Saturday, May 23, 2009

PERAK – NIZAR TETAP CABAR KEPUTUSAN SULTAN AZLAN

Sah sudah Sultan Perak Sultan Azlan Shah membuat keputusan yang betul berhubung pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang baru berdasarkan Perkara 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

I a dibuat selepas baginda berpuas hati bahawa Dr Zambry mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Selain itu tiada syarat mandatori dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak bahawa undi tidak percaya terhadap Nizar mesti dilakukan dalam Dewan Undangan Negeri dan ia boleh diperoleh atau ditentukan dengan cara lain.
Kini dua kali sudah keputusan Sultan Perak itu diakui betul. Kali pertama ialah pada 12 Mei 2009 lalu apabila Mahkamah Tinggi memutuskan supaya keputusan mengesahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diubah dan keputusan terhadap Dr Zamri ditangguhkan.
Bagaimanapun, Nizar tetap akanmempertikaikan keputusan itu dengan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mengisytiharkan Dr Zambry sebagai Menteri Besar yang sah.

Sekali melawan, Nizar akan tetap melawan, biarpun ia terpaksa mencabar keputusan Sultannya sendiri.

Kini pasti sudah bukan sahaja keputusan Sultan Azlan akan dicabar tetapi episod siapa Menteri Perak yang sah nampak gayanya belum berakhir!

Kerajaan Perak akan terus berada dalam limbo dan kedudukan ini tidak baik untuk kerajaan negeri dalam konteks mendapatkan pelaburan dan keputusan-keputusan tertentu mengenai pembangunan.

Kesan pertelingkahan ini akan memberikan kerugian kepada rakyat namun kerana Nizar mahu mencabar terus, soal rakyat ini sudah tidak penting baginya.

Peguam yang mewakili Nizar, Sulaiman Abdullah berkata, pihaknya akan mengemukakan notis usul memohon kebenaran untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada Isnin ini terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Sulaiman memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan penghakiman bertulis bagi tujuan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Kami menghargai jika mahkamah dapat memberikan penghakiman bertulis secepat mungkin," katanya.

Bila beliau akan mengemukakan rayuan belum dipastikan.
Keputusan yang diumumkan panel tiga hakim - pukul 3.50 petang semalam – membabitkan Hakim Datuk Md Raus Shariff, Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu yang memihak kepada Nizar.

Hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim pada 11 Mei itu memutuskan bahawa wakil rakyat PAS itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN Perak.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Mohamad Nizar.

Tetapi kegembiraan menteri besar Pakatan Rakyat itu tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan keesokannya (12 Mei 2009) membenarkan permohonan Dr Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan berhubung perkara tersebut semalam.

Hakim Md Raus berkata, beliau akan mengusahakan penghakiman bertulis itu dalam masa seminggu.

Panel tiga hakim itu mengisytiharkan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah setelah mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam membuat interpretasi yang relevan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

2 comments:

  1. Pada saya bubar saja DUN Perak. Biar rakyatnya yang buat keputusan. Inilah penyelesaian terbaik untuk menamatkan krisis politik di Perak. Kalau tidak, tengoklah apa yang berlaku? Masih ada pihak yang tidak berpuas hati?

    ReplyDelete
  2. Sekiranya DUN Perak dibubarkan, sudah pasti tidak ada lagi pihak yang mempertikaikannya. Keadilan pasti terjawab. Cuba tuan lihat, keputusan Sultan pun dipertikaikan, apa lagi keputusan mahkamah juga turut dipersoalkan? Saya rasa selepas ini, politik Perak akan terus bergolak.
    Sebenarnya penyelesaiannya mudah saja, iaitu bubarkan DUN Perak. Cuba tuan tengok pada pilihanraya-pilihanraya kecil yang diadakan sebelum ini, selepas pilihanraya semua pihak akur dan tiada yang memberontak. Ini disebabkan rakyat yang membuat keputusan berkenaan pemimpin mana yang mereka suka. Sebenarnya rakyat sudah semakin matang dan bijak memilih pemimpin...

    ReplyDelete