Saya mohon kebenaran daripada Utusan Malaysia kerana memuatkan tulisan Dr Maza ini (Mingguan Malaysia, 10 Mei 2009).
Saya perturunkan ini untuk tatapan pembaca sesuai dengan perkembangan dalam PAS sekarang.
Kepada Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Encik Aziz Ishak, terima kasih awal untuk kebenaran yang dipohon.
PAS panas memperdebatkan isu kepimpinannya sama ada patut dipegang oleh golongan 'ulama' atau profesional? Saya tidak berhasrat memberikan pandangan kerana itu urusan 'rumahtangga jiran' yang tiada keperluan untuk campur tangan.
Namun apabila ramai orang bertanya saya dalam bentuk soalan yang lebih luas; Apakah menurut Islam hanya ulama sahaja yang boleh menjadi ketua negara? Jika itulah soalannya, saya rasa terpanggil untuk turut memberikan pandangan.
Saya masih ingat dalam satu temu bual akhbar Harakah, saya menjawab persoalan yang dikemukakan. Hampir semua yang saya jawab disiarkan, cuma beberapa jawapan tidak disiarkan. Antara jawapan saya yang tidak diterbitkan itu, saya menyebut: "Pemikiran politik Islam yang difahami oleh sesetengah pejuang negara Islam itu sendiri perlukan perubahan atau tajdid. Kita tidak boleh terikat dengan konsep Darul Islam yang tulis oleh al-Imam al-Mawardi r.h dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah lagi.
Barangkali banyak isi kandungan buku tersebut sesuai untuk zaman Kerajaan Abbasiyyah. Dengan menghormati ketokohan al-Imam Al-Mawardi r.h, namun beliau dalam banyak hal menggambarkan sistem kerajaan pada zamannya, sedangkan konsep pentadbiran dan politik dalam Islam jauh lebih fleksibel dan luas. Politik Islami tidak boleh lagi sekadar mengulangi apa yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi r.h, nanti kita akan tersepit.
Jika sesetengah tokoh agama yang memperjuangkan negara Islam tidak lebih terbuka, mereka akan menghadapi masalah atau bercakaran sesama sendiri apabila tiba ke peringkat perlaksanaan Islam itu dalam alam realiti. Akhirnya, kelompok pembaharuan akan muncul di tengah-tengah mereka dan pergeseran akan berlaku".
Al-Imam al-Mawardi r.h dalam tulisannya menyebut syarat seorang khalifah mestilah memiliki ilmu yang membolehkannya berijtihad menyelesaikan keadaan dan hukum. Al-Mawardi juga menyebut khalifah mestilah berketurunan Quraisy. Jika dilihat dari segi dalil, walaupun lojiknya ada, tetapi tiada nas yang mensyaratkan seseorang khalifah mesti mencapai ilmu ke peringkat ijtihad hukum. Tetapi, ada hadis sahih yang menyebut: Para imam itu daripada Quraisy (Riwayat Ahmad). Sehingga kata al-Mawardi: "Hendaklah imam (khalifah) itu berketurunan Quraisy disebabkan ada nas yang menyebutnya dan telah berlaku ijmak (consensus)". Ertinya, jika syarat al-Mawardi itu hendak dipegang, maka syarat Quraisylah yang mempunyai dalil hadis. Syarat lain hanyalah atas lojik yang kuat dalam urusan politik. Menariknya, di Malaysia belum ada yang bertanya: Apakah Perdana Menteri disyaratkan seorang yang berketurunan Quraisy?
Isu pemimpin negara mestilah ulama menjadi lebih rancak dibincang dalam dunia pemikiran apabila tercetusnya Revolusi Iran dan Khomeini memperkatakan tentang konsep wilayah al-Faqih yang meletakkan faqih atau ulama sebagai pemimpin. Konsep itu mempunyai akar umbi kefahaman Syiah tersendiri, walaupun ia juga didebatkan di kalangan mereka.
Gerakan-gerakan Islam yang wujud, sebahagiannya terpengaruh dengan perkembangan ini. Di samping, pengalaman menunjukkan ramai pemerintah negara yang 'bukan ulama' dalam kalangan umat Islam gagal berpegang dengan Islam, hingga ramai yang menyangka hendaklah ulama menjadi pemerintah. Padahal, penyelewengan yang berlaku dalam banyak keadaan bukan disebabkan latar pendidikan, tapi oleh prinsip kehidupan oleh individu pemerintah itu sendiri. Dalam erti kata lain, jika pemerintah itu bukan ulama sekalipun, tetapi jika dia ingin menjadikan negara berpegang dengan prinsip Islam, nescaya dia mampu melakukannya.
Ini kerana, dia boleh mendapatkan khidmat ulama dan nasihat mereka. Betapa ramai pemerintah yang bukan saintis tetapi berjaya menyuburkan perkembangan sains dan teknologi dalam negara. Sebaliknya, jika pemerintah itu lulusan pengajian Islam sekalipun, tetapi tiada hasrat meletakkan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam, maka maksud siasah islamiyyah tetap tidak akan tercapai.
Apa yang menjadi masalah kepada masyarakat kita siapakah ulama menurut kefahaman orang ramai? Apakah seseorang itu dianggap ulama hanya kerana dia berkelulusan pengajian Islam? Atau kerana dia memakai jubah dan serban? Atau kerana dia dipanggil 'ustaz'? Perkataan ulama berasal dari 'ilmu'. Bermaksud seseorang yang menguasai ilmu. Jika ia dikaitkan dengan pengajian Islam membawa maksud seseorang yang menguasai ilmu dalam bidang pengajian Islam. Bidang pengajian Islam itu pula luas. Apakah jika seseorang yang hanya menguasai satu bidang sahaja sedangkan tidak kemahiran dalam siasah atau politik, layak digelar ulama yang boleh memerintah?
Al-Imam al-Mawardi sendiri meletakkan salah satu dari tujuh syarat khalifah mempunyai pemikiran yang memampukannya menguruskan politik dan kemaslahatan rakyat jelata. Jika dia bergelar ulama, tetapi 'kontang' dalam soal ini, dia tidak layak.
Saya berpendapat perbahasan; sama ada ulama atau profesional yang layak menjadi ketua negara hanya membazirkan waktu. Apa yang penting kita hendaklah jelas; Apakah yang kita kehendaki daripada pemerintahan dan politik?
Yang menjadi tanggungjawab politik islami adalah keadilan dan kesejahteraan yang berdasarkan petunjuk wahyu. Dalam melaksanakan maksud ini, hasrat seseorang pemerintah yang dibantu oleh ilmu pengetahuan adalah penting. Jika dia ulama yang mahir dalam politik serta mempunyai ketangkasan siasah, tentulah itu yang terbaik. Jika dia seorang ahli politik yang mahir sekalipun tidak ulama, dia boleh dibantu oleh para ulama yang mendokong hasratnya.
Apa yang menjadi masalah adalah jika seseorang jahil atau tidak mahir pentadbiran dan siasah tetapi ingin memerintah. Sekalipun dia memakai gelaran 'ulama' ataupun profesional. Justeru itu, Nabi SAW bersabda kepada sahabah baginda yang soleh dan warak Abu Zar al-Ghifari : "Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." (Riwayat Muslim).
Namun Khalid bin al-Walid r.a. sekalipun Nabi SAW pernah menegur beberapa tindakannya yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda, tetap baginda pilih mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh sahabat-sahabat lain, sekalipun mereka lebih berilmu dan dekat dengan Nabi SAW. Al-Imam Ibn Taimiyyah dalam Al-Siyasah al-Syar'iyyah fi Islah al-Ra'iy wa al-Ra'iyyah menyebut: "Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaan dan paling kurang mudaratnya bagi jawatan tersebut.
Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani - walaupun padanya ada kejahatan- diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.
Maka tanggungjawab umat Islam sekarang bukan membincangkan 'ulama' atau 'profesional' yang layak memerintah, tetapi melihat tanggungjawab jawatan tersebut dalam kerangka politik hari ini dan siapakah yang paling sesuai atau paling berkesan dalam mencapai matlamat sebuah negara yang adil dan dirahmati Allah.
Isunya bukan isu gelaran, atau jenis pakaian, tetapi isu amanah dan kemampuan dalam mentadbir dan menguruskan kehidupan rakyat.
Sama ada ulamak atau profesional yang menerajui PAS, PAS tidak akan berubah jika pendekatan parti itu masih memusuhi UMNO.
ReplyDeletesila layari www.myvemma.com/ezymoney
ReplyDelete