Friday, January 8, 2010

ANWAR FAIL PERMOHONAN TERUSKAN PERTUDUHAN QAZAF

Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur bagi perintah supaya pihak pendakwaan meneruskan pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 63, ditemani isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, memfailkan notis permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah pagi ini melalui peguamnya yang diketuai Kamar Ainiah

Kamaruzaman.

Dalam tuntutan notis permohonan itu, Anwar menamakan tiga responden iaitu Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Dalam notis permohonan itu, Anwar memohon perintah mahkamah supaya mengarahkan Shamsuddin menggunakan kuasa yang sedia ada padanya untuk menjalankan prosiding pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari dan menghalang Che Mat serta Jamil daripada menghalang Shamsuddin menjalankan pertuduhan itu.

Anwar juga mendakwa laporan qazaf berhubung pernyataan palsu mengenai beliau meliwat Mohd Saiful Bukhari telah dibuat kepada Bahagian Penguatkuasa dan Pendakwaan Jawi pada 9 Julai 2008, dan beliau dipanggil untuk memberi keterangan tetapi masih tiada maklum balas daripada Jawi.

Bagaimanapun, beliau diberitahu status laporan itu telah selesai.
Notis itu juga turut menyebut pada 27 Oktober 2009, Jamil menyatakan Anwar perlu menunggu perbicaraan liwat terlebih dahulu sebelum meneruskan perbicaraan pertuduhan qazaf terhadapnya.

Bagaimanapun dalam notis permohonan itu, Anwar menegaskan perbicaraan yang dihadapinya adalah berlainan.

Mahkamah menetapkan Rabu ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu jawapan balas dalam tempoh 14 hari daripada pihak pendakwaan.

Kenyataan Tuntutan Qazaf oleh Anwar

Pagi ini saya telah memfailkan suatu Permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur terhadap tiga pihak iaitu, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan (“KPS”), Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (“JAWI”) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal Agama Islam, Mejar Jeneral (B) Dato’ Hj Jamil Khir bin Baharom.

Permohonan saya adalah untuk mendapat suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap KPS supaya menggunakan kuasanya bagi mendakwa MOHD SAIFUL BUKHARI BIN AZLAN (“MSB”) di atas kesalahan jenayah Qazaf di bawah Seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997. (Gambar - Anwar semasa kali pertama memfailkan tuntutan Qazaf pada 8 Julai, 2008)

Saya juga memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Pengarah JAWI dan Menteri tersebut supaya tidak menghalang dan/atau mempengaruhi KPS daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam pendakwaan terhadap MSB.

Permohonan saya tersebut adalah lanjutan daripada Qazaf saya bertarikh 9 Julai 2008 kepada Bahagian Penguatkuasa dan Pendakwaan JAWI terhadap MSB yang telah membuat suatu pengataan palsu bahawasanya saya telah melakukan perbuatan liwat ke atas dirinya pada tarikh 26 Jun 2008.

Saya telah disiasat sebanyak dua kali dan saya telah menyerahkan kepada JAWI kesemua bukti-bukti, di antaranya laporan polis, Sumpah Laknat Saiful, laporan perubatan dan senarai saksi-saksi yang bersama saya pada waktu kejadian.

Dalam bulan Ogos 2009 saya mendapat maklumat pihak JAWI telah selesai menjalankan siasatan mereka namun sehingga sekarang KPS masih belum mengambil apa-apa tindakan Mahkamah terhadap MSB. Kesemua surat-surat peguam syarie saya yang bertanyakan mengenai status Laporan Qazaf saya, tidak dijawab KPS.

Oleh itu saya agak terkejut apabila YB Menteri telah memberitahu Parlimen pada 27 Oktober 2009 bahawa KPS memutuskan bahawa pendakwaan Qazaf terhadap MSB hendaklah menunggu perbicaraan Liwat di Mahkamah Tinggi Sivil selesai terlebih dahulu.

Saya ingin menegaskan bahawa kesalahan jenayah Qazaf adalah berbeza dengan kesalahan jenayah Liwat. Qazaf adalah kesalahan jenayah syarie yang tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana kesalahan di bawah Kanun Jenayah yang digunakan di Mahkamah Sivil.

Saya memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah kerana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan kesalahan Qazaf.

Mahkamah Syariah juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan Responden-Responden supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka ke atas kesemua pendakwaan dan pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Sebagai seorang Islam saya berhak untuk mendapat perlindungan terhadap maruah dan nama baik saya daripada dicemari seperti yang dijamin oleh Hukum Syarak.

2 comments:

  1. Bila maklumat dan bukti bukti yang sama diperlukan dalam dua mahkamah yang berbeza tidakkah salah satu kena tunggu yang lagi satu supaya keadaan tidak menjadi kelam kabut dan keliru. Tetapi inilah rupanya yang sengaja dicari. Dia tahu kaedah pembuktian dan persaksian adalah berbeza dan lebih mudah mengelak dari kebenaran terbukti dalam proses Mahkamah Syariah. Kemudian dia berhasrat untuk menggunakan hasil siasatan di Mahkamah Syariah itu pula untuk mengganggu proses di Mahkamah Sivil. Licik strategi dia. Tetapi proses di Mahkamah Syariah bukankah boleh menggunakan proses bersumpah mengikut kaedah sumpah syarie. Beranike dia bersumpah nanti.

    ReplyDelete
  2. ...semua ni mengarutlah Anuar..untuk pembicaraan di Mahkamah Sivil, kau mengelak dari dibicarakan dengan 1001 muslihat yang cedok dari filem Tamil.. kini merayu-rayu pula mahu dibicarakan di Mahkamah Syariah..pelik sungguh perangai Nuar ni..berani benar pula dia..mungkin Mahkamah Syariah tidak guna lapuran DNA..senang cerita bersumpah saja lah wahai DS Anuwar..berani kerana benar..tunjukan kejantanan anda..

    ReplyDelete