Saturday, April 3, 2010

NAJIB BERADA DI TAHAP TERBAIK

Kepimpinan Perdana Menteri di landasan betul.

Sudah dua kali bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak melakukan perkara yang sewajarnya untuk rakyat Malaysia.

Semalam, Dr Mahathir berkata Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Perdana Menteri pada Selasa lepas memenuhi konsep 1Malaysia kerana ia meliputi semua kaum.

Bekas Perdana Menteri itu berkata pengenalan MEB itu menunjukkan Najib memahami keperluan semua kaum di negara ini termasuk orang Melayu.

MEB dilaksanakan untuk melonjakkan ekonomi negara menjadi negara maju menjelang 2020 dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan.

Kini genap setahun pimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dan dalam jangkamasa yang pendek itu, menurut Dr Mahathir, tidak cukup untuk menilai kepimpinan dan perubahan yang dibawa oleh Najib.

"Satu tahun belum cukup untuk membuat penilaian. Satu tahun ialah untuk mempelajari kerja," katanya.

Dr Mahathir berkata dasar dan perancangan baru yang dikemukakan oleh Najib hanya dapat dinilai apabila ia berjaya dilaksanakan dan membuahkan hasil.

Apapun, bagi Dr Mahathir, Najib faham keperluan menangani semua komuniti dan tidak melupakan komuniti beliau sendiri.

Malah menurut satu kajian, selepas setahun menjadi Perdana Menteri, kedudukan ratingnya pada tahap tertinggi.

Menurut kajian Merdeka Centre for Opinion Research yang dipetik The Malaysian Insider, kedudukan rating Najib berada pada tahap 68%, jauh lebih tinggi ketika mula menjadi Perdana Menteri, iaitu 44% sahaja.

Ini bermakna 68 peratus rakyat negara ini berpuas hati dengan kepimpinan beliau dann kedudukannya sebagai Perdana Menteri semakin mantap.

Kajian mengenai penerimaan terhadap Najib dijalankan sejak 2009, sebaik mengambil alih teraju kepimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Selain itu Najib mendapat kepercayaan di kalangan 51 peratus orang India dan 46 peratus orang Cina. Dalam konteks penerimaan Najib, sebanyak 77% di kalangan orang India, berbanding Melayu sebanyak 74 peratus dan Cina hanya 50 peratus.

Sebelum ini pada 9 Februari lalu, Dr Mahathir melahirkan rasa gembira ke atas kesungguhan Najib mempraktikkan corak pentadbiran yang selari dengan kehendak dan kepentingan rakyat.

Bagi Dr Mahathir, sejak Najib mengambil alih kepimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri dikatakan cukup disenangi pelbagai pihak kerana mampu memimpin negara dengan lancar.

Kerana keadaan yang sedemikian, ia mendorong kepada kestabilan politik dan menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara untuk terus membangunkan negara ini.

"Saya telah beberapa kali bertemu Datuk Seri Najib sejak mengambil alih kepimpinan dan senang dengan cara beliau mentadbir negara. Saya lihat beliau bersungguh-sungguh untuk meneruskan tradisi pembangunan negara ini seperti yang diasaskan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan pemimpin-pemimpin lain," katanya pada tarikh tersebut.

Najib dipuji kerana berjaya menunjukkan ciri-ciri kepimpinan baik walaupun adakalanya timbul beberapa isu yang kurang menyenangkan dalam parti, kerajaan dan negara. Namun semuanya itu dapat diselesaikan dengan cekap dan tidak menimbulkan implikasi negatif sehingga menjejaskan kepentingan negara.

Dr Mahathir sangat berharap Najib dapat meneruskan kepimpinan ini dengan baik dan teruskan juga semangat bekerja serta berjasa kepada rakyat seperti yang dilakukan mana-mana pemimpin terdahulu.

Berikutan itu beliau mengajak rakyat supaya bersama-sama memberikan sokongan terhadap kepimpinan negara sekarang.

Dr Mahathir sempat membandingkan kepimpinan Najib dengan pembangkang kini yang berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Rakyat diminta menilai keupayaan kerajaan pakatan pembangkang yang dikatakan tidak dapat memenuhi kehendak umum di beberapa buah negeri. Mereka tidak berupaya tadbir dengan baik dan rakyat dilupakan. Sekarang kita boleh melihat perkara ini di Pulau Pinang dan Selangor malah di Kedah.

"Sebab itulah, sejak kebelakangan ini, timbul orang itu dan ini yang mahu keluar dari pakatan pembangkang," katanya.

Di pihak Najib, komen positif Dr Mahathir menggambarkan bekas Perdana Menteri itu mahu bersama membantu kerajaan mendepani cabaran semasa.

"Saya hargai ulasan dan komen beliau. Kita perlu bekerjasama dengan pemimpin yang lepas, dengan itu kita boleh membawa Malaysia ke tahap yang hebat," kata Perdana Menteri.

1 comment:

  1. setahun bukanlah suatu masa yg lama bagi menilai seseorang pm atau kerajaan setakat ini kalau di lihat dari positif dan negetif bagi rakyat biasa sangat ketara.masalah ekonomi yg merudum kebelakang,rakyat mengalami tekanan hidop harga2 barang melambong setiap waktu. pengangoran meningkat.keadaan peniaga2 kecil sangat tertekan.projek2 besar tak ada yg ada cuma projek popularity di sana dan di sini mengikut jadwal lawatan pm atau tpm utk tujuan pilhan raya bagi memancing undi. royalti minyak
    di kelantan di nafikan dan terangganu masih tak kemana. semua subsidi sedang di kaji utk di mansukh cuma menunggu peluang yg sesuai.dan banyak lagi perseolan yg blom terjawab semua dlm ingatan rakyatwalau pon ada usha utk meremehkannya. yg positif rakyat menunggu hasil dari dasar2 dan pelaksanaan MEB itupon kalau tidak di salah gunakan oleh penyagak2 dlm UBN sebagaimana DEB.

    ReplyDelete