Friday, July 17, 2009

KES ANWAR – PEGUAM, DOKUMEN & SPESIMEN SAIFUL

Bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap ketua peguam baru yang akan dilantik Anwar bagi menggantikan peguamnya, Sulaiman Abdullah mempunyai tahap kesihatan yang baik dan dapat menjalankan tugas dengan profesional.

Saiful Bukhari dalam laman blognya berkata, perbicaraan bagi mendengar permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen berkaitan kes liwatnya telah tertangguh disebabkan ketua peguam Anwar itu menarik diri dari semua kes kerana faktor kesihatan.

“Jika benar, saya doakan beliau cepat sembuh dan beliau diselamatkan daripada terus berada dikancah kebatilan yang amat dasyat. Adakah ketua peguam bela yang baru itu nanti antara lapan peguam yang mewakili Anwar?” katanya.

Apa pun, Mahkamah Tinggi di Jalan Duta semalam memutuskan prosiding kes liwat Ketua Pembangkang di Parlimen itu diteruskan walaupun tanpa peguam utama, Sulaiman Abdullah yang menarik diri dari mengetuai kes berkenaan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan perkara itu atas dasar salah seorang daripada lapan peguam Anwar boleh menggantikan Sulaiman bagi mengetuai pihak pembelaan.
Katanya, kesemua peguam Anwar telah mengikuti prosiding itu sejak hari pertama.

Anwar, 62, didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Menurut Malaysiakini, Sulaiman menarik diri kerana menghadapi masalah kesihatan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak minggu lalu.

Beliau dilaporkan menghadapi masalah pening kepala yang agak teruk dan tidak dapat mewakili mana-mana kes termasuk kes Anwar.

Perbicaraan bagi permohonan dokumen yang berjalan selama hampir dua jam itu ditangguhkan pada pukul 5.10 petang semalam.

Utusan Malaysia pula melaporkan Mahkamah Tinggi memerintahkan pendakwa raya membekalkan beberapa dokumen dan barangan berkaitan kes liwat yang dihadapi oleh Anwar seperti yang dipohonnya kecuali sampel-sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan semua dokumen dan barangan tersebut diserahkan dalam tempoh seminggu mulai hari ini selepas membenarkan permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Bagaimanapun reaksi segera pendakwaan ketika ditemui pemberita kemudiannya memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan bagi menangguhkan pelaksanaan perintah itu esok.

Dalam keputusannya, hakim tersebut menolak permohonan Anwar agar dibekalkan atau dibenarkan meneliti sampel-sampel DNA yang diambil daripada pengadu, Mohd. Shaiful Bukhari Azlan dan pada barang-barang yang diambil dari kediaman pemuda itu.

Jelas Hakim Mohamad Zabidin, sampel-sampel tersebut hanya boleh diteliti oleh pihak pembelaan setelah ia dikemukakan di mahkamah sebagai barang kes kerana kesemua sampel itu kini telah dibungkus dan dimeterai oleh ahli kimia dari Jabatan Kimia.

''Oleh itu, sebarang gangguan oleh sesiapa terhadap meterai tersebut sebelum dikemukakan di mahkamah pada hari perbicaraan akan mengganggu identiti dan rangkaian keterangan berhubung barang kes tersebut,'' katanya.

Manakala dokumen-dokumen dan barangan lain yang diperintahkan dibekalkan itu ialah:

• Pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal dan dua buah lif blok 11 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara dari 25 hingga 27 Jun 2008.

• Gambar-gambar 'slides' yang dibuat semasa ujian ke atas sampel-sampel DNA yang dikatakan diambil daripada pengadu dan kediamannya. Pihak pembela juga dibenarkan melihat 'slides' yang dibuat semasa ujian berkenaan di bawah pengawasan pegawai penyiasat dan ahli kimia.

• Nota-nota ahli kimia berkenaan pemeriksaan dan analisis sampel- sampel DNA yang diambil daripada pengadu dan barang-barang di kediamannya.

• Senarai saksi yang akan dikemukakan pada perbicaraan.

• Salinan semua dokumen yang akan dikemukakan sebagai keterangan seperti yang diperlukan di bawah Seksyen 51A(1)(b) Kanun Aturcara Jenayah (CPC).

• Kenyataan fakta-fakta menyebelahi pembelaan, sekiranya ada seperti yang diperlukan di bawah Seksyen 51A(1)(c) CPC.

• Salinan nota-nota semua doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dikatakan merawat dan memeriksa bekas pembantu Anwar itu termasuk pada 28 Jun tahun lalu.

• Salinan gambar, nota-nota dan laporan hasil pemeriksaan 'proctoscopy' yang dikatakan dibuat ke atas pengadu di HKL termasuk pada 28 Jun lalu.

• Laporan dari Hospital Pusrawi dan nota-nota berkenaan pemeriksaan ke atas pengadu. Sekiranya tiada laporan disediakan, satu pengesahan doktor berkenaan bahawa tiada laporan disediakan hendaklah diserahkan kepada peguam bela.

• Salinan kenyataan saksi-saksi yang direkodkan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan. Saksi-saksi tersebut ialah Mohd. Shaiful Bukhari, pemilik kediaman pengadu iaitu Hassanudin Abdul Hamid, isteri Hassanudin yang hanya dikenali sebagai Nursham, Muhamad Rahimi Osman, Mohd. Rasid Mohd. Rosdi dan Dr. Osman Abdul Hamid.

Salinan rakaman video percakapan pengadu yang dikatakan dibuat pada 30 Jun tahun lalu pula tidak perlu diserahkan setelah mahkamah memerintahkan rakaman percakapan pemuda itu di bawah Seksyen 112 CPC dibekalkan.

Hakim Mohamad Zabidin menjelaskan, beliau membenarkan salinan kenyataan saksi-saksi tersebut dibekalkan setelah mendapati ia tidak akan menyebabkan prejudis ke atas kes pendakwaan atau mengganggu gugat kepentingan awam.

''Sebaliknya, ia membolehkan pihak pembelaan mengetahui lebih awal dan lebih jelas kes terhadap tertuduh dan ini mungkin dapat membantu mereka menyediakan pembelaan yang lebih sempurna dan teratur,'' ujarnya.

Selepas mahkamah bersidang Anwar yang gembira dengan keputusan itu memberitahu media, beliau perlu menunggu keseluruhan prosiding mahkamah dalam kesnya.

Hakim tersebut kemudian menetapkan 24 Julai ini untuk sebutan perbicaraan penuh kes tersebut dan satu lagi permohonan Anwar iaitu untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya.

1 comment:

  1. Allah maha berkuasa. Kita tunggu dan lihat sajalah apa yang akan berlaku nanti.Kekadang atas dunia lagi dah Allah tunjukkan. Mintak begitulah. Biar penyokong taksubnya terbeliak mata.

    ReplyDelete