Monday, June 8, 2009

PAS TIDAK BOLEH JADI PARTI ISLAM?

PAS tidak akan mampu menjadi parti Islam jika terus bergabung dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Ini kerana beberapa perjuangan PAS – negara Islam dan Hudud – dan terbaru kerajaan perpaduan akan dibantah DAP dan PKR.

Lebih memburukkan, ada pemimpin PAS yang jelas dan terang-terangan menentang gagasan Presiden parti untuk menggerakkan kerajaan perpaduan.

Jika pun tidak sampai kepada perbuatan sabotaj tetapi penentangan itu tidak akan membawa PAS ke mana-mana.

PAS boleh berbangga ia menang pilihan raya tetapi tidak mungkin dihormati sebagai parti yang memperjuangkan Islam kerana baginya kuasa dan menang pilihan raya mengatasi segala-galanya.
Yang pasti, isu idea kerajaan perpaduan muncul semula semasa Muktamar Tahunan PAS Ke-55 yang berakhir semalam.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengalu-alukan kemenangan pro-kerajaan perpaduan dalam pemilihan PAS semalam menjadi petanda ramai perwakilan parti itu memikirkan kepentingan umat Islam dalam kerangka yang lebih luas.

“Dalam ertikata lain banyak pihak yang memikirkan Islam sebagai panduan politik, bukan mempolitikkan Islam,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas kepada mStar Online hari ini.
Nasharudin dilihat sebagai kumpulan yang mendokong kepimpinan pro-muzakarah dengan Umno menang dengan majoriti 199 undi menewaskan dua calon, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu yang dikaitkan dengan kumpulan ‘Erdogan’ dalam PAS.

Katanya, keputusan pemilihan itu PAS juga menggambarkan trend kepimpinan golongan ulama dalam PAS menguasai jawatan-jawatan Presiden dan Timbalan Presiden akan berterusan selaras dengan gagasan kepimpinan ulama yang dibentuk lebih dua dekad lalu.

Malah ia juga mencerminkan usul Dewan Ulama PAS Khamis lalu yang mahukan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan salah satu kerusi Naib Presiden diperuntukkan kepada golongan ulama.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan memberi penjelasan mengenai konsep kerajaan perpaduan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Nasharudin berkata, PAS tidak akan menyertai Umno atau Barisan Nasional (BN)dan beliau yakin kerisauan di kalangan pemimpin Pakatan akan dapat diselesaikan setelah Hadi memberikan penjelasan kepada mereka.

Perbincangan antara PAS dan Umno bukanlah ke arah perkongsian kuasa tetapi lebih kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

Idea itu turut mendapat bantahan perwakilan PAS sendiri yang tidak bersetuju dengan perbincangan antara parti itu dan Umno.

Selagi PAS tidak dipimpin oleh Datuk Husam Musa yang disokong Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, PAS akan terus bergolak dan usaha menjadikan kerajaan perpaduan sebagai realiti tidak akan tercapai.

Ini kerana Husam dan Nik Aziz yang ‘rapat’ dengan Anwar tidak akan memberikan ruang kepada gandingan kepimpinan PAS merealisasikan usaha itu.

Mursyidul Am PAS itu secara jelas dan bersuluh menolak pembentukan kerajaan perpaduan seperti yang disyorkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno merupakan idea karut yang boleh merugikan PAS.

"Idea itu mengarut, orang lain tak tahu macam mana kami berhadapan dengan Umno di Kelantan," kata beliau semalam.

Bercakap dalam ceramah perdana sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-55 di Stadium Malawati, Nik Aziz berkata, beliau sendiri tidak faham bagaimana cadangan seumpama itu timbul sedangkan parti itu telah mengambil ketetapan untuk menyokong Pakatan Rakyat yang dianggotainya bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Saya tak faham macam mana (timbul)... kita sudah buat keputusan di Ipoh tahun lalu, dan kita menyokong Pakatan Rakyat," katanya.

Kenyataan Nik Aziz itu jelas bercanggah dengan pandangan Abdul Hadi yang terus menaruh keyakinan bahawa cadangan pembentukan kerajaan perpaduan akan tetap diterima satu hari nanti.

Selain itu Nik Aziz turut membantah sebarang usaha sama atau rundingan bersama Umno yang bermatlamat untuk membincangkan mengenai perkongsian kuasa.

Biarpun Hadi sudah menyatakan akan menerangkan segala-galanya mengenai kerajaan perpaduan, DAP dan PKR jelas tidak sabar untuk bertanyakan PAS mengenai perkara itu.

Tidak hairanlah sekiranya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata DAP mahu PAS menjelaskan pendirian parti itu mengenai isu kontroversi idea penubuhan kerajaan perpaduan membabitkan kerjasama Umno-BN.

Mesej jelas DAP ialah ia mahu supaya perkara itu dibincang dan diperhalusi pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan datang.

Hadi dalam ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS Ke-55 Jumaat lalu yakin idea bagi mewujudkan kerajaan perpaduan antara PAS dengan Umno yang beliau cadangkan sebelum ini dapat dilaksanakan di masa akan datang jika semua pihak memahami hasrat penubuhannya.

Katanya, hasrat itu digagaskan selepas pilihan raya umum Mac tahun lepas dengan tujuan mencari jalan kompromi dalam pembentukan kerajaan pada ketika itu dan ia diterima secara positif bukan sahaja dalam kalangan pemimpin pakatan pembangkang malah pemimpin Umno sendiri.

No comments:

Post a Comment