Tuesday, April 20, 2010

ANWAR & PKR – ADA APA DENGANMU?

Bahagian Pertama

Saya masih hairan dan tertanya-tanya apakah punca orang yang rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh meninggalkan beliau?

Apakah mereka ini tinggalkan Anwar kerana duit dan pangkat? Apakah itu sebenar punca seperti didakwa sesetengah pihak?

Apakah dengan meninggalkan PKR, mereka mendapat kedudukan tinggi, wang ringgit dan terbela?

Atau apakah Anwar sudah tidak mampu ‘membela’ mereka?

Semalam, Dr Halili Rahmat - pakar bedah saraf dan rapat dengan Anwar kerana pernah menjadi doktor peribadi ketua umum PKR itu - mengisytiharkan dirinya keluar PKR.

Dr Halili yang juga bekas Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Hulu Selangor sebelum ini disebut-sebut antara yang disenaraikan untuk bertanding mewakili PKR dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Anwar sebaliknya mengumumkan pemilihan penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut.

Anak kelahiran Ulu Yam, Dr Halili pernah dua kali bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini pada 1999 (Hulu Selangor) dan 2004 (DUN Batang Kali), tetapi tewas kedua-duanya.

Seperti biasa, Dr Halili diserang habis-habisan. Soal peribadi ditelanjangkan dan usaha menafikan ‘kebenaran’ beliau keluar PKR ditonjolkan begitu tersusun seolah-olah menggambarkan beliau kecewa kerana Anwar memilih Datuk Zaid Ibrahim.
Hakikatnya, yang memaling muka kepada Anwar bukan seorang atau dua orang. Jumlahnya ramai. Mereka terdiri daripada orang kuat, setiausaha sulit, pembantu, penyanjung, sahabat, penasihat, peguam, pejuang dan doktor.

Untuk menegakkan benang basah, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail dengan angkuh menyifatkan semua itu sebagai proses penambahbaikan kepada parti tersebut.

Katanya PKR bukan sahaja tidak goyang malah bertambah kukuh dengan keputusan yang dibuat golongan tersebut yang disifatkannya sebagai 'bermasalah'.

Tindakan nama besar dalam barisan kepimpinan yang meninggalkan PKR atau menyisihkan diri diri secara senyap merupakan mereka yang terlibat ketika awal penubuhan parti tersebut lagi.

Antaranya bekas Timbalan Presiden, Dr. Chandra Muzaffar, Naib Presiden, Marina Yusuff, Ketua Penerangan, Ruslan Kassim dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), peguam Zainur Zakaria serta rakan bertahun-tahun Anwar, Datuk S. Nallakarupan.

Antara yang awal bertindak meninggalkan perjuangan PKR ialah Setiausaha Angkatan Muda Keadilan iaitu Lokman Noor Adam yang kini salah seorang Exco Pergerakan Pemuda UMNO.

Turut sama meninggalkan PKR pada tahun 2004 ialah bekas Naib Ketua Pemuda Keadilan, Muhammad Zahid Md. Arip dan bekas Timbalan Pengarah Pilihan Raya Keadilan, Hamdan Taha.

Selain itu Setiausaha Agung, Mohd. Annuar Tahir juga bekas Bendahari Agung PKR yang pernah mencatatkan kejutan apabila menawarkan diri bertanding Presiden PKR, Abdul Rahman Osman turut bertindak meninggalkan parti itu dengan menyertai PAS.

Tentunya yang paling mendapat perhatian ialah ialah tindakan bekas Ketua Angkatan Muda, Ezam Mohd. Noor, yang keluar daripada PKR pada tahun 2007. Beliau diketahui antara yang paling rapat dengan Anwar.

Beliau kemudian memohon memasuki UMNO bersama beberapa pimpinan PKR di peringkat negeri termasuk bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari.

Yang lain ialah ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu pada Februari tahun lalu. Tidak lama selepas itu, ADUN Bukit Selambau yang juga Exco Kerajan Negeri Kedah, V. Arumugam meletakkan jawatan selepas tertekan dengan isu moral.

Terbaru di kalangan ADUN PKR meninggalkan PKR ialah ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah.

Pada April 2009, ADUN Penanti yang merupakan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin meninggalkan PKR.

Orang harapan Anwar di Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Christina Liew turut keluar PKR.

Melihat kepada perkembangan itu, ada apa sebenarnya dengan Anwar atau parti yang beliau nasihati – Parti Keadilan Rakyat (PKR)?

Kenapakah mereka yang rapat dengan Anwar ini berani mengambil keputusan besar kerana jika terus berada dalam PKR, mereka akan terus disanjung.

Orang seperti Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar dari parti itu pada 12 Februari 2010, diikuti oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng pada 1 Mac dan kemudiannya Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri pada 3 Mac tidak mengendahkan itu semua.

Walaupun dituduh mereka mementingkan diri, mereka sebenarnya tidak hairan dengan itu semua.

Bagaimana pula dengan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang pernah membela Anwar pun dipecat daripada parti itu pada 6 Mac lalu?

Apakah benar puncanya kerana Zulkifli bertindak tegas meninggalkan sesi pendengaran Lembaga Disiplin PKR berhubung isu kalimah Allah kerana tidak berpuas hati dengan komposisi ahli panelnya yang turut dibarisi aktivis Kristian?

Kini persoalannya ialah dengan barisan besar meninggalkan PKR yang kini menjadi ‘sampah besar’ dengan keluarnya orang seperti Ezam, Dr Chandra, Nalakarupan, Zahrain, Zulkifli dan ramai lagi – benarkah ia proses pembersihan dalam PKR?

Berapa ramai lagikah yang mahu menyertai kumpulan sampah dalam PKR dan bakal dibuang atau akan ramaikah kalangan mereka yang akan membuang diri mereka daripada PKR?

Kepada yang membuangkan diri mereka daripada PKR, betulkah mereka sampah atau PKR itu sebenarnya sampah?

Bahagian Kedua – Apa kata mereka mengenai Anwar & PKR

2 comments:

  1. Pemimpin PKR yang keluar parti itu semua nya jenis mementingkan diri sahaja. Kecewa kerana tidak mendapat hajat yang di ingini nya.

    Jenis manusia seperti ini langsung tidak ada nilai diri nya. Mereka ini bukan tergulung dalam jenis pemimpin yang tulin dan berjiwa besar.

    Harapan DSAI dan PKR ialah sokongan padu dari penyokong tulin parti nya, PAS dan DAP.

    Anda pencacai2 UMNO jangan lupa bahawa sokongan kaum bukan melayu terhadap PR sedang berkembang pesat.

    ReplyDelete
  2. Saya Suara Rakyat Kunak sokong komen di atas, Jika kita benar benar nak menjadi se orang ahli Politik yang di segani dan di hormati, kita harus mempunyi jati diri yang kuat, kerana kita jadi YB pengundi yang memilih kita, semua YB YB yang keluar dari PKR dengan berbagai alasan dan mencemuh kepimpinan DSAI, adalah YB mata Duitan, saya berangapan karier Politik Katak Katak ini dah Tamat. Hanya Katak Katak ini sekarang tingal menanti Hukuman Rakyat dan Tuhan.

    ReplyDelete