Tuesday, July 6, 2010

PILIHANRAYA UMUM KE 13 SUDAH HAMPIR?

Cakap-cakap mengenai pilihan raya umum semakin kedengaran biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah menyatakan ia tidak perlu diadakan tergopoh gapah.

Bercakap di Tumpat, Kelantan, 16 Jun lalu, Najib mengatakan kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-mata berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokong beliau tetapi mengatakan tarikh pilihan raya akan datang akan “mengejutkan semua pihak”.

Malaysiakini kelmarin menyiarkan sebuah entri bertajuk ‘Pilihan raya pada September?’ yang memetik pendapat sarjana politik James Chin yang percaya percaya bahawa Perdana Menteri mungkin mengambil tindakan itu selepas mengumumkan prestasi ekonomi untuk suku tahun kedua.

Katanya, keputusan kerajaan secara tiba-tiba untuk meningkatkan peruntukan untuk kawasan-kawasan mencetuskan spekulasi bahawa pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi.

"Ia pasti suatu masa sebelum September kerana Najib perlu (dokongan) pertumbuhan yang kukuh daripada suku tahun kedua," kata James yang kini mengajar di sebuah universiti swasta. Kalau (pilihan raya diadakan) tahun depan, ketika itu Najib tidak boleh lagi mengawal ekonomi," katanya.

Beliau menambah, Najib bakal berdepan dengan bahaya kita berlakunya kemelesatan ekonomi global yang kedua.

MCA sudah menyatakan belum bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 jika ia diadakan pada September ini. Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata MCA baru sahaja melalui krisis dalaman dan sedang melalui proses pemulihan, justeru parti itu tidak sempat untuk menyiapkan diri bagi menghadapi pilihan raya jika ia diadakan tahun ini.

Katanya, selain itu, MCA juga masih belum memikirkan mengenai calon-calon parti itu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Saya memerlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun untuk menyatupadukan ahli-ahli bagi memastikan parti berupaya meneruskan perjuangannya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau mengulas khabar angin mengenai pilihan raya mungkin akan diadakan September ini.

Cakap-cakap mengenai pilihan raya umum dimulakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila beliau mengatakan pilihan raya boleh diadakan pada masa terdekat memandangkan tinjauan menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri semakin meningkat sejak menjadi Perdana Menteri pada April tahun lepas.

Satu kajian oleh Merdeka Centre for Opinion Research baru-baru ini menunjukkan 72 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Najib berbanding 69 peratus semasa beliau mula menjadi Perdana Menteri.

PAS melalui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang begitu yakin yang PAS akan menawan banyak kerusi kerana sambutan rakyat yang semakin baik terhadap perjuangan parti itu.

Bagi Najib pula, pelbagai sumber kajian perlu diambil kira untuk dijadikan asas sebelum sebarang keputusan mengadakan pilihan raya umum dibuat.

“Itu satu punca kajian sahaja (Merdeka Centre), kita tidak boleh bergantung kepada satu penilaian untuk panggil pilihan raya. Kita kena ambil kira pelbagai faktor dan sumber sebelum adakan pilihan raya seperti kekuatan parti dan calon-calon yang berwibawa," katanya.

Walaupun Najib menafikan tetapi dengan cakap-cakap Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam bahawa BN dan semua parti komponennya kini perlu bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tanpa dolak-dalik lagi, menguatkan semula andaian pilihan raya umum tidak jauh lagi daripada tarikhnya.

"Kita tidak ada pilihan. Kita kena siap sedia, sampai bila kita nak beri alasan kita tak bersedia? Sampai bila kita nak katakan bahawa kita belum mampu berdepan dengan pilihan raya umum?

Sampai bila kita nak katakan bahawa kita masih lagi dibelenggu dengan masalah-masalah yang terpaksa kita hadapi masa pemulihan dulu?

"Tak boleh lagi dah. Masa dah sampai untuk kita bangkit, masa dah sampai untuk kita tunjukkan pada orang ramai bahawa Umno dah insaf, sedar, dah muhasabah diri, dah buat perancangan dan akan lakukan transformasi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Serdang.

Hishamuddin berkata telah tiba bagi BN, khususnya Umno, membuktikan bahawa kelemahan dan kesilapan mereka yang wujud sebelum ini telah berjaya diatasi.

Menurut beliau, pindaan terhadap perlembagaan (parti) dan transformasi menyeluruh di dalam Umno adalah langkah drastik yang diambil untuk kembali memperkasakan parti, sekaligus membolehkan Umno muncul sebagai parti komponen BN pertama yang berani bertindak sedemikian rupa.

Beliau turut mengatakan, kepimpinan di semua peringkat negeri mesti diteliti dengan sebaik mungkin kerana yang kita nak pastikan ialah kemenangan calon kita dan parti di setiap negeri," katanya.

No comments:

Post a Comment