Saturday, March 27, 2010

TANAH KUBUR MASIH MERAH...KEMPEN DAH BERMULA

Sabar-sabarlah kalaupun mahu menang. Hormatilah sedikit kepada yang baru meninggalkan kita. Tanah kubur masih merah...

Satu majlis yang berlangsung semalam di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu yang mulanya untuk "kempen selamatkan negara" oleh pakatan pembangkang, bertukar menjadi kempen untuk pilihan raya kecil.

Suruhanjaya Pilihanraya pun belum mengeluarkan apa-apa kenyataan dan mesyuarat hanya akan diadakan pada Jumaat 2 April depan.

Nampak sangat gelojohnya pakatan pembangkang dan pada majlis yang dilaporkan dihadiri kira-kira 5,000 penyokong itu, sedikit sangat ruang diberikan oleh pemimpin pakatan pembangkang menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Zainal Abidin Ahmad - wakil rakyat Hulu Selangor yang meninggal dunia kelmarin kerana barah otak.

Sebaliknya banyak tumpuan diberikan kepada kempen dengan menyentuh isu-isu panas, antaranya kes kehilangan enjin pesawat pejuang TUDM, kontrak kapal selam Scorpene, rasuah dan lain-lain lagi.

Pemimpin utama pakatan pembangkang yang hadir timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali; naib presiden PKR, Azmin Ali; pengarah strategi PKR, Tian Chua; ahli jawatankuasa pusat PAS, Dr Hatta Ramli dan ADUN DAP bagi Kampung Tunku, Lau Weng San.

Turut hadir ialah penyelaras pakatan pembangkang Datuk Zaid Ibrahim, yang disebut-sebut mungkin dipilih sebagai calon PKR untuk bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Manakala ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tiba sejurus sebelum jam 11 malam.

Ternyata selain ‘menghentam BN’ kempen itu berusaha memberitahu rakyat yang hadir mengenai ‘kecemerlangan pakatan pembangkang mentadbir Selangor’.


Di Selangor, menurut Khalid melalui pemerintahan pakatan, pelaburan berjumlah RM7 bilion berjaya dibawa masuk dalam tempoh dua tahun.

Pada tahun 2009 sahaja, katanya, Selangor telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 20,753 orang.

Anwar mula berucap mulai jam 11.45 malam. Katanya, mengambil kira jumlah pengundi kaum India yang besar di Hulu Selangor, beliau menegaskan bahawa dua aktivis utama Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kini bersama pakatan pembangkang.

“(T) Vasanthakumar, yang menyertai PKR, berada di sini," kata Anwar sambil menambah, V Ganabatirau, yang turut hadir, telah menjadi ahli DAP.

Ternyata, selain tidak sabar untuk pilihan raya, pakatan pembangkang jelas menerima baik aktivis Hindraf untuk menarik sokongan pengundi India di kawasan Parlimen berkenaan.

Mampukah MIC menyahut cabaran menjamin pengundi India tidak menyokong pembangkang pada pilihan raya kali ini?

No comments:

Post a Comment