Saturday, February 6, 2010

PAS MENANG PILIHAN RAYA BUKAN KERANA AHLI

UMNO menyasarkan keahlian kira-kira empat juta orang menjelang pilihan raya umum akan datang.

Harapan UMNO ialah dengan keahlian yang ramai, ia mampu menang cemerlang pada pilihan raya jika diadakan.

Usaha ini sewajarnya dipuji tetapi pada masa yang sama, UMNO juga perlu menilai kualiti ahlinya!

Kita tidak tahu jumlah sebenar ahli PAS. Pada kempen Disember 2008 lalu, parti itu hanya menyasarkan 100,000 ahli sahaja.

Menurut laporan Harakah 28 Disember 2008, Dewan Pemuda Pas dengan kerjasama Lajnah Pemerkasaan Parti pada hari itu telah menganjurkan satu kempen yang dikenali ' Jom Sertai Pas'.

Kempen turut mengalakkan golongan muda agar mendaftar sebagai pemilih berdaftar untuk Pilihanraya Umum ke-13.

Ia dilancarkan secara rasmi oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pengarah kempen ini, Ahmad Subki Yusuf yang juga merangkap Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat berkata PAS mensasarkan jumlah ahli sebanyak 100,000 orang.

"Semua ini adalah terdiri daripada Ahli Pas dan Ahli Kelab Penyokong Pas baru dan pelbagai aktiviti akan digerakkan untuk menambahkan lagi keahlian baru," katanya.

Yang pasti jika dilihat kepada jumlah ahli PAS, ia tidak akan mampu memang besar pada pilihan raya ke 12 lalu sekiranya berdasar kepada jumlah ahli yang menyokong PAS.

Namun bagaimana PAS boleh membentuk kerajaan di Kedah, selepas Kelantan?

Apakah PAS bergantung kepada jumlah ahlinya?

PAS menang pilihan raya kerana rakyat percaya parti itu mampu memperjuangkan kepentingan mereka.

Sedangkan ketika ahli PAS hanya 100,000 dan ahli UMNO dilaporkan berjumlah dua juta, UMNO kecundang besar di beberapa kawasan yang ditandinginya, khususnya di Selangor, Kedah dan Kelantan.

Menarik juga apabila Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sehubungan dengan usaha menjadikan ahli UMNO sebanyak tiga juta orang, semua sayap dan bahagian UMNO di seluruh negara perlu lebih agresif menambah keahlian baru supaya sasaran itu menjadi kenyataan.

"Kita juga akan menggunakan landasan yang lebih luas meliputi Barisan Nasional (BN). Maknanya bukan parti UMNO sahaja tetapi melibatkan parti-parti komponen BN lain," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Program UMNO Pilihanku sempena Kempen Penambahan Ahli dan Daftar Pemilih Pergerakan Pemuda UMNO di Simpang Empat Kerpan, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Mohd. Shafie yang juga merupakan Pengerusi Biro Penambahan Ahli UMNO berkata, beberapa negeri seperti Kedah perlu melakukan gerakan yang lebih meluas bagi menambah ahli dan mendaftarkan mereka sebagai pemilih.

Persoalan ialah, keahlian yang macam mana cuba diwujudkan oleh UMNO?

Apakah ia ahli UMNO yang komited dan mengundi UMNO/BN?

Atau UMNO memiliki ahli yang ramai tetapi tidak ambil berat mengenai pilihan raya atau ahli UMNO yang langsung tidak peduli untuk mengundi?

Lebih buruk lagi jika ada ahli UMNO yang sabotak, cah keting dan sebagainya ketika pilihan raya.

Jika bersikap demikian, lebih baik UMNO mempunyai ahli yang tidak terlalu ramai tetapi benar-benar kerja untuk pilihan raya.

Tidak wajar UMNO mempunyai ahli yang jenis ‘mencari rezeki’ ketika musim pilihan raya!

No comments:

Post a Comment