Pertama - "Saya bukan perdana menteri dah, pasal apa tak laksanakan (hudud). Pi la tanya Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) kot dia nak bagi...ni dia (Nik Aziz) dok salahkan saya kononnya pasai saya, (PAS) tak dapat laksana hukum hudud.”
Kedua - "Negeri lain tidak ada hukum hudud pun, macam mana kita kawal (rakyat). Ini dia tidak kawal, dia tidak ajar agama betul. Kalau kawal betul orang akan tolak perbuatan yang membawa kepada penyakit Aids...ini dia tidak ajar agama, dia ajar politik, tapi dia hendak salahkan saya."
DR. MAHATHIR Mohamad ketika menyampaikan syarahan Perdana Za'ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris, semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata baru-baru ini kadar jangkitan HIV bagi tempoh 2008-2009 di Kelantan adalah hampir empat kali ganda berbanding kadar di seluruh negara.
Menteri Besar Kelantan , Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Mursyidul Am PAS, dilaporkan pernah berkata individu pertama yang menghalang kerajaan negeri Kelantan daripada melaksanakan hukum hudud adalah Dr Mahathir dan bukan pengerusi DAP Karpal Singh.
Nik Abdul Aziz turut menyifatkan golongan yang menolak, menghina dan mengenepikan hudud merupakan mereka yang jahil serta tidak mengetahui keindahan syariat Islam itu sendiri.
"Sekalipun mungkin mereka beragama Islam, Islam yang dianuti hanya di ruang yang terbatas tanpa didaulatkan sebagai undang-undang yang memerintah. Hakikatnya, menolak undang-undang syariah samalah ertinya dengan menafikan kebijaksanaan Allah SWT selaku pentadbir alam ini. Justeru, saya mengharapkan tabiat menolak hudud dapat diperbetulkan agar jangan menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.”
Kelmarin (20 September 2011), Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan sekarang bukan masa yang sesuai untuk negara ini melaksanakan hukum hudud kerana hukum Allah itu akan hanya dapat dilaksanakan sekiranya keadaan negara ini benar-benar kondusif dengan memastikan keamanan dan keadilan benar-benar wujud terlebih dahulu.
Perkara paling penting sekarang ialah mempromosikan hudud dengan cara yang positif bagi mengelakkan salah anggap kerana hudud mempunyai maksud yang luas dan bukan hanya melibatkan hukuman terhadap pesalah semata-mata.
"Pada saya Malaysia tidak kondusif lagi untuk melaksanakan hudud tetapi tidak boleh kata tidak, kita kena usaha wujudkan suasana kondusif, kita mudahkan yang halal dan sukarkan yang haram, maka ketika itu baru hudud boleh dilaksanakan. Saya melihat ada beberapa pihak yang bercakap mengenai hudud, satu ikhlas untuk melaksanakannya tetapi kurang faham tentang latar belakang hudud, mereka hanya terfikir potong tangan orang mencuri selesai tanggungjawab sedangkan tanggungjawab bermula sebelum daripada itu, “ katanya.
Semalam, Nik Aziz menolak pandangan Dr. Mohd. Asri dengan mengatakan kerajaan PAS Kelantan sudah menyiapkan asas kukuh untuk pelaksanaan hukum hudud berlandaskan konsep ubudiyah (kepatuhan), itqan (tekun) dan masuliyah (bertanggungjawab) dalam pentadbirannya.
Sebaliknya ketika merasmikan kempen ‘Jom Sertai PAS’ di Dataran Shah Alam pada 28 Disember 2008, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui sukar untuk melaksanakan undang-undang hudud dan qisas di negara ini kerana ia hanya boleh dilakukan jika rakyat negara ini berada dalam keadaan yang stabil.
Malah, beliau juga mengakui bahawa bukan mudah untuk melaksanakan hukum hudud memandangkan negara dan rakyat berhadapan dengan pelbagai masalah.
Kata Abdul Hadi, situasi ekonomi semasa dan pengangguran di kalangan rakyat negara ini menghalang hudud daripada dilaksanakan.
Mana satu yang betul ni?
Di Kelantan, perkara yang paling membingungkan umat Islam ialah selePAS Sultan sudah menandatangani Enakmen Jenayah, PAS baru hendak pergi mengkaji ke Iran dan negara Arab lain mengenai perkara ini. Nampak sangat PAS yang sengaja melambat-lambatkan pelaksanaan Hudud dan menyalahkan kerajaan Pusat agar dijadikan modal pilihan raya sebelum ini (kini dah tukar slogan Negara Kebajikan);
Di Terengganu pula, Hadi sendiri bagaikan memperkecil-kecilkan hukum Hudud dengan mengatakan Hudud hanya 0.0001 % daripada hukum Islam. Kalaulah pemimpin Barisan Nasional mengatakan demikian, sudah tentu PAS akan mengkafirkan dan ‘melontarkan orang itu ke neraka’.
Ada yang tertanya-tanya kenapa pemimpin PAS yang dulunya sering membaca ayat surah Al-Maidah:ayat 44 yang menghukum kafir ke atas mereka yang tidak melaksanakan hukum Islam.
Tetapi kini mereka sendiri jarang-jarang mengeluarkan ayat tersebut kerana takut rakyat Terengganu khususnya mengkafirkan mereka pula disebabkan perlembagaan yang mereka kata Taghut, Jahiliyyah sebelum ini sedang diamalkan di Terengganu dan Kelantan.
Nik Aziz semalam mendakwa pelaksanaan program kebajikan oleh kerajaan negeri (Kelantan) setakat ini sudah mencukupi untuk menghalang niat sesetengah pihak melakukan perkara yang menjadi kesalahan dalam peruntukan hudud akibat desakan kewangan.
"Kami buat bermacam-macam projek, Al-It'am (kupon beras percuma), Az-Ziwaj (bantuan perkahwinan), Ladang Rakyat, bantuan armalah (ibu tunggal) dan sebagainya. Ini semua persiapan untuk membolehkan rakyat berasa tidak perlu lagi mencuri, menipu dan merompak. Kalau merompak juga, itu jahat maknanya. Jadi asas yang kondusif ini sudah cukup kemas di Kelantan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan PAS Kelantan di Kota Bharu semalam.
Dalam konteks Hudud ini, kita bersetuju dengan sikap dan pandangan UMNO Kelantan bahawa PAS hanya mahu mempertahankan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang di negeri Kelantan dengan mengulangi ‘gula-gula’ untuk melaksanakan hukum hudud.
Ini kerana slogan Negara Kebajikan mereka dan perkembangan mutakhir dalam PAS merugikan mereka malah seperti kata Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, hukum tersebut jelas tidak akan dilaksanakan kerana ia ditolak sepenuhnya oleh rakan-rakannya dalam pembangkang, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Yang pasti PAS akan mengetepikan Islam dan semua kepentingan rakyat semata-mata untuk mencapai tujuan utamanya iaitu kemenangan dalam pilihan raya.
“Dahulu ada hudud, sekarang sudah tukar kepada kebajikan, dia (PAS) tidak sebut lagi pasal hudud sekarang ini sehingga semalam berbunyi semula. Ini disebabkan rakan dalam pembangkang telah menolak hudud dan mereka (PAS, DAP dan PKR) tidak lagi menitikberatkan kebajikan rakyat kerana mereka lebih mementingkan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Mustapa mengenai sikap dan pendirian PAS sekarang.
Semua sudah jelas dan jika masih berlum pasti, ikutlah pesanan Dr Mahathir: “Pergilah tanya Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) kalau dia nak bagi... Ini dia (Nik Aziz) asyik salahkan saya kononnya kerana saya, (Pas) tak dapat laksana hukum hudud.”
No comments:
Post a Comment