Tuesday, November 2, 2010

RON97 - PASARAN, BUKAN KERAJAAN TENTUKAN KENAIKAN HARGA

Kerajaan tidak betanggungjawab terhadap kenaikan harga minyak petrol RON97 kerana harga bahan mentah itu dikawal sepenuhnya oleh pasaran terbuka. Bagaimanapun kerajaan memberi jaminan harga minyak RON 95 tidak akan naik dalam tempoh terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar kiri) berkata, kenaikan RON97 ditentukan oleh syarikat pengeluar minyak.

"Turun naik harga minyak petrol RON97 dikawal sepenuhnya oleh pasaran kerana ia merupakan barangan yang diapungkan di pasaran terbuka. Kementerian Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kenaikan harga RON97.

"Kami hanya memantau kenaikan harga minyak petrol bersubsidi, RON95 dan diesel sahaja,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenaikan harga petrol RON97 sebanyak 5 sen mulai hari ini.

Harga bahan mentah tersebut kini RM2.15 seliter. Bagaimanapun harga pertrol RON 95 dan diesel tidak berubah. Tidak seperti sebelumnya, tidak ada pengumuman dibuat mengenai kenaikan tersebut.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, orang ramai tidak perlu risau mengenaikan kenaikan harga minyak petrol RON97 kerana ia hanya digunakan oleh pelancong asing dari Singapura dan Thailand serta pengguna kereta mewah seperti Mercedez dan Ferrari.

"Rakyat juga tidak perlu risau kerana kerajaan juga tidak ada perancangan untuk menaikkan harga minyak RON95 dalam tempoh terdekat," katanya.

Ditanya mengapa kenaikan harga bahan mentah tersebut tidak diumumkan oleh kerajaan, Ismail Sabri berkata: "Keputusan menaikan harga RON97 ditentukan oleh pasaran dengan persetujuan syarikat pengeluar minyak. Kerajaan tidak campurtangan dalam soal penentuan harga."

Mengenai tindakan mewajibkan papan tanda bagi memaparkan harga semasa petrol di semua stesen minyak di negara ini, beliau berkata tindakan tersebut terpulang kepada pengusaha stesen minyak dan kerajaan belum mempunyai cadangan untuk mewajibkannya ketika ini.

"Perkara itu terpulang kepada pengusaha stesen minyak. Setakat ini kita lihat belum ada keperluan untuk kerajaan mewajibkan papan tanda harga dipaparkan di setiap stesen minyak," katanya.

Khabar angin mengenai kenaikan harga RON 97 itu tersebar sejak tengahari Isnin dan kenyataan tersebut disahkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe ketika dihubungi oleh beberapa akhbar semalam.

Ini adalah kenaikan pertama harga minyak selepas kenaikan pada 15 Julai tahun ini, yang bertujuan untuk mengurangkan beban subsidi kerajaan.

1 comment:

  1. Bro, Kasi tau mail sabri, walaupun RON95 tdak naik tetapi Qualitinya wajar dikawal jangan sampai lebih banyak injin terpak direpair dari duit bayar minyak. Pengeluar minyak juga bukan boleh percaya. Ini ramai orang cakap RON 95 low class punya minyak. Kah..kah..kah..

    ReplyDelete