Tuesday, December 16, 2008

BUATLAH KEPUTUSAN BIJAK HARGA PETROL, DIESEL BERSUBSIDI NELAYAN

Kenapa lambat bertindak? Kajian demi kajian?

Kenapa sampai ada demonstrasi baru mahu mengkaji untuk turunkan harga diesel dan petrol bersubsidi nelayan?

Hari ini harga runcit petrol dan diesel dikurangkan sebanyak 10 sen seliter bermakna harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter; petrol RON92 daripada RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter dan diesel daripada RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter.

Pada 2 Disember lalu, harga petrol RON97 diturunkan daripada RM2 kepada RM1.90 seliter manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing daripada RM1.90 kepada RM1.80 seliter.

Juga, kenapa kerajaan tidak boleh menurunkan harga diesel dan petrol bersubsidi kepada RM1 seperti didesak oleh nelayan, sebaliknya harga baru ialah RM1.30 sen?

Apa rasionalnya?

Yang peliknya Kementerian Pertanian dan Asas Tani membuat kenyataan bercanggah apabila sekali tidak mahu melayan tuntutan supaya harga diesel subsidi menjadi RM1 dan beberapa jam selepas itu, melalui satu kenyataan Menterinya, mengatakan kerajaan akan mengkaji permintaan berkenaan.

Beberapa hari lalu, kira-kira 20,000 nelayan menyertai boikot terbesar tidak ke laut bagi mendesak kerajaan menurunkan harga diesel kepada RM1.

Nelayan membuat tuntutan itu kerana harga diesel tahun ini telah turun sebanyak enam kali, tetapi nelayan masih membayar harga yang sama iaitu RM1.43 seliter.

Harga diesel di pasaran sekarang dijual RM1.80 seliter.

Sin Chew Online melaporkan, boikot membabitkan 5,000 bot itu akan mengurangkan separuh bekalan ikan negara.

Boikot adalah anjuran Persatuan Nelayan Selangor dan Perak turut disertai nelayan-nelayan dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Pahang dan Sarawak.

Selasa lalu, 143 bot di Kota Kinabalu enggan turun ke laut bagi membuat desakan yang sama.

Nelayan-nelayan di Sabah mendakwa mereka mengalami kerugian akibat harga diesel dan hasil tangkapan ikan merosot.

Dua pemilik kapal berkenaan Cheong Eng Tiang dan Mu Ven Kong dilaporkan berkata mereka mengalami kerugian antara RM5,000 dan RM10,000 sebulan sejak enam bulan lepas.

Akhir bulan lepas, anggota parlimen DAP Bandar Kuching, Chong Chieng Jen mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat berhubung empat tuntutan nelayan.

Usul itu bagaimanapun ditolak oleh Yang Dipertua Dewan.

Selain meminta kerajaan menurunkan harga minyak subsidi kepada RM1.00 seliter, 20,000 nelayan itu mendesak kerajaan mengurangkan pencerobohan nelayan asing, menyegerakan elaun sara hidup RM200 sebulan dan membuka Zon A dan Zon B perikanan kepada nelayan asing.

Reaksi kepada tunjuk perasaan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed mengumumkan Sabtu lalu, harga diesel dan petrol bersubsidi ditunkan 13 sen kepada RM1.30 seliter mulai hari ini tetapi ada nelayan pukat tunda yang tidak berpuas hati dan menuntut supaya ia diturunkan lagi kepada RM1 seliter.

Bagaimanapun, penurunan ini jelas tidak setara yang didesak oleh nelayan supaya harga diesel dan petrol bersubsidi diturunkan kepada RM1.

Belum ada jawapan atau penjelasan konkrit kenapa harga bahan ini masih 30 sen lebih tinggi daripada dituntut.

Setakat ini jawapan mudah ialah pelaksanaan harga baru itu menyebabkan kerajaan akan menanggung tambahan perbelanjaan kira-kira RM197 juta setahun.

Mustapa berkata, kerajaan tidak mungkin menurunkan harga petrol dan diesel bersubsidi kepada RM1 seliter seperti tuntutan 20,000 nelayan yang boikot ke laut mulai Jumaat lepas.

Katanya, selain penambahan kuota diesel sebanyak 4,000 liter sebulan sejak awal bulan ini, kerajaan turut menawarkan insentif pendaratan sejak Jun lepas sebanyak 10 sen bagi setiap kilogram tangkapan bagi pemilik-pemilik kapal tunda serta elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan bagi anak-anak kapal.

Beliau berkata penurunan harga diesel dan petrol bersubsidi akan memberi penjimatan perbelanjaan bahan bakar antara RM260 sehingga RM4,160 sebulan bergantung kepada zon tangkapan dan saiz vessel.

“Penjimatan bagi vessel pukat tradisi Zon A (kawasan operasi 0 hingga lima batu nautika dari pantai) adalah sebanyak RM260 sebulan, vessel pukat tunda Zon B (lima hingga 12 batu nautika) sebanyak RM2,600 sebulan.

“Vessel pukat tunda Zon C (12 hingga 30 batu nautika) sebanyak RM3,120 sebulan dan vessel pukat tunda Zon C2 (lebih 30 batu nautika) sebanyak RM4,160 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mustapa berkata kerajaan juga pada 3 November lepas telah menambah kuota diesel dan petrol bersubsidi daripada 106 juta liter sebulan kepada 126 juta liter sebulan bagi menampung kegunaan diesel dan petrol akibat penambahan lesen vessel baru terutama lesen sampan sebanyak 15,900 buah yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan.

“Berikutan permohonan daripada pemilik vessel pukat tunda, kerajaan pada tarikh yang sama telah meluluskan tambahan kuota sebanyak 4,000 liter sebulan bagi setiap vessel pukat tunda Zon C dan C2,” katanya.

Beliau berkata penurunan harga serta tambahan kuota diesel dan petrol bersubsidi itu sewajarnya memberi pulangan tambahan kepada nelayan daripada segi pengurangan kos dan peningkatan pendaratan ikan.

"Nak puaskan hati semua pihak memang mustahil," katanya selepas perhimpunan bulanan kementerian itu kelmarin, lapor Bernama.

Semalam, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengalah dan membuat pusingan 180 darjah apabila berjanji akan mengemukakan cadangan mengenai penurunan harga diesel subsidi kepada Kabinet Jumaat ini.

Mustapa menjelaskan, cadangan itu adalah sejajar dengan permintaan nelayan di seluruh negara yang mahukan harga diesel subsidi diturunkan berikutan penurunan harga petrol dan diesel buat kali kelima baru-baru ini.

Beliau berkata, kementerian telah menyiapkan kertas kerja mengenai cadangan penurunan harga diesel subsidi yang disifatkan akan dapat melegakan nelayan seluruh negara.

''Cadangan ini diambil hasil daripada maklum balas yang diperoleh selepas bertemu dengan persatuan nelayan dan nelayan sebelum ini. Memang masalah subsidi diesel sering dibangkitkan dan kita sudah ada jalan penyelesaian yang akan dibawa kepada kabinet Jumaat ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Interaksi Nelayan Bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani semalam.

Mustapa berkata, isu mengenai diesel adalah perkara yang rumit dan memerlukan kerajaan memberikan perhatian yang serius. Ini kerana kementeriannya terpaksa mendapat pandangan daripada Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum cadangan itu dikemukakan kepada Kabinet.

Mustapa berkata jika dilihat daripada segi logik, dan daripada maklumat tidak rasmi, nelayan-nelayan tersebut sebenarnya turut memperoleh pendapatan yang besar.

"Peruntukan untuk insentif pendaratan adalah RM130 juta setahun, dan jangkaan tuntutan adalah RM11 juta sebulan tapi yang dituntut cuma RM2.9 juta saja.

Bagi Mustapa, ini bermakna mereka juga mendapat pendapatan yang besar kerana mereka
tidak memerlukan insentif ini, (malah) ada yang takut buat pengisytiharan, takut pihak lain mendapat rahsia kejayaan mereka.

Selain itu, harga ikan pun dah naik secara purata RM1 sekilogram berbanding tahun lalu.

“Ini membuktikan mereka tidaklah susah!” tegas Mustapa.

1 comment:

  1. Salam sdr HAL yang dikasihi,

    Sungguh bijak mainan para nelayan kita sekarang ni.... dah pandai mogok...nak minyak harga seringgit.... Habis kalau dapat dengan harga seringgit seliter, apa jaminan dari nelayan,pemborong,peniaga ikan di mana sahaja anda berada di maaysia, adakah para-para pemogok ni akan menawarkan harga subsidi ikan kepada pengguna seperti harga sebelum-sebelum ini....???? adakah harga ikan akan jatuh merudum sebgaimana jatuhnya harga getah sekarang?????....

    Kepada nelayan melayu ,jangan duduk suka sangat menentang kerajaan, kerajaan akan memberikan sebaik dan seboleh mungkin. Kita kalau miskin jangan angkuh,sombong sebaliknya sabar dan bawa berbincang denga elok , baru orang kesian pada kita.

    Kepada nelayan bukan melayu:

    Guna enjin cc besar, maka budget minyak pun besar, sampai tengah lautan jual minyakpada nelayan asing, jual minyak pada industri pembinaan, dan banyak lagi cara menjahanamkan kerajaan BN. Masa mengundi pangkah DAP atau PR. Masa menagih subsidi minyak tunjuk sokongan pada BN.

    Kepada kerajaan dan agensi yang berkaitan, berpada-pada lah memberi pada mereka-mereka ini, kerana mereka-mereka ini ibarat bagi betis nak peha....

    Bila harga ikan melambung dipasaran,rakyat akan salahkan kerajaan BN . sedangkan BNdah bagi apa yang nelayan mahukan. tetapi apakah balasan mereka-mereka ini kepada kerajaan. Apakah jasa selama ini yang di hamburkan kepada rakyat tidak "berkat"...........

    wallahuallam

    ReplyDelete