Friday, November 7, 2008

CUKUPLAH...JANGAN LAGI CABAR ORANG MELAYU

Hati orang Melayu sudah banyak kali terguris.

Tetapi kepada siapa mahu mengadu? Kementerian Dalam Negeri? Tidak guna kerana tidak ada kesan!

Akhirnya kepada Sultan Melayu jugalah tempat orang Melayu merujuk apabila merajuk.
DAULAT TUANKU!

Rasanya sudah berbuih mulut beberapa Sultan Melayu menitahkan hamba rakyat tertentu di bumi Malaysia ini supaya jangan keterlaluan mencabar oirang Melayu.

Kelmarin Sultan Perak, Sultan Azlan Shah meminta rakyat supaya berfikiran rasional dan segera menghentikan tindakan-tindakan bersifat politik secara berlebihan dan keterlaluan yang mengguris hati dan emosi orang Melayu.

Sultan Azlan bertitah, secara tersirat pengekalan institusi raja di negara ini adalah usaha meneruskan dan mengekalkan identiti kerajaan berpaksikan Melayu.

Justeru, titah baginda, sebarang pindaan Perlembagaan yang menyentuh kedudukan raja-raja dan bidang kuasa Raja Pemerintah meliputi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak, perlu terlebih dulu mendapat perkenan raja-raja sendiri.

Baginda bertitah, institusi raja berupaya memberikan keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa di samping melakukan keadilan kepada seluruh rakyat.

"Raja-raja memahami Perlembagaan Merdeka juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya.

"Persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam kontrak sosial membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan. Negara aman dan warga hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik yang mengiktiraf fakta dan hakikat sejarah," katanya.
Bertitah semasa menerima memorandum daripada Gabungan Melayu Perak (GMP) di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, kelmarin, baginda menegaskan, apa yang penting pada masa ini ialah menjaga kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan.

Kira-kira 2,000 wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu Melayu dengan sebahagian besarnya berpakaian kebangsaan, berarak secara aman bagi menyerahkan memorandum sokongan dan ikrar taat setia terhadap institusi beraja di negara ini kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Perarakan anjuran Gagasan Melayu Perak (GMP) itu turut membawa beberapa sepanduk tertulis perkataan seperti ‘Melayu leka hilang kuasa', ‘Melayu bukan bangsa pendatang,’ ‘Jangan pertikai Artikel 153,’ ‘Islam Agama Rasmi’ dan ‘Jus Soli tolak ansur kontrak sosial’ dengan diiringi paluan gendang, tiupan serunai dan nafiri.

Antara yang menyertai perarakan itu ialah Presiden GMP, Datuk Seri Dr Mohd Hilmi Ismail; Presiden Persatuan Darul Ridzuan Selangor dan Wilayah Persekutuan, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas; Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar; Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Ahli Dewan Negara, Datuk Jins Shamsuddin; bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin; bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar dan bekas Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin.

Sebaik Sultan Azlan memasuki dewan itu pada jam 10.45 pagi, Dr Mohd Hilmi mengetuai bacaan ikrar taat setia kepada Sultan Perak dan diakhiri dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ dan’Hidup Melayu’ sebanyak tiga kali, disusuli dengan titah ucapan Sultan dan jamuan ringan sebelum majlis bersurai.

Titah Baginda, keamanan dan kerukunan warga tidak harus dikorbankan hanya kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

‘‘Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kepincangan di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan. Oleh itu, dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali.

‘‘Perbuatan demikian jika tidak dihentikan dibimbangi akan mengguris hati dan emosi orang-orang Melayu,” titah baginda.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Raja DiHilir Perak; Raja Jaafar Raja Muda Musa serta ahli-ahli Dewan Negara Perak.

Sultan Azlan mengingatkan, keamanan negara dan kerukunan rakyat tidak harus dikorbankan kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

Titah baginda, penubuhan negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia adalah berteraskan sejarah, evolusi politik, nasionalisme dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan kaum berkenaan dengan institusi raja berperanan sebagai lambang penyatuan kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya di negara ini.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam semalam berkata peringatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah agar sesuatu isu terutama membabitkan kepentingan dan keistimewaan orang Melayu tidak dipolitikkan semata-mata untuk mencari populariti murahan, wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak,.

"Raja-Raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kepentingan sah kaum lain di negara ini," katanya.

Mohd Ali berkata beliau bimbang jika isu ketuanan Melayu, hak orang Melayu dan kontrak sosial terus dipersoalkan dan dipertikaikan oleh mana-mana pihak, ia boleh mencetuskan suasana tidak sihat di negara ini.

"Sebagai orang Melayu kita perlu berani dan tegas mempertahankan hak kita dan bukan bersifat talam dua muka memburuk-burukkan kaumnya sendiri dengan memberi pelbagai tafsiran peribadi mengenai ketuanan Melayu," katanya.

No comments:

Post a Comment