Saturday, March 4, 2017

NAJIB GUNAKAN PERBINCANGAN PERIBADI MENYERANG PENENTANGNYA?


"Apakah Dr Mahathir pernah mendedahkan perbincangan sulit dengan menteri atau pemimpin partinya dalam perkara seperti memilih Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalannya, bukan Najib Razak sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat?"

Berhati-hatilah pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang lain.

Datuk Seri Najib Razak mungkin akan menggunakan perbincangan peribadi atau yang dianggap rahsia untuk menyerang seseorang demi kedudukannya.

Apakah Perdana Menteri sebelum Najib menggunakan taktik serangan peribadi sebegini untuk menjatuhkan mereka yang menentangnnya?

Apakah bekas Perdana Menteri seperti Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mendedahkan perbincangan sulit dengan menteri atau pemimpin partinya umpamanya dalam perkara seperti memilih Timbalan Perdana Menteri?

Apakah diberitahu kepada rakyat kenapa Dr Mahathir memilih Abdullah Ahmad Badawi (Tun), bukan Najib sebagai timbalannya mengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Anwat dipecat?

Walaupun ada pertelingkahan dengan kedua-duanya, Dr Mahathir tidak pernah mendedahkan sebarangan perbincangan antara mereka sehingga sekarang.

Ada yang tahu rahsia itu tetapi oleh kerana Dr Mahathir sendiri tidak bercakap mengenainya, mereka yang tahu mengenai perkara itu turut menyimpan rahsia parti.

Dengan Najib melakukan pendedahan perbincangannya dengan Datuk Seri Shafie Afdal kelmarin, perlakukan sebegini turut menimbulkan persoalan, apa ruang atau peluang yang ada untuk seseorang bekas menteri mempertahankan dirinya daripada tuduhan sedemikian.

Bagaikan sudah habis modal untuk diceritakan kepada rakyat Sabah, Najib hari ini membuat serangan peribadi ke atas seorang bekas menteri persekutuan dari Sabah.

Menggunakan rahsia perbincangan dan hubungan intim selama ini dengan bekas seorang menteri persekutuan dari Sabah Najib untuk meyakinkan rakyat Sabah dan menyerang menteri berkenaan untuk menunjukkan kononnya beliau berjuang untuk rakyat,  adalah perbuatan memalukan.


Inikan cara terbaik untuk mengajak rakyat Sabah menyokong BN?

Tidak adil mendedahkan hasil perbincangan seorang menteri dengan  beliau, malah ‘suasana akrab dan manis’ yang kini menjadi ‘muram dan masam’,  tidak wajar didedahkan kepada rakyat.

Jelas Perdana Menteri semakin muflis idea dan modal untuk mengkritik pemimpin lawan serta mengajak rakyat menyokong BN, terutamanya di Sabah.

Dengan mendedahkan kononnya seorang bekas menteri persekutuan yang kini presiden parti pembangkang, pernah menemuinya dan meminta supaya dilantik menjadi ketua menteri Sabah adalah perbuatan tidak beretika.

Apa lagi pendedahan yang  menyifatkan permintaan itu sebagai cita-cita peribadi bekas menteri persekutuan itu, sangat menjijikkan.

Tidakkah perbincangan sulit dan peribadi antara ketua sebuah parti dengan pemimpin dalam partinya adalah sesuatu yang perlu dirahsiakan?

Walau apa juga keadaannya, sebagai pemimpin utama – apa lagi perbincangan yang bersifat peribadi seperti ini kalaupun benar – sama sekali tidak wajar didedahkan kepada umum walaupun orang berkenaan mungkin mengatakan sedemikian.

Jika beginilah bentuk kepimpinan pemimpin utama parti, maka berhati-hatilah pemimpin UMNO dan BN.

Ini  kerana mungkin Najib boleh dan akan menggunakan sebarang perbincangan ‘dari hati ke hati’ sebagai senjata atau untuk ‘mengugut seseorang’ kemudian hari.

Kata Najib: “Bagi saya, cita-cita peribadi tidak boleh mengatasi perjuangan untuk rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Perumahan Rakyat Taman Batu Sapi semalam.

Sambil itu Najib berkata mana boleh sebuah parti politik ditubuhkan atas cita-cita peribadi, dan parti seperti itu tidak akan bertahan lama.


Walaupun tidak menamakan pemimpin terbabit, Najib jelas merujuk kepada bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga ahli Parlimen Semporna dan presiden Parti Warisan Sabah.

Najib berkata penubuhan sesebuah parti politik dibuat atas perjuangan murni, suci serta penuh idealisme, misalnya penubuhan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, UMNO dan BN ditubuhkan untuk membawa rakyat Malaysia lebih berjaya dan maju.
“Ini parti politik, ini perjuangan, institusi yang mesti dijaga. Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi BN mesti kekal terus memerintah di bumi Malaysia yang bertuah ini.

“Perjuangan kita sambung menyambung daripada satu pemimpin kepada pemimpin yang lain dan sebab itu Malaysia berjaya,” katanya.

Memanglah tujuan  Najib bertujuan mengingatkan rakyat supaya tidak termakan dengan hasutan pembangkang yang kelak akan merugikan mereka.

Namun dengan mendedahkan perbincangan – mungkin juga perbincangan peribadi – dengan menterinya yang kini didedahkan kepada umum adalah perbuatan cuba mendedahkan aib dan untuk menunjukkan orang lain tidak ‘berjiwa rakyat’ seperti beliau.

Najib menhentam bekas menteri itu bukan dalam konteks perjuangan parti atau apa yang ditawarkan untuk rakyat Sabah tetapi semata-mata untuk menunjukkan menteri itu sebagai ‘tamak kuasa dan berjuang demi matlamat peribadi’.

Malang sekali rakyat mempunyai Perdana Menteri yang menggunakan ‘perbincangan peribadi’ sebagai modal politik untuk menyerang lawan beliau.

Yang rakyat mahu tahu ialah apa jaminan kehidupan mereka di masa hadapan, bukan siapa meminta apa atau sebagainya.

Apakah menteri lain tidak meminta apa-apa daripada beliau sebagai Perdana Menteri?

Jika ada – berhati-hatilah menteri berkenaan – patuhnya selama-lamanya kerana jika anda menentang Najib, mungkin ada perkara sulit yang dibincangkan dengan Najib akan didedahkan.

Anda semua pun mungkin berdepan dengan tindakan seperti yang diperlakukan terhadap bekas menteri pusat berkenaan.

Yang nyata, kerana tersepit dan semakin hilang keyakinan, Perdana Menteri kini terpaksa menggunakan perbincangan peribadi dengan mendedahkan kepada rakyat.

Apakah rakyat termakan dengan taktik serangan peribadi seperti ini bagi menyokong terus UMNO dan BN di Sabah?

1 comment:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete