Sunday, May 10, 2009

MAHKAMAH BUKAN PILIHAN RAYA JADI PENENTU?

(Sembang Ahad)

Pelik tapi benar.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan tentukan kedudukan siapa Menteri Besar Perak.
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir atau Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin?

Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim akan mengumumkan pada 2.30 petang esok keputusan mengenai permohonan Mohammad Nizar pada 13 Februari lalu agar mahkamah mengisytiharkan beliaulah Menteri Besar sah dan Dr Zambry tidak berhak memegang jawatan itu.

Dalam afidavitnya, Mohammad Nizar berkata, beliau masih Menteri Besar kerana antara lainnya, tidak ada undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam Dewan Undangan Negeri dan beliau tidak meletak jawatan.

Semasa prosiding kelmarin, peguam utama beliau, Sulaiman Abdullah, memberitahu mahkamah, krisis politik di Perak boleh diselesai dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

Mohammad Nizar, 52, dilantik 17 Mac tahun lalu setelah pakatan DAP, PAS dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, kerajaan pimpinannya tumbang apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Perak daripada pakatan itu keluar parti masing-masing untuk menyokong Barisan Nasional (BN) awal tahun ini.

Sementara ADUN UMNO yang masuk PKR, kembali semula ke pangkuan UMNO.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melantik Dr Zambry sebagai Menteri Besar setelah mendapati Mohammad Nizar telah kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan kerana Barisan Nasional pula menguasai 31 kerusi.

Yang menariknya, syarat penting yang disebut peguam Mohd Nizar ialah, menyerahkan semula kepada rakyat (pilihan raya) untuk tentukan kerajaan negeri.

Sedangkan dalam afidavit Mohd Nizar yang ditekankan ialah tidak ada undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam Dewan Undangan Negeri dan beliau tidak meletak jawatan.

Persoalan penting ialah apakah ‘lompat oleh tiga ADUN’ tidak sah?

Dua pertanyaan di sini. Apakah Mahkamah Tinggi melihat, pertamanya ialah apakah lantikan oleh Sultan Perak tidak sah dan kedua, kelebihan kerusi kepada Barisan Nasional (BN) pun tidak ‘sah’?

Persoalan lain:

1. Apakah hanya dengan pilihan raya baru sahaja akan mengesahkan kedudukan politik di Perak?

2. Bagaimana jika diadakan undi percaya kepada Dr Zambry di Persidangan DUN? Bukankah cara ini sama seperti undi tidak percaya kepada Mohd Nizar?

Andaian: Sekiranya keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepada Mohd Nizar.

1. Apakah memerlukan perlantikan semula atau tidak perlu. Kalau tidak perlu memudahkan Mohd Nizar tetapi kalau perlantikan semula membabitkan Sultan Perak, apakah Tuanku Sultan Perak bersedia untuk melakukan upacara angkat sumpah sekali lagi?

2. Apakah dengan keputusan mahkamah seperti itu, Mahkamah Tinggi cuba menidakkan kedudukan kerusi yang ketika ini 31 kepada BN dan sewajarnya BN berkuasa?

3. Apakah Mahkamah Tinggi atau mahkamah Malaysia amnya bersedia membuat precedent iaitu apabila berlaku krisis seperti ini di masa hadapan, penyelesaiannya bukan melalui politik atau persetujuan Sultan sebaliknya di mahkamah?

4. Bersediakah demokrasi Malaysia menerima keputusan mahkamah yang mengetepikan proses pilihan raya?

Semua ini lontaran pandangan sahaja, kita tunggu keputusan Mahkamah Tinggi esok dan apa hujah hakim mengenainya.

1 comment:

  1. salam,

    Secara peribadi saya menyokong pilihanraya DUN Perak diadakan semula. Serahkan balik kepada rakyat Perak untuk menentukan kerajaan pilihan mereka. Walaupun saya ahli UMNO tetapi saya sudah jemu dan muak dengan politiking yang berpanjangan di Perak dan ianya tidak bagus untuk generasi muda Malaysia.

    Sama ada BN kalah atau menang bukan soalnya tetapi, kestabilan politik negara semakin terancam. Saya berharap benar agar pengamal-pengamal politik berfikir dengan waras demi kepentingan negara.

    ReplyDelete