Monday, October 20, 2008

PAK LAH TERLALU BAIK HATI!

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam secara rasmi mendedahkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah orang yang menimbulkan isu mempercepatkan peralihan kuasa dilakukan dengan membuat kenyataan-kenyataan di Singapura.

“Semua orang dah bersetuju. Mereka sendiri tak kata tak bersetuju. Datuk Seri Mohd. Najib dengan saya dah ada persetujuan yang direstui dan dipersetujui oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.

Yang pasti, Abdullah hanya dapat menyatakan rasa kecewa terhadap Naib Presiden UMNO itu yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerana tidak mengendahkan keputusan peralihan kuasa yang dipersetujui antara beliau dan Najib pada Mac tahun depan.

“Sebenarnya dialah (Muhyiddin) yang menimbulkan isu mempercepatkan peralihan kuasa dilakukan dengan membuat kenyataan-kenyataan di luar, di Singapura.,” katanya di Kota Kinabalu.

Itulah Abdullah! Itulah sikapnya selama ini yang hanya tahu berkata-kata tetapi tidak ada tindakan sewajarnya.

Satu sikap Abdullah yang tidak menguntungkan diri dan politiknya ialah beliau tidak pernah mahu bertindak. Bukan lembik tetapi mungkin ‘tidak sampai hati”.

Menurut seorang kawan, kelemahan ketara Abdullah ialah walaupun dia tahu ‘musuh’ di depan mata, dia tidak ‘menembaknya’.

Lantas saya bertanyakan kepadanya, “Apa yang Pak Lah boleh buat?”
“Tak kan tak boleh agak. Kuasa siapa melantik Muhyiddin sebagai Menteri?”

“Apa maksud awak? Tak kan nak gugurkannya daripada Kabinet kerana meminta peralihan kuasa dipercepatkan?” tanya saya.

“Itulah masalah Pak Lah. Dia tidak sampai hati dan biarkan orang hentam dia walapun oleh orang yang beliau lantik sebagai Menteri.

Tak kan Muhyiddin betul semua, tidak ada yang bengkok?” kata beliau menegakkan hujahnya.

Saya mengeluh panjang. Bagaimana mahu ‘mengenakan’ atau memecat Muhyiddin? Apa kesalahannya? Apa alasan mahu dicari untuk menggugurkannya?

Bagi saya apa kesalahan, salah laku atau bentuk tuduhan yang boleh dikenakan kepada beliau untuk menggugurkannya daripada jawatan berkenaan walaupun hakikatnya ‘melantik atau menggugurkan Menteri adalah dalam bidang kuasa atau perogetif Perdana Menteri?” “Maksudnya?” tanya saya.

Katanya, Abdullah pasti tahu banyak perkara mengenai Muhyiddin. “Tak kan betul semua....:” tegasnya. Pasti ada yang kurang dan cacat cela di atas diri seseorang.

Menurutnya, kalau pun kini Muhyiddin tidak ada cacat cela, bagaimana ketika menjadi Menteri di kementerian Pertanian, Belia dan Sukan atau sebelum itu. Atau boleh buka semula fail ketika beliau Menteri Besar Johor. Nak atau tak nak saja,”

Saya berdiam diri. Tidak banyak saya ketahui tentang Muhyiddin.
Kawan saya itu menjelaskan, bayangkan kalau Muhyiddin tidak jadi Menteri, apakah beliau akan disokong seperti sekarang?

Saya akui, yang pasti, jika Muhyiddin tidak menjadi Menteri, beliau tidak akan dilayan atau disanjung ketika ke sana kemari untuk berkempen.
Kata kawan saya, lihat sahaja Tan Sri Muhamad Mohd Taib ketika tiada jawatan, tidak banyak yang mempedulikan beliau.

“Malah kini, apa jadi dengan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, siapa yang mengelilingi dia? Nasib baik jadi Setiausaha Agung UMNO, kalau tidak....” kata beliau.
Atau lihat sahaja Tan Sri Annuar Musa, kerana Kelantan kalah pilihan raya dan beliau tiada apa jawatan di peringkat Pusat, hanya mendapat satu pencalonan sahaja untuk kerusi Naib Presiden.
Malah, menurut kawan saya, boleh tanya juga dengan Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, Datuk Seri Osu Sukam atau beberapa yang lain, bagaimana sukarnya mendapatkan sokongan pemimpin UMNO Bahagian apabila sudah tidak ada jawatan Kabinet.

Lebih jauh, lihat sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri, beberapa ketika beliau tidak dipedulikan, malah mendekati beliau pun tidak ramai yang berani.

Saya akui hakikat ini kerana melihat sendiri selepas pertembungan UMNO 1988, bagaimana kedudukan Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, Datuk Seri Adib Adam, Datuk Manan Othman, Datuk Abdul Ajib Ahmad dan lain-lain yang bukan sahaja ‘bertaburan ‘selepas digugurkan daripada Kabinet tetapi mengambil masa yang lama untuk pulih.
Dan kalaupun pulih, tidak sepenuhnya seperti sebelum 1988 yang ramai daripada mereka berkedudukan ‘high profile”.

Berbalik kepada Muhyiddin, kawan saya itu tidak yakin penafian Muhyiddin bahawa dalam suasana pemilihan parti sekarang, banyak pihak dilihat cuba memutar belit kenyataannya.
Muhyiddin semalam berkata ada pihak yang mendakwa beliau cuba mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kepimpinan lebih awal apabila mengemukakan pandangan berhubung tempoh pemilihan yang dianggap sebagai panjang.

''Media tanya saya apa pandangan tentang tempoh kempen yang menjangkau lebih empat bulan dan saya pun kata tempoh itu panjang. Saya tak kata apa-apa yang lebih daripada itu seperti cadang pinda tarikh atau apa ke.

''Jadi jangan salah tafsir. Dalam situasi sekarang macam-macam orang nak putar belit kenyataan saya. Saya sebut kempen bukan peralihan. Peralihan saya tak sentuh.

''Tapi adalah satu surat khabar ini yang menghentam saya kata saya desak Pak Lah berhenti. Mana ada, saya tahu bahasa saya,'' katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya semalam.
Yang pasti, akhbar sekali lagi jadi sasaran.

Tidak apalah. Yang pasti, Abdullah merujuk kepada kenyataan Muhyiddin di Singapura.
Sementara Muhyiddin sendiri sudah menjelaskan, berhubung tempoh peralihan kuasa Mac ini, beliau menghormati apa yang telah diputuskan kedua-dua pemimpin tentang tarikh berkenaan.
Kini terserah kepada ahli untuk menentukan kedudukannya.

Beliau pun sudah mengatakan bahawa “Allah yang menentukan kerana Allah yang menggerak hati perwakilan,'' ujarnya.
Lagipun, tegas beliau: “Ini sistem demokrasi. Ahli yang menentukan bukan saya. Kalau fikir saya sesuai, layak maka pilihlah saya.”
Dan kepada Abdullah, itulah nasib yang menimpa beliau.

Kesian! Terlalu mahu berlembut dan menganggap rejimnya yang mempertahankan demokrasi .
Tetapi akhirnya Abdullah bukan sahaja membenarkan pembangkang naik kepala malah kepala Abdullah juga ‘mahu dipijak’ oleh pemimpin UMNO dan Menteri Kabinet yang beliau sendiri lantik dan mengangkatnya!

No comments:

Post a Comment