Saturday, December 27, 2008

HANYA SLOGAN, BUKAN DASAR

Apakah perjuangan sebenar PAS?

Jika Hudud bukan untuk tujuan pelaksanaan, bermakna ia sebagai slogan atau propaganda politik semata-mata.

Dewan Ulama Pas menyifatkan pelaksanaan hudud dan qisas di negara ini bukan menjadi keutamaan parti tersebut sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan.
Ketuanya, Datuk Mohamed Daud berkata semalam, perkara utama yang harus ditekankan jika pakatan pembangkang memerintah ialah keamanan dan keadilan kepada rakyat di negara ini.

Apakah sikap ini menggambarkan bahawa PAS kini benar-benar berubah dan mementingkan kuasa terlebih dahulu, bukan meletakkan landas perjuangan di hadapan.

Amat jelas hasrat PAS dalam melaksanakan hukum hudud sekiranya mentadbir negara adalah satu dasar yang tidak konsisten kerana mengambil kita perasaan rakan mereka dalam pakatan pembangkang yang tidak senang dengan cadangan berkenaan.

Jelas PAS semakin mewujudkan kekeliruan di kalangan rakyat yang sebelum ini menaruh harapan terhadap kepimpinan pakatan tersebut.

PAS yang sebelum ini tidak pernah mahu berkompromi mengenai Hudud ternyata sedang ‘mencari-cari’ arah perjuangan sebenar mereka apabila terpaksa memilih antara KUASA dan perkara-perkara lain berkaitan Islam.

Bagi PAS dengan meletakkan keamanan dan keadilan di hadapan, ia sama dengan parti sekular lain, malah semakin kabur berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang nyata lebih jelas apabila memperjuangkan ‘Harapan Baru Untuk Malaysia’.

Apakah PAS sanggup ‘menggadaikan’ Islam hanya kerana ingin berkuasa?

Persoalannya berbanding UMNO atau parti lain, apa istimewanya PAS jika hanya berlandaskan keamanan dan keadilan?

Apakah rekod UMNO dan Barisan Nasional selama lebih 5o tahun menjadikan Malaysia aman dan sejahtera bukan perjuangan kea rah keamanan?

Apa jaminan PAS apabila memerintah mampu melaksanakan keamanan? Apa yang diperkatakan oleh Islam mengenai keamanan dan pelaksanaan atau realiti politik semasa tidak sama.

Contoh sudah ada di beberapa negara Islam yang turut menekankan keamanan tetapi peperangan saudara, bunuh-membunuh dan ketidak stabilan terus berlaku. Slogan sahaja tidak mampu menjamin wujudnya keamanan sebenar.

Agak aneh apabila bercakap kepada Utusan Malaysia di Kota Bharu semalam, Ketua Dewan Ulama PAS berkata, hudud dan qisas sukar untuk dilaksanakan secepat mungkin kerana masih ramai yang tidak memahami kebaikan hukum tersebut.

"Apa yang penting kita hendak mencari keamanan dan keadilan dahulu, selepas itu kita akan memberikan penerangan kepada semua pihak agar mereka dapat menerimanya. Ini hukum Allah bukan hukum yang direka oleh Pas.

"Pun begitu ia tidak lari daripada dasar perjuangan Pas sendiri. Apabila pakatan memerintah tidak jadi masalah untuk dilaksanakan cuma perlu sedikit masa saja lagi supaya semua dapat memahaminya,"

Hakikatnya, saya bukan takbur atau mahu memperkecilkan Islam tetapi jika PAS bersekongkol dengan DAP dan PKR, sampai kiamat pun Hudud tidak mampu dilaksanakan di Malaysia kerana DAP khususnya akan menentang habis-habisan.

Bagi DAP, saya yakin kena ‘langkah mayat mereka dahulu’ baru dasar Islam dan Negara Islam dapat diwujudkan.

Jika PAS ikhlas untuk melaksanakan Hudud secara berperingkat, tiada parti lain yang lebih memahami Islam selain UMNO.

Malah yang baiknya kita lihat bagai sekutu UMNO dalam Barisan Nasional (BN) dapat menerima dasar penerapan Islam sejak ia diperkenalkan pada 1984 hinggalah kini.

Kekuatan PAS adalah pada usahanya untuk melaksanakan hukum Allah tetapi apabila Hudud yang diperjuangkan dan diterima oleh penyokong PAS, pemimpinnya pula ‘mengorbankan Hudud’ demi kuasa, penyokong PAS sewajarnya menilai semula arah perjuangan sebenar mereka.

PAS tidak wajar meletakkan Hudud di belakang atau ke tepi kerana dengan tindakan itu PAS ternyata bukanlah sebuah parti yang boleh lagi diharapkan akan memperkatakan perkara-perkara berkaitan Islam tetapi sekadar sebuah parti yang pemimpinnya gilakan kuasa dan sanggup mencemarkan Hudud demi kuasa.

Apakah perbuatan sedemikian diredhai Allah?

Atau apakah PAS termakan ‘sumpah’nya sendiri apabila sering menuduh orang lain tidak Islam, sedangkan hakikatnya orang lain tidak menonjolkan mereka sebagai ulamak, uztaz atau lebih Islamnya tetapi berjaya menubuhkan institusi penting Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa, perbankan Islam, perundangan Islam, serta perkara lain yang memupuk ke arah kehidupan cara Islam dalam suasana orang bukan Islam hampir separuh mendiami negara ini.

Malah, orang lain ini turut menjamin agama Islam dan ‘pelindung Islam’ khususnya Raja-Raja Melayu terus bertakhta demi menjadikan Islam sebagai agama resmi negara.

Bolehkan PAS melakukan ini sedangkan dalam perkara Hudud pun boleh bertukar wajah hanya kerana kepentingan KUASA?

No comments:

Post a Comment