Wednesday, May 2, 2012

BUKTIKAN KERAJAAN, POLIS TEGAS - SEGERAKAN PROSES SIASATAN DAN PENDAKWAAN!

Lihatlah jumlah pembantah yang terpaksa dihadapi anggota polis Sabtu lalu.

"Kita berbincang dalam mesyuarat pasca Kabinet, kita tidak mempunyai sebarang halangan dalam membentuk mana-mana panel bebas untuk mengesahkan apa-apa penemuan oleh polis walaupun melibatkan mereka. Ketua Polis Negara juga mahu perkara itu menjadi telus walaupun melibatkan polis....Kita mahu ketelusan. Kita mahu keadilan dan segala-galanya akan dilakukan mengikut undang-undang,"  - Hishammuddin Hussein

Diharapkan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bukan untuk sekadar kata-kata tetapi tindakan.
 
Banyak berpendapat Hishamuddin ‘lembik’ dan sebagainya dan inilah untuk membuktikan belau sebagai yang ‘boleh dipercayai’ dan pihak-pihak yang melakukan kesalahan ‘takut’ kepada beliau.

Kita tidak mengharapkan beliau tegas seperti Tan Sri Ghazali Shafie ketika Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri pada tahun 1970an, sekadar melaksanakan apa yang diucapkan sudah memadai.

Hari ini Kabinet mengarahkan polis dan Peguam Negara supaya menyegerakan proses siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang merancang dan mencetuskan keadaan huru-hara di ibu negara Sabtu lepas.

Hishamuddin berkata kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang negara. Sudah pasti majoriti rakyat yang menghargai keamanan akan berdiri teguh bersama kerajaan dalam menangani insiden pada Sabtu lepas.

Dengan keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan mesti mengambil segala langkah serta tindakan yang perlu untuk menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam, ia adalah janji untuk rakyat. Rakyat akan mempersoalkannya jika Kerajaan khususnya Hishamuddin sendiri jika terus ‘lembik’ dan takut hadapi risiko.

"Jemaah Menteri juga membuat ketetapan dan memberi jaminan bahawa keselamatan negara dan rakyat mesti mengatasi kepentingan politik mana-mana individu mahu pun kumpulan sama ada penyokong atau pembangkang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di Putrajaya, har ini.

Hakikatnya, bukan kerajaan sahaja yang kesal dengan tindakan segelintir peserta perhimpunan yang merusuh dan mengganas sehingga mencederakan anggota polis serta merosakkan harta awam tetapi majority rakyat yang cintakan keamanan!

Kita memang bersetuju jika dikatakan rusuhan pada Sabtu lepas sebagai peristiwa hitam dalam sejarah tanah ai. Hishammuddin berkata Jemaah Menteri juga merakamkan sokongan padu kepada Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia dalam menjalankan tanggungjawab serta memikul amanah menjaga ketenteraman awam dan menangani ancaman dalaman dan luaran.

"Jemaah Menteri juga ingin mengucapkan tahniah di atas kejayaan anggota keselamatan dan pihak berkuasa lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam mengendalikan perhimpunan yang telah bertukar menjadi rusuhan jalanan pada Sabtu lepas," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata kementeriannya tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan sebuah panel bebas untuk menyiasat insiden keganasan yang tercetus semasa perhimpunan tersebut.

Beliau berkata senarai nama anggota panel bebas berkenaan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

"Kita berbincang dalam mesyuarat pasca kabinet, kita tidak mempunyai sebarang halangan dalam membentuk mana-mana panel bebas untuk mengesahkan apa-apa penemuan oleh polis walaupun melibatkan mereka. Ketua Polis Negara juga mahu perkara itu menjadi telus walaupun melibatkan polis.

"Kita mahu ketelusan. Kita mahu keadilan dan segala-galanya akan dilakukan mengikut undang-undang," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata pihaknya dan polis akan menyiarkan rakaman video berhubung insiden yang berlaku pada perhimpunan Sabtu lepas agar ia tidak dieksploitasi oleh pembangkang dan media asing.

Beliau berkata rakaman video yang disiarkan khususnya oleh media asing hanya tertumpu ketika polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air tetapi rakaman mengenai penyokong perhimpunan merempuh penghadang di Dataran Merdeka tidak disiarkan.

"Kabinet telah bersetuju agar memaparkan kejadian sebenar...urutan peristiwa tentang bagaimana polis bertindak akan disiarkan. Kita akan dapatkan satu mekanisme (menyiarkan rakaman video).

"Biar orang ramai yang memutuskan sama ada polis mempertahankan diri dan menilai pendekatan mereka kerana terdapat banyak contoh bahawa orang ramai mahu dan inginkan konfrontasi," katanya.

Hishammuddin turut mengalu-alukan Majlis Peguam dan Suhakam supaya tampil mengemukakan bukti berhubung tindakan polis sepanjang perhimpunan itu.

No comments:

Post a Comment