Friday, October 17, 2008

TABUNG AZAN UNTUK PERKARA BAIK!

Membaca kenyataan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee yang menjelaskan bahawa antara tujuan utama penubuhan 'Tabung Azan' adalah untuk membiayai dan melatih muazzin (bilal) muda untuk melaungkan azan di surau dan masjid, menjadikan saya terpanggil untuk menyokong usaha ini.

Walaupun sebelum ini saya sungguh tersentuh apabila Utusan Malaysia dibantai teruk oleh Teresa Kok dan DAP, saya tertanya-tanya apa sebenarnya tujuan Syed Ali menyokong Utusan Malaysia.

Dengan tertubuhnya tabung berkenaan, jelas Syed Ali bukan sahaja menjalankan dayausaha untuk menyokong Utusan Malaysia tetapi juga melakukan perkara baik.

Saya rasakan usaha ini wajar disokong bukan kerana Utusan Malaysia banyak berjasa kepada orang Melayu dan Islam semasa tetapi jasanya begitu penting dan bermakna buat orang Melayu.
Saya tertanya-tanya kenapa Musyridul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengatakannya sebagai gimik politik.

Nik Aziz mendakwa tindakan Umno melancarkan Tabung Azan bersama Utusan Malaysia kononnya bagi memperjuangkan kebebasan melaungkan azan di masjid dan surau di negara ini disifatkan sebagai gimik politik.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, usaha mereka mewujudkan Tabung Azan bagi membantu akhbar Utusan Malaysia sesuatu yang tidak rasional.

Cuba mencari maklumat, saya menyelidik bukan sahaja melalui utusan-online (http://utusan.com.my) tetapi beberapa blog selain http://rockybru.blogspot.com sudah pun melaporkan mengenai usaha membantu Utusan Melayu (Malaysia) Bhd.

Blog seperti http://lawi-ayam.blogspot.com menjalankan kempen “Jom Sokong Utusan Malaysia” sejak 10 Oktober 2008 dengan tema “Mari Ganyang Teresa” selain menyiarkan rencana “Nik Aziz bela Teresa Kok’ sementara http://gegernya.blogspot.com menyokong Utusan Malaysia dan usaha Syed Ali.

Malaysiakini semalam melaporkan bahawa Syed Ali ada menegaskan: “Kita nak beritahu mereka (DAP) bahawa kita mampu membentuk dan melatih muazzin muda kerana kita rasa tercabar orang yang mempertikaikan laungan azan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang wakil rakyat DAP yang menyifatkan tindakan Umno bahagian Cheras melancarkan 'Tabung Azan' sebagai satu gimik dan mendakwa Umno masih tidak putus asa untuk memainkan sentiman perkauman dan agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San juga berkata tindakan menubuhkan tabung tersebut juga merupakan bukti terdapat segelintir anasir negatif dalam Umno yang masih ingin mewujudkan sesuatu yang telah terbukti tidak pernah berlaku.

Sebaliknya, kata Syed Ali, pihaknya rasa terpanggil dan rasa bertanggungjawab untuk membantu surau dan masjid menyediakan pembesar suara bagi melaungkan azan kerana ianya adalah sebahagian daripada syiar agama Islam.

"Kita nak cari duit. Kenapa nak laungkan azan tak boleh. Ini Malaysia, sebuah negara Islam. Dan kita nak naikkan semangat orang Islam," kata Syed Ali.

Tambah Syed Ali lagi, beliau mensasarkan untuk mengutip derma RM30 juta sebagai usaha untuk memberitahu DAP pihaknya mampu berbuat demikian.
Wang yang terkumpul adalah untuk membeli peralatan surau dan pembesar suara serta diberikan di surau-surau.

Ditanya mengenai laporan sebelum ini menyebut penubuhan tabung itu juga bertujuan untuk membantu Utusan Malaysia yang disaman oleh Teresa, beliau berkata sebarang sokongan terhadap tersebut adalah dalam bentuk sokongan moral.

Katanya ini kerana Utusan merupakan kumpulan media yang besar dan mampu menyediakan sumber kewangan sendiri untuk membela diri.

Kelmarin, 14 Oktober, mengisytiharkan tindakan yang diambil syarikat itu terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berbunyi: “Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah menyerahkan sesalinan Surat Sebelum Tindakan pada 14 Oktober 2008 kepada Yang Berhormat Teresa Kok kerana membuat penyataan fitnah terhadap Utusan Malaysia yang dikatakan telah ‘memutar-belitkan’ penyataan-penyataan beliau berkenaan makanan yang disajikan kepadanya semasa berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Penyataan-penyataan beliau telah diterbitkan oleh media-media nasional dan menerusi blog beliau sendiri. Penyataan-penyataan fitnah terhadap Utusan Malaysia adalah pada 22 September 2008 dan berpunca daripada kenyataan beliau semasa sidang akhbarnya pada 19 September 2008 berkenaan makanan yang disajikan kepada beliau semasa berada dalam tahanan ISA. Teresa juga menyatakan bahawa Utusan Malaysia telah memutar-belitkan kenyataan asal beliau dalam laporan mereka. Utusan Melayu (Malaysia) Berhad melalui Surat Sebelum Tindakan memohon relif antara lain penarikan balik dan kenyataan kemaafan yang penuh dan lengkap daripada Yang Berhormat Teresa Kok kepada Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berkenaan penyataan-penyataan fitnah. Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah menyerahkan Surat Sebelum Tindakan tersebut melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co yang beralamat di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.”

No comments:

Post a Comment