Sunday, April 24, 2016

DEMI RAKYAT - TARIK BALIK KLASIFIKASI RAHSIA LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA

"...ahli-ahli Dewan Rakyat yang mewakili para pengundi, iaitu orang ramai, hendaklah dimaklumkan mengenai isi kandungan laporan (Ketua Audit Negara). Kita harus maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan, sebagai undang-undang negara tertinggi dan teragung semestinya diikuti dan di dokong dengan tegas” - Tengku Razaleigh Hamzah 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menyebut bahawa Ketua Audit Negara seharusnya menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
.
Malah Perdana Menteri turut mencadangkan supaya diserahkan hasil siasatan tersebut sebagai laporan untuk pertimbangan Dewan Rakyat.

Namun,  Laporan Jabatan Audit Negara ke atas 1MDB  yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dirahsiakan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) (1972) dengan alasan bagi melindungi kredibiliti.

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin, memberi alasan ia dirahsiakan bimbang seperti laporan interim audit 1MDB sebelum ini yang dibocorkan pihak tertentu.

"Keputusan Jabatan Audit Negara ini dilakukan berikutan ada maklumat dalam Laporan Interim Terhadap Pengauditan 1MDB yang dibentangkan kepada PAC pada Julai lalu, dibocorkan pihak tidak bertanggungjawab secara berpilih.

Ini mencetuskan laporan negatif sehingga menjejaskan kredibiliti Jabatan Audit Negara dan jawatankuasa ini sendiri.

"Sebagai sebuah jawatankuasa ditubuhkan di bawah Parlimen Malaysia, adalah menjadi keperluan untuk wujudnya pematuhan dan akauntabiliti serta menghormati peruntukan undang-undang yang turut digubal institusi," kata Hasan dalam satu kenyataan 4 Mac lalu.

Menurutnya setelah Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1MDB dibentangkan ke Dewan Rakyat, terpulang kepada ketua audit negara membuat keputusan sama ada perlu untuk membatalkan arahan dokumen rahsia rasmi ke atas Laporan Ketua Audit Negara Terhadap Pengauditan 1MDB.

Namun, walaupun Laporan PAC sudah dibentangkan dan menimbulkan pelbagai kontroversi, laporan Ketua Audit Negara tetap menjadi ‘bahan rahsia’.

Amat nyata tindakan ini bertentangan dengan keputusan Perdana Menteri memberi gambaran bahawa tidak apa yang hendak diselindungkan .

Dengan kata lain, sesiapa yang didapati bersalah terpaksalah menghadapi tindakan undang-undang.

Itu yang ditegaskan oleh Perdana Menteri tetapi kenapa sehingga hari ini ia masih lagi menjadi ‘bahan terkawal melalui klasifikasi rahsia’?

Hakikatnya, penarikan klasifikasi rahsia tersebut akan dapat menghapuskan rasa cemas di kalangan orang ramai yang merasakan mereka tertipu serta tidak berhak untuk mengetahui keadaan sebenar di sebalik isu skandal kewangan negara yang terbesar itu.

Perkara 107 (1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan laporan-laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.

Malah Perkara 107(1) tidak menyebut langsung tentang klasifikasi mana-mana laporan Ketua Audit Negara sebagai rahsia negara.

Tidakkah klasifikasi rahsia tersebut menyalahi Perlembagaan sekiranya laporan itu dihalang daripada dikemukakan kepada Dewan Rakya?

Ternyata tindakan mengklasifikasikan laporan akhir audit mengenai 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) bertentangan dengan matlamat utama mencari kebenaran berhubung kemungkinan wujud rasuah besar-besaran melibatkan dana awam.

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) Cynthia Gabriel berkata perbuatan melindungi laporan ketua audit negara mengenai 1MDB di bawah OSA dianggap sama seperti menghalang keadilan.

Ini kerana ia menceroboh ke dalam peruntukan undang-undang yang ditubuhkan untuk menangani kes tertentu.

Katanya, ia juga bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), yang ditandatangani Malaysia pada 2003 dan disahkan pada 2008.

Apa yang kita diberitahu dan tahu ialah tujuan utama laporan audit tersebut ialah menyiasat dan membongkar kemungkinan wujudnya korupsi berskala besar dalam dana awam itu, tindakan itu (meletakkan di bawah OSA) bertentangan dengan fungsi laporan audit tersebut.

Ini bermakna melindungi laporan audit di bawah OSA dan pada masa yang sama menghalang perbincangan serta debat terbuka merupakan tindakan menghalang keadilan, memandangkan ia menceroboh ke dalam peruntukan undang-undang yang disediakan untuk kes sebegitu.

Dalam kenyataannya awal Mac lalu, beliau mengecam tindakan itu. Cynthia berkata, tindakan itu juga hanya akan menonjolkan lagi kontroversi dalam siasatan ke atas badan pelaburan negara itu selain memberi kesan kepada sistem kehakiman Malaysia.

“Bergelut dengan dakwaan korupsi dan salah urus tadbir yang serius, pihak berkuasa sebuah masyarakat demokratik yang adil dan saksama perlu mendedahkan lebih banyak maklumat dan bukannya menyembunyikan hasil siasatan.

“Tindakan yang sebenarnya mengganggu dan songsang ini mencerminkan situasi tidak sihat sistem demokrasi Malaysia dan tidak menghormati kebebasan maklumat, salah satu tiang demokrasi,” tambah Cynthia.

Kini semakin ramai yang meminta agar Parlimen dapat menarik balik status klasifikasi rahsia dan membenarkan setiap ahli Parlimen mendapatkan laporan berkenaan.

Ia bagi membolehkan setiap ahli Parlimen mendapatkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB itu.

Terbaru, pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah turut memohon agar Parlimen dapat menarik balik status klasifikasi rahsia dengan membenarkan setiap ahli Parlimen mendapatkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.

“Ini bermakna ahli-ahli Dewan Rakyat yang mewakili para pengundi, iaitu orang ramai, hendaklah dimaklumkan mengenai isi kandungan laporan tersebut.

“Kita harus maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan, sebagai undang-undang negara tertinggi dan teragung semestinya diikuti dan di dokong dengan tegas,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook semalam.

Tengku Razaleigh yang juga ahli Parlimen Gua Musang memaklumkan bahawa saranan pengubahan itu adalah sejajar dengan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memaklumkan bahawa Ketua Audit Negara seharusnya menyiasat isu 1MDB dan menyerahkan hasil siasatan tersebut sebagai laporan untuk pertimbangan Dewan Rakyat.

No comments:

Post a Comment