Friday, December 14, 2012

ISU BLOK PM307 BERTAM - KERAJAAN TERENGGANU TUNGGU PENJELASAN KERAJAAN PUSAT


"Kerajaan Pusat menunaikan janjinya kepada kerajaan Terengganu apabila membayar  RM2 bilion daripada Petronas tahun ini manakala pada tahun lepas, Petronas membayar RM1.6 bilion...kerajaan negeri dijangka menerima lima peratus atau lebih RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran minyak, apabila penerokaan minyak di Blok PM307 bermula pada suku ketiga 2014."

Daripada www.teganuku.b;ogspot.com



Pada posting di Facebook, saya ada menyebut bahawa isu Medan Minyak Bertam PM307 perlu diselesaikan bagaikan menarik rambut dalam tepung.

Kalau ia hak Terengganu maka perlu diserahkan Terengganu.

Kalau PAS tidak desak pun, Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu akan mendapatkan jawapan jelas daripada kerajaan Pusat berkenaan kedudukan Medan Minyak Bertam PM307 yang dikatakan berada dalam wilayah Terengganu.

PAS tidak perlu mendabik dada mengatakan kerana desakannya kerajaan Terengganu bertindak sedemikian. Malah PAS juga tidak wajar mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan kedudukan sebenar kawasan telaga minyak PM307-Bertam sama ada ia berada dalam perairan Pahang atau Terengganu.

Memang benar Najib pada Oktober lalu ada mengumumkan bahawa penemuan medan Bertam sebagai hak Pahang. Namun, ia bukan sesuatu yang muktamad. Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, berdasarkan perkembangan pada sidang DUN Terengganu maklumat baru timbul menyatakan bahawa telaga minyak tersebut dijumpai di perairan Terengganu dan bukannya Pahang.

Ini kerana Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata syarikat cari gali minyak di kawasan berkenaan iaitu Lundin Oil mengesahkan tentang penemuan itu dan menyatakan ia berada di kawasan negeri ini (Terengganu).

"Kita tidak mahu Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat... kerana ini tidak sepatutnya berlaku dan memalukan negara," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, Perdana Menteri bukan sahaja mengumumkan penemuan kawasan telaga baru tersebut, bahkan turut menyatakan dengan penuh komitmen bahawa Pahang akan diberi wang ihsan sebanyak RM100 juta setahun.

"Pengumuman ini dilihat satu perkembangan baru yang menarik, untuk usaha penerokaan kawasan minyak di Pahang yang turut disahkan mempunyai kawasan minyak dan gas.

"Pas Pahang berharap Perdana Menteri tidak bermain politik dalam hal ini. Penegasan dari beliau akan meredakan ketegangan antara dua negeri yang turut menuntut medan Bertam sebagai hak negeri mereka," katanya lagi.

Tuan Ibrahim berkata, Kerajaan Pahang seharusnya turut menjalankan kajian bagi pengesahan kawasan penemuan minyak tersebut, dan sekiranya benar ia berada di perairan Pahang, wajar menuntut pembayaran dari Petronas dan Kerajaan Pusat mengikut Perjanjian Petroleum 1974 sebagai royalti.

Bagi kita isu kedudukan kawasan itu perlu diselesaikan dengan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat, malah diyakini tidak akan timbul pertelingkahan kerana Petronas Carigali dan syarikat terbabit iaitu Lundin Oil tahu keadaan sebenar.

PAS tidak perlu cari milage dalam isu ini kerana Kerajaan Pusat tidak pernah membelakangkan atau cuba menipu hasil kerajaan negeri, sebaliknya banyak membantu Kerajaan Negeri dalam pemberian bantuan dan peruntukan.

Bukti cukup jelas apabila Menteri Besar mengesahkan keseluruhan bayaran dana khas royalti daripada Petronas akan diterima Kerajaan Negeri pada Mac 2013, sebagaimana persetujuan yang dicapai antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. “Cuma biasanya berlaku Petronas akan bayar pada minggu pertama bulan Mac dan September dan Kerajaan Pusat akan membayar pada minggu keempat pada Kerajaan Negeri. Kesemuanya akan diterima sepenuhnya pada tahun hadapan (2013).

“Berasaskan kepada persetujuan itu, kerajaan negeri bersetuju menarik balik saman itu kerana apa yang penting, kita mendapat keseluruhan daripada Petronas dan telah pun dipersetujui bersama,” ujarnya.

Bagi Menteri Besar dan Kerajaan Terengganu, nama (royalti) itu tidak penting kerana apa yang penting adalah Terengganu mendapat hak bayaran dari hasil minyak dan gas tersebut dan Kerajaan Pusat tidak cuai menunaikannya.

PAS tidak perlu memberitahu kerajaan negeri bahawa penemuan medan minyak tersebut melibatkan hak royalti serta maruah rakyat dan kedaulatan negeri Terengganu.

Ini kerana Kerajaan Pusat menunaikan janjinya kepada kerajaan Terengganu apabila membayar  RM2 bilion daripada Petronas tahun ini manakala pada tahun lepas, Petronas membayar RM1.6 bilion.

Malah kerajaan negeri dijangka menerima lima peratus atau lebih RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran minyak, apabila penerokaan minyak di Blok PM307 bermula pada suku ketiga 2014.

Dalam jawapan Menteri Besar kepada soalan Syed Azman dengan jelas Datuk Seri Ahmad Said memaklumkan kepada Sidang DUN kelmarin (10 Disember 2012) bahawa kerajaan negeri telah menghantar surat kepada Petronas bagi pengesahan lanjut tentang penemuan rizab minyak tambahan yang terletak di kawasan medan PM307-Bertam itu.

Malah, syarikat cari gali minyak di kawasan berkenaan iaitu Lundin Oil turut mengesahkan tentang penemuan itu dan menyatakan ia berada di kawasan negeri ini.

 Ahmad Said berkata, sekiranya ia disahkan berada di kawasan Terengganu, negeri ini dijangka akan memperoleh royalti tambahan sebanyak RM100 juta setahun atau pertambahan sebanyak lima peratus.

“Setakat ini, jawapan rasmi kita masih belum perolehi tetapi kita menerima surat daripada syarikat yang melaksanakan kerja-kerja carigali iaitu Lundin Oil bahawa penemuan di luar pantai Semenanjung Malaysia antara Terengganu dan Pahang itu kepunyaan Terengganu.

“Mungkin ada sedikit kekeliruan sebab ia berada di kawasan sempadan iaitu di Geliga, Kemaman tetapi kita masih belum tahu lokasi sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Dun Terengganu Ke-12.

Menurut laporan laman web PAS Terengganu, PAS mendesak kerajaan negeri Terengganu mempertahankan hak milikan medan minyak yang baru ditemui, Bertam PM307, sebagai satu hak kedaulatan rakyat dan kerajaan negeri Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata kerajaan negeri Terengganu perlu mengambil tuntutan agar pihak Petronas dan Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak Terengganu.

Katanya, hak milikan kawasan tersebut wajar dikembalikan sebagaimana Perjanjian Akta Petroleum 1974 atas nama ‘royalti’ dan bukan dana khas atau wang ehsan.

“Kita (PAS) minta Menteri Besar (Ahmad Said) dengan tegas pertahankan hak untuk dapat hak milik (medan minyak Bertam) itu kepada negeri Terengganu.


“Kita (Terengganu) perlu ambil tuntutan itu dari Petronas dan Kerajaan Pusat (Persekutuan) ikut sebagaimana Perjanjian Petroleum 1974 sebagai royalti,” tegasnya kelmarin

Berdasarkan kepada jawapan Ahmad Said itu jelas PAS cuba mendapatkan milage daripada sidang DUN kali ini selepas gagal mengemukakan kesangsian terhadap persoalan kenapa  Kerajaan Negeri membatalkan saman terhadap Petronas.

Selain itu PAS juga cuba mengeruhkan hubungan antara kerajaan negeri  dan Pusat dalam isu penemuan medan baru minyak, namun ia ditepis dengan jelas dan bersopan oleh Menteri Besar.

Ahmad Said melakukan yang terbaik dengan 'menarik rambut dalam tepung, tepung tak tumpah dan rambut tidak putus'!

1 comment: