Tuesday, June 9, 2009

UMNO-BN TIDAK IKTIRAF PERANAN MEDIA BARU?

Saya tertarik dengan satu posting dalam www.ohsedapnya.blogspot yang memetik tulisan addin_77 pada 3 Jun lalu yang mengatakan sumbangan media baru khususnya media siber termasuk portal berita dan blog memainkan peranan untuk menyediakan maklumat alternatif kepada rakyat.
Melalui tajuk “Hadi Iktiraf Sumbangan Blogger, Najib Bila Lagi’, tulisan berkenaan menyebut, selama ini maklumat di cengkam oleh media arus perdana yang dikuasai kerajaan UMNO BN.

Ia telah berjaya mencelikkan rakyat sehingga memilih pekatan pembangkang dalam pilihanraya kecil yang diadakan selepas pilihanraya umum lalu, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Enam pilihanraya kecil telah diadakan selepas pilihanraya umum Mac 2008 dan Pakatan Pembangkang menang 5 daripadanya, bermula dengan Parlimen Permatang Pauh, Parlimen K. Terengganu, Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan Penanti. Satu lagi pilihanraya kecil iaitu DUN Batang Ai di Sarawak di menangi oleh BN. Manakala pilihanraya kecil bagi DUN Manek Urai akan berlangsung pada 14 Julai depan. Suruhanjaya Pilihanraya telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Julai.

"Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakyat yang telah celik, hasil daripada maklumat yang dimerdekakan ke atas mereka oleh sumber media baru, sehingga memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu," kata Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya di Muktamar Agung PAS di Shah Alam baru-baru ini.
“Kesemua pilihanraya ini kita sama-sama hadapi dengan semangat kerja kuat dan keserasian setiakawan Pakatan Rakyat yang tidak pernah luntur,” katanya.

Walaupun kita berhadapan dengan UMNO BN yang berselindung di sebalik jentera kerajaan dan pelbagai agensi, tetapi kita berjaya membuktikan bahawa rakyat terbanyak masih kukuh bersama kita dengan kita memenangi lima dari enam kerusi yang dipertandingkan, dan Insya Allah kita akan dapat mempertahankan Manek Urai. Namun begitu, katanya, kejayaan Pakatan itu dicapai melalui usaha keras yang ditunjukkan oleh jentera pilihanraya serta pihak-pihak yang membantu tanpa habuan wang ringgit.

Apabila PAS melihat media baru berperanan besar, apa pula sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak?

Pertanyaan ini tepat pada masanya kerana usaha menggunakan media baru dan siber nampaknya bermusim, khususnya sebelum dan ketika pemilihan UMNO baru-baru ini.
Yang pasti, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis yang mendakwa mewakili Datuk Seri Najib Razak berusaha mendekati blogger.

Tidak pasti apa tujuan Jamaluddin ketika itu.

Apakah beliau berusaha memujuk blogger tertentu supaya perlahan sedikit ‘membantai’ Najib atau sebaliknya.

Pada pertemuan dan perbincangan itu yang turut dihadiri beberapa blogger ternama Jamaluddin seperti orang politik lain menjanjikan bermacam-macam.
Selepas itu, biasalah orang politik – menghilang semula dengan janji-janjinya dan telefon serta sms pun mula ‘tidak berangkat dan terjawab’.

Kepada blogger mereka tidak kisah ada ‘bantuan’ atau sebaliknya kerana mereka akan tetap menulis. Cuma, yang mendapat habuan bernasib baiklah mereka dan yang tidak dapat akan tetap meneruskan perjuangan.

Cuma apabila seseorang membawa bersama nama Najib yang ketika itu bertanding Presiden UMNO dan kini menjadi Perdana Menteri, ia kurang manis untuk berperangai sedemikian.
Namun di kalangan wartawan dan penulis, mereka sudah kenal siapa Jamaluddin atau JJ ini.
Apapun, lupakan kisah JJ, kerana yang penting apakah BN dan UMNO bersikap seperti Hadi Awang dalam konteks peranan blogger ini?

Renungilah kata-katanya walaupun beliau bukan Perdana Menteri atau Menteri.
Pada ketika Presiden UMNO tidak pun mengiktiraf peranan blogger pada ucapan dasar atau juga ucapan penangguhan di Perhimpunan Agung UMNO, kata-kata Hadi Awang membawa makna yang besar.

Tidak tahulah sama ada BN atau UMNO masih yakin dengan media perdana sahaja tanpa melihat peranan blogger (yang sesetengahnya berperanan seperti akhbar nyamuk) tetapi apabila ia menggila atau menggigit, kesannya sangat besar kepada sokongan rakyat terhadap BN dan UMNO.

Sampai bilakah pemimpin BN dan UMNO terus ragu-ragu terhadap sumbangan dan peranan blogger?

No comments:

Post a Comment