Friday, January 20, 2012

KEPADA SIAPAKAH SAIFUL BOLEH MERAYU…

Jika pengadu dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak terbela atau mendapat hak merayu, ia adalah episod malang dan benar-benar menggambarkan betapa orang biasa tidak akan mendapat keadilan.

Bagi Saiful, rayuan ini penting kerana ia membabitkan maruah dan masa depannya.

“Saya hanya menuntut hak saya sebagai warganegara Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan di mana setiap aduan itu berhak didengar dan diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Tertinggi dan saya berdoa agar Peguam Negara (Tan Sri Abdul Ghani Patail) mempertimbangkan permohonan saya ini," katanya.

Bagi Saiful, kalaulah beliau ada hak untuk memfailkan rayuan itu sendiri, beliau akan berbuat demikian tanpa menyusahkan individu lain.

Namun oleh kerana kuasa mutlak untuk memfailkan rayuan hanya terletak di tangan Peguam Negara, maka Peguam Negaralah yang berhak melakukannya.

Tidak seperti orang yang Saiful tuduh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari lepas, melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Saiful.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya, berkata beliau mendapati tidak ada bukti yang menyokong keterangan Mohd Saiful.

Saiful semalam menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara, meminta beliau memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari lepas.

Mohd Saiful Bukhari menerusi blog miliknya mohdsaifulbukhari.blogspot.com menulis bahawa surat itu dihantar melalui peguamnya Tetuan Zamri Idrus & Co.

Beliau terpaksa menghantar surat rasmi memandangkan pihaknya belum mendapat maklum balas daripada Abdul Ghani berkenaan notis rayuan tersebut.

"Sehingga ke hari ini tiada maklum balas terhadap permohonan terbuka saya dan bapa dari Peguam Negara sama ada beliau akan memfailkan rayuan atau tidak. Masa juga semakin suntuk.

Peguam Negara mempunyai masa sehingga petang ini untuk memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu.

No comments:

Post a Comment