Saturday, March 27, 2010

HULU SELANGOR – KENAPA TIDAK UMNO?



Janganlah menekan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Perdana Menteri mengenai calon untuk pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Fakta yang tidak boleh diubah atau dinafikan ialah di Hulu Selangor ini – tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) semuanya dimenangi Barisan Nasional (BN) tetapi kerusi Parlimen yang diwakili MIC - kalah.

Calon MIC itu ialah Datuk G. Palanivel, yang juga Timbalan Presiden MIC, kalah kepada Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dalam pilihan raya lepas dengan hanya 198 undi setelah menjadi wakil rakyat di situ sejak 1990.

Gambar : Samy Vellu, Mohamed Idris, KooMun, Mohd Isa & G Palanivel

Hulu Bernam (N05) diwakili Datuk Mohamed Idris bin Abu Bakar dari UMNO yang pejabatnya di Kalumpang; Batang Kali (N07) diwakili Tuan Mohd Isa bin Abu Kasim juga UMNO yang alamat pejabatnya di Ulu Yam Lama; sementara di Kuala Kubu Baharu (N06) pula calonnya Wong Koon Mun dari MCA.

Pelik bukan? Bagaimana calon MIC boleh kalah sedangkan tiga kerusi negeri ‘solid’ kepada BN.
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu sepatutnya jangan selangkah ke hadapan dengan menyatakan siapa patut bertanding di Parlimen Hulu Selangor.

Berilah peluang kepada Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) memutuskannya.

Melihat kepada kedudukan DUN dan pengundi Melayu, sewajarnya UMNO meletakkan calon Parlimen di situ.

Katakanlah permintaan MIC untuk meletakkan Palanivel yang pada pilihan raya umum lalu kalah dengan majoriti tipis 198 undi tidak menjadi, apakah MIC akan sabotaj pilihan raya berkenaan?

Faktanya ialah Hulu Selangor mempunyai 63,000 pengundi, 51 peratus daripadanya Melayu, 26 peratus Cina dan 19 peratus kaum India selain kira-kira 1,000 pengundi Orang Asli.

Saya ulangi, pengundi Melayu adalah 51 peratus – majority berbanding pengundi India hanya 19 peratus.

Palanivel pernah menang empat penggal. Kenapa untuk menjadi wakil rakyat penggal kelima beliau ditolak?

Apa sentimen rakyat di Hulu Selangor? Apakah ia membangun? Apakah kawasan itu bertambah maju?

Kenapa pula pembangkang melalui wakil rakyatnya – Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad – boleh menang?

Apakah faktor parti atau faktor calon?

Dan sejak kalah pada pilihan raya lalu, apakah Palanivel masih meneruskan kerja parti dan MIC sendiri menmgambil berat masalah penduduk di situ?

Atau apakah UMNO dan MIC yang menjalankan tugas-tugas membantu rakyat di Hulu Selangor?

Kita boleh mendapat maklumat daripada Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor yang juga ADUN selain daripada dua ADUN lain.

Bagaimana jika MIC langsung sejak kalah tidak jenguk di Hulu Selangor?

Juga kita boleh kaji sejauh mana peranan MIC di tiga Dewan Undangan Negeri Selangor dalam kawasan Parlimen itu ialah Hulu Bernam, Batang Kali dan Kuala Kubu Baharu yang semuanya dimenangi BN dalam pilihan raya umum lalu.

Kurang manis tiba-tiba sahaja Samy Vellu mengatakan MIC sudah bersedia untuk bertanding kerusi Parlimen Hulu Selangor, yang kini kosong ekoran kematian penyandangnya Dr Zainal Abidin daripada Parti Keadilan Rakyat malam Khamis.

Beliau dengan begitu terdesak berharap dapat menurunkan semula ‘anak didiknya’ G.Palanivel bagi menawan semula kerusi yang pernah diwakilinya itu selama empat penggal sebelum ini.

Presiden MIC itu berkata parti itu akan mencadangkan nama Palanivel kepada Barisan Nasional dan menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN untuk membuat keputusan.

Kalau mengikut Samy Vellu, walaupun kalah, Palanivel masih membantu menyelesaikan masalah masyarakat pelbagai kaum di Hulu Selangor, yang merupakan antara beberapa kubu kuat BN yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum 2008.

Mungkin kerana memikirkan banyak perkara yang perlu dipertimbangkan, Najib berkata beliau akan berbincang dengan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, sebelum membuat sebarang keputusan.

Najib juga meminta semua pihak bersabar mengenai calon yang akan mewakili BN bertanding kerusi itu.

Najib berkata jentera pilihan raya BN telah digerakkan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik mengetuai BN dalam pilihan raya kecil itu manakala Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil dibantu Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor Datuk Idris Bakar.

Dengan jentera sebegini, apakah keterlaluan jika dicuba pula calon dari UMNO kerana ternyata selepas empat penggal, wakil MIC sudah ditolak oleh calon yang pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor dan pernah menjadi orang kuat UMNO di Hulu Selangor.

No comments:

Post a Comment