Sunday, December 28, 2008

HUDUD - APA PENDIRIAN ANWAR?

Kenapa Anwar menyepikan diri mengenai Hudud?

Kini sudah dua pemimpin – kedua-duanya India – satu DAP dan satu lagi MIC meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya menyatakan pendiriannya mengenai isu Hudud.
Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu semalam meminta pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendiriannya berhubung hasrat PAS untuk memperkenal hukum Hudud (Kanun Jenayah Syariah) di negara ini.

Katanya, Anwar, yang penasihat PKR, tidak sepatutnya berdiam diri dengan isu itu kerana kegagalannya menyatakan pendiriannya berhubung pelaksanaan undang-undang itu boleh menimbulkan bantahan daripada masyarakat India di negara ini.

Pada 23 Disember lalu, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata ketua umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjelaskan pendirian parti itu mengenai hukum hudud yang ingin dilaksanakan oleh Pas jika pembangkang memerintah negara ini.

Katanya Anwar tidak boleh berdiam diri terhadap kata putus Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa hukum itu akan tetap dilaksanakan di negara ini.

"Pas akan rugi jika ia berkeras untuk melaksanakan hukum hudud kerana DAP akan menentangnya," kata Karpal dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pas tidak boleh mengetepikan keputusan sebulat suara Mahkamah Agung pada 1988 bahawa malaysia bukannya sebuah negara Islam.

Samy Vellu pula berkata, kini sudah timbul protes secara senyap di kalangan masyarakat India sejak Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dilaporkan sebagai berkata PAS tidak pernah melupakan matlamat mereka bagi melaksanakan undang-undang Hudud di negara ini.

"Anwar sepatutnya menjelaskan pendiriannya dan parti yang diwakilinya, terutama kepada bukan Islam yang menyokong pembangkang agar mereka dapat menilai dan membuat keputusan sama ada untuk terus menyokong pembangkang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Samy Vellu berkata, dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, ramai kaum India yang membawa bendera PAS tetapi "adakah ini cara PAS dan parti pembangkang yang lain menghargai mereka".

Dengan perkembangan terbaru sekarang, kata Samy Vellu, Anwar sepatutnya memberi penjelasan berhubung isu itu kerana jika tidak ia akan membuktikan bahawa Anwar dan pembangkang hanya mempermain-mainkan orang ramai.

Kelmarin (24 Disember 2008), Pemuda MCA Wilayah Persekutuan menghantar memorandum bantahan kepada Pas mengenai cadangan untuk melaksanakan hukum hudud dan qisas di Pejabat Pas Pusat di sini.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Ketuanya, Chiew Lian Keng kepada Setiausaha, Dewan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Sabki Yusuf yang mewakili Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada pukul 3 petang.

Lian Keng ketika ditemui pemberita berkata, Pemuda MCA Wilayah Persekutuan membantah kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa untuk melaksanakan hukum hudud dan qisas di negara ini.

''Pemuda MCA juga mahu Pas lebih sensitif terhadap masyarakat majmuk dan hak asasi rakyat yang berbilang kaum yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

''Ini bukan kali pertama aduan seperti ini kita terima daripada masyarakat yang tidak berpuas hati. Jadi, surat bantahan ini ditujukan kepada Presiden Pas,'' katanya.

Sebelum ini, Husam membuat kenyataan bahawa Pas tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam, termasuk melaksanakan hukum hudud.

Lian Keng menambah, kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pas sebelum ini menyebabkan rakyat Malaysia tidak senang hati.

No comments:

Post a Comment