Saturday, October 3, 2009

MOHD ISA JADI TARUHAN PERTAHANKAN BN

Mampukah Tan Sri Mohd Isa Samad menjadi taruhan mempertahankan maruah Barisan Nasional (BN) yang sudah beberapa kali kecundang dalam pilihan raya kecil?

Sebagai insan yang digemari penduduk tempatan, Mohd Isa akan kembali popular dalam partinya – UMNO - sekiranya beliau menang.

Secara peribadi, Mohd Isa memang popular dengan ahli UMNO – tidak keterlaluan kalau dikatakan lebih popular daripada Timbalan Presiden UMNO sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Naib-Naib Presiden UMNO yang ada sekarang.

Penyokong UMNO bagaikan boleh dan melupakan ‘kesilapan Tan Sri Isa’ pada 2004. Lagipun, bukan Mohd Isa sahaja melakukan perkara sedemikian. Cumanya beliau tidak bernasib baik kerana ketika melanggar ‘lampu merah’ polis trafik kebetulan membuat laluan di situ. Kereta lain yang membuat kesalahan sama terlepas kerana terlebih dahulu atau terkemudian daripada kehadiran polis trafik di situ.

Mohd Isa adalah ‘pemenang’ kerusi Naib Presiden 2004 dan ketika itu bintangnya dilihat cerah kerana menduduki tempat pertama kerusi Naib Presiden UMNO berbanding Muhyiddin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Ketika itu penyokong Mohd Isa melihat beliau berpotensi besar untuk melompat ke kerusi Timbalan Presiden kerana pemimpin seperti Datuk Seri Zahid Hamidi , Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal jauh lebih junior.

Pada ketika sesetengah pemimpin UMNO, khususnya pemimpin veteran seperti Tun Dr Mahathir Mohamad ‘melihat sebelah mata’ kepada Mohd Isa, beliau sebenarnya masih ramai penyokong. Itu belum termasuk yang bersimpati kepadanya kerana seolah-olah beliau dijadikan kambing hitam dalam kes politik wang dalam UMNO.

Cumanya, jangan ada sabotaj pihak yang bimbang Mohd Isa kembali ‘ke kencah politik perdana UMNO’ kerana jika ini berlaku, memanglah sah ada usaha untuk membunuh karier politik Mohd Isa.

Hujan lebat yang turun di sekitar bandar Port Dickson pagi ini membawa pelbagai tafsiran. Apakah ia hujan rahmat atau member isyarat bahawa ada pihak yang kalah sebagai isyarat akan dibasahkan teruk dan hanyut bersama air lumpur ke Selat Melaka.

Memanglah hujan itu tidak menghalang proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. Begitu juga dengan penyokong parti yang bertanding, mereka tidak berganjak untuk terus memberikan sokongan kepada calon masing-masing walaupun dalam keadaan basah kuyup.

Namun pilihan raya ini akan menguji Barisan Nasional (BN) kerana ia adalah DUN milik BN. Sebelum ini BN boleh mendakwa ia bertanding untuk ‘merebut’ kerusi lawan dan sewajarnya kalah.

Jika pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada awal tahun menyaksikan BN gagal mempertahankan kedudukannya, pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang ini menjadi kayu ukur sejauh mana BN mampu mempertahankan DUN miliknya dengan ‘segala bala tentera’ yang diturunkan.

Pagi ini, Kira-kira 10,000 penyokong dua parti utama, BN dan Pas berkumpul berhampiran pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) seawal pukul 6.30 pagi. Calon Pas Zulkefly Mohamad Omar bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan penyokong mula berarak dari Markas Induk, Batu 6 Bagan Pinang sejak 7 pagi dan tiba pada pukul 8.15 pagi ini.

Sementara calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin komponen tiba pada kira-kira 8.30 pagi.

Khabarnya, ada beberapa insiden yang tidak diingini berlaku dan pastinya jika tidak kerana hujan, suasana penamaan calon akan lebih panas dan membara.

Pengerusi Putera UMNO yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa dipukul oleh penyokong parti lawan ketika berarak mengiringi calon Barisan Nasional (BN) menuju ke pusat penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang di sini hari ini.

Katanya, beliau dipukul oleh sembilan orang penyokong parti lawan dan telah diselamatkan oleh anggota polis yang bertugas.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan calon Pas, Zulkifly Mohamad Omar. Calon bebas, Shahruddin Abdul Hamid gagal mengemukakan borang sehingga tempoh pencalonan ditutup pada pukul 10 pagi. Sebelum itu borang pencalonannya di tolak kerana penyokong bukan dari kalangan penduduk tempatan Bagan Pinang.

Selepas tempoh bantahan tamat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Wahab Shamsuddin mengumumkan hanya Mohd. Isa dan Zulkifly akan bertanding pada pilihan raya kecil itu.

2 comments:

  1. Salam, sebenarnya pencalonan Isa bukan sebagai satu cagaran atau pertaruhan untuk BN mencapai kemenangan di Bagan Pinang.

    BN meletakkan Isa kerana rakyat setempat pelbagai kaum yang berkehendakkan Isa sebagai wakil rakyat dalam kawasan mereka, maka rakyat setempat juga yang wajib memastikan Isa memenangi kerusi DUN tersebut.....

    ReplyDelete
  2. Saya setuju dengan pendapat Dr Mahathir.Ini menunjukkan BN tidak serius membasmi rasuah dan politik wang.MUngkin BN boleh menang di Bagan Pinang tetapi pilihanraya umum akan datang BN mungkin terlepas Negeri Sembilan.Walaubagaimanapun,kepada parti-parti dan calon-calon yang bertanding berpolitik dan berkempenlah dengan cara yang baik.Kalau Isa menang harap beliau bertaubat nasuha tidak lagi terlibat dengan amalan berdosa itu.Saya tidak sokong sesiapa.

    ReplyDelete