Friday, July 8, 2016

APA YANG TERSANGAT ISTIMEWANYA LAPORAN SULIT 'AUDIT NEGARA'?


Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad  (1MDB)  adalah dokumen yang  diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Dikatakan dalam laporan itu, ia menyenaraikan pelbagai kebimbangan yang dicatatkan oleh Tan Sri Ambrin Buang terutamanya berkaitan dengan beberapa pemindahan dana yang dipersoalkan, selain butiran pemindahan dana berkenaan.

Kerana disebut sulit, banyak pihak mahu mengetahuinya. Namun jangan cari penyakit kerana ‘yang sulit tetap sulit’.

Bagaimanapun, Sarawak Report mendakwa ia telah mendapat akses meluas kepada laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, bersama-sama dengan dokumen utama yang disertakan hasil siasatan itu.

Bagaimana ia mendapat akses sedemikian? Siapa yang mendedahkannya?

Atau apakah Sarawak Report sengaja mahu ‘memanaskan kembali’ isu ini apabila semakin hampir kepada kes pertikaian antara International Petroleum Company (IPIC)  dan 1MDB di London 11 Julai ini yang dilihat ‘tidak akan mendatang kesan besar kepada 1MDB’?

Sesetengah pihak membuat tanggapan salah yang 1MDB  dan pemegang saham perlu membuat pembayaran obligasi AS$6.5 bilion 11 Julai ini.

IPIC dilaporkan akan  memfailkan permintaan timbang tara dengan Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London (LCIA) 11 Julai ini namun 1MDB sudah memberikan jaminan, tiada apa yang besar akan berlaku. Ini kes biasa sahaja.

Kerajaan setakat ini enggan memaklumkan bila laporan itu akan didedahkan atau dinyah-rahsia. Setakat ini, hanya ahli-ahli PAC yang mempunyai akses kepada laporan itu.

Berikutan itu, ahli parlimen pembangkang mempersoal ketiadaan dokumen laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB itu,  walaupun laporan berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB dibentangkan 7 April lalu.

Ahli Parlimen pembangkang pada sidang media di Parlimen.
Ahli parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul berkata, seharusnya dokumen berkaitan 1MDB disertakan memandangkan siasatan ke atasnya sudah berakhir dan tidak perlu dikelaskan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) lagi.

Beliau kecewa  kerana satu lagi dokumen yang dinanti-nantikan iaitu laporan daripada Ketua Audit Negara berhubung 1MDB tidak disekalikan dalam laporan PAC.


Beliau menggesa Ketua Audit Negara memberikan satu tempoh masa bagi dokumen 1MDB tidak lagi dikelaskan di bawah OSA supaya semua ahli parlimen mendapat maklumat mengenainya.

“Saban tahun kita mendapat semua laporan daripada Ketua Audit bukan sahaja syarikat GLC atau jabatan-jabatan tanpa ada klasifikasi tapi dalam isu ini agak memeranjatkan kerana ia dilabelkan di bawah OSA.

“Kita mendesak Ketua Audit Negara memberikan tempoh masa sama ada seminggu, dua minggu atau tiga minggu untuk dokumen ini didedahkan kerana ia hak ahli parlimen untuk mengetahui sebelum sesi parlimen berakhir,” kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen pada hari berkenaan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad tidak menolak kemungkinan ketiadaan laporan 1MDB adalah bagi menyelamatkan individu tertentu.

“Mungkin ketua audit negara ingin mengelakkan beberapa isu yang bersabit dengan individu tertentu tapi tindakan sebegini menambahkan lagi andaian negatif dan rasa tidak yakin rakyat dan mereka menganggap semeangnya berlaku penyelewengan. 

“Niat ketua audit untuk membantu menutup perkara teetrntu tak membantu. Rakyat terus akan rasa ada penyelewengan dan rasuah dan sebagainya,” katanya.

Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR menerbitkan bahagian tertentu  mengenai Laporan Ketua Audit Negara ini yang menyebabkan beliau didakwa kerana  memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Rafizi didakwa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Rafizi didakwa mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam sidang media di tempat dan pada masa sama, 28 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam kenyataannya pada 23 Mac 2016 lalu,  turut mohon agar Parlimen menarik balik klasifikasi rahsia terhadap Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.

Selain membenarkan Ahli-Ahli Parlimen mendapatinya, ia dengan sendirinya akan menghapuskan rasa cemas di kalangan orang ramai yang memikirkan mereka tertipu  dan tidak berhak untuk mengetahui keadaan sebenar di sebalik satu-satunya skandal kewangan negara yang terbesar.

Menurut Malaysiakini semalam , Sarawak Report akan menyenaraikan pelbagai kebimbangan yang dicatatkan oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya, terutamanya berkaitan dengan beberapa pemindahan dana yang dipersoalkan.

Sarawak Report juga menyediakan butiran pemindahan dana berkenaan.

Malaysiakini tidak mengesahkan sama ada laporan itu adalah sahih mahupun melaporkan kandungan tersebut kerana sekatan undang-undang.

Menurut portal itu, Sarawak Report akan menerbitkan maklumat lanjut daripada laporan Ketua Audit Negara pada hari-hari akan datang.

Laman web pendedah maklumat yang berpangkalan di London itu telah menerbitkan beberapa kandungan apa yang didakwa sebagai perkara sulit di bawah OSA.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada April lalu, menolak untuk membenarkan laporan Audit Negara mengenai 1MDB dibentangkan di Parlimen dengan alasan ia masih belum dinyah-rahsiakan.

"Saya tidak boleh membenarkan dokumen yang diklasifikasikan dibentangkan di Dewan Rakyat. Saya akan melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 jika membenarkannya," katanya.


Dengan menjadikannya sulit, laporan Ketua Audit Negara itu menjadi suatu bahan yang ditunggu-tunggu untuk diumumkan secara terbuka dan menimbulkan pelbagai spekulasi.

Apalagi laporan media asing yang memperkatakan banyak isu mengenai pemindahan dana, menimbulkan semakin banyak persoalan.

Apakah dengan terus mengklasifikasikannya sebagai dokumen sulit boleh mengelakkan beberapa isu yang bersabit dengan individu tertentu didedahkan demi melenyapkan tanggapan dan persepsi buruk bahawa pihak berkuasa sebenarnya sedang berusaha menyelamatkan individu tertentu?

Menyelamatkan individu mana daripada apa?

Kenyataan dan hakikat hari ini ialah laporan sulit itu sedang ‘menyulitkan keadaan’ apabila andaian negatif terus berlegar dan rasa tidak yakin rakyat kepada kerajaan tidak dapat dihapuskan.

Seperti kata Tengku Razaleigh, selagi diklasifikasikan sebagai sulit, Laporan Ketua Audit Negara itu menyebabkan rasa cemas dan rasa tertipu di kalangan orang ramai.

Juga, dengan mentakrifkannya sebagai sulit, rakyat dinafikan untuk mengetahui keadaan sebenar di sebalik satu-satunya skandal kewangan negara yang terbesar!

Kerana itu bagi sebahagian pemimpin dan rakyat, mereka akan tetap dan terus percaya wujudnya penyelewengan dalam 1MDB  yang memerlukan pembemterasan penyelewengan itu secara telus dan terbuka.

No comments:

Post a Comment