Friday, November 7, 2008

NAJIB MENANG KERANA BADAI, BUKAN WANG

Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz seperti dilaporkan Malaysiakini mendakwa, wakil lebih 50 bahagian Umno yang hendak mengadakan mesyuarat perwakilan, datang menemui beliau untuk meminta sogokan sebelum mesyuarat dijalankan.

Berikutan itu, Tengku Razaleigh Hamzah gagal mendapat cukup pencalonan untuk jawatan presiden Umno kerana enggan menyogok wang kepada perwakilan.

Kamal yang mendakwa dia pembantu bekas menteri kewangan itu berkata ada yang datang meminta RM500 dan ada juga yang mahu bayaran sehingga RM1,500 seorang.

"(Tetapi) saya memberitahu mereka bahawa kami tidak ada wang. Tengku (Razaleigh) tidak mahu mengeluarkan wang untuk mendapatkan pencalonan.

"Tengku hanya menawarkan diri supaya dinilai dan dipilih oleh para perwakilan dan bukannya memberi wang untuk mendapatkan pencalonan," katanya.

Pertanyaan saya ialah, bolehkah alasan ini dijadikan alasan kukuh menyebabkan Tengku Razaleigh mendapat hanya satu pencalonan daripada Bahagian, iaitu Bahagian beliau sendiri – Gua Musang?

Kamal berkata, 67 bahagian mencalonkan Tengku Razaleigh untuk jawatan presiden Umno.

Daripada jumlah tersebut, katanya, 66 daripada bahagian tersebut menjalankan pengundian secara terbuka melalui kaedah angkat tangan.

"Bahagian-bahagian tersebut termasuk di Kelantan. Hanya mesyuarat bahagian Muar (yang turut mencalon Ku Li) Ahad lalu, dijalankan secara undi sulit.

"Jika mesyuarat dibuat secara undi sulit, saya yakin keadaan pencalonan untuk Tengku (Razaleigh) boleh berubah," katanya.

Soal undi sulit atau terbuka tidak timbul kerana ahli UMNO tahu siapa yang mereka mahukan.
Kenyataan Kamal mempersoalkan keputusan undi terbuka bagaikan mempertikaikan keupayaan ahli UMNO memilih calon yang difikirkan sesuai.

Selain itu, kalau berasaskan kenyataan Kamal, bagaimana dengan calon-calon Timbalan dan Naib Presiden?

Wajarkah mereka yang dicalonkan kemudian kalah akibat undi terbuka, menuduh calon yang menang bermain duit?

Soal penting dalam permainan pencalonan seperti ini ialah hubungan akrab seseorang calon dengan Bahagian.

Janganlah tuduh melulu kerana pencalonan selalunya berkait rapat dengan sejauh mana intimnya seseorang calon dengan Bahagian termasuk kekerapan mereka turun ke padang dan sebagainya.

Maafkan patik Tengku, kenyataan Kamal boleh membuatkan Tengku semakin jauh dengan kepimpinan Bahagian sekarang.

Hakikatnya, memang Tengku dihormati tetapi kepimpinan Bahagian sekarang ‘tidak lagi mengenali Tengku’ seperti Bahagian-Bahagian pada 1990an kerana mereka adalah generasi baru.

Apabila Tengku tidak berada dalam Kerajaan, sentuhan dan hubungan Tengku sudah terputus dan mereka yang berada di bahagian-bahagian sekarang adalah generasi baru, bukannya generasi Tengku atau lebih yang muda sedikit.

Rata-rata mereka ini mula bermain politik pada pertengahan dan akhir 90an yang lebih mengenali Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Tengku.

Perkara kedua, mungkin Tengku dan Kamal lupa bahawa Tengku bagaikan ‘merak kayangan’ yang dipandang dan didengar indah tetapi sukar dikenali dan bergaul.

Jurang generasi begitu besar dan dengan menggunakan ‘pakar-pakar’ yang salah memberikan maklumat, Tengku terus ‘didewa-dewakan’ sedangkan hakikatnya anggota UMNO semakin muda semakin tidak mengenali dan melupakan Tengku.

Contohnya di Kelantan, Tengku hanya menjadi Ketua Perhubungan sekejab sahaja iaitu sebelum pilihan raya 1999 dan tempohnya hampir satu dekad. Selepas itu pemimpin bahagian banyak bergaul dengan Datuk Mustapa Mohamed serta Tan Sri Annuar Musa.

Jika di Kelantan Tengku hanya mendapat pencalonan daripada satu bahagian, bagaimana boleh Kamal mengharapkan Bahagian-Bahagian di negeri lain mencalonkan Tengku.

Jadi dengan mengatakan orang lain ‘bermain duit’ Kamal terus cuba mengkhayalkan Tengku, sedangkan hakikatnya perlumbaan Tengku dengan Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam suasana gelanggang berbeza.

Memang ada yang timbulkan soal ‘main duit’ umpamanya Datuk Seri Rais Yatim yang mementingkan visi dan perjuangan dalam UMNO tetapi bagaimana pula orang yang dikenali sebagai ‘kedekut duit’ seperti Datuk Seri Syed Hamid Albar boleh melepasi kuota?

Dengan menimbulkan perkara ini apakah Kamal cuba menempelak Najib dengan mengatakan Timbalan Presiden UMNO itu menang kerana ‘main duit’?

Apa yang boleh dihidu daripada kenyataan Kamal itu, Najib memperolehi 141 pencalonan untuk jawatan presiden Umno daripada 142 bahagian yang telah mengadakan mesyuarat kerana duit, bukannya sokongan akar umbi.

Saya tidak tahu Najib memang ‘main duit atau tidak’ tetapi andaian saya kemenangan Najib bukan sahaja kerana beliau adalah Timbalan Presiden dan bekerja keras tetapi juga penting sumbangan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerana ‘mulut Muhyiddin’ beberapa kali meminta peralihan kuasa dipercepatkan, membuatkan bahagian-bahagian melihat perkara ini memang perlu disegerakan.

Lagipun, seruan Muhyiddin bersahut, bukannya ‘anjing menyalak bukit’.

Akibat sentiment kuat untuk ‘membuka mata’ Presiden UMNO supaya cepat-cepat melepaskan jawatan demi memperkasakan semula parti, usul Muhyiddin diterima akar umbi.

Bukan semata-mata kerana faktor peribadi Presiden UMNO tetapi bahagian-bahagian melihat perlunya UMNO digerakkan semula selepas tewas banyak kerusi dalam pilihan raya umum lalu dan Najib dijadikan sebagai sandaran baru ke arah itu.

Dalam konteks ini jelas Muhyiddin bukan meminta Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhenti daripada menjadi Perdana Menteri pada kadar segera tetapi mengusulkan supaya peralihan kuasa dilakukan dengan lebih cepat tidak payah menunggu 2010.

Ini kerana jika menunggu lebih lama, peluang untuk Najib memulihkan UMNO serta menyusun strategi bagi menjamin menang pilihan raya umum akan datang sedikit sukar.

Jadi, Najib tidak perlu ‘menyogok’ sebaliknya badai yang mahukan peralihan segera, tersedia untuk menyokong Najib mendapat sokongan padu.

Apalagi, tiada muka lain dalam UMNO yang sesuai untuk diletakkan sebagai Presiden UMNO ketika ini.

Kerana itu Najib yang kini timbalan presiden Umno menang tanpa bertanding jawatan presiden itu dalam perhimpunan yang akan diadakan pada 24 hingga 28 Mac tahun depan.

Kata-kata Kamal ini bukan sahaja merosakkan imej Tengku tetapi juga Najib dan UMNO, seolah-olah wang penentu segala-galanya.

Sedangkan hakikatnya ‘money is not everything’ dalam UMNO!

No comments:

Post a Comment