Saturday, September 2, 2017

SIAPA TERKESAN JIKA TIADA LAGI ‘BAYARAN UNTUK PENGUNDI LUAR’?


Kenyataan menarik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini ialah “beri pengundi elaun perjalanan ialah rasuah”.

Selepas berkali-kali pilihan raya umum dan pilihan raya kecil di negara ini, kenyataan ini bukan sahaja perlu diambil perhatian berat oleh parti pembangkang tetapi lebih penting kepada parti pemerintah, khususnya Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Isu ‘bayaran  elaun untuk  pengundi' khususnya 'bayaran untuk pengundi luar’ ini sering menjadi isu dalam UMNO dan PAS. Ini kerana dua parti inilah paling banyak menyediakan peruntukan kepada pengundi luar.

Bagaimanapun, tidak dinafikan, parti lain juga turut terlibat. Hanya bukti yang mampu menyerlahkan siapa yang paling banyak dan yang siapa pula yang untung daripadanya.

Selepas terlibat dalam setiap pilihan raya umum secara langsung sejak 1986, penulis melihat isu ‘peruntukan untuk pengundi luar’ ini bukan sesuatu yang asing. Ia peruntukan dimestikan, khususnya oleh UMNO dan PAS.

Malah faktor kepulangan pengundi luar bukan isu kecil.

Ada Parlimen di Terengganu yang dikuasai oleh PAS melimpah dengan 'pengundi luar' yang menyokong calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri datangnya dari seluruh pelusuk tanah air.

Mereka 'digelar pengundi haram' tetapi sebenarnya mereka adalah bekas pelajar di sebuah masjid yang oleh seseorang yang terkenal. Tidak diketahui berapa jumlah bayaran diberikan kepada pengundi berkenaan.


UMNO juga sering mengeluh di Kelantan dan Terengganu, khususnya pada sebelah petang hari pilihan raya apabila pulangnya ‘perantau’ untuk mengundi, khususnya menyokong pembangkang – PAS.

PAS diketahui umum turut  menyediakan peruntukan ini dan mereka tidak boleh menafikannya.

Cuma PAS lebih bijak kerana mereka membayar kepada mereka di Pantai Barat, khususnya di Lembah Kelang.

Juga ramai ‘pengundi luar untuk UMNO dan PAS’ dari Johor dan selatan Thailand dan bayaran juga dibuat di sempadan umpamanya di Merapoh dan Gua Musang atau di Gambang dan Kuantan jika ke Terengganu atau di sempadan Malaysia-Thailand.

Kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki bahawa  penawaran sebarang bentuk dorongan kepada pengundi, tidak kira wang tunai atau hadiah, dianggap rasuah.

Malah menurutnya, tindakan menawarkan elaun perjalanan kepada pengundi pulang ke kampung halaman mengundi ialah satu bentuk rasuah.

Perkara ini sering diremehkan oleh pembangkang, tidak kiralah di negeri mana pun, sedangkan bagi
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki yang dipetik Sin Chew Daily berpendapat  penawaran sebarang bentuk dorongan, tidak kira wang tunai atau hadiah, dianggap rasuah.

Isunya kenapa baharu sekarang SPRM timbulkan isu ini?

Kenapa ia tidak dikuatkuasakan melalui kesalahan Akta Pilihanraya sebelum ini  yang akan membolehkan parti politik membuat bantahan atau memohon perintah mahkamah?

Dengan jelas Azam menegaskan calon atau ahli parti politik menawarkan elaun kepada pengundi untuk mengundi mereka, walaupun hanya RM50 ialah tindakan merasuah.



Isu peruntukan untuk pengundi luar bukan sedikit, malah melibatkan jutaan ringgit.

Apa yang menarik, kadangkala wang dijanjikan tidak pernah diterima oleh pengundi luar akibat ‘disamun oleh pemimpin tertentu’.

Ada juga banyak kes jumlah yang dibayar jauh lebih kecil daripada dijanjikan.

Berikutan itu berbagai masalah timbul  namun, tiada sebarang tindakan dibuat oleh kepimpinan parti UMNO dan PAS dalam isu ‘wang untuk pengundi luar ini’.

Ada juga yang ‘kaya’ hasil daripada melesap dan ‘mencuri peruntukan untuk pengundi luar ini’.

Akibatnya parti yang mengharapkan sokongan pengundi luar menjadi mangsa pada pilihan raya akan datang kerana mereka yang terkena atau yang dinafikan hak mereka tidak lagi pulang mengundi atau kalau pulang pun tidak mengundi lagi parti yang pernah menipu mereka.

Kali ini, menjelang pilihan raya umum ke-14, semua parti politik tidak dibenrakan lagi  menggunakan wang untuk pengundi luar dan membeli undi.

Jika didapati sedemikian, kelayakan calon sesebuah parti akan dibatalkan.

Isunya, cukupkah kakitangan SPRM untuk memantau perbuatan ini?

Atau apakah ia juga akan bergantung kepada laporan parti tertentu terhadap parti yang lain?

Apakah nanti selepas pilihan raya SPRM akan dibebankan pula dengan isu ‘wang untuk pengundi luar’ dan kesalahan berkaitan membeli undi?

Janji Azam,  sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh PRU14, sebuah pasukan penguatkuasaan yang terdiri daripada SPRM dan polis akan ditubuhkan untuk memantau aktiviti rasuah di kalangan ahli politik.

“Pasukan penguatkuasa akan mengambil tindakan berdasarkan aduan orang ramai, termasuk menggunakan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya, Akta SPRM dan Kanun Keseksaan untuk menyiasat aduan,” katanya.

Menarik untuk melihat apa kesan janji SPRM ini selepas PRU14.

Siapa akan terkesan jika SPRM benar-benar menguatkuasa dan mengambil tindakan? UMNO, PAS atau parti-parti lain?

Cumanya,  apakah SPRM mendapat nasihat daripada pihak tertentu bahawa pergerakan pengundi untuk parti pembangkang juga besar yang mengakibatkan calon parti pemerintah di negeri  tertentu tewas sebelum ini?

SPRM jangan memerangkap pihak tertentu sahaja.

Sebaliknya laksanakan penguatkuasaannya secara menyeluruh. Ini  kerana semua tahu bahawa BN melalui UMNO menyediakan peruntukan besar hingga berjuta-juta ringgit bagi tujuan membeli undi dan ‘membawa pulang perantau untuk mengundi mereka’.


Persoalan paling penting ialah terkesankan BN/UMNO?

No comments:

Post a Comment