Thursday, January 1, 2009

WAN MUTALIB, ZAID IBRAHIM BERTANDING?

Dr Syed Azman Syed Nawawi tidak. Mustapa Ali pun tidak.

Rasa-rasanya Wan Mutalib Embong.

Walaupun nama masih dalam poket Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi sumber PAS memberitahu, nama Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali sudah tercicir.

Sementara nama Ahli Dewan Undangan Baru Burok, Dr Syed Azman juga nampaknya tidak melekat selepas naik beberapa kali walaupun cuba ditonjolkan oleh kumpulan Erdogan + Klon.

Beliau adalah ‘pemain gantian’ kepada Mohamad Sabu yang mulanya ditonjolkan oleh Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pas akan mengumumkan nama calon mereka di Stadium Negeri Kuala Terengganu malam ini untuk menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Wan Farid juga adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Pemilihan Wan Mutalib adalah tolak ansur antara kumpulan ulama dan Erdogan + Klon selepas ketegasan yang dibuat oleh PAS Terengganu supaya calon mestilah daripada Terengganu bagi mengelak pengundi Kuala Terengganu menolak ‘calon luar’.

Selain itu, biarpun Mustafa memang tinggal di Kuala Terengganu dan calon paling digemari Hadi, namun Wan Mutalib dianggap calon yang lebih baik kerana Mustafa diperlukan untuk memastikan PAS memenangi semula negeri Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang.

Tugas ini memang diletakkan di bahu Mustapa dan beliau sendiri pun sedang sibuk dengan tugasan itu.

Pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandang Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 November. Penamaan calon akan diadakan pada 6 Januari.

Wan Mutalib adalah Adun Batu Burok sejak sekian lama. Menurut Zulkifli Sulong dalam rencananya “My dream contest: Wan Mutalib lwn Wan Farid”pada 1 Disember lalu dalam Malaysian Insider, “ketika hampir kesemua calon PAS kalah (tinggal empat sahaja yang menang) dalam pilihan raya 2004, Wan Mutalib tetap menang di Batu Burok. Dia juga adalah salah seorang dari lima pemimpin utama PAS di Terengganu yang mula menang sejak pilihan raya 1982 lagi.”

Apabila beliau tidak bercadang untuk menjadi Adun lagi, Wan Mutalib disebut-sebut bertanding peringkat Parlimen Kuala Terengganu dengan bertukar tempat dengan calon yang lebih muda iaitu Dr Syed Azman Ahmad Nawawi yang bertanding di Dun beliau iaitu Batu Burok. Sebelum ini, Azman adalah anggota Parlimen Kuala Terengganu mulai 1999 tetapi kalah dalam pilihan raya 2004.

Dengan kedudukan di mana calon-calon muda dikatakan sesuai untuk DUN bagi menunjukkan PAS mementingkan tenaga muda, bagi calon Parlimen kali ini, Wan Mutalib yang berpengalaman dan berpotensi menang ditonjolkan oleh PAS.

Dijangkakan lima calon bertanding yang mana tiga adalah Bebas dan masing-masing satu daripada BN dan Pas.

Cakap-cakap terbaru mengatakan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim kemungkinan bertanding atas tiket Bebas.

Nama Zaid menjadi sebutan sejak dua tiga hari kebelakangan ini – sama ada pembantu Zaid sengaja menghantar feeler - cuba memancing atau menguji sokongan – atau benar-benar mahu bertanding tidak diketahui.

Zaid dipecat daripada UMNO 2 Disember lalu berkuat kuasa serta merta ekoran beberapa tindakan beliau yang bertentangan dengan etika parti termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Bagi Barisan Nasional pula, ia tidak gentar dengan ramainya bilangan calon bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Malah, menurut Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Said, ramainya calon bertanding tidak sama sekali menjejaskan peluang parti kerajaan untuk mempertahankan kerusi itu.

Bercakap selepas perjumpaan dengan jentera pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar, malam kelmarin Menteri Besar Terengganu itu berkata, BN bersedia berhadapan seberapa ramai calon lain yang mahu bertanding kerana yakin calonnya Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mampu memenangi hati pengundi sekali gus mencapai kemenangan dengan majoriti yang lebih besar.

Ahmad berkata, pengundi dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu sudah matang dan tahu calon yang patut mereka pilih ialah calon BN.

“Kita sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya kecil ini dengan matlamat mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu, bukannya membiarkannya jatuh kepada pembangkang,” katanya.

Mengenai cakap-cakap terbaru mengatakan Zaid Ibrahim kemungkinan bertanding atas tiket Bebas, Ahmad berkata, sesiapa saja bebas menjadi calon dalam pilihan raya kerana Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Sementara itu, Wan Ahmad Farid berkata, kehadiran lebih 3,000 hadirin di kawasan Pas itu, memberi isyarat bahawa pengundi di DUN Batu Buruk mahu calon BN memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih besar.

Memberi contoh kesetiaan pengundi terhadap BN, beliau berkata, seorang warga emas di Kampung Chendering yang menghidap penyakit jantung dan perlu mendapat rawatan di Pusat Penyakit Jantung (IJM) di Kuala Lumpur, sanggup untuk menangguhkan tarikh rawatan kerana mahu mengundi calon BN.

Wan Ahmad Farid berkata, dia terkejut mendapat tahu bahawa warga emas itu sanggup menukarkan tarikh rawatan daripada 14 Januari kepada 20 Januari kerana mahu menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi.

“Saya sudah menasihatkan warga emas itu segera mendapatkan rawatan kerana soal nyawa tetapi dia menolak kerana mahu membalas jasa kerajaan BN yang membantu rakyat,” katanya.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan daftar pemilih bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu adalah bersih daripada pengundi yang sudah meninggal dunia berdasarkan semakan terakhir pada 4 Disember lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata daftar pemilih yang sudah disahkan pada 5 Disember lalu juga membuktikan kesungguhan SPR mengadakan pilihan raya yang bersih di Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment