Thursday, December 17, 2009

NIK AZIZ HANYA BERKIAS?

Pada ketika Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata barisan Exco Kerajaan Negeri sekarang akan dikekalkan dan tidak akan berlaku sebarang rombakan dalam tempoh terdekat ini, pada satu temubual dengan Malaysiakini, beliau sudah ada pengganti.

Siapa orangnya?

Sebelum ini Datuk Husam Musa mengatakan beliau tidak berminat mahu menjadi Menteri Besar. Soal pokok ialah siapa mahu melantik beliau?

Juga siapa yang mencadangkan namanya?

Kalaupun PAS Kelantan memilih beliau, apakah istana menerima Husam dan akan ditabalkan sebagai Menteri Besar yang baru?

Cara Husa menolak seolah-olah beliau tahu beliau tidak akan terpilih. Sekali lagi - siapa yang mahu melantik beliau sebenarnya?

Atau apakah sikap Husam menunjukkan beliau berada dalam keadaan ‘hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong”. Nak test market?

Tidak payahlah, pemimpin PAS Kelantan sudah tahu siapa dan perangai Husam.
Pada ketika Husam terkapai-kapai, Nik Aziz berkata khabar angin kononnya akan berlaku rombakan adalah tidak benar.

"Saya beri jaminan tidak akan berlaku rombakan exco," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Bharu semalam.

Menurut Malaysiakini pula, berdasarkan hirarki parti dan pentadbiran kerajaan Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dianggap pelapis nombor satu kepemimpinannya, kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Ahmad-lah. (Beliau) itu pelapis nombor satu. Orang boleh terima atau tidak (kepemimpinan) dia, wallahu a'lam. Tetapi saya sekarang ini letak dia sebagai timbalan nombor satu," kata menteri besar Kelantan berkenaan.

Lebih jauh, Nik Aziz berkata:"Dan tugas saya sekarang ini, saya serah pada dia. Tugas pentadbiran negeri banyak saya serah padanya."

Nik Abdul Aziz mengulas isu penggantinya setelah muncul pelbagai spekulasi berhubung perkara itu susulan cadangan exco kerajaan negeri Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah supaya “pelan peralihan kuasa” diumumkan.

Selain Ahmad, Nik Mohd Amar sendiri turut disebut-sebut mengisi jawatan itu apabila beliau dibawa bertanding di peringkat DUN dalam pilihan raya umum 2004.

Ketiga-tiga Husam, Nik Mohd Amar dan Ahmad timbalan pesuruhjaya PAS negeri.

Berdasarkan hirarki tersebut, Nik Aziz berkata beliau tidak memerlukan satu pelan peralihan kuasa yang khusus kerana penggantinya akan dipilih secara automatik berdasarkan kekananan jawatan.

Ada pendapat mengatakan Nik Aziz tidak punya banyak pilihan kerana Ahmad diterima oleh istana, sementara Husam seperti Tan Sri Annuar Musa – sedikit renggang.

Malah, Husam juga dikatakan kini sukar mengambil hati istana kerana beberapa masalah yang beliau dan istana sahaja tahu penyebabnya.

Apapun, Cakap Nik Aziz ini cakap politik, bukan cakap agama.

Cakap politik boleh berubah. Nik Aziz memuji Husam melangit tetapi siapa tahu dalam hatinya?
Apakah Nik Aziz sanggup membelakangkan kehendak PAS negeri, selain Husam sudah membuat onar dengan ahli keluarga Menteri Besar itu.

Apapun, Ahmad semalam dengan tegas menyatakan bahawa beliau belum bersedia untuk menggantikan kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malah menurutnya, sekiranya benar-benar dipilih menggantikan Nik Abdul Aziz, ia sebagai satu tanggungjawab besar yang sukar digambarkan.

"Bukan soal terima atau tidak, ini adalah soal tanggungjawab yang cukup besar... ia bukan perkara main-main. Saya sendiri rasa begitu kerdil dan tak berkemampuan untuk lakukan seperti yang telah dilakukan oleh Tok Guru (Nik Abdul Aziz) selama ini bagi membangunkan Kelantan," katanya dihubungi mStar Online .

Ahmad sendiri menunjukkan beliau tidak begitu yakin dengan Nik Aziz apabila menyifatkan kenyataan Mursyidul Am PAS itu yang menamakan dirinya sebagai pengganti kepimpinan di Kelantan hanya sebagai kiasan.

"Benarkah Tok Guru cakap macam tu? Tapi bagi saya itu hanya kiasan Tok Guru sahaja. Tok Guru cakap macam itu berdasarkan kedudukan saya sekarang sebagai orang nombor dua, saya timbalannya sekarang.

"Tak berbangkitlah isu-isu macam ini, kita masih memerlukan Tok Guru menerajui Kelantan," katanya.

No comments:

Post a Comment