Tuesday, January 17, 2017

PAS SUDAH BERPALING MUKA DARIPADA KERJASAMA DENGAN PPBM?


"Majlis perasmian PPBM merupakan majlis pergerakan dan perkumpulan orang Islam dan  Melayu. Ia bukan majlis parti DAP atau AMANAH yang sangat dibencinya ketika ini. Sepatutnya PAS datang..."

Apakah keengganan pemimpin PAS hadir pada majlis perasmian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Stadium Malawati, Shah Alam, malam Sabtu lalu sebagai isyarat wujudnya halangan  besar kepada kejayaan pembentukan Pakatan Harapan yang mempunyai lima parti di dalamnya?

Juga apakah ia isyarat bahawa rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi - PAS + PPBM akan menjadi sukar – hanya kerana PAS seperti tidak mengiktiraf kehadiran PPBM?

Apa yang menyebabkan mereka menolak jemputan untuk hadir pada malam Sabtu lalu, atau kerana kehadiran pemimpin tinggi DAP dan AMANAH pada majlis itu?

Sedangkan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pasukannya diberikan tempoh sehingga pertengahan bulan Januari ini bagi  memutuskan perundingannya dengan PAS.

Ini adalah mandat  khusus kepada Presiden PPBM itu dan keputusan juga sedang ditunggu oleh tiga parti lain termasuk PKR, DAP dan AMANAH.

Untuk rekod, sehingga kini,  PPBM sudah  menandatangani perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH),  13 Disember lepas.

Namun dengan keengganan pemimpin PAS hadir pada majlis perasmian PPBM dan ulasan yang dikeluarkan oleh pemimpin PAS khususnya terhadap Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad,  seolah-olah mula ‘menghembuskan cahaya di hujung terowong’.

Malah, PAS Selangor begitu sensitif apabila ada laporan media perdana kononnya dua pemimpin mereka hadir pada pada majlis PPBM itu pada malam Sabtu lalu.

Seolah-olah PAS tidak mahu berkait langsung dengan PPBM pada hal parti baru ini berusaha untuk mengajaknya bekerjasama.

Apakah PAS merasakan mereka begitu kuat sehinggakan keupayaan Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti dipertikaikan?

PAS Selangor yang dengan tidak semena-mena menghukum media tempatan kononnya ‘mencipta fitnah’ apabila melaporkan bahawa Timbalan Presiden partinya hadir pada majlis itu, membawa seribu makna.

Sewajarnya, PAS Selangor tidak bersikap begitu keras dengan media perdana kerana mungkin laporan itu dibuat sebaik sahaja  mendengar Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan awal majlis perasmian partinya itu ada menyebut nama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Mat.

Malah sebuah kerusi yang kosong sehingga tamat majlis itu juga tertera nama Iskandar Abdul Samad.

Ia mungkin sekeping gambar tetapi ada mengatakan ‘A picture is worth a thousand words’.
Dr Mahathir tidak menyebut nama pemimpin PAS lain yang sepatutnya hadir atau yang turut hadir malam Sabtu lalu, termasuk Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena ke majlis itu, kecuali Tuan Ibrahim.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Mohd Prasad Hanif marah sungguh dan menganggap laporan berita, termasuk oleh media perdana  mengenai kedatangan Pesuruhjaya PAS Selangor itu sebagai suatu fitnah yang dimainkan dengan niat sengaja menjejaskan imej PAS Selangor.

Hakikatnya, tidak ada sesiapa pun yang mahu membuat fitnah pun.

Ia sekadar terpetik nama daripada apa yang diumumkan oleh Dr Mahathir dan kebetulan ada kerusi untuk Iskandar.

Kenapa sensitif sangat pemimpin PAS Selangor ini?

Ia bukan majlis parti DAP atau parti AMANAH yang sangat dibencinya ketika ini. Sebaliknya ini  majlis PPBM yang merupakan majlis pergerakan dan perkumpulan orang Islam dan  Melayu. Sepatutnya PAS datang tetapi kalau tidak mahu datang tidak mengapalah tetapi jangan sensitif begitu sekali

Utusan Malaysia pada 14 Januari 2017 (11:25 malam) melaporkan, “Pemimpin PAS hari ini turut hadir dalam Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Stadium Malawati di sini (Shah Alam).

Pemimpin PAS yang hadir ialah Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad. Difahamkan kehadiran Iskandar sebagai menggantikan Timbalan Presiden PAS, Tuan Man Tuan Ibrahim.


BH Online (14 Januari, 9.37 malam) turut melaporkan mengenai kehadiran Tuan Ibrahim kerana namanya disebut dalam ucapan alu-aluan oleh Dr Mahathir.
Itu sahaja.

Cuma pelik sedikit apabila Malaysia Gazette melaporkan dengan tajuk, “Kehadiran Tuan Ibrahim, Iskandar dapat restu Presiden PAS” yang menyebut “Kehadiran Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad pada majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) malam ini, mendapat restu Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Parti (PAS) menerima jemputan dari PPBM, minta hadir. Presiden (PAS) setuju dan minta saya serta Datuk Pesuruhjaya PAS Selangor datang atas semangat setiakawan dalam politik.

“PAS tidak ada masalah dengan PPBM. Begitu juga dengan PKR. Kita boleh duduk se pentas. Cuma kita tidak bersedia untuk bergabung dengan mereka dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui di Stadium Malawati di Shah Alam.

Bagaimana wartawannya Manzaidi Mohd Amin menemubual Tuan Ibrahim jika beliau tidak pernah muncul?

Malah wartawan Malaysia Gazette itu melaporkan, “Ditanya, adakah kehadirannya memberi gembaran bahawa PAS akan bersama PPBM dalam PH untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini, katanya, PAS setakat ini selesa dengan Parti Ikatan Malaysia (Ikatan) menerusi Gagasan Sejahtera.”

Mungkinkah temubual dan kenyataan ini dibuat lebih awal (tengah hari atau pada sebelah petang) sebelum majlis itu kerana difahamkan mulanya PAS bersetuju untuk menghantar wakilnya.


Bagaimanapun, di saat-saat akhir, PAS membuat ‘U-Turn’.

Ini berdasarkan kenyataan Tuan Ibrahim sendiri yang mengatakan kepada Sinar Online sebagai menjelaskan laporan mengenai kedatangannya menjelaskan, PAS tidak menghantar wakilnya pada program pelancaran parti itu kerana sedang melaksanakan program anjurannya sendiri.

Dalam kenyataanya semalam, Mohd Prasad menyebut: “PAS Selangor menafikan fitnah tersebut sekeras-kerasnya. Pesuruhjaya PAS Selangor menghadiri program parti sepanjang hari semalam dalam program bertemu rakyat.”

Isunya kenapa dengan yakin Dr Mahathir pada awal ucapannyamengalu-alukan kedatangan Tuan Ibrahim?

Apakah PAS mulanya mengesahkan kehadiran tetapi membatalkannya di saat akhir?

Apakah maknanya apabila Dr Mahathir menyebut juga akan kehadiran Tuan Ibrahim?

Dr Mahathir mungkin sengaja menyebutnya untuk menunjukkan bahawa PAS boleh melakukan apa sahaja, termasuk membatalkan janjinya yang sudah dibuat terlebih awal.

Ini hanya andaian penulis tetapi jika benar tidak tahulah apa mahu dikatakan dengan sikap PAS akhir-akhir ini.

Jadi tidak payahlah menuduh media membuat fitnah dan kalaupun mahu memberikan penjelasan, janganlah sampai Mohd Prasad pergi begitu jauh dengan penuh syak wasangka bahawa dengan adanya nama disebut sebagai yang hadir ke majlis itu, ia sudah berupa fitnah.

Diakui ia memang kesilapan tetapi tidaklah sampai berniat menabur fitnah.

PAS Selangor janganlah beremosi sangat hingga menyebut walaupun difitnah dan ditohmah, PAS Selangor yang dipimpin Iskandar, selaku Pesuruhjaya, akan terus fokus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“PAS Selangor tidak akan terjerumus ke dalam politik murahan mana-mana pihak,” katanya lagi.


Susulan itu semalam ( 16 Januari 2017 ) Timbalan Presiden AMANAH, Salahudin Ayub menyifatkan ketiadaan wakil PAS semasa pelancaran PPBM  kelmarin bukti parti itu kini bersama BN bukan PH.

Katanya,  senario yang berlaku bakal memberi petunjuk kepada rakyat dengan siapa PAS sebenarnya walaupun parti itu menafikannya.

Iskandar dalam reaksinya pula semalam berkata, apa guna wakil PAS hadir pada majlis itu sekiranya menadah telinga mendengar PAS dikecam dan diejek-ejek.

Namun, pertanyaan ialah, jika ada pemimpin PAS pada majlis perasmian itu, apakah Dr Mahathir akan membidas mereka?

Di sinilah menguji keikhlasan dalam membentuk PH dengan tujuan bersatu untuk menentang BN.

Tetapi dengan sikap PAS ini amat nyata hubungan PAS dengan PPBM yang dilihat baik sebelum ini, kini diuji dengan berat yang mungkin akan menjadi semakin baik atau mungkin semakin pudar.

Apakah PPBM berjaya memujuk dalam usahanya  membawa parti pimpinan Abdul Hadi semula ke pangkuan pakatan pembangkang?

Persoalannya juga apakah  Abdul Hadi tidak akan langsung memandang kepafa PPBM dan  Dr Mahathir pada ketika  Presiden PAS itu sedang menikmati berbagai ‘pengiktirafan daripada UMNO’.

Juga mungkin mereka sedang memikirkan tawaran tertentu sama ada kepada individu tertentu atau parti secara keseluruhan.

Apapun ketidakhadiran pemimpin PAS itu juga semakin menyerlahkan sikap PAS yang nampaknya kini berada dalam kedudukan  ‘di telan mati emak, di ludah mati bapak’ dalam hubunganya dengan PKR.

Dengan AMANAH dan DAP ia menyerlahkan ‘yang putus itu sudah terlalu sukar dihubungkan kembali’.

Inilah cabaran paling sengit yang dilalui oleh PPBM ketika ini pada ketika diharapkan akan wujud pertanding 1 lawan 1 pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

1 comment:

  1. DARI PAK SUNANG Syukur alhamdulillah saya ucapkan kepada ALLAH karna atas kehendaknya melalui AKI DARMO saya sekaran sudah bisa buka toko sendiri dan bahkan saya berencana ingin membangun hotel dan itu semua berkat bantuan AKI DARMO,saya tidak pernah menyanka kalau saya sudah bisa sesukses ini,atas bantuan AKI DARMO yang telah memberikan nomor selama 3x putaran dan alhamdulillah itu semuanya tembus bahkan beliau juga membantu saya dengan dana ghaib dan itu juga benar benar terbukti, AKI DARMO juga menawarkan minyak penarik kepada saya dan katanya minyak ini bisa digunakan untuk berbagai jenis keperluan dan baru kali ini saya temukan paranormal yang bisa dipercaya,,bagi teman teman yang ingin dibantu untuk dikasi nomor yang benar benar terbukti tembus atau dana ghaib dan kepengen ingin membeli minyak penglaris jualang silahkan hubungi AKI DARMO di 082-310-142-255 ini benar benar terbukti nyata karna saya sendiri yang sudah membuktikannya –ATAU KTIK ALAMAT BLOG AKI - >>>>KELIK DI SINI <<<<<

    ReplyDelete