangan.

Dalam tempoh Jan-Sept 2008, dagangan Malaysia-Apec berjumlah RM694.5 bilion atau 75.9 peratus daripada jumlah dagangan, demikian menurut angka yang disediakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Apec juga merupakan sumber pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia yang utama, dengan FDI yang diluluskan dari Apec dalam tempoh 10 bulan itu berjumlah RM17.5 bilion atau 52.4 peratus daripada RM25.8 bilion jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan.

Semalam di Dewan Rakyat, kerajaan sekali lagi menjelaskan tiada pelabur asing memberhentikan operasi pekilangan di negara ini tahun ini dan berpindah ke negara lain.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Liew Vui Keong, menafikan dakwaan berlaku pengaliran keluar wang asing sebanyak RM38 bilion tahun ini kerana pelabur asing menghentikan operasi pekilangan mereka.

Apa yang cuba dilakukan oleh Anwar sejauh ini ialah memperkukuhkan kenyataannya sebelum ini bahawa jika dia Perdana Menteri, akan lebih banyak FDI di bawa masuk ke Malaysia.

Kenyataan itu ada makna, semua ‘orang kampung’ sudah tahu punca dan sektor mana FDI yang mahu dibawa oleh Anwar ke Malaysia.