Monday, April 13, 2009

PERJELASKAN KONSEP SATU MALAYSIA

Malaysian Malaysia konsep yang hodoh, berteraskan dendam kesumat dan membalas dendam.
Malaysian Malaysia yang diilhamkan di Singapura dan diimport oleh DAP bertujuan menyaingi dasar Bumiputera dan kepentingan orang Melayu.

Saya menulis konsep ini secara panjang lebar melalui buku saya ‘Putera Mahkota UMNO’ (1995) dan sewajarnya ditolak oleh semua kaum kerana ia bersifat chauvinis.

Gerakan halus oleh pembangkang dan sekutunya bertujuan memecahbelahkan masyarakat dan dengan sendirinya akan menidakkan kuasa raja-raja Melayu serta kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi.

Sedangkan Satu Malaysia adalah pendekatan Datuk Seri Najib untuk meneruskan dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti mengutamakan kedudukan agama Islam untuk orang Melayu serta menjaga kepentingan Cina dan India dalam menghormati kewujudan sekolah vernakular.

Hakikatnya, Malaysian Malaysia sangat berbahaya jika dilihat daripada sudut kelangsungan orang Melayu dan pribumi yang mana kedudukan raja-raja Melayu dicabar, kedaulatan Islam diperkotak-katikkan selain kedudukan bahasa Melayu disamaratakan.

Kerana itu, rakyat Malaysia terutama bumiputera terus mempertahankan kedudukan agama Islam dan kehormatan raja-raja serta bahasa Melayu demi mengekalkan keharmonian negara.

Bagi Satu Malaysia, kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak perlu menjelaskannya dalam apa juga saluran dan kumpulan siaraya yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri perlu melakukan kerja perhubungan awam mengenai subjek ini.

Jangan harapkan ahli politik yang menyokong Najib menjelaskannya kerana ia akan menjadi ‘tawar’.

Semua anggota Kabinet, pemimpin parti BN dan keseluruhan jentera parti perlu menyambut konsep ini. Sesi penerangan besar-besaran perlu dijalankan segera dan jangan sampai wawasan Najib ini menjadi ‘sejuk’.

Jabatan dan agensi kerajaan perlu proaktif dan jayakannya seperti era Tun Dr Mahathir Mohamad mempopularkan ‘Kepimpinan Melalui Teladan’.

Kementerian Penerangan yang diterajui Datuk Seri Rais Yatim, saya yakin mampu melakukan kerja seperti ini kerana usaha pihak tertentu termasuk pembangkang untuk menyamakan konsep Satu Malaysia dengan Malaysian Malaysia mesti segera dihentikan.

Bukan sahaja ia bertujuan mengelak timbulnya kekeliruan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini tetapi ia dua konsep bertentangan.

Tidak tahulah kedudukan PAS sekarang mengenai konsep Malaysian Malaysia tetapi dahulu, PAS menentang sekeras-kerasnya kerana ia mengancam kedudukan orang Melayu, Bahasa Melayu, malah juga kedudukan agama Islam dalam konteks agama rasmi di negara ini.

Jadi tidak hairanlah kalau beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin UMNO menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai konsep tersebut tidak mengetepikan hak bumiputera dan Melayu seperti termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Bagi Pemuda UMNO, konsep Satu Malaysia adalah komitmen Najib dan kerajaan dalam memelihara keharmonian kaum berpaksikan kesejahteraan serta pertumbuhan ekonomi.

"Dalam konsep ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) langsung tidak mengetepikan hak rakyat Malaysia yang berbilang kaum malah selari dengan Perlembagaan apalagi ia mementingkan sama rata dan sama rasa tetapi cenderung menafikan peruntukan Perlembagaan,".

Puteri UMNO pula berpendirian, pihak pembangkang tidak harus membangkitkan isu kesamarataan yang sebenarnya bukan menjadi keutamaan dalam konsep Satu Malaysia.
Puteri UMNO menganggap perbuatan pembangkang menyamakan konsep Malaysian Malaysia dan Satu Malaysia sebagai agenda jahat.

Sedikit sebanyak ia akan memberi kesan kepada perpaduan serta hubungan kaum di negara ini sekali gus merosakkan konsep yang matlamatnya ialah supaya rakyat Malaysia bersatu, berpadu dan bersama-sama membangunkan negara.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), menegaskan, bumiputera dan Melayu yang mewakili 60 peratus komposisi penduduk di negara ini sedia berdepan mana-mana pihak demi mempertahankan konsep Satu Malaysia yang menjaga kehormatan Perlembagaan itu.

"Ini bukan Singapura. Ini Malaysia yang mana rakyatnya berjanji setia kepada raja dan negara. Kita mempunyai kedaulatan undang-undang, jadi jangan derhaka.

"Jika ada sesiapa yang cuba samakan Satu Malaysia dengan Malaysian Malaysia, Perkasa dan kaum bumiputera akan bangkit menentang mereka," kata Presidennya, Datuk Ibrahim Ali.

Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) mengingatkan, konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan Najib masih menghormati dan mengiktiraf kepentingan semua pihak dengan mendahulukan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi ikatan kesejahteraan kaum selama ini.

"Jadi, jika ia disamakan dengan Malaysian Malaysia, ia salah dan berbahaya. Jangan terkeliru dengan dakyah DAP dan penulis blog yang tidak bertanggungjawab," ujarnya.

BBPM meminta kerajaan memantau gerakan halus ini sama ada menerusi media perdana mahu pun blog serta mengambil tindakan bagi menghentikan penyebaran sentimen yang mampu menggugat keharmonian kaum itu.

4 comments:

  1. Dari www.ferizomar.com

    RAKYAT MALAYSIA BUKAN LAGI “HERD SOCIETY”
    (Utusan, 14 April 2007, Muka 10)

    Saya yakin Datuk Seri Najib sedia maklum bahawa cabaran paling besar beliau adalah Rakyat Malaysia yang dipimpinnya hari ini tidak sama seperti yang dipimpin oleh bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak. Rakyat Malaysia pada era 1970an disamakan seperti herd society yang mudah dipengaruhi kerana pada ketika itu rakyat amat miskin dan masih serik dengan peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Yang jelas, rakyat pada hari ini tidak semiskin dahulu, bebas membuat pengamatan melalui media alternatif dan sudah mampu untuk membuat keputusan sealiran dengan saranan popular sekalipun tidak berintegriti.

    Belum cukup seminggu pengumuman kabinet yang berasaskan ’Satu Malaysia’ dan ’Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan’ dibuat, media alternatif sudah dilanda pelbagai reaksi dan emosi rakyat. Bagi saya, ini adalah cabaran biasa bagi mana-mana Perdana Menteri yang baru dilantik.

    Apa yang lebih penting adalah kita tidak mahu sejarah gelap 2004–2009 berulang kembali. Pada tahun 2004, keseronokan kejayaan luar biasa dalam pilihanraya membuatkan Perdana Menteri ketika itu menabur pelbagai janji sehingga tidak terdaya dikotakannya melalui Barisan Kabinet serta jentera kerajaan yang dilantik. Kita juga tidak mahu padah 2008 di mana kekalahan teruk BN dirasai sekali lagi kerana jika ia berulang, pasti kesannya akan menjadi lebih dahsyat. Memandangkan kita akan berhadapan dengan PRU13 kurang dua tahun dari sekarang, rakyat ingin lihat kesan positif ekoran daripada peralihan kuasa dan kabinet baru dalam masa terdekat.

    SATU MALAYSIA – PARA BLOGGERS KELIRUKAN KEADAAN

    Aspirasi ’Satu Malaysia’ yang dilaungkan Datuk Seri Najib juga perlu segera diterjemahkan beliau kerana ramai di kalangan para bloggers telah mengambil kesempatan untuk menterjemahkan konsep tersebut secara ’sukarela’.

    Ada sebilangan menyatakan bahawa Najib kini sudah mulai akur dengan menifesto pembangkang iaitu ’Malaysia untuk Malaysia’; ada yang merasakan ’Konsep Satu Malaysia’ tidak akan boleh tercapai kerana struktur politik BN berdasarkan perwakilan agama dan bangsa; ada pula menghebahkan bahawa Konsep ’Satu Malaysia’ akhirnya akan mengganggu-gugat kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam; dan banyak lagi.

    Walau apa pun niat mereka membuat terjemahan tersebut, mereka perlu sedar bahawa tindakan mereka telah menambahkan kekeliruan sekali gus mengeruhkan lagi senario politik-ekonomi negara. Hanya mereka yang berbekalkan ’mata hati yang tajam’ dapat mentafsirkan hubungkait konsep ’Satu Malaysia’ dengan pelbagai saranan Najib yang lain.

    Bagi saya, saranan Najib melalui struktur ’Rakyat-Parti-Kerajaan’ di mana jumlah perwakilan UMNO ditambah menjadi 60,000 orang dan kuota pencalonan dikecilkan secara tidak langsung sudah cukup menggambarkan bahawa hala tuju UMNO selepas ini ditentukan oleh keperluan semasa rakyat, khususnya Melayu. Struktur ini juga memberikan kuasa menghukum secara langsung kepada Rakyat untuk tidak memanjangkan tempoh pentadbiran mana-mana pemimpin yang dirasakan tidak menjalankan amanah secara berkesan.

    Dalam hal ini, atas semangat cintakan UMNO, Datuk Seri Najib sendiri yang baru menjamah kerusi Presiden dan Perdana Menteri sanggup mengambil risiko tinggi untuk diketepikan jika perjuangannya dirasakan Rakyat tidak lagi relevan dan kurang berkesan dalam memenuhi keperluan Melayu semasa.

    Saya juga berharap konsep Syoora dalam pentadbiran Islam juga dikaji-pakai oleh kabinet Najib–Muhyiddin. Dalam konsep Syoora, parti politik yang memerintah juga mengambil inisiatif untuk memenuhi kehendak golongan minoriti rakyat sekalipun disarankan oleh parti pembangkang.

    Dengan struktur ini juga, kes-kes yang ’tidak masuk akal’ seperti berlaku pada Mei 2006 yang berakhir dengan Datuk Shahrir Samad meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) diharap tidak akan berulang. Rakyat Malaysia ketika itu terperanjat apabila mengetahui wujudnya polisi BN yang menidakkan Datuk Shahrir meyokong usul yang dibawa oleh parti pembangkang sekalipun berniat ikhlas mendahulukan kepentingan rakyat.

    Saya dan seluruh rakyat Malaysia menanti keberkesanan struktur Rakyat-Parti-Kerajaan. Struktur ini menggalakkan tindakan-tindakan mencari persamaan dan menghindari perbezaan dengan parti-parti pembangkang. Maka struktur inilah yang diistilahkan Najib sebagai ’Satu Malaysia’! Struktur yang mampu menstabilkan perhubungan BN dengan parti-parti pembangkang sekali gus mempamerkan imej luhur lagi dihormati.

    Atas alasan inilah, para Bloggers seharusnya beralih tumpuan dan membincangkan isu-isu utama seperti isu PPSMI; isu kepupusan MECD yang sekian lama membantu pertumbuhan usahawan Melayu; isu keberkesanan pengagihan zakat; isu pembangunan modal intensif Iskandar Malaysia yang penuh dengan dasar-dasar mengganggu-gugat kedaulatan negara serta hak keistimewaan orang-orang Melayu; dan lain-lain.

    Saranan saya kepada kabinet baru Najib-Muhyiddin pula, pergunakanlah kekuatan NGO dan para bloggers yang telah membantu peralihan kuasa dalam menangani krisis politik-ekonomi negara kerana jika tidak, barisan kepimpinan negara akan terkena kesan ’boomerang’ jika kumpulan penting ini diabaikan.

    FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

    ReplyDelete
  2. Just having a set of policies does not make for good governance. Having a set of policies is one part of good governance not the whole. Taking up a model or approach without customizing this to our needs is no guarantee of good governance. Having policies and not implementing the policies well into all our organization’s activities makes for policies that are of no use and a model in name only.
    Missing policies for important aspects and values of our organization is no help either. The approach to good governance is much like building a house. There are no quick ways to do it well; it takes lots of work, and the result will be commensurate with our efforts. Just like a house, if you miss one part or build out of order, the results will be inefficient, unsafe and likely unusable.

    ReplyDelete
  3. salam,

    Satu Malaysia: Gagasan Baru Cerita Lama!

    '1 Malaysia' atau 'Satu Malaysia 'adalah gagasan baru kepimpinan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak. Pelaksanaan pelbagai program, yang lebih adil dan saksama terhadap semua etnik, selaras dengan konsep 'Satu Malaysia' mampu menyatukan pelbagai kaum di negara ini, kata Perdana Menteri yang baru Datuk Seri Najib Tun Razak.



    Konsep 'Satu Malaysia' adalah bertemakan perpaduan rakyat dan mengiktirafkan sumbangan semua kaum. Parti-parti komponen BN - MCA dan MIC - melahirkan keyakinan mereka terhadap kepimpinan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak dan memuji konsepnya mengenai 'Satu Malaysia'.



    Jika konsep 'satu Malaysia' ini bertujuan untuk perpaduan saya sangat menyokong jika sistem sekolah yang ada di negara ini berdasarkan bukan sahaja satu sukatan pelajaran tetapi juga satu aliran dan satu bahasa pengantar. Sekolah wawasan seperti mana yang dicadangkan semasa Tun Mahathir dahulu perlu dikaji semula. Ini bermakna SRJK (C) dan SRJK (T) dihapuskan dan sekolah-sekolah Menengah Tinggi Cina turut dihapuskan. Hanya satu jenis sistem pendidikan sahaja yang ada. Bersediakah wahai MCA dan MIC?

    Jika konsep 'satu Malaysia ' ini bertujuan untuk perpaduan rakyat pelbagai kaum saya sangat menyokong jika semua minda rakyat Malaysia menerima tanpa bahas hak-hak istimewa orang Melayu dan kedaulatan 9 orang Raja-Raja Melayu seperti yang tercatat di dalam perlembagaan. Masing-masing kaum menjaga sensitiviti kaum masing-masing kerana selama 52 tahun kemerdekaan negara ,Melayu tidak pernah merampas hak-hak kaum lain di negara ini.



    Konsep 'Satu Malaysia' ditunjangi oleh dua prinsip utama iaitu sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain dan keyakinan antara satu sama lain.Apabila kita sudah menghormati antara satu sama lain bererti kita sudah mempunyai sikap terbuka untuk menghayati konsep perpaduan dalam kepelbagaian.

    Adalah amat penting juga konsep tersebut menjamin tidak ada masyarakat yang terpinggir daripada apa jua bentuk pembangunan yang harus dinikmati oleh semua kaum. Jika itu juga tujuannya tumpuannya adalah untuk masyarakat Melayu dan India. Kedua-dua kaum ini masih agak jauh tertinggal berbanding dengan kaum Cina dalam serba serbi.

    Najib sebenarnya membawa gagasan baru dengan nafas baru. Gagasan lama telah pun dirintis oleh ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak melalui Dasar Ekonomi Baru -DEB
    (1970 - 1990). Matlamat akhirnya DEB adalah PERPADUAN. DEB diasaskan kepada peristiwa 13 Mei 1969 disebabkan faktor jurang ekonomi yang luas antara kaum tertentu. Hingga sekarang faktor itu tidak selesai. Maka 'satu Malaysia' semestinya menjadi penyambung hasrat bapanya yang melihat hak-hak peribumi terutama kek pembahagian ekonomi orang Melayu dipertingkatkan.

    Konsep 'Satu Malaysia' akan menjadi lebih bermakna jika ianya memberi lebih banyak peluang kepada orang Melayu tanpa merampas hak-hak orang lain. Memperbanyakkan lagi peluang-peluang perniagaan dan pertumbuhan bandar-bandar Melayu diseluruh negara. Membasmi kemiskinan Melayu di luar bandar dan bandar. Membantu lebih banyak peluang anak-anak Melayu mendapat kemahiran dan peluang melanjutkan pelajaran ke Universiti.



    MARA dan UDA perlu dihidupkan semula peranannya dengan membantu Melayu dengan lebih berkesan. FELDA dan FELCRA perlu dibuka semula kepada rakyat seperti mana bapanya dahulu. Kalau bukan anaknya siapa lagi yang hendak meneruskan hasrat bapanya yang belum lagi kesampaian.

    Maka Gagasan -Satu Malaysia ini adalah satu gagasan Tun Abd.Razak yang diberi nafas baru oleh anak sulungnya. Cuma Najib perlu sesuaikan dengan keadaan yang telah jauh berubah. Jauh berubah dengan keadaan dan zaman bapanya pada tahun 1970an.

    Selamat Maju Jaya kepada Datuk Seri Najib dan barisan kabinetnya nanti.

    Amir Hamzah
    Batu Pahat
    www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

    ReplyDelete
  4. SEmoga DS Najib terus suskses dalam memerintah negara kita jangan terikut dengan MIC MCA dan Pakatan Pembangkang. Apa yang penting Melayu terus dipertahankan

    ReplyDelete